Ahad, Mei 30, 2010

‘Banyak Berfikir’

‘If Socialism can only be realized when the intellectual development of all the people permits it, then we shall not see Socialism for at least five hundred years.’ — Vladimir Ilyich Ulyanov

Setiap orang memiliki tahap keupayaan berfikir yang sama pada asalnya, seperti yang saya percayai. Namun dalam masa yang sama, saya kerap bersikap skeptikal dengan orang yang mudah mengaku seperti ini: aku banyak benda nak difikirkan. Ini mungkin gara-gara saya ini insan yang tak minat berfikir.

Dalam begitu ramai umat manusia, saya tak percaya ramai yang benar-benar mengalami sindrom ‘banyak berfikir.’ Kita boleh mula mempersoalkan kenyataan itu dengan pertanyaan enteng berikut; apa yang kau fikirkan? Ini kerana, apa yang difikirkan itu yang penting, bukan ‘banyak mana’ yang difikirkan kerana banyak mana yang difikirkan itu juga perlu dinilai dengan jenis topik atau subjek yang difikirkan itu dan apakah perkara yang difikirkan itu sepadan dan berbaloi dengan ‘banyak mana’ masa yang telah digunakan. Dalam kata lain, berfikir itu mudah, sedang apa yang difikirkan itu belum tentu mudah.

Ada beberapa sangkaan saya tentang kenyataan orang yang mengaku ‘banyak berfikir.’ Pertama, dia merasakan yang dirinya matang, lalu beranggapan bahawa dia telah/sedang/akan berhadapan dengan bermacam bentuk dugaan hidup. Namun bentuk dugaan hidupnya itu sebenarnya tidaklah begitu luar biasa, dibandingkan dengan orang lain, seperti keperluan melangsai hutang, masalah kekeluargaan, masalah perhubungan, masalah di tempat kerja, dan sebagainya. Berkemungkinan juga dia mahu meraih simpati dari orang lain dengan harapan beroleh manfaat buat dirinya, sebagai faktor nombor 2. Dan paling akhir tersangat mudah, dia mahu kelihatan ‘cool’ di mata orang lain.

Kalau setakat masalah-masalah disebabkan faktor yang pertama tadi, saya sama sekali tak beranggapan orang itu ‘banyak befikir.’ Pengakuan banyak berfikir itu saya percaya sengaja dilebih-lebihkan. Sedangkan yang disangka ‘berfikir’ itu tak lebih dari siri keluhan panjang terhadap kerutinan hidup yang tetap saja bakal ditempuh dengan taat setia. Dia sekadar mengeluh seraya menyalah-gunakan perkataan ‘berfikir’ padahal dia tetap tak berbuat apa-apa. Misalnya, kalau dia ada masalah hutang, dia hanya perlu membayar saja jika mampu dan masalahnya pasti akan selesai. Jika tak mampu, dia perlu berusaha mencari jalan melangsaikannya, oh perlu berfikir juga, namun tidaklah pula sampai ke tahap ‘banyak berfikir.’ Sebab, membayar hutang itu bukan sekadar perlu ‘berfikir’ tapi juga berusaha/bertindak.

Berfikir adalah proses murni yang bermula dengan ‘mempersoal’, mahu lebih, ada tesis, anti-tesis lalu disudahi dengan sintesis. Jelas sekali, ia proses renungan yang sering melelahkan, bukannya proses ‘mengeluh.’ Itu berfikir, kalau melayan emosi pun sama. Saya selalu terasa nak tampar muka orang yang tak habis-habis mengaku mengalami masalah emosi yang berpanjangan.

Memang pada awalnya kita perlu menerima hakikat, semua manusia dilahirkan sama. Dibekalkan dengan akal fikiran yang sama. Tapi sesudah itu, manusia melanjutkan proses kehidupan, berdepan segala macam tragedi, tahun demi tahun, lalu keupayaan inteleknya turut terbangun berdasarkan faktor-faktor tersebut. Setiap jalan yang dilalui oleh manusia itu hampir pasti sentiasa berbeza, dengan sekali-sekala akan muncul ‘orang luar biasa’ akibat dari takdir hidupnya menempuh jalan yang juga luar biasa.

