Jumaat, Oktober 31, 2008

Tulisan Aneh

Hari ni AKU tak tau nak tulis apa.


Ridhwan Saidi

Khamis, Oktober 30, 2008

Tulisan Ringan

Petang semalam, AKU ke Time Square. Di sana, macam biasa, AKU jumpa kawan-kawan. Ada A, B, C dan oh…D tak dapat datang.

Lepas tu, kami pergi ke ‘Resepi Rahsia’. Sambil melantak, kami sembang-sembang, gossip-gosip, itu, ini. Tapi kan, sebelum tu kitaorang dah pergi tengok wayang. Cite omputeh. Best gile cite die.

Lepas puas lepak kat Time Square, lepas ke hulur-ke hilir, kitaorang pun balik lah.

Sampai rumah, AKU bukak TV. Tengok Discovery Channel. Best gak. Layan gak, doh. Lepas AKU ngantuk, AKU pergi tidur.

Pagi tadi, lepas bangun tidur, AKU layan blue. Lepas tu, AKU pergi toilet, toceng. Lepas abis, AKU mandi.

Lepas tu, AKU makan roti sapu jem – breakfast. Lepas breakfast, AKU main game sampai bosan gile. Lepas tu, AKU online, layan facebook pulak. Lepas tu, chatting – dengan awek la, dengan siapa lagi…

Lama chatting, AKU mula bosan. AKU tertekan. Apa tidaknya, awek AKU mintak break! AKU tak pasal-pasal jadi emo, depress.

Last sekali, AKU bunuh diri.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sosej dan Sos

Kejadian ini berlaku 3 tahun dahulu ketika di Perak. Saya merupakan seorang pelajar universiti, menginap dan makan secara percuma di asrama. Tidak, ini bukan soal sedap tak sedap hidangan makanan di dining. Ini soal lain, lebih penting dari itu.

Saya tinggal seorang diri di dalam bilik A 101.

Satu malam, tidak berapa malam, dalam pukul 10 malam, saya telah ke tandas. Sebagai seorang jejaka pendiam yang keseorangan dan tidak berteman, akan tiba satu masa, datang bibit-bibit gersang. Ia biasanya datang sebulan sekali, tanpa sebarang ugutan pornografi (saya tidak into pornografi) tetapi lebih kepada menghargai tubuh bogel seorang lelaki eh silap, perempuan.

Di tambah stress sebagai seorang pelajar yang kabut lagi serabut, kononnya fikir soal struktur, design dan entah apa lagi. Kesemua beban-beban dan rasa keseorangan ini perlu diluah dan dimuntahkan. Maka satu malam, tidak berapa malam, dalam pukul 10 malam, saya telah ke tandas.

Di kawasan tandas, ada 14 cubicle, 7 shower dan 7 w.c masing-masing. Disebabkan apa yang ingin saya lakukan ini bersifat peribadi, bisik saya, maka saya telah pilih ruang shower yang paling hujung, kerana ia paling dalam (private) dan jarang digunakan (bersih). Maaf, saya agak cerewet bila ia melibatkan perkara yang ‘peribadi’. Pencahayaan di tandas ini juga agak suram, romantik bisik saya sekali lagi. Lantas tanpa berlengah terus saya bertelanjang sambil menyangkutkan tuala saya di atas pintu.

Memandang ke bawah, sambil menggelengkan kepala, tersenyum sinis, elok saya tebas lalang-lalang kawasan depan rumah ini bisik hati, maaf, rumah bujang. Gunting 'rambut' telah sedia dibawa.

Gunting punya gunting punya gunting, di dalam suasana romantik lagi suram lagi kelam, dengan tidak sengaja tiba-tiba saya telah tergunting anu saya. 

FUCK

Luka di kiri dan kanan, darah pekat memancut dan menitik. Tanpa berfikir terus saya gapai tuala dan tekap, sambil membongkok. Kepala otak saya mula menggila, fuck! bangang! tak guna! rasa menyesal tak tentu pasal, tak tentu hala, tak sudah-sudah. Waktu itu saya masih teruna okay!

Saya tidak mampu bernafas dengan konsisten, risau. Sambil pejamkan mata, saya sangat berharap agar tool saya ini tidak putus. Pelik, dalam kecamuk otak saya, masih ada sedikit unsur-unsur cool. Saya berpendapat jika bahagian atas dan bawah luka, baru ia kes serius, kerana di kiri dan kanan tiada salur atau apa-apa yang punya fungsi, bisik saya kononnya menenangkan diri.

Dalam masa yang sama, sempat juga saya bertaubat jika kemaluan saya pulih nanti, akan saya treat ia elok-elok. Akan saya saluti ia dengan cinta dan bukannya kondom bila tiba masanya kelak, ini janji saya pada diri saya.

Dalam masa yang sama, terbayang juga di masa depan, jika ia putus, saya sedang memakai seluar dalam perempuan.

Agak lama saya tunduk, berfikir (merapu?) dan tekan sekuat mungkin tuala pada bahagian itu. Saya tidak mengerang sebaliknya tak habis-habis mengucapkan kata-kata carut. 15 minit selepas itu saya mula memberanikan diri melihat tahap mana seriusnya luka saya ini, saya masih tunduk, kaki rapat.

Bukanya tekapan tuala ini, 

behold

KEAJAIBAN 

Tiada luka, tiada darah. 

Terus saya bersyukur sambil tersenyum kehairanan. Lega, saya mula membelek-belek, melihat-lihat, betul ke ni? Seolah-olah tidak percaya.

Ini bukan mimpi atau apa, ini sesuatu yang lain. Terus terang saya katakan bahawa saya benar-benar nampak darah memancut keluar dan menitik. Bukan tidak bersyukur, tapi ini sungguh absurd. Dan semestinya ini bukan filem.

Saya ada dua intepretasi sahaja terhadap apa yang berlaku kepada diri saya. Samada itu imaginasi gila saya atau saya telah diganggu sesuatu. Apa pun saya tidak akan tahu yang mana betul. Yang pasti, situasi itu memberi kesan yang besar pada diri saya.

Mulai dari hari itu, anehnya, timbul rasa tanggungjawab terhadap kelelakian yang saya ‘bawa’ ke hulu ke hilir ini haha. Dan gunting? jauhkan saya dari objek itu, tolong.

Ridhwan Saidi

Paranoid Iklaneka

Beberapa minggu sudah, saya telah menggunakan tren PUTRA, dari Taman Jaya ke KLCC. Ini mungkin langkah paling mujarab untuk merawat kesesakan lalu-lintas, kononnya. Tapi ada sesuatu yang menjelekkan anak mata saya ketika berada di dalam tren itu.

