Isnin, November 24, 2008

Retorika

Selain dari ungkapan ’kritik’ dan ’urban’ yang kerap terbabas dari pemahaman sebenar, ada satu lagi ungkapan yang seringkali terlajak iaitu ’retorik.’

Di negara ini, saya selalu terperasan, istilah ‘retorik’ itu seakan membawa konotasi yang negatif. Sebagai contoh, seorang politikus akan dituduh hanya bijak beretorik tentang kebebasan tapi yang sebenarnya lapar kuasa. Ya, mungkin betul. Dan konotasinya seakan mesti berbau negatif.

Tapi, andaikata ada di antara kita yang berkata tentang hal yang muluk-muluk, seperti seseorang yang berkata mahu menawan puncak Everest dan dia benar-benar melakukannya, tidak pula kita tuduh orang itu beretorik.

Dan dia tidak kita tuduh sebagai beretorik hanya kerana dia ’benar-benar’ mengotakan niatnya itu. Walhal yang sebenarnya, saat dia berkata mahu menawan Gunung Everest itu, dia telah pun beretorik!

Justeru, ungkapan retorik langsung tidak mengendung apa-apa nilai, baik atau buruk, positif atau negatif melainkan ia hadir sebagai unsur penyataan yang menyokong sekaligus cuba memberi keyakinan ke atas sesuatu objek/subjek, agar objek/subjek yang dimaksudkan itu menjadi lebih terang, jelas dan jauh meyakinkan. Maksud saya, dalam kata lain yang lebih jelas, retorik itu adalah ‘the art of persuasive.’

Zaman Greek dahulu, golongan pre-Socratic yang lebih dikenali sebagai ‘Sophists’ telah mempraktikkan konsep retorik dalam hal-hal penyebaran ilmu pengetahuan dan kesenian sebelum Plato menolak konsep retorik ini atas alasan retorik belum tentu membawa kebenaran yang menyeluruh, dan lebih banyak mengapung pada kepetahan berkata-kata.

Namun begitu, retorik diangkat semula oleh Aristotle ke tempat asalnya dengan hujah bahawa retorik boleh menjadi penghubung kepada dialetik dalam hukum perbincangan. Beliau juga mengiktiraf bahawa retorik ini adalah seni awam (civil art).

Hakikatnya, retorik terus relevan hingga ke hari ini. Katakanlah, kerusi IKEA yang kamu beli berwarna kuning. Kerusi itu belum tentu menarik perhatian kamu jika ia sekadar objek yang menampakkan kerangka kerusi, kerana hanya ingin memberi idea bahawa objek itu adalah ’kerusi.’

Namun, dengan adanya warna kuning, kerusi itu telah kelihatan menarik. Kuning di sini seperti ajinamoto, berperanan sebagai penambah perisa. Warna kuning telah meyakinkan kamu bahawa kerusi ini menarik, bukan hanya disebabkan bentuknya saja. Dan kamu membeli kerusi yang berwarna kuning itu juga mungkin disebabkan kuning warna kesukaan kamu. Andainya kerusi itu berwarna merah, belum tentu kamu akan terpikat. Di sini, jelas retoriknya adalah warna kuning, bukan sekadar bentuk asal kerusi tersebut.

Paling penting yang perlu difahami ialah, hampir semua benda, unsur, elemen, teks, objek mahupun subjek tak terkecuali dari retorik sampaikan warna seluar dalam yang kamu pakai itu juga adalah retorik.

Kita beretorik sehari-hari secara sedar atau tanpa sedar. Ketika saya bercakap, tanpa saya sedari saya telah beretorik. Waktu saya menulis ini pun, saya sedang mempraktikkan konsep retorik. Saya cuba meyakinkan kamu bahawa apa yang saya tulis ini bukan saja benar belaka, tapi juga sangatlah best gila, kononnya.

Kerana itu, saya bersetuju dengan hujah Aristotle. Seni beretorik ini boleh kita praktikkan secara bebas, tanpa sebarang kos, jika mahu. Retorik tak memilih bulu, tak kira kamu seorang ahli politik, designer, tukang masak, penyanyi, pelukis, pensyarah, posmen, penjaja, waima penganggur sekalipun.

Terlanjur bercerita tentang kesongsangan makna, saya ingin mencubit manja tentang konsep ’kritik’ mengikut kefahaman songsang saya pula.

Pada saya, kritik itu seharusnya sentiasa subur jika kita mengimpikan satu masyarakat sivil yang berbudaya tinggi lagi hebat. Kritik tak seharusnya menjadi belenggu penghalang kepada sebarang praktis kebebasan ekspresi. Saya melihat kritik sebagai penyambung sesebuah wacana atau diskusi yang sihat.

Berbeza dengan konsep ’ulasan’, ’kritik’ hanya terjadi apabila pengkritik dapat membawa keluar teks/subteks/visual dari sebarang medium/platfom untuk dikupas/diperbahas/diperdebat secara kritis lalu disimpulkan dengan pendapat sendiri.

Dalam konteks filem, kritikan sebagusnya terarah kepada pengungkapan soal teks atau subteks sesebuah naskah. Atau dalam kata lain, falsafah atau makna di sebalik cerita di dalam filem itu yang perlu diselak lapis demi lapis, dari setiap simbolisme atau metaforanya. Saya juga tak berapa berkenan jika kritikan terlalu menitik beratkan soal teknikal kerana untuk saya, bab teknikal itu semua boleh diselesaikan sewaktu sesebuah filem itu diulas.

Saya secara peribadi pula, merasakan bahawasa-nya saya tak pernah mengkritik filem dalam erti kata sebenar. Saya percaya, kritikan filem mempunyai asas-asas disiplin kritikan yang tertentu yang saya tak pernah tahu. Seingat saya, jika pun ada saya mengkritik filem, itu sekadar cubit-cubitan daripada seorang amatur, bukannya betul-betul mengkritik keseluruhan filem itu dengan lebih serius.

Disebabkan saya ini terlalu amatur, saya hanya mampu menyatakan pendapat saya dengan menebuk-nebuk babak-babak di dalam sesebuah filem itu secara liar, dan tak pula saya huraikannya secara mendalam. Semuanya hanya main bedal saja.


Mohd Ikhwan Abu Bakar