Selasa, September 23, 2008

Mari Berkung fu

Saya ini selalu berlagak liberal, lepas bebas. Anti ortodoksi. Namun hakikatnya, mungkin kelemahan, bahawa saya ingin agak konvensional dalam bab-bab kesenian musik dan filem. Saya lebih senang dengan unsur - unsur ‘lapuk’ – tradisional dalam kedua-dua cabang seni ini. 

Makanya, saya lebih selesa menonton filem-filem sekolah lama daripada menonton filem-filem animasi yang sarat dengan kesan khas ‘CGI’. Saya cukup menyampah dengan filem Transformers. Serius.

Musik pun sama. Saya jauh menyukai kugiran Misfits daripada err…apa nama…kugiran yang suka romen-romen tu? Itu pasal, saya tak pernah lagi menonton ‘Kung Fu Panda’. Tapi saya dah tonton ’Kung Pow’, dua kali. 

Bercakap tentang kung fu, lalu terperasan pula saya dengan adegan-adegan bergaduh dalam filem-filem atau drama tempatan. Perasan tak (jangan), apabila ada adegan bergaduh, pelakon-pelakon ini semua akan mula berkung fu?

Hatta, kalau kamu masih ingat, dekad 90-an, banyak drama-drama cerita purbawara dihasilkan. Dalam drama-drama ini, walaupun para pelakonnya mengenakan busana tradisional Melayu, lengkap bertanjak dan bersampin, sisip keris di pinggang lagi, tapi apabila tiba adegan ’berpencak’, akhirnya mereka kantoi. 

Entah di mana silapnya, mereka tak pasal-pasal pandai berkung fu, bukan bersilat. Walaupun pada mulanya mereka ini, para pelakon, kelihatan telah memasang kekuda masing-masing. Apa kejadahnya mereka ini buat?

Adakah adegan bersilat tak cukup hebat kalau nak dibandingkan dengan kung fu? Tak cukup dramatik ke? Adegan kung fu terbaik, saya rasa masih tetap kepunyaan Bruce Lee. Tapi dia dah mati loo...

Semua aksi berkung fu ini pada saya, sangat-sangatlah ’superficial’ dalam konteks filem atau drama tempatan. Ia langsung mencacatkan unsur realism dalam filem, terutamanya. Senang cerita, ia tampak terlalu banal. Sudahlah filem itu sendiri memang dah cacat!

Realitinya, apabila bergaduh, kita akan main belasah saja. Asal puas hati. Kan?

Filem Melayu yang memaparkan aksi berpencak yang cukup berkesan bagi saya ialah filem Hang Jebat. Watak Hang Jebat diperan oleh Nordin Ahmad, manakala arwah M. Amin memainkan watak Hang Tuah. Adegan kemuncak filem, iaitu melibatkan peristiwa pergaduhan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat, sarat dengan unsur realismanya yang tersendiri. Setiap babak bersilat dipertontonkan dengan kemas dan sangat mendebarkan, yang mana kedua-dua pendekar ulung ini saling tikam-menikam keris diselangi dengan sesi borak-borak yang kelihatan terlalu serius. Ye lah, tengah bergaduh katakan...Tiada langsung babak flying kick dalam filem ini. 

Dalam filem ini juga, saya benar-benar dapat menjiwai gelodak jiwa kedua-dua pendekar dalam konteks Kemaluan...eh, Kemelayuannya yang tersendiri, apabila mereka berpencak. Saya dapat bayangkan, ’oh begini rupanya kalau orang Melayu dulu-dulu bergaduh.’ Klasik.

Malangnya saya akan ’miss’ perasaan ini kalau menonton Puteri Gunung Ledang.

Ada satu lagi filem yang boleh dijadikan contoh iaitu sebuah filem dari seberang. Filem yang saya maksudkan berjudul Mengejar Matahari. Disutradarai oleh Rudy Seodjarwo, filem ini berkisar tentang kehidupan sekumpulan anak muda yang membesar di perut kota Jakarta. Di celah kekalutan hutan konkrit yang menyerabuti kota gede ini, timbulnya keruwetan dalam persahabatan mereka akibat beberapa salah faham, antaranya soal merebut seorang cewek. Ah..baasik!

Jalan mudah dipilih, dua sahabat antara mereka berempat memilih untuk beradu tenaga. Lumrah bagi seorang pria sejati, kononnya. Konflik ini tak habis di situ, malah berlarutan sampaikan salah seorang dari mereka berempat langsung menemui ajal.

Tapi tidak, saya tak mahu membuat ulasan filem ini. Saya mahu tekankan tentang babak ketika Fauzi Baadila dan Winky Wiryawan ini bergelut di tengah kelebatan hujan. Hujan di sini sangat signifikan, melebatkan lagi dramatisnya pertelingkahan mereka. Paling penting, tiada sebarang aksi kung fu dilakonkan oleh mereka. Pergaduhan mereka dimulai dengan aksi tolak-menolak dan ini sangat real. 

Sebelum itu, yang ini paling real apabila kedua-duanya telah menanggalkan selipar Jepun masing-masing sebelum bergocoh. Saat ini kamera telah menghala ke bahagian kaki pelakon. Adegan ini juga amat relevan, kerana logiknya di sini, ketika itu bumi yang mereka diami disirami hujan. Maka, jalan tempat mereka bertarung menjadi licin dan becak. 

Kalau mereka terus memakai selipar, alamatnya mereka dah terpelecok sebelum sempat bertarung. Ini benar-benar anti hero! Lagipun, dengan berkaki ayam, mereka akan lebih bebas bergerak. Tak gitu?

Idea ini cukup untuk menebalkan unsur-unsur realisma dalam filem ini. Ia sungguh berkesan sekali tanpa melibatkan adegan kung fu murahan. Paling penting, ia sama sekali tidak mencacatkan naratif filem ini malah, berjaya menimbulkan unsur estetikanya yang tersendiri.


Mohd Ikhwan Abu Bakar