Kiri, kanan, depan, belakang, atas, bawah, dalam dan luar tren ini diselaput dan diapit iklan KFC. Okay, tidak yang di bawah, kerana itu lantai. Kamu tahu mengapa bahagian lantai itu dikecualikan? Kalau foto ayam goreng itu dipijak-pijak, pasti jijik jadinya, kan? Ia umpama kamu telah membunuh selera kamu sendiri..tak beradab sungguh! Nanti ayam kentaki tak laku.

Eh, apa sudah jadi ni? Inilah masalah saya. Selalunya, jika saya keluar merayau-rayau sekitar Lembah Kelang, penglihatan saya menjadi letih diasak oleh lautan iklan yang berwarna warni. Sebab itu saya jadi rabun, agaknya.

Saya akan menyentuh sedikit kesan serangan iklan ke atas perbandaran (urban). Tidak dapat tidak, saya percaya bahawa urbanity hari ini berada di telunjuk jari sang kapitalis. Para pemodal ini yang sebenarnya mencipta potensi urbanity kita, bukan lagi perancang bandar, atau para arkitek. Mereka menyusun perbandaran mengikut potensi untung yang bakal diperoleh. Tidak sekali-kali untuk kesejahteraan manusia.

Perancang bandar mahupun arkitek itu tak ubah umpama pepatung, boneka olok-olok, atau lebih tepat lagi, budak Milo para kapitalis. Mereka hanya – secara rela atau tidak – mengikut telunjuk pemodal, yang turut disubahati oleh ’Pihak Berkuasa Tempatan.’

Dalam perbandaran rekayasa para pemodal, hanya keuntungan maksimum yang menjadi agenda utama. Maka itu, urbanity dalam bentuk ini hanya sesuai menjadi milik pihak yang bermodal jua. Mereka yang tak punya wang, atau tak cukup banyak, terpaksa menjadi orang pinggiran, berhimpit-himpit di setinggan. Ironi, bandar bangsat ini konkritnya dibancuh oleh tangan-tangan kasar yang tak punya wang, atau tak cukup wang.

Saya mungkin tak berapa arif untuk bercerita tentang teori-teori urban ini semua. Selain tak cukup tahu, teori-teori ini malah kadangkala hanya sekadar membuang masa, berbuih-buih mulut menunjuk pandai. Padahal, ia langsung tak realistik, tak praktikal. Kadangkala, menjadi terlalu idealist sekadar membuatkan kamu kelihatan dungu. Saya betul percaya, kita semua perlu pulang kepada common sense, bukan teori.

Cuma, saya rasa agak jelek melihatkan situasi urban masakini, diasak-asak oleh iklan. Di setiap ceruk, setiap celah, pasti terdapatnya iklan. Dari yang bersaiz A4, sampai ke tahap ’billboard.’ Bandar kita semakin tipis kemanusiaannya macam lapisan ozon yang semakin menipis, secair ais yang semakin mencair di kutub utara. Dan, apa yang menebal? Iklan dan hipokrasinya.

Tadi ada saya nyatakan bahawa pihak pemodal menyusun urbanity kita mengikut peluang untung yang bakal diperoleh. Di sini, kamu boleh lihat betapa bijaknya si kapitalis.

Dalam hal ini, saya merasakan terdapatnya jalinan yang erat antara iklan dan struktur bandar gagasan kapitalis. Bandar kapitalis ini, sebenarnya wajib didokong oleh lautan iklaneka. Iklan-iklan seterusnya menyuburkan potensi untung maksima, lalu menghidupkan riang warna-warni bandar-bandar kapitalis ini. Bandar kapitalis tanpa iklan adalah mustahil, ia akan kelihatan ’mati.’

Saya berpendapat, kualiti urban itu tercemar dengan kehadiran lambakan iklan-iklan ini. Ia tiada bezanya dengan pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Cuma, dalam hal ini, saya cenderung untuk menyifatkan bahawa iklan ini mendatangkan pencemaran visual.

Visual-visual sampah ini kemudiannya, menelanjangkan kita dari rasional akal. Apabila memasuki daerah 'iklaneka' ini, jika tak kuat ’iman’, pastinya nafsu kita mudah terbeli. Hakikatnya ialah, kita yang akhirnya ’membeli.’ Dan kita membeli bukan atas dasar keperluan, tapi atas dasar iklan.

Iklan-iklan ini sebenarnya telah menghancur-leburkan spirit urban itu sendiri selain dari satu segi yang lain, berjaya mencipta dunia olok-olok ala Disney-Land, atau yang lebih lokal, Perkampungan Hadhari, yang mengajak kita berfantasi. Mungkin inilah dunia hyper-reality seperti yang dikatakan oleh Jean Baudrillard.

Dalam bandar yang diransang kapitalis, setiap penghuninya akan berebut-rebut untuk menonjolkan diri, melalui kereta, fesyen, gaya; dari potongan baju sampai ke dandanan rambut. Fesyen, gaya reka-rekaan ini pula, selalunya tak lebih sekadar lambakan produk kapitalis. Sebab itu, saya cukup berbulu apabila pernah ternampak kain rentang iklan syampoo 'Pantene' terentang menutup dada sebuah menara di Jalan Imbi. Nampak, bagaimana cikainya senibina, dikencing oleh hanya selembar iklan syampoo!

Bandar kapitalis sememangnya lebih mengutamakan iklan dari manusia kerana ia dicipta demi untung, bukan untuk manusia hidup dengan sejahtera. Kerana itu, di satu sudut, saya tetap memimpikan bandar yang bebas iklan, atau paling kurang, minimal iklan. Oh, adakah saya terpaksa berlagak idealist juga akhirnya?

Hmm, ada orang kata iklan ini juga seni. Jadi, tak salah! Maknanya, bandar kita dihiasi ‘seni.’ Wah, ini sungguh hebat, mungkin jauh hebatnya dari kota Athens, lebih gah mengalahkan Paris! Patutlah semakin ramai orang yang sibuk mengaku artis, ‘gila seni’ selama ini.

Saya pula, lain. Saya langsung tak menganggap iklan-iklan itu sebagai ’seni.’ Apa pasal? Pasal saya menganggap yang iklan tetap iklan, yang ada hanyalah iklan yang bagus dan iklan yang teruk. Tak perlu dipalit retorik ‘seni’ berbagai. Pada saya, apa-apa yang dibuat atas nama wang sebagai faktor utama, ’haram’ untuk dipanggil seni. Apatah lagi, iklan-iklan itu nawaitunya hanya satu, lariskan produk!

