Budaya konsumer global yang dianuti warga Malaysia hari ini, sedihnya semakin hari semakin sebati dengan jiwa kita. Sehingga akhirnya setiap pemikiran – termasuk yang melibatkan ilmu dan idea – terjerumus sekali ke dalam lembah kejahilan. Contoh paling ketara adalah dengan membandingtarakan nilai sesebuah filem yang ditayangkan di panggung itu dengan harga tiket. Misalnya, “membazir sepuloh ringgit aku aje tengok cerita tu!” atau “aku percaya hanya orang yang bayar tiket sepuloh ringgit berhak mengkritik sesebuah filem”. B.S!
Tradisi lesu ini berlanjutan sehingga ia menyelusup masuk ke dalam dewan Pancha Delima tempoh hari. Kedengaran suara-suara hati berbisik seperti, “filem macam ni nak tayang kat luar?” atau “penonton kat luar tu boleh terima ke filem macam ni?” dan seumpama dengannya.
Ini tidak betul. Buat seketika saya terkeliru di mana saya sedang berada. Di 'universiti', atau di GSC? (Selain imej rupabentuk bangunan ini yang menyerupai Carrefour).
Ada perbezaan ketara di antara filem pendek dan filem (feature). Selain skala, nilai komersial adalah perkara terakhir yang patut ‘difikirkan’ di dalam sesebuah filpen. Filpen adalah mengenai idea semata-mata. Filem pendek Saw atau Alive in Joburg misalnya, adalah mengenai idea. Dari (idea) filem pendek ini barulah ia seterusnya dikembangkan ke dalam bentuk feature – iaitu siri Saw (2004-2009) dan District 9 (2009) – lalu dikomersialkan dan diniagakan. Dalam negara kita ada Anak Halal (2007).
Tidak ada filem pendek yang dikomersialkan (jika ada, ia sukar menjana keuntungan). Tidak pernah juga kita dengar istilah 'filem pendek box-office'. Hanya mat/minah skema saja yang akan kata, “aku student filem boleh la faham sikit-sikit filem pendek ni, tapi penonton kat luar tu macam mana?”
Filem pendek tidak akan menemui penonton a.k.a konsumer di luar, ini hakikat. Aneh, wujud empati di dalam diri mereka terhadap ‘penonton luar’. Filem komersial di panggung akan mencari mangsa mereka melalui marketing seperti iklan, road tour dan sebagainya. Sebaliknya filem pendek pula terbalik, ia perlu dicari oleh penonton itu sendiri. Jadi mustahil sesebuah filem pendek itu ditayangkan di panggung (kena bayar tiket) ataupun masuk saluran tv utama.
Di sini, boleh kita klasifikasikan golongan penonton yang ada di Malaysia kepada dua: konsumer (selain ilmu) dan tetamu. Penonton konsumer ini adalah seperti mereka yang mendangok di kedai mamak. Ada client, ada server. Duit bertukar menjadi Maggie goreng, teh tarik, cheese nan (atau apa sahaja yang client/konsumer/pelanggan itu mahukan). Ianya accessible oleh orang awam, kebiasaannya di lot hujung. Konsumer yang datang ini sudah tahu apa yang mereka mahukan, sebab itu filem-filem komersial predictable – kedai mamak dan teh tarik cukup sinonim, common sense!
Penonton tetamu pula ibarat mereka yang melawat rumah orang lain. Tidak wujud urusniaga pertukaran duit. Dapat cucur udang, air sirap, atau laksa Johor bergantung kepada tuan punya rumah (dan nasib, bagi yang percaya). Ia tidak boleh dijangka dan bukan sebarang orang boleh access. Inilah budaya filem pendek dan filem-filem art house.
Biadap apabila rumah yang menayangkan filem-filem pendek ini apabila ia dikunjungi oleh mereka yang berperangai konsumer.
Ridhwan Saidi