Pada suatu hari, sedang saya makan ayam goreng black pepper di KFC KL Sentral bersama Fadli Al-Akiti—berdepan dengan orang yang layan filem. Berbelas bulan (lebih kurang) sebelum itu, saya makan Prosperity Burger McD di KL bersama Azharr Rudin—serupa, saya sedang berdepan dengan orang yang layan filem. Tapi yang membuatkan ianya unik adalah reaksi bagaimana mereka memperlawa saya untuk makan di toko fast food tersebut (mereka fikir saya anti-fast food,) yang entah bagaimana membuatkan saya tiba-tiba teringat filem pendek atau bahagian pertama daripada siri The Amber Sexalogy ini.
Secara peribadi saya menggemari slow food berbanding fast food. Tapi saya lebih rela makan fast food daripada makan pseudo-slow food (seperti Laksa Shack). Secara purata boleh dikatakan saya makan fast food sekali dalam sebulan. Kalau tidak di luar, yang sejuk beku di dalam peti ais pun jadi. Cuma komedi gelapnya, setiap kali saya makan KFC atau McD ini, kadang-kadang saya akan teringat imej-imej ayam yang dipaksa makan dedak sampai mati dalam emel.
Mengingatkan imej-imej brutal ini, tiba-tiba Fadz bertanya, "kenapa, tak sedap ke?"
"Err... sedap," jawab saya sambil tersenyum.
Saya tidaklah begitu lama mengikuti perkembangan filem pendek pelajar di institusi tempat saya belajar. Tetapi daripada gosip-gosip yang berjaya saya kumpul, dahulu filem-filem pendek di sini lebih production-oriented. Sejak beberapa tahun baru-baru ini, baru bibit-bibit seni itu mula muncul. Jadi jika ini benar, bermakna saya telah melihat filem-filem pendek yang lebih art-oriented tadi. Walaupun ia cuba layan seni, tapi ia masih belum sampai ke takat yang mengesankan bagi saya.
Ini berkesan di dalam Forgetting Amber. Ia cuba memadam kerinduan dengan imej-imej mudah tapi berkuasa dan penuh makna seperti langsir, railing, matahari terbenam dll. Saya syak kuasa sebegini ada dibawa di dalam Punggok Rindukan Bulan yang masih belum saya tonton. Sedihnya benda sebegini tiada di dalam filem-filem pelajar, ini menyesakkan. Jika adapun ianya masih belum konsisten.
Konsistensi ini saya dapati jelas keliru di dalam Aku, Dia dan Tong Sampah. Azri Abu Hassan ada berpesan kepada saya bahawa ADTS ini filem komersial. Macam fast food tadi saya bukanlah anti filem-filem komersial, saya tengok filem komersial sekali sebulan gitu.
Kita perlu faham bahawa filem komersial itu tak ubah seperti fast food. Ianya perlu cepat, ringkas dan kenyang sekejap. Restoran-restoran fast food ini selalunya berwarna terang, ada feel pop, dan melalaikan. Terapkan unsur-unsur ini ke dalam sinematografi dan suntingan, sapukan make up dengan bunyi, muzik, lakonan dll. Siap, jual.
Cuma dalam ADTS keadaannya kadang-kadang komersial, kadang-kadang ber'seni' sangat, seolah ada perselisihan dan kecelaruan pendapat di dalam jiwa pengarahnya. Ini tidak salah jika ia digarap secara berkesan seperti filem Ada Apa Dengan Cinta. Apa yang saya lihat: pelakon 'drama' dirakam dengan teknik long take dan kamera statik—mungkin sesetengah bahagian ok, tapi babak dialog jiwang tipikal? Saya tak mampu bertahan... rasanya tengok kucing bergaduh kat belakang rumah lagi engaging.
Berbeza dengan filem-filem 'slow food' seperti Punggok Rindukan Bulan misalnya (anehnya saya belum tengok, tapi konfiden tulis). Ianya seperti masakan ibu/nenek di mana setiap hirisan itu detail. Kalau masak laksa tulang-tulang itu dibuang secara teliti kerana tak mahu si suami atau anak atau cucu tercekik gitu. Malah orang-orang yang pandai memasak ini, kuah laksa mereka tidak berbau hanyir. Ini saya syak daripada proses pembuatannya yang perlahan.
Seperkara yang saya sedari, dalam The Amber Sexalogy, tekniknya berbeza (filem pendek adalah latihan/senaman teknikal) tetapi temanya tetap sama dibawa oleh individu bernama Azharr Rudin iaitu perasaan rindu lagi leleh itu. Ini berbeza dengan mereka yang masih hijau di mana secara teknikal sama saja tetapi membawa tema yang berubah-ubah dari satu projek ke projek lain. Ini tak ubah seperti sekejap pakai tudung, kemudian buka, kemudian duduk di atas kerusi roda, kemudian pakai tudung balik, sekejap Islam, sekejap agnostik dll. Tidak ada keperibadian dan individualiti yang utuh—mangsa fesyen huh.
Jika perubahan berlaku pun, ia selalunya mengambil tempoh masa yang lama, perlu melalui fasa-fasa transisi tertentu/penting di dalam kehidupan mereka. WR. Fassbinder ada 3 fasa, JL. Godard ada 2, Yusof Haslam ada 1 contohnya. Ini terpancar pada filem-filem mereka, tak tipu.
Ridhwan Saidi