Seni wajib datang dengan rasa penuh cinta di dada. Seni, untuk saya, mesti tuntas keikhlasannya. Tanpa harap apa-apa balasan, wang atau pahala, yang dinamakan seni itu. Seni dan komersial juga, saya fikir, tak pantas menetap sekampung, tinggal sekandang, duduk sereban. Biarkan seni bertelanjang bulat, naif, nihil, atau, kalau tidak, tak perlu lagi dengan apa yang kita panggil 'seni.'

Okay, mungkin memang seni – iklan itu – tapi seni tapak kaki saya.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, Oktober 28, 2008

Apa Kebaruanya ‘Koreksi‘?

Between the printed word and the spoken word – what difference? – Henry Miller

Sebenarnya, saya kerap kali meradang pada diri sendiri. Apabila saya ingin menulis, saya diserang rasa gundah, rasa was-was. Perasaan ini datang tak cuma-cuma. Saya percaya ramai penulis ‘sebenar‘ di luar sana merasai apa yang saya rasa.

Eh, apa pula yang saya mengarut ni?

Nanti, akan saya perjelaskan satu persatu. Saya dalam kerumitan, kerana tak tahu mahu mula bagaimana atau di mana. Saya ada sikit idea, mungkin, tapi yang pasti di waktu saya menulis ini, saya sumbang idea. Perlukah saya mulakannya dengan bercerita sedikit tentang kisah peribadi saya? 

Oh, tidak. Bukannya tidak perlu, tapi tiada satu pun kisah hidup saya yang boleh saya jadikan pembuka kata kepada apa yang saya mahu tulis. Ini yang bikin saya celaru. Jadi begini sajalah. Mungkin saya perlu terjah saja macam Abang Nas – senang.

Sewaktu saya menulis, saya jadi agak takut kalau-kalau penulisan saya penuh dengan perkataan-perkataan yang 'bombastik.' Atau terlalu bombastik. Sewaktu saya menulis, apa yang bersarang di kepala saya jadi simpang siur. Kejap nak tulis itu, kejap nak tulis ini. Macam keadaan trafik di ibu kota, nak-nak waktu pulang kerja. Apa yang ingin saya tulis, biasanya tidak fokus, bersepah-sepah. Tapi itu mungkin tak mengapa. Yang lebih menggerunkan saya ialah apabila saya mula menulis, saya akan cuba menyumbat-nyumbat istilah-istilah yang ‘mumbo jumbo‘, tapi tak berpijak di atas kertas yang nyata tanpa saya sedari. Okay, dalam konteks ini, di atas skrin komputer saya. Perkataan-perkataan ini ( mumbo jumbo), memang adakalanya berterbangan di ruang benak saya, seakan cuba mencuri tumpuan, seraya merayu-rayu ‘pakailah aku, pakailah aku.‘ Mungkin sekiranya jenis perkataan sebegini disarung dalam penulisan saya, maka penulisan saya tampak lebih anggun bergaya malah makin seksi.

(Oh, saat ini, jari-jemari saya sudah mula menari-nari pantas.)

Saya seorang yang amat menghargai lingo dalam konsep bahasa. Lingo atau dialek bagi saya, memberi kesan originaliti, kerana ciri-ciri kedaerahan (atau kampungan?) ini selalunya menghasilkan sentuhan unik kepada sesuatu penulisan. Adakalanya ia kasar, ada masanya sangat melembutkan dan mengasyikkan, malah ada yang terkesan humor. Sebab itu, saya memang agak kurang senang apabila terbaca penulisan yang konon berat, yang sedaya upaya memasukkan perkataan-perkataan pelik-pelik tanpa alasan yang jitu. Mungkin ada yang masih kurang jelas di sini. 

Kalau kamu biasa menyelak akhbar-akhbar Melayu, selain Metro atau Kosmo yang terserlah busuk, yang saya masih baca jika terhidang di depan mata, kamu mungkin akan perasan terdapat beberapa artikel atau esei yang cuba-cuba menjadi jargon bahasa, supaya tampak lebih ‘intelek.’ Saya boleh berikan kamu lampu andai ada di antara kamu yang masih tak nampak. 

Sila beranikan diri menyelak ruangan sastera di Mingguan Malaysia, misalnya, pasti kamu akan mengerti apa maksud saya.

Tapi ada yang lebih memualkan saya. Ini serius, mual. Saya sudah mula melayar di blog-blog tempatan sejak tiga tahun yang lalu. Pertama kali ketika bertentang mata, hati ini tertawan. Dunia blog seakan membuka lembaran baru dalam perspektif hidup saya, dari segi apakah bahan yang boleh saya baca selain buku. Mulanya, blog agak menarik, kerana mereka yang ber’blog’ ini selalunya cuba mencatatkan kisah peribadi masing –masing untuk dikongsi dengan pembaca. Ini hanya kalau pengalaman hidup si penulis blog itu benar-benar menariklah. Saya juga banyak tahu benda-benda baru dari membaca blog, tak dinafikan. Ini termasuklah gosip-gosip politik, ‘artis-artis tempatan’ dan gosip di kalangan ‘blogger’ itu sendiri. ( tapi, gosip ‘blogger’ lagi saya geli. ) Macam biasa, ada yang bagus, ada yang tak. Tapi, itu saya tak kesah sangat.

Yang saya agak kesahkan, terdapat segelintir ‘blogger’ yang cenderung menyumbat perkataan-perkataan pelik ini sewenang-wenangnya. Jelas sekali, ia bukan satu kesalahan. Cuma, bagi saya, kemasukan perkataan-perkataan ini, yang saya pasti dimasukkan dengan niat cuba nampak lebih ‘cerdik’ tak membantu apa-apa kepada kesuburan bahasa, tapi yang sebenarnya memporak-perandakan itu bahasa sendiri. 

Usah bohong. Mustahil mereka yang menulis itu tak sedar apa yang ditulis. Saya yakin, memang perkataan-perkataan mumbo jumbo ini diselit supaya penulisnya terkesan pintar. Ah, saya sendiri melakukannya! Saat kamu menulis, kamu pasti sedang berkira-kira perkataan yang bagaimana mahu kamu tunjukkan kepada bakal pembaca kamu. Kamu ada masa untuk berfikir, saat itu, maknanya kamu memang dalam keadaan sedar.

