Di hotel di ibukota, saya telah dijemput ke satu upacara. Upacara ini sejujurnya bosan, hanya sekadar meraikan seseorang itu mendapat title doktor di depan. Selepas itu seperti biasa, ada makan-makan di dewan sebelah. Fine dining kata mereka. Saya sentiasa bersifat skeptikal dengan rasa makanan hotel ini. Bagi saya, orang-orang berduit ini tiada citarasa. Mereka terpaksa membayar dengan jumlah wang yang besar untuk beli citarasa. Bosan.
Peliknya dalam bosan-bosan, muncul satu keghairahan. Di depan saya kelihatan dua gelas wine, satu besar, satu lagi kecil sedikit. Saya percaya satu untuk red wine dan satu lagi white wine. Inilah masanya untuk saya cuba rasa seni wine ini. Saya bukan jenis yang ke kedai dan kemudian beli saja sesuatu itu dengan wang ringgit. Saya percayakan takdir, dan hari ini takdir telah menemukan saya dengan dua warna wine ini. Saya senyum panjang :-)
(Saya mula gila bayang pada sensasi aftertaste yang bakal saya lalui.)
Kemudian, dua orang waiter datang dan mula menuang wine-wine ini di depan saya. Kami duduk dalam bulatan, jadi mereka akan datang sedikit demi sedikit ke arah saya. Tiba-tiba ada lagi seorang waiter sedang tunduk di belakang saya sambil berbisik,
“any juice sir?”
Sambil mata masih melekat pada botol white wine (konon cuba membaca jenama apa,) saya menjawab,
“err, apa-apa pun boleh.”
Kemudian diambilnya kedua-dua gelas wine saya.
Apa hal ni? Hati saya mula marah. Hanya gelas saya seorang saja yang diambil dalam dewan itu. Ini buat saya bingung. Kenapa prejudis pada saya? Adakah kerana wajah saya terlalu young, innocent dan cute? Masalahnya gelas saya diambil tanpa bertanya. Tak guna punya waiter! Sebut nama tiba-tiba dia muncul sekali lagi dari belakang, lalu diletakkan segelas air di depan saya. Padan muka, panjang umur.
Selepas itu makanan mula tiba. Riuh satu dewan bergembira dan berseronok meraikan makanan dan wine-wine mereka dihiasi tawa ngilai golongan borjuis ini. Bagai festival. Malah ada satu barrel Heineken di meja depan kepada mereka yang into beer. Dalam suasana meriah lagi bingit ini, anehnya ada seorang budak yang tidak puas hati dengan layanan yang diberikan. Dia duduk diam sambil termenung melihat air spesial-nya,
jus oren!
Ridhwan Saidi