Sabtu, Januari 16, 2010

Bertandang ke Residensi

Saya seharusnya bersikap jujur, mengakui bahawa sa-nya saya jarang sekali menonton filem dokumentari. Jikalau filem tempatan, antara yang masih setia mendekam dalam kotak memori saya hanya ada tiga: ‘the Big Durian’ (2003) (walaupun semi-doku), ‘10 Tahun Sebelum Merdeka’ (2007) dan ‘Romantika ISA (2005).’ Antara ketiga-tiga itu, saya memilih ‘the Big Durian’ atas kepelbagaian teknik penceritaannya, juga atas dasar berat sebelah, saya peminat Salleh Ben Joned.

Adapun saya terpaksa suka atau tidak, menambah satu lagi senarai menjadikannya empat, seraya mengemaskini filem dokumentari pilihan setelah menonton filem dokumentari ‘the Residency Years’ (2009) beberapa hari lalu. Dan natijahnya, ‘the Big Durian’ terjelepuk ke tangga kedua gara-gara karya terbaru Mansor bin Puteh ini.

Apa yang membuatkannya begitu ‘istimewa’ di balik kaca mata saya? Nah, jika itu yang mula-mula ditanya, sekali lagi, saya perlu mengakui, ia atas dasar ‘cinta pandang pertama,’ bukan dengan Mansor, tapi dengan filemnya, sudah pasti.

Filem ini dibuka dengan visual dari atas langit memandang ke bawah, ke arah kota Kuala Lumpur, tanpa memperlihatkan KLCC, tapi Stadium Merdeka. Sewajarnya dari visual permulaan ini, penonton patut cepat menangkap tujuan utama filem, bukan untuk meraikan sang pengilham menara berkembar itu, tapi pengilham stadium utama negara yang pertama. Visual tersebut secara tak langsung menjadikan filem ini begitu ‘muda,’ walaupun ramai yang tahu stadium itu terlalu ‘tua’ jika nak dibandingkan dengan KLCC.

Muda yang saya maksudkan ialah dari segi imejnya mengikut konteks filem tempatan masakini, kerana jika direnungkan betul-betul, banyak filem tempatan tak kira fiksyen atau dokumentari yang sentiasa berebut-rebut untuk memperlihatkan imej KLCC di awalan filem, konon untuk memaparkan imej Kuala Lumpur yang cukup moden dan metropolitan sekali. Paparan imej KLCC yang bertalu-talu ini akhirnya menjadikan imej tersebut terlalu remeh, dan menggambarkan pembikinnya kekontangan idea dan tidak tentu arah dengan apa yang mahu diceritakan. Sedangkan, dalam the Residency Years, pemilihan imej Stadium Merdeka dan Stadium Negara membuatkannya sangat fokus dan melontarkan penonton dengan idea awal tentang kesah yang mahu dikongsi oleh Mansor tanpa meracau-racau ke imej yang tak ada kena-mengena. Pendek kata, beliau cukup tahu hujung-pangkal dengan apa yang dikerjakannya.

Apapun, perkara yang membuatkan hati saya tertawan bukan visual itu saja, tapi muzik iringannya juga. Muzik ini berjaya membuatkan hati saya cair, muzik dari tiupan serunai ini. Hanya kerana muzik ini, saya begitu cepat melatah, langsung terus menyimpulkan filem ini sebuah hasilan yang cukup bagus walau ia baru berputar tak sampai lima minit. Saya cepat menangkap ‘jiwa’ yang mengalir dalam jasad filem ini lebih-lebih lagi setelah telinga semakin lesu disogok dengan muzik moden yang entah apa-apa, macam ‘muzik indie.’ Tiuapan serunai ini secara mendadak menjadikannya sangat segar dan tersendiri seterusnya menolak hingga roboh timbunan filem-filem tempatan kontemporari yang terlalu intim berpaut pada muzik moden secara melulu, demi kelihatan moden dan seksi. Dengan muzik pembukaan ini saja, melodik, garang dan agak mistikal, seperti dimandi bunga, Mansor menyegarkan kembali jati keMelayuan saya walau hakikatnya beliau sedang cuba berkongsi catatan dan pengalamannya tentang Tunku Abdul Rahman, perdana menteri yang pertama.