Jadi ungkapan banyak berfikir sangat tak padan dengan ‘orang biasa’ yang seharian menjalani kehidupan yang cukup rutin seperti bekerja, pulang ke rumah melayan drama swasta, melayan karenah anak-anak, hari minggu pergi berkelah atau membeli–belah, sentiasa memastikan gerak laku tertib mengikut hukum, apa jenis ‘hukum’ sekalipun, tidur dan bangun tepat berpandu jeritan loceng jam, dan sebagainya. 

Apatah lagi yang paling tragis bagi yang mengaku ‘banyak berfikir’ itu memilih wahana eskapisme picisan seperti; gemar membaca Mangga atau Mingguan Misteri, gemar menonton rancangan realiti TV, rancangan nyanyi-nyanyi kosong seperti Jom Heboh, meminati lagu-lagu pop cinta melulu dan filem-filem pilihan hati pula adalah filem-filem lakonan Saiful Apek, misalnya. Dalam masa yang sama, perlakuan hidup seperti yang dinyatakan di atas sama sekali tak salah, atau hina, tapi berbalik pada konteks tulisan ini, saya sedang menyiasat kebenaran tentang tajuk yang saya sendiri kemukakan.

Jikalau daya fikir (intelek) itu ingin dikelas-kelaskan dan dibubuh dengan satu istilah khusus, bagi saya, mereka yang ‘banyak berfikir’ jenis yang melayan permasalahan rutin harian yang dikira ‘normal’ selayaknya ditahap, apa yang saya gelar sebagai “ordinary intellect.” 

Ini disebabkan, ciri-ciri orang yang banyak berfikir dapat diketahui dengan menilai di manakah letaknya tahap citarasa yang dimiliki, yang membabitkan persoalan pilihan terhadap estetika dan kecenderungannya terhadap subjek kebenaran, juga tahap sensitivitinya terhadap persekitaran. 

Jadi bagaimanakah ciri-ciri manusia yang boleh dipercayai bila dia mengatakan yang dia itu ‘banyak berfikir?’ Ini soalan saya rasa perlu dijawab dengan mengimani bahawa orang yang banyak berfikir itu sentiasa memiliki rasa ghairah mempersoal segala bentuk keterbatasan. Apapun bentuk keterbatasan, baik waktu, ruang dan hukum. Dalam tradisi keilmuan, orang sebegini senang digelar sebagai ‘filasuf.’ Tapi gelaran itu bukan penting sangat, kerana selagi ada upaya dan kehendak mempersoal, sudah cukup. Dia juga cepat naik syahwat bila diajukan persoalan kebenaran, yakni yang membawa ke arah pencarian makna hakiki tentang sesuatu perkara dan fenomena. Dia berfikir secara melewati batas permasalahan hidup yang serba rutin, bahkan ada kemungkinan dia akan terbabas menuduh segala rencam kehidupan harian yang monotonus itu sebagai ‘tak penting.’ 

Kalau dia terpaksa berdepan dengan pihak bank yang menuntut hutang bulanan sekalipun, itu tak menidakkannya dari melayani kengairahannya terhadap subjek-subjek yang lebih menggoda syahwat inteleknya. Kalau pun persiapan perkahwinan terpaksa dia fikirkan, kerana ingin menempuhi alamnya, akan dianggap ia sebagai masalah permukaan, sedangkan dia mungkin dapat membaca permasalahan dasar yang lebih menakutkan, seperti penyakit masyarakat yang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan hidup hingga sanggup bergolok-bergadai, lalu menerbitkan pembaziran, ketidakikhlasan, penipuan, dll.

Dia juga tak mudah duduk diam, otaknya tak statik, sentiasa berkeinginan membuka ruang-ruang gelap yang tertutup. Banyak potensi hidup iaitu bakat cuba diteroka, banyak pengalaman mahu dikaut, banyak juga resiko yang bakal ditempuh. Progresi manusia hakikatnya ditolak oleh orang yang semacam ini, walaupun seringkali beresiko disalah erti oleh ‘orang biasa’ yang rata-rata berstatus “ordinary intellect.” Apabila resiko negatif menjelma menjadi realiti, besar kemungkinan akan berlaku pergeseran, penghinaan, pergaduhan, pergolakan, biarpun sementara. Tapi perlu juga dinyatakan, setiap progresi itu wajib meniti proses pergeseran, seperti gerakan roda yang maju ke depan hanya setelah bergeser dengan aspal yang statik dan keras.


Mohd Ikhwan Abu Bakar