Jumaat, September 26, 2008

Berakhir Sudah...

Hadapi Saja


Relakan yang terjadi takkan kembali
Ia sudah milikNya bukan milik kita lagi
Tak perlu menangis tak perlu bersedih
Tak perlu tak perlu sedu sedan itu
Hadapi saja
Pasrah pada Illahi hanya itu yang kita bisa
Ambil hikmahnya ambil indahnya
Cobalah menari cobalah bernyanyi
Cobalah cobalah mulai detik ini
Hadapi saja
Hilang memang hilang wajahnya terus terbayang
Berjumpa di mimpi
Kau ajak aku 'tuk menari, bernyanyi
Bersama bidadari malaikat dan penghuni surga 

Iwan Fals, Suara Hati (2002)


Malam Selasa lepas, saya telah terima satu panggilan. Nama yang tertera di skrin telefon tangan saya membuat hati ini sedikit girang. 

“Hello!“, saya sambut. Girang.

Tapi bukan – setelah senyap untuk beberapa saat – bukan suara beliau yang saya dengar di hujung talian. 

Dan sesudah itu, sesudah mendengar ’sepatah dua kata’ dari suara asing di muncung telefon, saya hanya mampu tergamam.

Agak pelik, entah mengapa semenjak dua menjak ini saya sering diduga. Tembok ego saya mula meretak. Hati saya dipenyek-penyek. Lepas satu, satu. 

Tapi kali ini memang tersangat berat. 

Rasanya tak cukup lama saya mengenali beliau. Baru lagi, rasanya. Dan kami memang asalnya tak rapat. 

Saya hidup dengan ego tinggi saya. Pedulikan orang lain. Pun begitu, saya memang sentiasa mengharap agar bertemu dan mengenali insan-insan yang berkualiti. Insan-insan yang cuba mengerti – kalau tak sungguh sekalipun – akan erti kehidupan. Malahan saya sendiri hingga kini masih keliru.

Bukankah mencari permata itu lebih payah dari kaca?

Ditakdirkan, atas dasar cita-cita yang sama, kami telah bertemu. Segalanya bermula di Sri Iskandar...

Telah menjadi resmi hidup saya, apabila saya memasuki gelanggang kehidupan yang baru, saya akan terlalu berhati-hati. Saya tak dengan mudah menerima sesiapa saja menjadi sahabat, yang sebenar-benarnya sahabat bagi saya. Saya ini punyai tabiat menilik kehidupan manusia lain dengan agak kritikal. 

Umpama menatap sebingkai cermin, sesiapa yang kita saksikan di sekeliling kita adalah refleksi kepada siapa diri kita yang sebenarnya. 





You’re what you see.


Dan setelah melalui beberapa fasa penelitian yang ketat, saya yakini diri yang beliau punyai sesuatu. Namun, saya tak berapa ingat, atas faktor spesial apa yang buatkan kami mula rapat. 

Apa yang pasti, kami sama-sama meminati filem, musik dan estetika kehidupan secara amnya. Oh, hampir terlupa, kami juga sama-sama membenci Manchester United. 

Ironinya, kala itu kami seharusnya menekuni ilmu senibina.

Ya, atas dasar berkongsi minat yang sama – mungkin – membuatkan saya dan beliau mulai rapat. Ada sikit masa terluang, walau kami sentiasa dihimpit kesibukan, kami akan bersembang. 

Dari hal-hal nyamuk sampai ke soal kelambu.

Kami, termasuk Jhebat, mengecapi kebebasan, mengkritik apa saja semahunya. Inilah kegilaan kami, yang kami rasakan, tidak dipunyai ramai rakan yang lain. 

Kami selalu ’berduka’ atas kebobrokan kampus. Kami sering letih dengan korupsi sang pemerintah. Kami juga selalu bergembira menikmati char kwe teow kerang terbaik di dunia selepas hujan. 

Bukankah mencari permata itu lebih payah dari kaca?

