Hari ini ketika hendak menghidupkan vespa saya, sesuatu yang ajaib berlaku. Vespa saya hidup, ya enjinnya hidup. Tahu kenapa ia ajaib? Kerana kali terakhir saya hidupkan enjin vespa saya masa harga minyak belum naik awal tahun dulu. Menakjubkan, sekali choba tarik choke terus saja ia hidup. Kental betul vespa saya ini.
Melihatkan vespa saya yang satu ini, teringat saya semasa kerja di Kuala Lumpur dahulu. Ada dua fasa semasa saya tinggal di Puduraya dan bekerja di Brickfields. Fasa pertama saya tidak berkenderaan, saya menjadi pejalan kaki tegar, oldskool. Tiap-tiap hari saya naik bas berhampiran Kotaraya, kadang-kadang bus stand Klang. Pagi lalu Central Market, balik lalu Petaling Street, ikut mood. Saya bukan perokok untuk membuang masa journey jalan kaki saya, sebaliknya saya memerhati. Jadi, jika ada luck, saya akan ketemu kejadian-kejadian pelik.
Anda pernah menonton Majidee? Sebuah filem pendek oleh Azhar Rudin. Saya suka, kerana ia ‘betul’ Kuala Lumpur. Entah bagaimana saya terasa dekat. Tapi dalam konteks K.L, benda yang terjadi dalam Majidee itu normal bagi saya. Dan disebabkan saya memang tinggal di Puduraya, secara tak langsung saya cam orang-orang berpewatakan pelik.
Saya bukan kaki wayang atau filem, tapi saya pasti banyak filem-filem menarik yang punya karakter berpewatakan aneh dan pelik. Untuk wujudkan watak-watak eccentric seperti Amelie Poulain, rasa saya anti-sosial saja yang faham. Mengikut ingatan saya yang tak seberapa ini, akan saya catatkan beberapa jenis orang yang saya ingat.
Puppeteer. Ini antara orang yang paling saya minat. Dia akan muncul waktu malam bermain puppet yang punya 4 kaki berwarna biru. Memakai beret dan coat hitam di malam yang sejuk. Satu tangan lagi hisap rokok sambil minum teh tarik duduk di Estana.
Penjual kacamata Groucho Marx. Ini saya syak puppeteer itu tadi tapi tak pasti. Bukan menjual sebaliknya buat hal sendiri seperti berdiri statik dan duduk membatu. Berpakaian serba hitam dan semestinya berkaca mata Groucho Marx. Kadang-kadang ada di bawah jejantas.
Transvertite with big boobs. Saya tak tahu mahu namakannya apa, tapi dia agak tua dan seorang loner. Pakaian? Dress in high heels. Biasa duduk di kaki Menara Maybank, juga selalu merayau-rayau.
Loner. Seorang cina dalam lingkungan 30an kesunyian yang tak habis-habis ajak saya keluar makan bersama. Tonton bola di bilik hotelnya. Dan tidur di hotelnya. Dia kerja sebagai receptionist hotel di Petaling Street.
Sekumpulan pemandu teksi india berambut mullet. Well, anda boleh bayangkan bukan. Memakai seragam putih pemandu teksi dan berseluar hitam serta berantai dan bersubang emas.
Jogger. Seorang caucasian tua berambut panjang, perang. Memakai sut berjogging era 80an, berseluar kecil dan ketat serta singlet. Pagi-pagi akan berjogging ulang-alik depan Puduraya atas jalanraya.
Singh. Agak tua dan setiap hari dari pagi ke petang duduk mengawal kawasan hostel saya ditemani anak-anak muda Singh. Dia juga yang menjaga vespa saya (nanti.)
Satu tangan. Seperti Singh, tapi seorang india yang kudung tangannya duduk mengawal kawasan 7-Eleven. Hotel di atas punya cyber café di mana tempat saya menggunakan internet sambil cuci mata melihat gadis-gadis backpacker eropah.