Tapi yang sebenarnya, penulisan yang bagus, yang barangkali kreatif, tak perlu berpaut pada kepalsuan. Yang paling penting, jujur dan turas. Bagi saya, kreativiti kamu itu boleh saja terserlah jika kamu betul-betul bijak bermain-main dengan kata-kata yang ringkas, bahasa ‘pasar’ yang kamu pakai sehari-hari, dan paling menarik jika kamu bijak mengeksploitasikan bahasa kedaerahan, atau lingo. Tak perlu berbelit-belit, berpintal-pintal, atau terhegeh-hegeh meMelayukan perkataan Inggeris, tanpa sebab yang jelas, hanya atas dasar ‘kemodenan’ atau ‘kemajuan’ atau yang paling parah, supaya nampak cerdik.

Jangan tuduh saya ‘chauvinist’ bahasa pula. Saya selalu bosan sama itu DBP!

Baiklah, saya sudah semakin jelas. Kamu pula bagaimana? Apa yang mahu saya buraikan adalah rasa muak saya dengan kepura-puraan dalam menulis. Saya pernah ‘bertemu’ dengan beberapa perkataan bahasa Inggeris yang diMelayukan tanpa bijaksana, di beberapa blog yang saya langsung tak ingat namanya saat saya menulis ini.. Saya masih bersikap terbuka dengan asosiasi budaya yang pastinya berakarkan bahasa. Tapi, jika saya terpaksa berhadapan dengan perkataan seperti ‘fiksi’, ‘pretensi’, atau yang paling buruk, ‘koreksi’, ni memang bikin saya kacau. Saya rasa, perkataan-perkataan ini bunyinya macam mengada-ngada. Meng’ada’-‘ada'kan. Huh!

Kesudahannya, baris ayat itu menjadi keras macam kerikil dan tak semulajadi. Adakah si penulis terlalu terdesak untuk kelihatan bijak bistari? Nah, ini soalan cepu emas! Oh, maaf, bodohnya saya. Bukan ‘terdesak’, tapi ‘desperasi.’

Kalau dilihat perkataan ‘pretensi’ itu, sebenarnya kita masih memiliki perkataan yang masih Melayu, iaitu ‘pura-pura.’ Jadi, apa masalahnya? Takde hal pun. ‘Fiksi’, kita masih ada perkataan celaka, opss, cereka, yang merujuk kepada ‘reka’ atau ‘cipta’ atau ‘buat.’ ‘Koreksi?’ Dari celah lubang mana datangnya perkataan ini? Yang ini memang betul-betul hodoh. Korek apa? Korek lubang? Korek hidung? Korek ehem-ehem? Atau korek, korek, korek? Kalau korek yang tiga kali tu, hanya Linggam saja yang maha mengetahui.

Tapi kalau ‘koreksi’ itu disedut dari perkataan Inggeris; correction, bukankah kita masih ada perkataan ‘pembetulan?’ Jadi mengapa perlu ‘dibuat pembetulan’ ini? Oh, sekali lagi, bodohnya saya. Mana nampak bijak! Apa daa…

Pada pandangan saya, sebagai seorang amatur, perkataan bukan sekadar istilah yang dibubuh makna, tetapi perkataan juga wajib disarung dengan estetika vokal atau bunyi. Ini yang menarik perhatian saya. Saya selalu terfikir yang hubungan, opss maaf, ‘relasi’ antara makna dan bunyi dalam perkataan amat penting. Ini kerana setiap perkataan yang ‘hidup’ wajib melibatkan pertuturan. Ini tanda perkataan itu ‘sihat.’

Dan rasionalnya, apabila kita bercakap, kita akan mengeluarkan suara, dan suara itu datang dengan bunyi. Bunyi inilah yang menentukan sama ada perkataan yang kita guna pakai itu menarik atau tidak, bagi saya. Ia juga akan menentukan berapa lama jangka hayat sesepatah perkataan itu. Maksud mudahnya, perkataan itu tak akan mampu bertahan hidup jika tiada sesiapa yang sudi mengucapkannya. Apa pasal tiada yang sudi? Ini kerana – sangat mudah – perkataan itu bunyinya sangat buruk. Maknanya, jika ‘koreksi’ itu seorang perempuan bogel, saya tak akan stim sebab mati syahwat – sebab perempuan itu bermata empat.

Bayangkan, jika kamu mengarang skrip drama atau filem dengan menggunakan perkataan-perkataan sedut-sedutan Inggeris ini, saya pasti setiap kata bual yang kamu karang itu bunyinya sangat janggal bin pelik. Filem kamu jadi sangat cacamarba, Nampak yang kamu keliru dan celaru dengan bahasa sendiri. Akhir sekali yang terjadi hanyalah lawak sarkis.

Tapi berlainan pula jika kamu sedar betapa buruknya perkataan sedut-sedutan ini jika kamu pertuturkan. Apa yang lainnya? Meh sini, saya jelaskan.

Saya cukup percaya, setiap perkataan layak untuk dipraktikkan di dunia nyata, bukan sekadar terperuk atau berlenggang-lenggang di alam maya. Atau lebih tepat lagi, di dalam blog. Tapi, mereka-mereka yang menulis perkataan ‘super bombastic’ ini tahu, malah cukup tahu, saya rasa, bahawa perkataan pilihan mereka ini tak work, tak mampu berfungsi dengan sempurna jika dipertuturkan. Sesepatah perkataan, saya fikir, wajib dipertuturkan, selain dari diguna pakai dalam penulisan. Ini pada saya, pertuturan dan penulisan, elemen yang paling teras dan sangat fundamental sifatnya dalam konsep bahasa. Ia harus saling bahu membahu.

Masalahnya, dalam bahasa Melayu ini wujud jurang antara bahasa pengucapan dan penulisan. Apa yang kamu tulis belum tentu selesa untuk diucapkan, dan sebaliknya. Masalah ini bahkan merebak ke dalam medium filem. Sebab itu, filem-filem Melayu seperti filem ‘mr. six million dollar man’, skripnya memang hancur. Hampir segala dialognya, semua kata bualnya, berbunyi sangat superficial, sangat pelik dan kelakar. Menonton filem-filemnya membuatkan saya terasa seperti di bawa ke dunia kayangan pula.

Kerana itu, jurang ini perlu dihapuskan sama sekali. Tapi dengan wujudnya perkataan-perkataan seperti ‘fiksi’, ‘pretensi’ dan ‘koreksi’ tadi, bagaimana mungkin jurang ini dihapuskan? Malahan, kehadiran perkataan-perkataan inilah yang menjarakkan lagi jurang itu, kerana ia gagal lolos dari empangan maya yang dicipta. Setiap perkataan ini, jika bersungguh mahu terbit, wajib pula mencuri perhatian ‘konsumernya’ di alam nyata. Baru ia punya roh. Kalau tidak, perkataan-perkataan ini hanya terperuk di alam internet, langsung saja menjadi eksklusif tambah elitis kerana hanya mampu ditulis dan difahami oleh ‘menusia-manusia’ bijak lagi bistari sahaja.