Selain itu, aspek lain yang cukup mengujakan ialah kejujuran filem ini. Kejujuran ini sangat terasa kebenarannya, bukan jujur yang dibuat-buat. Ia tidak ‘cuba’ berlaku jujur, sebaliknya ia memang jujur seadanya. Bukti paling nyata ialah kerja kamera yang bergoyang waktu Mansor tiba di rumah penginapan Tunku sewaktu menuntut di England. Menurut beliau, kamera yang dipegangnya itu memang bergoyang gara-gara perasaan terharu-nya di kala tiba di situ. Ia emosi tulen yang mengalir ke tangannya yang memegang kamera, yang menyebabkan kamera itu merakam bukan sekadar visual, tapi emosi Mansor yang sebenarnya di waktu itu.

Sekarang kita mengimbau kembali ajaran Dogme 95. Dogma teori ini ada menyebut tentang bagaimana penggambaran yang wajib dibuat di lokasi sebenar, tapi set dan peralatan sokongan tak perlu dibawa bersama. Hanya jika keperluan yang mendesak barulah set dan prop itu disediakan, dengan mengambil kira lokasi di mana peralatan dan set ini dapat disediakan. Ini antara taktik dan teknik pembikinan yang cuba merayakan kembali estetika kesejatian dan kejujuran dalam seni filem. Cuma resikonya, cara ini akan menyebabkan filem itu dibuat secara pretentious untuk kelihatan jujur kerana taktik dan teknik itu sengaja diada-adakan. Walaupun saya tak fikir Mansor cuba mengikuti teori ini, namun tindakan beliau hanya memegang kamera itu bagi saya lebih menarik. Menariknya adalah dari segi kejujuran beliau yang tidak buat-buat, seperti goyangan kamera tadi, yang telah memerangkap seterusnya memasukkan emosinya ke dalam bingkai tanpa dirancang sama sekali.

Saya juga menyukai sesi temubual yang diadakan, santai dan tak formal. Terutama sekali, temubual dengan Ebby Saiful. Gaya Ebby menjawab temubual ini bukan sekadar santai dan bersahaja, akan tetapi menunjukkan estetika sebenar percakapan orang Melayu. Ia bukan perbualan ala-ala ‘Discovery Channel.’ Seolah-olah, kalau saya sendiri yang pergi menemui beliau dan mengajaknya berbual, begitulah juga caranya bercakap. Lagipun, memang begitulah estetika sebenarnya orang Melayu bercakap ketika sedang menceritakan sesuatu.

Tayangan foto-foto lama yang diambil oleh Syed Abdullah Barakhbah iaitu sepupu dan anak angkat Tunku selaku photographer tak rasmi Tunku juga amat penting  kerana foto-foto lama ini adalah antara bahan asas kepada penceritaan dokumentari Mansor. Apa yang menariknya berkenaan foto-foto lama tersebut ialah, kerana kebanyakkannya diambil dalam suasana yang tak formal, ia memperlihatkan beliau juga adalah 'manusia biasa.'  Bukti lain, dalam rakaman temubual dengan Tunku, beliau mengakui yang beliau sendiri pernah tak mendapat bayaran dari hasil skrip filem tulisannya, err, ‘Mahsuri’ (1959) ke ‘Raja Bersiong’ (1968), saya pun dah lupa. Ini menjadikan visual filem sangat dekat dengan orang biasa seperti saya. Inilah antara perkara yang sangat saya hargai ketika menonton Residency Years.

Justeru, saya sangat pelik apabila mengetahui ada pihak yang mempertikai paparan Tunku dalam filem ini yang kononnya telah memperleceh ‘keagungan’ Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ negara. Sepatutnya, pada saya, kita lebih suka kerana berpeluang melihat kehidupan silam Tunku dari perspektif yang berbeza dan bukannya negarawan tipikal yang hidupnya berserabut dengan seribu macam protokol dan hal-hal politik!