Suatu ketika, kerana mahu ke Ipoh, saja-saja, konon mahu melepas tension usai sesi crit, kami meminjam motosikal kokak, akibat tak pandai menunggang, saya jadi pembonceng, beliau tak punya lesen, lalu kami ditahan ’abang berbaju biru’, di Menglembu, yang pada mulanya, beliau menggelabah, saya tak mampu menahan ketawa, kerana beliau mahu berpatah balik, saya bantah, lalu kami terjerat di bawah pohon rendang, terpaksa mendengar syarahan percuma, tapi kami lepas akhirnya, setelah ditanya,“kau ni orang PAS ke UMNO?“ lalu “UMNO“, jawab beliau yang berjanggut lebat, ringkas tapi padat, penuh makna tersirat, setelah beliau ’berjanji’ mahu membuat lesen, dan masa pulang, kami dibantai hujan, kami kesejukan, di atas motor kokak pinjaman, dan itu hanya secebis memori, yang terlipat kemas dalam lipatan masa silam, antara tragedi yang kami anggap sekadar komedi.

Ya, sememangnya kami selalu bergelak ketawa. Bukankah ketawa itu ubat yang paling mujarab?

“Hidup ni mudah, orang je yang buat susah“, kata Eman Manan dalam filem Buai Laju-Laju.

Saya mengaku, selalu sangat saya ’mengutuk’ beliau tapi yang sebenar-benarnya bukanlah kutukan, sebaliknya gurauan. Gurauan yang bernada ganas. Ini semua mujarab untuk membangkitkan ghairah ketawa kami. Setiap usikan saya bukanlah serius. Saya langsung tak memaknakannya. Gurauan nihilis, barangkali.

Paling penting, beliau jenis yang tak kisah.

Petang kelmarin , saya di rumah beliau. Tak, saya tak bersembang dengannya, tapi adiknya. 

Lalu adik kesayangan beliau melontar soalan kepada saya, “betul ke dia tak boleh sebut ‘r’?”

Saya agak tersentak, pada mulanya.

Lalu saya balas, ”takdelah. Saja main-main. Aku dengan dia selalu gurau. Kalau bukan sebab gurau-gurau yang macam tu, belum tentu kitaorang boleh rapat.“

Saya percaya ini jawapan yang jujur. Saat itu juga saya berpura-pura menayang ekspresi muka stoic, emotionless, cool bastard. Walhal sebetulnya saya amat sebak. 

Dan malam Selasa itu, setelah melalui hari-hari yang kusam, setelah segala harapan semakin kelam, masa depan menjadi samar, setelah lelah bertarung dengan ketumbuhan, setelah persahabatan kami melalui suka duka memanjat tingkat sejati, dalam tempoh hayat yang tak sempat mencecah suku abad, beliau akhirnya pergi untuk selama-lamanya…

Hilang sudah ‘sebutir permata’ berjiwa besar yang tak sempat digilap sepenuhnya.

Bukankah mencari permata itu lebih payah dari kaca?

Segala harapan hilang sekelip mata, persahabatan kami terputus. Saya yang paling terkilan, kerana janji saya untuk bertemunya, yang beberapa kali tertangguh, jika ada kelapangan, tak sempat saya penuhi. 

Harapan tinggal harapan. 

Kata beliau dalam antara teks mesej terakhir yang saya terima darinya, ”kalau jadi pergi, beritahulah aku. Boleh jumpa.” 

Dan saya balas, “that’s for sure, yob!”

Sememangnya saya memasang niat ke Terengganu untuk menemui beliau, semata-mata. Lama dah...

Namun seperti saya sebut tadi, harapan tinggal harapan. 

Dan saya telah gagal. Pernah terlintas di minda nakal ini, yang kalau saya tak sempat bertemu lagi ketika hayatnya, barangkali saya pasti menemuinya juga di lain kondisi yang penuh kontradiksi.

Mainan fikiran nakal ini akhirnya betul-betul terjadi. What the

Sebelum saya tinggalkan nota ini, semalam teringat saya akan satu perbualan saya dengannya. Yang ini sangat-sangat bermakna, menyentap perasaan saya. Beliau ada berpesan, dalam nada separa serius, yang seperti biasa, saya anggap gurauan ringan, katanya, “nanti kalau aku mati, kau buat la filem pasal aku…”

Mengenang semula katanya itu, saya sedar kelopak mata ini bergenang, basah setelah bertahun-tahun ia kekeringan.

Sahabat saya yang seorang ini, Jimmy, tak akan ada pengganti. Sesungguhnya, Tuhan lebih menyayanginya.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Ketika ini saya tak lagi menulis sambil ketawa. Saya tak mampu :(