Tapi harus juga diingat, istilah yang berbunyi sangat buruk, saya harap dilupuskan sama sekali. Correction is sound good, but koreksi is too bad.

Dalam hal ini, saya cenderung untuk percaya bahawa istilah yang lebih ‘pop’ seperti ‘poyo’, ‘stylo’, atau 'OMG' ( oh my God ) atau yang agak sinis, 'OYG' ( oh your God ) itu jauh lebih menarik, bahkan lagi real jika dibandingkan dengan perkataan-perkataan sedut-sedutan yang saya bincangkan tadi. 'OMG' atau ‘stylo’ataupun ‘poyo’ ini terselit dalam perbualan kita sehari-hari tanpa ada unsur kepura-puraan atau menunjuk-nunjuk pandai. Saya berani berkata begini kerana saya menolak konsep ‘bahasa pasar.’ Tapi itu cerita lain.

Namun, sekiranya istilah semacam ‘koreksi’ ini tetap juga establish satu hari nanti, dan saya masih tetap dengan ‘pembetulan’, maka waktu itu saya izinkan kamu menggelarkan saya sebagai konsevatif kepala tahi.

Nah, siapa kata saya tak moden? 


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Isnin, Oktober 27, 2008

Remodenisme

Apa kejadahnya remodenisme ini? Kenapa saya menggelarkan diri saya sebagai seorang remodenis? Mengaku pula tu, tak malu betul haha. Baik, sebelum kita ke hal ini kita perlu tahu perkara asas terlebih dahulu.

Apa yang ingin saya terangkan adalah konsep Tuah dan Jebat. Tuah akan selamanya bercanggah dengan Jebat dan begitu juga sebaliknya. Apa itu Tuah dan apa itu Jebat?

Mengikut intepretasi saya terhadap karangan Tun Sri Lanang ini, Tuah adalah simbol feudal manakala Jebat pula adalah simbol moden. Seperti Tuah dan Jebat, feudal dan moden akan sentiasa bercanggah. Ia tak boleh dicampur gaulkan.

Feudal ini mengikut tafsiran saya adalah sistem yang statik, rigid dan tidak boleh diubah. Anak raja akan terus menjadi raja, anak hamba akan terus menjadi hamba. Moden pula lebih dinamik, siapa-siapa boleh jadi ketua, anda pun boleh, tapi dengan syarat anda dipilih oleh orang ramai (yang bijak).

Kenapa masyarakat kita mengangkat Tuah sebagai hero? Kerana kita masih berpegang pada konsep feudal. Saya cukup percaya tidak ada seorang pun anak kecil di negara kita ini yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Kenapa? Kerana ia tidak relevan, PM kita saya percaya akan berganti-ganti keturunan mereka sesama mereka.

Pangkat-pangkat seperti tan sri dan datuk juga amat menjengkelkan saya. Kenapa? Satu semestinya ia 100% feudal. Kedua layanan orang-orang yang tidak berpangkat (rujuk: kaki bodek, tukang kipas) ini berikan kepada mereka. Sedihnya bodekan mereka ini menyerlahkan kebebalan mereka.

Satu ketika dahulu PM melawat sebuah sekolah antarabangsa untuk satu pertunjukan teater. Tahu apa majlis perbandaran buat? Mereka tar jalanraya yang akan dilalui PM dan yang paling mengagumkan, mereka tebang semua pokok-pokok besar di tepi jalan. Selama ini jalan itu redup, kini yang kelihatan hanyalah rumah-rumah (tiada lagi privasi, wujud pencemaran bunyi dan keadaan semakin panas). Mereka menganggap pokok-pokok di tepi jalan sebagai ‘semak’.

Bagi saya golongan elit ini yang semak. Saya percaya bahawa selagi konsep elit ini tidak dipupuskan selagi itu modeniti tidak akan wujud. Konsep elit ini bagi saya terjadi bila ada dua pihak, satu ego elitis ini sendiri (banyak duit banyak harta), dan kedua golongan pengampu dan penyembah wang mereka.

Bagi saya modeniti hanya akan terjadi bila elitis ini makan semeja dengan orang gaji mereka tanpa rasa takut, segan, pelik atau apa. Ibarat dua manusia makan bersama, apa yang anehnya tentang itu?

Di sini ingin saya tanyakan satu soalan. Anda rasa kita hidup di zaman moden? Di mana modennya? Di kalendar anda? Pakaian? Teknologi? Kereta? Ingat, semua material-material ini boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika itu maksud anda bermakna lebih kaya seseorang itu, lebih moden lah dia ya?

Di sini saya rasa konsep moden itu telah dijulingkan, kita hilang nilai-nilai spiritual modeniti. Oleh itu, dengan santai saya menjenamakan apa yang saya perjuangkan ini sebagai REMODENISME. Memperjuangkan kembali roh-roh modeniti sebenar yang kini bertopengkan hipokrasi.

Saya mahu bebas dan rasa senang hati tanpa wujud sebarang ancaman atau ugutan dari penjajah. Apa, penjajah? Bukankah kita sudah merdeka? Kaki saya. Penjajah-penjajah ini akan senantiasa merompak kita. Lebih menyedihkan penjajah-penjajah ini orang kita. Ya penjajah ini adalah para elitis itu tadi.

Dengan adanya golongan elit ini juga, seni diperlekehkan. Mereka menjual beli seni seolah-olah ia satu hobi. Saya cukup pantang bila keluar ayat jual beli seni ini. Sungguh kurang ajar! Atas nama seni sila rujuk atas nama seni.

Apa itu seni? Jika anda anggap seni sebagai objek, samalah seperti anda anggap modeniti itu objek. Di mana roh dan spiritnya? Di sini remodenisme bertindak untuk meniupkan kembali roh-roh seni. Ahli-ahli Ninja Turtle (Leonardo, Michaelangelo, Raphael & Donatello) bikin painting dan skulptur untuk mencerahkan minda rakyat mereka yang buta huruf, bukan untuk dijual beli.

Pernah sekali saya pergi melihat pertunjukan fesyen pelajar degree di sebuah universiti tempatan. Sebelum setiap hasil kerja pelajar ini digayakan oleh para model, akan diucapkan terlebih dahulu konsep mereka.

Konsep: CD, kemudian keluarlah model-model menggayakan pakaian disangkut kepingan CD. Konsep: Pin, kemudian keluarlah model-model menggayakan pakaian dipenuhi pin-pin. Omg, apakah maksud ini semua. Ini degree bukan diploma!

