Warga panik berkumpul di hadapan Astoria Palace, Copacabana, 2014.
(Amacam? Macam fotojurnalis tak?)
Istilah memang tak best kalau kita nak skopkan kerja fotografi seseorang sepertimana seorang pengarah disumbat ke dalam teori auteur atau sebuah filem ke dalam takuk genre. Tapi ia buat kerja jadi mudah agar idea umum terbentuk di dalam kepala kita selaku konsumer, lalu keputusan lekas dibuat.
Nik Adam pula apabila belek Caipirinha Blues, mengatakan ia dari sudut pandang pelawat dan tiada story, dan bukan stail dokumentari. Story di sini = isu yang biasa diketengahkan dalam documentary photography, yang punya news value terpinggir gitu. Saya tak minat stail dokumentari dan komen ini buat saya berada di laluan yang betul. Saya cenderung untuk mencontohi Stephen Shore dan Daido Moriyama, bukan dari segi estetik, tapi menggunakan fotografi sebagai diari visual (ramai lagi photographer (dan semua amateur) yang buat gini tapi sosok ni jadi pegangan semasa ke Rio).
Jadi di sini kita ada dua genre yang akan disentuh iaitu street dan dokumentari. Saya minat street kerana ia membebaskan (street photography secara alaminya marhaen) di mana kita boleh rakam apa sahaja di domain awam ibarat Godard yang ke jalanan untuk bikin filem Breathless. Saya minat juga shoot dalam studio, tapi sebab saya perlu berkurung di dalam bilik untuk menulis maka peluang untuk keluar tangkap gambar ini ibarat jalan keluar gua, sepertimana orang kerja ofis dapat cuti panjang untuk backpack ke hujung dunia.
Dalam pada itu, saya juga ada isu dengan street photography di mana secara estetiknya ia cenderung old-fashioned dan secara etika ia sedikit mengganggu diri saya, (terutama pasca bertemu Susan Meiselas). Bolehkah saya rakam gambar orang yang tak saya kenal? Jawapannya: Seperti guna lagu orang (tanpa beri royalti) di dalam filpen saya, saya harap saya bawa foto-foto orang asing ini menjadi sesuatu yang kita semua kenal.
Documentary photography pula saya benci (saya menghargai karya orang, tapi bila saya sendiri kena buat, bak kata pepatah: jiwa tak kena beb!). Sekurang-kurangnya dalam konteks fotografi. Fotografi secara alaminya mendokumen, tapi ini kita tolak tepi sebab yang akan dibincangkan ini, ia lebih kepada stail.
Sepertimana filem dokumentari Werner Herzog best dan kurang ditonton berbanding filem cereka/fiksyen Hollywood, pada saya fotografi adalah keterbalikan filem. Bila sebut filem, kita lebih senang dengan filem fiksyen sebagai mod utama penyampaian tapi bila dokumentari ia semacam bawa konotasi bosan dan tak menghiburkan (barangkali, kecuali doku popular yang kat tivi). Di dalam fotografi pula, stail dokumentari/reportage berfungsi sebagai mod utama penyampaiannya jika dibandingkan dengan fiksyen. Orang jarang garap foto sebagai fiksyen macam Looking for Love On the Left Bank oleh Ed Van Elsken, tapi sebab ia fotografi, ia secara tak langsung mendokumen!
Saya garap Ranggi Metropolis sebagai cerpen dan Caipirinha Blues sebagai novella. Semestinya ia secara tak langsung mendokumen apa yang saya nampak, autobiographical, macam diari. Tapi yang membuatkan struktur photobook ini menarik, ia dream-like sebab ia sepenuhnya visual. Maka saya tak minat kapsyen sebab mengganggu gambar dan ini juga salah satu masalah stail dokumentari. Ia cenderung guna kapsyen untuk bercerita dan gambar hanya bertindak sebagai bahan bukti untuk beri idea bahawa apa yang diceritakan/berlaku betul dan jujur. Buat saya jika ingin bercerita dengan kapsyen/prosa, baik saya tulis sebuah novel.
(Ini berbeza jika bubuh pantun dua kerat (seperti dicadang Amri) atau haiku (atau apa-apa puisi) di bawah imej sebab puisi memang imejan dan cenderung dream-like. Malah saya ada bubuh sajak burok saya dalam intro Ranggi.)
Kebetulan dan kejujuran tadi penting dalam dokumentari/reportage sebab kalau tak betul, kredibiliti nilai berita/sentimen itu habis. Semestinya fiksyen mesti dijauhi sebab ia menongkah kebenaran, tapi kebenaran stail dokumentari ini biasanya tak lebih dari sekadar kebenaran literal, yang digarap dengan penuh sentimen. Apa yang buat novel atau filem fiksyen real? Kebenaran emosi. Tu je.
Dan ia boleh wujud dalam stail dokumentari, street, still life, street tak street, dan segala takuk genre foto, seni secara umumnya dan kehidupan itu sendiri.
Ridhwan Saidi