Manira tak senang dengan orang yang nak jaga bahasa. Di sini akan manira hujahkan dua perkara kenapa ia okay untuk kita hancurkan bahasa. Tapi sebelum itu kita perlu faham konotasi ‘jaga bahasa’ ini iaitu ia mesti selaras kasta yang telah ditetapkan oleh otoriti bahasa. Via kasta ini datang tinggi rendah atas bawah yang birokratik.
Pertama pentingnya pendedahan kepada Godard. Godard hancurkan bahasa filem acuan studio Holywood dan pada lapis pertama ia boleh jadi avant-garde atau anti-establishment for the sake of nak jadi avant-garde atau anti-establishment. Tapi dalam kes Godard, filem seperti Pierrot le Fou (1965), Weekend (1967), Le Mepris (1963) masih memberi suatu perasaan yang intens dan indah. Poin saya adalah jika sesebuah penulisan itu menggunakan bahasa yang hancur tetapi memberi suatu perasaan sebenar, bukankah lebih baik daripada sesebuah penulisan dengan bahasa ‘terjaga’ tetapi memberi perasaan juvenil yang klise? Kerana ramai saja manusia di luar sana berpakaian dan berpewatakan terjaga seperti orang dewasa yang matang sihat tetapi kebudak-budakannya masih belum dibunuh.
Aku tidak menolak penulis yang memilih untuk jaga bahasa, sebab semua penulis yang baik akan jaga bahasanya termasuk aku sendiri. Kita jaga bahasa dengan menghancurkannya sepertimana gitar kapok dihancurkan untuk buat unggun api di pantai malam yang dingin. Ini akan menjurus kepada poin kedua, di mana setiap penulis yang bercengkerama memeluk bahasa masing-masing akan di-intrude sosok otoriti bahasa a la Big Brother. Apa terjadi seterusnya Allahu Alam.
Orang yang nak jaga bahasa ini rasa Bahasa adalah suatu entiti fragile, jadi mereka rasa mereka penting walhal hakikatnya manusia lagi fragile dari bahasa. Sebab bila manusia pupus kelak, bahasa kita akan terus ada untuk digali ketamadunan pasca-manusia. Dan kita faham penulisan berunsur nasihat dan didaktik tidak boleh tikamtembus lapis ego tebal penjaga bahasa, so dengan itu saya akhiri entri ini dengan: Renung-renungkanlah.
Ridhwan Saidi