Malah jika anda pernah tertonton rancangan Project Runway Malaysia, anda akan dapati mereka ini agak kaku dan terkial-kial bila ditanyakan idea dan konsep. Sejujurnya saya rasa mereka ini tidak tahu apa yang mereka lakukan.

Fesyen ini hanyalah satu contoh. Di dalam arsitektur jangan terperanjat jika konsepnya daun dan pelannya secara literal berbentuk daun kah kah kah.

Ini baru idea dan konsep belum ditanya apa itu seni. Apa itu seni? Saya tidak boleh jawabkan untuk anda, sebaliknya anda perlu cari ia disebalik akal dan jiwa anda sendiri. Jika anda rasa belajar fine art itu selangkah ke arah seni, sejujurnya ini sudah juling.

Di sini ingin juga saya nyatakan, bahawa saya tidak terikat dengan manifesto Remodernism (1999) oleh Billy Childish dan Charles Thomson. Walaupun sejujurnya apa yang ada di dalam fikiran dan jiwa saya hampir sama dengan manifesto ini, saya tetap tidak akan terikat dengan sebarang format atau dogma. Malah saya sendiri khuatir jika tema remodenism mereka ini digunapakai MTV. Apa kes?

Daripada saya ikut mereka, baik saya definisikan remodenisme saya ikut situasi setempat (dalam erti kata sebenar ikut kepala otak saya haha). Mereka ingin 'moden kembali' kerana tidak puas hati dengan pasca moden, manakala saya pula mahu 'moden kembali' kerana kita pura-pura moden (tapi sebenarnya masih feudal).

Ada faham? Pandai.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Oktober 24, 2008

Coklat Sepanyol, Arak dan Tapai

Ini kisah lapan tahun yang lalu. Waktu itu, saya di Johor Bahru. Bukan menetap di sana, tapi kembali bertemu rakan lama. Kami telah bercadang untuk pergi ke kompleks bebas cukai, yang tak berapa bebas (memang sial), yang letaknya di Stulang Laut. 

Kami sebenarnya tiada tujuan yang jelas, sekadar ingin merewang-rewang. Membuang masa, kata masyarakat Hadhari. 

Tapi dek kerana gatal ingin meletakkan sedikit makna kepada aktiviti petang itu, saya telah membeli sepapan coklat. Coklat ini tak cukup glamor di sini, bahkan jenamanya pun saya dah tak ingat. Apa yang pasti, coklat ini dibuat dan dipek di Sepanyol. Itu saja yang saya ingat. 

Oleh kerana saya dah lupa akan jenamanya, saya dengan selamba menjenamakan semula coklat ini sebagai 'coklat Sepanyol.'

Saya memang punya tabiat meminati barangan/produk luar negara, terutamanya yang dikapalkan dari Eropah. Mungkin saya ini tak cukup patriotik. Terus terang, saya rasa bukan semuanya best sangat pun, barang-barang Mat Salleh ni. Tapi setidak-tidaknya, paling ketara, produk dari Eropah yang saya kemaruk ialah filem. 

Setelah wang dan coklat bertukar tangan antara saya dan juruwang, saya dan rakan pun pulang. Tak terus pulang ke rumah, kami terus meleser di tengah bandar. Kerana takut coklat saya mencair dipanah petir, eh, matahari, saya pun siat kertas pembalut dan terus pepak sebahagian coklat saya. 

Mulanya bessttt…tapi lepas tu…

Erk..!

Haramjadah, apahal rasa pelik semacam? Getus hati saya. Saya beritahu rakan kemudiannya, sambil saya masih control selamba, terus mengunyah sikit demi sikit coklat saya. Rakan saya pula minta sedikit, nak rasa katanya. Sambil-sambil itu, dia membelek-belek kertas pembalut, dan saya fikir dia cuba membaca bahagian ingredient.

Tak lama selepas itu, air mukanya berubah. Dia seakan terkejut beruk. Beruk pun belum tentu terkejut macam dia.

Dan tak pasal-pasal, dia bertempik, “wey, coklat ni ada alkohol, doh!”


Bin-fuckin’-go!


Tepat sangkaan saya. Memang ingredient yang dibacanya. Apa reaksi saya? Apa yang perlu saya buat? Muntahkan balik coklat Sepanyol saya?


No fuckin’ way!


Jadi, saya terus habiskan baki coklat Sepanyol saya, manakala rakan saya itu sedaya upaya memuntahkan semula apa yang telah disumbatnya ke dalam mulut. Ada alkohol itu coklat, haram katanya. 

Saya taklah jengkel sangat. Almaklumlah, saya ini pernah bersekolah di sekolah agama. Itulah cubaan pertama saya untuk bergelar tok lebai. Jadi, logiknya, halal haram ini semua ‘mainan’ walaupun saya dah naik muak sebenarnya. Kerana itu, saya hanya buat ‘dono’ saja.

Kini, apabila mengenangkan semula kisah tadi, saya tersenyum keseorangan. Saya tak akan pernah tahu kalau coklat yang saya telan itu haram, sebab ada alkohol. Cuma saya agak pelik, di mana haramnya coklat Sepanyol saya?

Persoalan ini tersembul kerana, setin air harimau pun, alkoholnya hanya sekitar lima persen. Inikan pula sepapan coklat. Saya fikir, mestilah kandungan alkoholnya lagi sedikit. Secara logik, bagaimana saya boleh mabuk? Dan bahlul sangat ke orang Sepanyol ni, takde kerja lain, buat coklat supaya orang jadi mabuk? Rasa saya, alkohol dalam coklat itu sekadar penambah perisa saja.

Dari apa yang saya sikit tahu, yang saya faham dari al-Quran, memang ada disebut arak itu haram, walau saya tak ingat dengan tepat, dalam surah apa, ayat yang mana. Tapi, ya, selalu ada tapi, kita seharusnya baca ayat di dalam al-Quran itu, between the lines. 

Saya harap, apabila disebut bahawa arak itu haram, kita jangan mudah melatah, atau jadi bahlul. Ayat larangan itu datang dengan satu konsep, saya fikir. Konsep inilah yang sebenarnya perlu kita, (kalau kamu Muslim lah), fahami. Bukan menceduk bulat-bulat, ayat itu secara literal.

Al-Quran, jika diperlakukan sebegitu (ceduk bulat-bulat), tanpa kefahaman akan konsep, ia hanya menjadi sebuah buku teks tinggalan yang usang. Al-Quran, perlu dibebaskan dari kerangka teks, saya rasa. Barulah ia relevan dan bersifat kontemporari. Kitab ini (al-Quran) perlu bersifat kontekstual dengan masa. 