Sebut tentang pengagungan tokoh, saya juga rasa ralat bila ada orang yang lebih sibuk dengan pengagungan seseorang tokoh. Tokoh, sehebat mana pun dia, tetap juga manusia. Apa nak sibuk sangat mengagungkan manusia sedangkan ada Yang Maha Agung di atas sana? Pengagungan tokoh dalam sesebuah filem dokumentari belum tentu menjadikan filem itu hebat pun, malah selalunya kerja ‘pengagungan tokoh’ ini sekadar jadi kerja membodek tokoh tersebut. Bila tokoh itu dikipas dibodek, filem itu berkemungkinan besar akan diangkat sebagai ‘filem yang bermutu’ dan ‘setaraf dokumentari luar negara.’ Filem sebegini akan dianggap tahu ‘mengenang jasa’ tokoh tersebut kerana itu wajib ditatang walaupun hanya berbekalkan cara penceritaan yang tipikal dan tiada idea-idea menarik.

Satu lagi perkara berharga dalam the Residency... ialah rakaman temubual dengan Tunku yang dirakam dengan kaset. Boleh dikatakan, rakaman kaset ini membentuk struktur penceritaan dalam the Residency Years. Jadi penceritaan filem banyak bertitik-tolak dari rakaman kaset ini, yang mana al-marhum Tunku banyak menceritakan kesah-kesah peribadi beliau yang lari dari soal politik seperti pembabitan beliau dalam penulisan lakon layar filem. Jadi ia membentuk penceritaan yang melompat-lompat, tak teratur mengikut perceritaan konvensional. Pergerakan cerita banyak bergantung pada apa yang diceritakan oleh Tunku melalui pita rakaman. Menarik juga, bila Mansor sengaja membiarkan audio asal pita kaset yang sebu ini, yang bermakna ia secara tak sengaja mengendong nilai-nilai sentimental. Kesebuan audio rakaman ini juga bagi saya adalah estetika tersendiri Residency Years yang cukup asli.

Secara keseluruhan, saya menganggap filem Mansor kali ini cukup berkesan sama seperti filemnya yang terdahulu, Seman (1986). Dalam masa yang sama, ia telah mengajak penonton untuk kembali kepada asas – back to basics, bukan sekadar dalam teknik perfileman, tapi juga dalam hal kehidupan secara amnya, tentang bagaimana manusia mangutur langkah hidup. Maksud saya, filem dokumentari ini dibuat berdasarkan sumber-sumber yang tersedia, baik dari segi kos, sumber cerita seperti foto-foto lama, pita rakaman, individu-individu yang ditemubual dan syot-syot yang diambil. Berdasarkan sumber-sumber ‘apa yang ada’ ini, Mansor telah menghasilkan sesuatu yang segar dan penuh kelainan. Ia bukan dibuat dengan meletakkan sasaran ‘untuk menjadi lain dari yang lain,’ atau ‘menghasilkan sesuatu yang baru’ tetapi ia dibuat dengan sejujurnya berdasarkan sumber ‘apa yang ada’ tadi.

Asas ketamadunan manusia melahirkan sesuatu ialah berpunca dari asas-asas utama yang tersedia. Misalnya jika kita memasak nasi goreng, asasnya mesti nasi, bahan perencah dan minyak untuk menggoreng. Namun seandainya tiba-tiba didapati nasi tiada, dan yang ada dan boleh menggantikan nasi adalah mee, maka hasil akhir yang boleh dijelmakan adalah mee goreng. Maka terjadilah benda baru, mee goreng, bukan nasi goreng. Inilah asas perkembangan benda-benda baru dan teori-teori baru dalam perkembanagan tamaduan manusia. Begitulah jua kesahnya dengan keaslian filem-filem Mansor bin Puteh.


Mohd Ikhwan Abu Bakar