Isnin, Ogos 02, 2010

Kenapa Teater Bangsawan Tiada Nilai Komersial?

Ini adalah respon spontan kepada entri Vitamin berkenaan nilai-nilai komersial dalam teater bangsawan. Selaku seorang yang tak pernah melihat teater bangsawan, ini bukan nak melawan, tapi sebagai medan untuk kita sama-sama belajar. Esei panjang Vitamin itu adalah respon kepada sepotong ayat saya iaitu, "teater bangsawan tiada nilai komersial" lol.

Melalui tulisan Vitamin baru saya sedari yang teater bangsawan ini bentuk dan isinya pro-komersial. Tujuannya adalah untuk menghiburkan orang ramai, ya kita faham. Tetapi saya percaya walau telus mana pun kekomersialan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi, akhirnya NILAI komersial bergantung kepada penggunanya iaitu audiens.

Biar saya kemukakan dalil-dalil saya pula kenapa teater bangsawan tidak punya nilai komersial pada masa kini. Saya bercakap dalam konteks terkini kerana ia asalnya berkenaan filem Dilema Panggung (2010).

Seperti yang saya tulis tadi, 'nilai' komersial bergantung kepada 'audiens'nya. Siapakah audiens mereka ini? Sebelum merdeka, golongan kelas menengah belum wujud, oleh kerana itu hiburan "berkilau-kilau" diperlukan oleh mereka yang pada ketika itu bertani. Sekali sekala mereka perlukan hiburan eskapis yang dimobilkan oleh Tauke Panggung ke kampung-kampung.

Kini selepas merdeka, golongan kelas menengah mula berfungsi sebagai pengguna/konsumer utama. Golongan kelas menengah tidak sama seperti masyarakat tani. Mereka ada kebebasan untuk memilih hiburan jenis apa yang mereka mahu. Bukan lagi hiburan cari audiens, kini audiens yang cari hiburan. Ia lebih terbuka (lebih-lebih lagi di era globalisasi ini) dan dalam masa yang sama, konsumer (model baru) ini saya sedari tidak lagi ambil peduli tentang teater bangsawan. Saya percaya 99.9% rakyat Malaysia zaman ini tidak tahu tentang teater bangsawan. Logiknya masih adakah orang yang 'terhibur' menonton teater bangsawan, kini? Main Facebook lagi terhibur kot.

Ini ada sedikit kaitan dengan PGL yang diklaim Vitamin sebagai bangsawan versi baharu. Bagi saya PGL tak ubah seperti Laksa Shack, 1901, JusMate5 dll. Ianya adalah satu bentuk PENJENAMAAN. Yang punya nilai komersial adalah jenama "PGL" itu, bukan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi. Ini berbeza dengan muzik indie, ia wujud sebagai bentuk dan isi, jenama-jenamanya seperti kugiran Hujan yang berpayung di bawah.


Ridhwan Saidi