Berbalik kepada kes coklat saya tadi, saya agak ragu-ragu untuk menyatakan yang coklat saya haram. Arak yang disebut dalam al-Quran sebagai haram sebetulnya, saya fikir, dijadikan sebagai simbol sahaja. Kebetulan, ayat larangan itu turun kerana para sahabat kemabukan setelah meminum arak, lalu menyebabkan mereka melewat-lewatkan sembahyang atau sembahyang mereka tak khusyuk. 

Di sini, mabuk itu satu konsep. Bukan arak, bukan alkohol. Yang ditegah ialah mabuk. Mabuk atau khayal ini ditegah dalam Islam kerana ia membawa mudarat, kepada kesihatan dan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Ini adalah satu konsep.

Disebutkan arak dalam ayat itu, kerana ‘kena’ dengan konteks kejadian. Sekali lagi, kebetulan, yang membuatkan minum arak itu menjadi mabuk kerana terkandungnya alkohol dengan julat yang besar. Kalau yang diminum orang Islam masa itu ialah teh, dan mereka mabuk, maka pasti akan turun ayat yang mengharamkan minuman teh! Apa kes tak boleh minum teh tarik?

Dadah misalnya, pun boleh dikatakan haram, sekiranya ia memabukkan, mengkhayalkan. Tapi dadah boleh saja digunakan atas tujuan perubatan, bukan? Selagi tak memudaratkan. Alkohol turut banyak diguna pakai dalam perubatan. Tak jadi hal pun. 

Ini samalah juga kesnya dengan minyak wangi. Di mana logiknya minyak wangi yang beralkohol itu haram dibawa sembahyang? Boleh mabuk ke? Atau alkohol ini najis? Setahu saya yang tak boleh dibawa sembahyang ialah kekotoran, kerana ‘kebersihan itu asas keimanan.’ Bagi saya, daripada sibuk-sibuk pasal alkohol, lebih baik tandas masjid itu dicuci dahulu!

Bagaimana pula dengan abah saya, yang suka makan tapai? Tapai ini, makanan yang diperam. Air tapai, kalau diperam lama-lama, boleh buat tuak. Air tuak ini, walau saya tak pernah rasa, memang memabukkan, kata orang lah. Mungkin juga saya tahu rasanya kerana saya pernah makan tapai. Tapi mustahil saya mabuk kerana memakan tapai, kecuali airnya yang boleh dibuat tuak itu, kalau dihirup banyak-banyak mungkin boleh jadi senoneng kepala saya. Minum secawan mungkin tak rasa apa kot.

Jadi, adakah coklat yang saya telan lapan tahun lalu haram, kerana adanya alkohol, sedangkan saya langsung tak mabuk? Kalau yang saya telan itu najis, kerana alkohol itu najis, maka samalah juga saya ni dah makan tahi! Saya dah telan tahi? Omaigod!!!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Khamis, Oktober 23, 2008

Kertas Bernyawa

Ketika saya kerja di Brickfields dahulu, di pejabat saya ada seorang interior designer, dia sangat sayangkan haiwan, al maklum dia wanita bujang. Di rumahnya ada 7 ekor anjing, 14 ekor puppies dan 3 ekor kucing. Dia ini boleh kita katakan sebagai seorang animal lover kerana semua haiwan yang dibelanya adalah haiwan-haiwan terbiar.


Ini adalah situasi kedua di mana konstruk sosial anjing + kucing = gaduh dipecahkan buat saya. Kali pertama saya berkenalan dengan Ramdan, Mummy dan 4 ekor anaknya haha


Tapi tunggu dulu, disebalik tujuan murni itu pasti terselit sesuatu, sesuatu yang aneh. Ingat, anjing tidak sebersih kucing, jadi siapa yang akan menjaga dan membersihkan haiwan-haiwan ini? Mudah saja, upah seorang pekerja Indonesia.

Pekerja Indonesia ini akan dibawa ke pejabat tiga kali seminggu untuk membersihkan pejabat (lihat, salah guna). Walaupun kerja mereka kelihatan remeh, tapi sebenarnya berat kerana mereka terikat 24/7 365 hari setahun. Pendek kata tiada cuti.

Anda biasa ke kedai mamak bukan? Bukankah anda melihat wajah pelayan yang sama setiap masa? Tahukah anda mereka ini hanya cuti sehari dalam setahun. Hari apa? Hari Raya Aidilfitri! Ini belum masuk berapa jam mereka kerja dalam sehari.

Pekerja Indonesia tadi sentiasa datang minta tolong saya gode-godekan telefon bimbitnya. Walhal saya tidak begitu arif pun tentang teknlogi ini. Malah telefon bimbitnya lebih canggih daripada saya. Apapun saya cuba menolong. Bukan apa, kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan sebarang orang.

Kami berborak, dan satu perkara penting yang saya ingat adalah gajinya. Tahu berapa? 400 ringgit. Kenapa 400 akan saya jelaskan kemudian.

Biasakah anda ke tempat-tempat perlancongan bertaraf dunia (kononnya) di negara kita ini? Berikut adalah pengalaman yang masih segar dalam ingatan saya. Saya ke Taman Tasik Titiwangsa untuk melihat Eye on Malaysia. Namanya pun saya tidak berkenan. Dari London Eye anda boleh melihat satu kota London. Dari Eye of Malaysia, err bolehkah anda melihat satu Malaysia? Hmmm sedikit pelik di situ.

Satu lagi perkara yang menjengkelkan saya adalah dengan adanya satu gondola v.i.p. Gondola ini sungguh pelik, ada leather seat, DVD player, plasma screen, peti sejuk dan lantai kaca. Fungsi asas Ferris wheel ini adalah supaya kita dapat menikmati pemandangan dengan rasa privasi. Oleh itu, apa kejadahnya kita tengok t.v dalam Ferris wheel!

Dengan adanya satu gondola v.i.p ini, ia merobak modeniti struktur ini. Sungguh tidak demokratik, kita masih feudal, kasihan.

Di bahagian bawah Ferris wheel ini seperti biasa pasti ada jual makan-makan. Dibuka gerai-gerai. Menakjubkan, setiap makanan yang dijual berharga RM 3.80. Aiskrim 3.80, keropok lekor 3.80, popcorn 3.80, semuanya 3.80.

Kenapa RM 3.80? Jika anda perasan (jangan perasan), 3.80 ini berkaitan dengan RM 400 tadi.

