Ahad, Mei 23, 2010

Kelazatan Filem

Manusia perlu makan untuk kekal hidup, ini keperluan paling fundamental makhluk yang hidup di atas muka bumi ini. Tanpa makanan, kita lapar dan seterusnya mati. Buat quasi-sinefilia seperti saya, saya perlukan filem untuk kekal hidup. Tanpa menonton filem selama sebulan, mungkin saya akan mati—mati akal.

Sesibuk mana pun saya, pasti saya akan meloloskan diri untuk menonton filem. Seperti makan, tidak kira betapa banyaknya kerja kamu, pasti kamu mencuri masa untuk makan. Malah di negara yang penduduknya makan 24/7 ini, jarang sekali kita dengar ada manusia yang mati kebuluran (kecuali jika dikurung). Lambakan makanan ini bukan sahaja berlaku sekarang, malah buah-buahan dan haiwan yang mudah didapati di merata kawasan ini, katanya adalah penyebab kenapa orang Melayu hidup santai lagi sempoi. Paradigma 'santai' ini lalu dianjak menjadi 'malas' oleh pemikiran kapitalisme Cina yang rajin-rajin belaka.
Dalam industri senibina, di dalam bilik mesyuarat, kita akan dengar orang Melayu sebut perkataan DESIGN paling koman sekali. Tapi bagi orang Cina, kita pasti dengar perkataan PROFIT disebut paling koman sekali. Ini bukan rasis, ini hakikat bersandarkan pengalaman peribadi yang ditebuk.
Berbalik kepada filem dan makanan tadi, bagi saya kaedah kedua-dua unsur itu diapresiasi serupa. Semua manusia ada citarasa, dan citarasa ini dibentuk sejak kita kecil melalui pengalaman dan ilmu. Seperti pagi tadi, saya makan nasi lemak, kemudian saya kata, "sambalnya sedap, nasinya lerai, tapi ikan bilis kurang. Secara keseluruhan ok la, buat sarapan pagi." Ini adalah kritikan ringkas, ia adalah pandangan peribadi berlandaskan persepsi. Kritikan tanpa individualiti adalah kritikan paling bosan bagi saya. Contohnya seperti: "Anthony Bourdain kata nasi lemak ni sedap," atau "nasi lemak ni menang kat festival filem Cannes." Yea, tapi pendapat peribadi kamu apa? Itu yang lebih penting.

Macam nasi lemak, pabila sambal, nasi dan ikan bilis itu dinilai secara terpisah, ini serupa seperti menebuk babak-babak tertentu di dalam sesebuah filem itu. Kita akan puji bahagian yang kita paling suka (atau tidak suka), yang memberikan kesan yang bersifat peribadi. Jika filem atau makanan itu tidak memberikan kesan kepada diri kita, selalunya kita tidak begitu peduli. Kalau saya cuba tulis perkara yang saya tidak suka, ia tidak syok dan ada potensi wujud unsur pura-pura.

Tentang tebuk menebuk ini, saya ada satu kepercayaan bahawa setiap benda di alam semesta ini ada konteks. Jika kita tidak tebuk babak daripada sebuah filem, sebaliknya menilai sebuah filem sepenuhnya, tindakan ini juga adalah satu bentuk tebukan. Kita sedang menebuk sebuah filem daripada sinema secara keseluruhannya. Dan jika kita menilai sinema sepenuhnya, ia juga adalah satu tebukan. Sinema ini telah ditebuk daripada seni secara keseluruhannya. Seterusnya jika kita nilai seni sahaja, ia adalah tebukan kepada ilmu itu sendiri. pendek kata kita sepatutnya tidak menghalang diri kita daripada terperangkap di dalam 'kotak' atau dalam bahasa yang lebih kampung, di bawah 'tempurung'.

Mengenai kritikan tebuk ini, saya juga terfikir ada orang ke yang kritik secara menyeluruh sesebuah filem itu. Yang saya tahu, mungkin tesis akademik. Kalau ada ia pasti membosankan. Ini seperti nasi lemak itu tadi, saya tak makan kacangnya sebab ianya terlalu lemak bagi saya, jadi saya tolak ke tepi. Kenapa pula saya perlu makan kacang itu? Kenapa? Kenapa?

Saya benar-benar percaya ada hubungan di antara susunan zarah di dalam molekul dengan susunan planet di dalam sistem suria. Skala yang begitu mikro ini di bawah sedar berkaitan dengan sesuatu yang lebih maha (bukan sekadar grafiknya sahaja). Malah saya pernah membelek-belek buku Laura Mulvey yang tajuknya saya tidak ingat, cuba menghuraikan makna imej pegun di dalam filem. Malah minah ini juga mengatakan bahawa filem tidak lagi seperti dahulu yang bersifat linear: kita kena tengok dari mula sampai habis. Sekarang ada pemain DVD dan Internet dengan kawalan, kita boleh tebuk dan tengok babak-babak yang kita suka, malah slow motion dan pause pun boleh. Mengetahui ini, padanlah setelah selesai menonton sesebuah filem itu, saya selalu ulang balik tengok babak-babak yang saya suka (seperti pause dan zoom in dada Eva Green dalam The Dreamers {2003}).

Semestinya jika makanan itu sedap, saya akan rekomen pada orang lain. Tapi kalau nasi lemak tadi itu basi, lepas makan sakit perut, saya akan tulis juga. Sebab saya tak nak kamu pun sakit perut, tapi kalau kamu nak makan juga, terpulang.


Ridhwan Saidi