I
Dalam konteks teater saya bermula dengan tulis playlet dulu, kemudian ke one-act play dan kemudian ke full length. Saya dapat rasa, potensi dan skala emosi yang boleh diberikan dengan durasi yang berbeza ini. Bila lebih lama, kita boleh tembus masuk jauh ke dalam emosi yang paling raw. Mungkin ia ada kena mengena dengan psikologi manusia, kita perlukan sedikit waktu (macam termenung) sebelum terbenam ke dalam suatu perasaan. Ini walau bagaimanapun dengan syarat kita ada fokus dan keyakinan terhadap keesaan emosi yang sedang kita dekati.
Bentuk dan formatnya boleh jadi caca-marba atau berfragmen, seperti filem PIERROT LE FOU (1965) oleh Jean-Luc Godard misalnya, tetapi emosinya tetap meruncing ke satu direction.
Penggiat teater atau filem yang belum stabil biasanya direction mereka mencapah, dan apabila bentuk dan formatnya caca-marba atau berfragmen, ia secara literal sekali dengan emosi-emosi surface level yang dicubit-cubit sedikit di sini dan sana. Kebanyakan waktu ia mimetic desire atau sebentuk peniruan. Imej-imej yang di-copy dan disusun ini, disusun tanpa kesatuan tenaga yang jelas. Ia bergabung tanpa direction.
Dalam hal ini, kepekaan terhadap muzik hip hop barangkali boleh membantu. Tekuni teknik sampling dan beatmaking, iaitu bagaimana bunyi yang telah ada, didekonstruk menjadi sesuatu yang segar. Perlu juga jelas di sini, bila sample diambil, rights perlu diminta dari pemilik muzik asal sebelum ia dikomersialkan. Sebagai contoh, album 3 Feet High and Rising (1989) oleh De La Soul tidak boleh di-stream online kerana dalam rights asal ia ditulis secara spesifik ‘vinyl dan kaset’, maka rights baru diperlukan untuk versi digital.
Tak hanya melibatkan DJ dan produser yang mencipta rentak, hip hop turut melibatkan emcee yang menawarkan kata-kata lirikal (yang bermain dengan meter bar) yang menggugah jiwa. Jika anda kurang pasti, boleh mulakan dengan Midnight Marauders (1993) dan Low End Theory (1991) oleh A Tribe Called Quest. Dari sini ada bermacam arah.
II
Saya telah tulis empat skrip teater full length setakat ini iaitu MAUTOPIA, STEREO GENMAI, ODISI ROMANSA dan MASAM MANIS. Akan saya beritahu kenapa skrip-skrip ini ditulis dalam tertib ini, dan kenapa tertib pementasannya sebegitu pula.
Mengadaptasi merupakan satu skil yang macam menulis, ia tak boleh diajar sangat melainkan kita merasai pengalaman membuatnya. Dengan itu saya pilih MAUTOPIA dan STEREO GENMAI di mana saya sudah ada cerita, karakter dan dialog dari novel. Apa yang patut saya buat dengan material-material ini? Saya sentiasa tak tahu, tetapi yang pasti, saya perlu pertahankan semangat karya asal, sebab aksi saya adalah untuk mengadaptasi. Saya rasa penting untuk orang nampak pertautan spiritual antara karya adaptasi dengan naskah asalnya. Sebab bila tiada pertautan ini, lebih baik saya cakap saya buat karya baru. Tiada dialog antara teks berlaku.
Perlu jelas di sini, adaptasi pada saya ialah pertautan spiritual itu tadi. Sebarang bentuk atau cerita yang literal, bukan 100% hal yang perlu saya simpan dalam teks adaptasi saya. Boleh digambarkan teks adaptasi saya perlu melalui proses dekonstruksi. Naskah asal perlu dihancurkan sebelum dibina semula. Serpihan-serpihan yang dipilih dan di-curate, diletakkan di tempat yang tepat bagi menaikkan syahwat emosi.
Jadi di sini saya pilih dua novel saya sebagai eksperimen, jika gagal, sekurang-kurangnya ia karya sendiri. Ia hanya selepas saya yakin boleh! Saya tulis MASAM MANIS iaitu adaptasi dari filem P. Ramlee berjudul MASAM-MASAM MANIS (1965). Filem ini ada unsur salah faham (tipikal naratif teater) dan bermain dengan ruang lodging Mak Minah, yang amat teatrikal. Selain itu naratif pada pintu almari watak P. Ramlee turut saya jadikan sebagai struktur pembahagian bab. Filem ini tentang Kuala Lumpur, yang dekat dengan saya, jadi saya tahu ada pertalian yang boleh mengikat antara saya dengan P. Ramlee.
Meski ODISI ROMANSA ditulis lebih dulu, tetapi MASAM MANIS yang akan dipentaskan dulu. ODISI ROMANSA ialah judul photobook saya, tetapi ia bukan adaptasi, cuma judul sama digunakan. Ia karya full length pertama yang bukan diadaptasi, jadi saya fikir elok saya peram ia terlebih dulu agar ia cukup ranum sebelum dipentaskan.
Maka dari segi tertib pementasan kita ada STEREO GENMAI tahun lalu, iaitu adaptasi dari novel (sendiri), kemudian kita akan ada MASAM MANIS iaitu adaptasi dari filem (orang lain), dan hanya selepas itu baru kita ada ODISI ROMANSA iaitu teks asal yang bukan adaptasi. Tiga play ini boleh dianggap latihan dan pembelajaran formal saya dalam membikin teater. Ya lah kita tak sekolah dan belajar teater, jadi kita kena lah pandai-pandai belajar sendiri. Semoga anda datang tonton teater saya, dan lihat bagaimana tiga teks berbeza (dengan approach berbeza ini) bermain dengan ruang pula.
Ridhwan Saidi