Pada suatu malam, lebih kurang 2-3 hari lepas, saya telah terjaga dari tidur yang awal kerana kelaparan. Sudah menjadi kebiasaan saya di rumah apabila makan tentu sahaja akan berada di depan kaca TV, sudah menjadi tabiat. Menukar-nukar siaran TV saya tertarik untuk mendengar temubual bersama Prof. pakar filem kita (kononnya) di Astro Awani. Walaupun rancangan itu hampir di penghujungnya namun mungkin aura si Prof tersangat kuat untuk saya endahkan (tapi saya dapat dengar auta sahaja).
Sebaik saja saya membuka siaran Astro Awani saya mendengar kata-kata si Prof bahawa dia berbangga dengan kepercayaan produser memberikan dia wang berjuta-juta untuk membikin filem. Kebetulan pada waktu itu sudah sampai sesi soal jawab antara tetamu & para hadirin di studio. Ditanya pada si Prof filem oleh seorang hadirin,
"Apakah filem Prof yang paling berjaya?"
Dijawab beliau,
"Duyung. Duyung merupakan filem saya yang mendapat kutipan tertinggi."
Di sini kita dapat melihat bahawa si Prof tersebut menilai kepercayaan & kejujuran dalam bentuk wang ringgit. Sebelum ini beliau juga selalu menyatakan bahawa pembikin filem harus membikin filem yang orang mahu tonton. Jika begitu, mungkin membuat filem porno pun dihalalkan dengan syarat ianya memenuhi kehendak. Pendapat itu bagi saya langsung salah. Jika si Prof menganggap saya tidak layak untuk menilai & mepertikaikannya, dia pula tidak layak untuk mempertikaikan kata-kata Albert Einstein ;
"I'd rather be a man with value than a man with success."
Sangat malang kita punya Prof sebegitu rupa. Namun perhargaan tetap diberi. Ini kerana di negara ini kuantiti dan populariti menjadi nilaian. Prof dianggap pembikin filem yang baik kerana giat membikin filem saban tahun. Fasha Sandha dianggap primadona filem Melayu baru kerana popular & filem lakonannya banyak. Six Million Dollar man pula dianggap moralis kerana selalu memaparkan drama & filem kepolisian. Nyata-nyata di negara kita selalu menghargai sesuatu yang tidak munasabah. Saya hanya percaya bagi mereka yang penting hanyalah keuntungan. Walaupun saya dianggap anti-popular namun kata-kata Mark Twain ini menyokong saya ;
"It is better to deserve honors and not have them than to have them and not to deserve them."
(alangkah baiknya jika Mawi mampu mengerti)
Jika dilihat tanpa pemerhatian yang teliti sekalipun kita dapat melihat yang menonton, menyokong & mendokong hasil-hasil kerja seni (baca:sampah) mereka ini adalah golongan majoriti Melayu marhaen. Golongan inilah yang memberikan mereka kelangsungan untuk meneruskan hasil kerja seni (baca:sampah) & mendapat penghormatan yang tidak wajar. Sudah tentu saya menganggap tidak wajar untuk seorang menggelar saya moralis hanya semata-mata kerana saya selalu membasuh pinggan saya selepas makan. Sedih sekali mengenangkan golongan-golangan yang tidak kaya ini menghabiskan duit untuk sesuatu yang tidak memberi manfaat.
Saya juga menyedari di kaca TV, ada sebuah konglomerat Stesen TV yang mempunyai beberapa rangkaian siaran telah mengasing-asingkan siaran mereka untuk setiap golongan. Ada sebuah stesennya menjadikan orang Melayu marhaen sebagai penonton sasaran dan walaupun banyak diisi dengan rangacangan berbentuk keagamaan yang bagus, slot hiburannya penuh drama-drama, serta filem-filem Melayu & Hong Kong 80 hingga awal 90-an.Saya menyedari bahan-bahan ini langsung tidak mencetus daya fikir saya. Filem-filemnya sungguh stereotaip dan membosankan. Mungkin kerana bahan-bahan itu tiada nilai pasaran & murah, maka ia dilambakkan di stesen TV yang disasarkan untuk golongan marhaen Melayu. Ceritanya lain pula di stesen TV milik mereka yang mensasarkan penonton Cina & 'urban'. Persembahannya lebih kemas, program-program TV yang lebih mengikut citarasa semasa & lebih terkedepan. Bagi saya golongan penonton dipisahkan semata-mata atas dasar perniagaan. Seharusnya mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik. Saya tidak fikir mengadakan karnival percuma itu satu bentuk tanggungjawap sosial. Saya tidak nampak manfaatnya di situ.
Perkara-perkara sebeginilah yang meluaskan lagi jurang antara golongan elitis & marhaen. Si borjuis cuba menjadi lebih terkedepan & menjauhi manakala si kelas pekerja pula tidak berusaha & selesa menikmati kedangkalan. Si borjuis merasakan taraf si marhaen terlalu rendah untuk difahami manakala si marhaen menggangap si borjuis terlalu jauh untuk digapai. Malang bagi seni di sini, menjadi alat ukuran intelektual untuk memisahkan mereka & diletak tanda harga. Bagi saya, seni itu sendiri punya harga diri, ianya tidak perlu diberi tanda harga & dinilai dengan wang ringgit.
Gerakan avant-garde Cubisme yang terkenal oleh Georges Braque, Paul Gauguin, Henri Matisse & Pablo Picasso sebenarnya diilhamkan dari kekaguman mereka pada seni ukir kayu dan topeng oleh orang-orang peribumi Afrika, Mikronesia & orang asli Amerika. Mengagumkam saya bagaimana golongan elitis budaya Eropah pada awal 20-an ini tidak malu & tidak ego untuk mengambil sesuatu dari tempat yang jauh berbeda jurang mereka. Di sini soal harga & martabat tidak menjadi soal. Seni itu bagus tanpa mengira darjat & fulus. Gerakan German Expressionist pun juga terjadi kerana desakan kekurangan kewangan untuk mereka menghasilkan kerja mereka. Begitu juga dengan Jean-Luc Godard, ikon sinema pasca-moden Perancis yang kekurangan wang untuk membikin filem di dalam studio. Namun begitu mereka menghasilkan sesuatu yang hebat, sesuatu yang dihargai sehingga ini & menjadi inspirasi kepada kebanyakkan penggiat seni seluruh dunia.
Ini kerana mereka memberi seni mereka harga diri, bukannya memberikan ia tanda harga.
Sekian.
Hazimin Hussein