Pengutip botol plastik (environmentalist sebenar bagi saya.) Muncul di waktu malam menyelongkar tong-tong sampah atau sampah yang bersepah di atas jalan. Pakaian? Memakai plastik sampah hitam sebagai baju, berseluar pendek dan bertopi seperti tudung saji.
Mereka-mereka ini adalah karakter-karakter kegemaran saya walaupun banyak lagi watak-watak lain seperti drug dealer, pickpocket, homeless, pemuzik buta, baskers, penjual DVD Petaling Street, bapak ayam, gangster, pelacur, polis, backpackers, penjual ubat kuat dan lain-2 yang saya rasa biasa.
Fasa dua pula bila saya mula menggunakan vespa saya merentas hutan konkrit Kuala Lumpur. Sebenarnya saya belum lagi berkesempatan tonton Janji Joni dan Alfie, rasanya saya patut cari dengan lebih gigih DVDnya. Yang saya pernah tengok hanyalah Quadrophenia, tapi saya tak minat dengan aksesori yang berlebihan.
Disebabkan saya juga seorang yang cerewet dan lorat, saya hanya minat dengan form-form awal vespa iaitu yang bentuknya bulat dan curvy. Tidak sesekali pada lambretta atau vespa-vespa petak.
Vespa saya ini pun satu, chassis-nya typical Super, tapi penutup enjinnya dari versi Jobot (yang sampai sekarang saya tak tahu apa maksudnya.) Yang pasti, form-nya bulat. Selepas beli dari Negeri, terus saya cat dengan satu warna yang melambangkan jiwa saya.
Malah arwah Jimmy dulu pernah berkata bahawa warnanya tenang dan matang, tidak menarik perhatian seperti merah, kuning atau berbelang-belang. Maaf, saya bukan attention seeker ya. Magisnya ia berwarna maroon di siang hari, tapi pabila malam di bawah sinar lampu jalan, ia menjadi keunguan.
Saya percaya vespa di negara kita ini satu bentuk sub budaya, terutama bagi kawasan luar bandar. Biasanya mereka akan konvoi ramai-ramai sampai ke Thailand. Saya tak pernah campur gaul dengan mereka ini, buat hal sendiri saja. Tapi biasanya pasti ada stranger yang tanpa segan silu berborak dengan saya pasal vespa. Contoh, tiap kali di traffic light depan C.M.
Di Brickfields, ketika sedang makan sorang-sorang, tiba-tiba duduk seorang lelaki baya saya di depan. Saya rileks saja, sebab situasi makan sorang dan ada orang aneh join duduk ajak borak sudah menjadi rutin bagi saya. Rupa-rupanya dia ini into vespa juga, bertanyakan pasal vespa saya. Lawaknya itu kali pertama, dan itu juga kali terakhir saya berjumpa dengannya.
Di Seksyen Satu semasa saya belajar juga ada situasi menarik. Saya hantar ia ke bengkel untuk tukar kabel klac, sambil itu saya pergi merayau cari makan. Balik ke bengkel berkerumun orang-orang tua melihat vespa saya. Bila dilihatnya saya yang bermuka jambu ini tuan kepada vespa itu, lantas mereka berkata,
“ingatkan otai mana punya vespa tadi, budak rupanya.”
Saya rasa mereka kagum sama citarasa saya tentang form dan pemilihan warna yang moden (dalam erti kata sebenar). Ok, saya rasa saya perasan. Kemudian mereka minta nombor telefon saya, mahu tahu kedai mana yang cat vespa saya.
Dulu semasa di Bota, para gadis menjerit memanggil saya sk8er boi, yakni judul lagu Avril Lavigne yang buat saya sakit hati tiap kali ingin meluncur. Nanti bila saya sambung belajar nanti, kalau ada sesiapa jerit panggil saya Que Haidar Selamat Pagi Cinta, saya tumbuk.
“Tak guna punya budaya popular!”
"(damn you pop culture!)"
Ridhwan Saidi