RM 3.80 ini bersamaan USD 1. Kita MENJUAL ikut nilai mata wang asing. Ini pelik lagi ajaib. Dan RM 400 pula bersamaan 1 juta Rupiah. Kita MEMBELI ikut nilai mata wang asing sekali lagi.

Menyedihkan, kita memperhambakan nilai mata wang kita untuk kepentingan diri sendiri. Jual pakai USD, beli pakai Rupiah, mana Ringgitnya? Ini secara terang tidak adil. Nasionalisme? Patriotik? Punggung saya kah kah kah. Oleh itu tolonglah,


Guna wang ringgit dengan rasa hormat, kesederhanaan dan logik akal!



Ridhwan Saidi

Rabu, Oktober 22, 2008

Orang Tanya, Saya Try Jawab

Semalam saya disergah satu soalan, di ruangan ‘komen.’ Asalnya, saya mahu jawab terus di situ (komen), tapi apabila saya mula menaip, jawapan saya meleret-leret la pulak. Mungkin kerana tanda soalnya itu banyak sangat kot, ada empat.

Di bawah ini saya tampalkan soalannya.



Apa ya yang menyebabkan saudara berfikir yang perkahwinan menyebabkan "mereka telah kerugian banyak peluang untuk mengutip seberapa banyak pengalaman di usia muda seperti membuat apa-apa saja yang dikira mencabar, adventure, penuh kegilaan, dan…er, romantik, tak mahu meneroka potensi hidup yang lari dari kongkongan tradisi, dan membuka gerbang kehidupan dalam skala yang lebih luas"????


Bukan perkahwinan yang saya hentam, tapi perkahwinan di usia yang terlalu muda. Apa yang saya tulis hanya satu pandangan, atau mungkin saja satu alternatif selain dari meneruskan sebuah tradisi usang yang dilakukan secara gelojoh. Dan tulisan saya juga bukan bersifat tentangan. Pokoknya, ini hanya satu lontaran idea yang mungkin cetek, dan paling penting, pilihan tetap di tangan kamu sendiri. 

Saya terfikir hal ini disebabkan saya agak jengkel melihatkan telatah ibu-bapa muda-muda zaman sekarang. Sibuk mahu kahwin cepat-cepat, tapi tak bersedia dalam banyak segi. Akibatnya, akan timbul pelbagai masalah sampingan, seperti yang banyak berlaku sekarang ini. Alah, takkan kamu tak tahu apa masalahnya…Kalau tak tahu juga, tanya Dino. Dan yang lawaknya mereka mengaku berani mengambil resiko, memikul beban dan tanggungjawab. Konon! 

Berkahwin jadi satu kebanggaan yang kosong, macam pameran, apabila raya, mulalah sibuk tayang anak bini di rumah sanak saudara, buat-buat lagak keluarga bahagia. Ia tak lebih sekadar bingkai tanpa gambar. Bahkan saya suspek ada di antara mereka yang berkahwin muda itu tak lebih sekadar membeli tiket untuk mendapatkan seks halal sahaja!

Perkahwinan satu ikatan yang bakal membataskan sedikit sebanyak kebebasan kamu. Hye, kamu diikat, mana mungkin kamu bebas berterbangan seperti helang? Ini jangan cuba-cuba kamu nafikan. Tanggungan hidup kamu bertambah, dan kalau kamu tak cukup bersedia, ia mendatangkan masalah besar, apatah lagi jika kamu sudah punya anak untuk diberi makan dan minum. Saya agak sedih bila melihatkan ibu bapa muda-muda ini tidak tahu jaga anak, tapi buat anak saja yang mereka tahu. 

Budak-budak kecil ini kadangkala terbiar, kurang kasih sayang, sebab mak bapak sibuk cari makan dan paling teruk, pendidikan mereka terabai. Anak nak melintas jalan pun mereka lepas begitu saja. Budak-budak dilepas-lepaskan, sebab tak larat atau memang malas nak jaga. Kalau dah ditabrak motokar, baru hang tau! Budak-budak manalah tahu apa-apa. Patutnya orang yang lebih tua lah pimpin. Siapakah orang yang lebih tua itu?

Kahwin usia terlalu muda dengan kewangan yang tidak mantap bakal mendatangkan bencana kepada anak yg tidak berdosa. Budak-budak ini kalau mak bapak tak cukup beri pendidikan, bila besar, paling best pun dia hanya jadi mat rempit. Ala, kira okay la tu, kan? 

Barang diingat, pendidikan zaman sekarang bukan murah. Dan kamu tak boleh serah pada TAKDIR dengan mengharapkan mereka jadi bijak tanpa sebarang asuhan. Jangan mudah jangkakan anak kamu boleh jadi genius macam Karim Rashid. Dalam satu abad, nak jumpa seketul Karim pun belum tentu. Kamu takkan tak tahu ‘Salah Asohan?’ 

Kalau kamu modal sikit, kamu tak dapat beri pendidikan terbaik untuk anak kamu. Bukan salah mereka kan kalau mereka tak jadi orang tapi jadi zombie. (rujuk filem Zombie Kampong Pisang) Kalau tak percaya, pergi tanya orang Cina, berapa banyak wang yang mereka laburkan untuk beri anak-anak mereka pendidikan yang terbaik? Itu tidak masuk wang yang disalurkan oleh persatuan-persatuan mereka lagi. Kita, Melayu, nak harap kerajaan, tu pun duit kadang-kadang tak sampai, di tengah jalan dah kena kebas oleh pemimpin budiman. Ini hakikat, kalau kewangan tak kukuh juga, famili kamu boleh berantakan. 

Apabila masalah semakin meruncing dan tak mampu dibendung lagi, masa itu mulalah drama tuding-menuding jari. Si bapa tuduh emak, emak tuding ke bapa, bapa tuding ke anak, anak salahkan bapa, emak salahkan anak, anak tuding semula kepada emak… Akhir sekali siapa yang salah? Takdir Tuhan yang salah…hahaha! 

Saya tidak maksudkan duit itu segala-galanya. Tapi, kalau kamu just rely on ‘kasih sayang’ semata-mata tanpa didikan atau ilmu, apa maknanya? Berapa lama kamu boleh bertahan dengan kasih sayang kamu? Kasih sayang saja tanpa beras dan buku – lupakan saja. Dan berapa ramai yang mampu bergantung kepada kasih sayang semata-mata, apatah lagi kalau anak mereka itu santak sampai 10 orang? Kamu perlu realistik. Pendek kata, semuanya perlu saling lengkap-melengkapi, baru cun. 

Mereka yg berjaya keluar dari kepompong kemiskinan rata-ratanya punya kesedaran yang tinggi akan hidup. Apa dia kesedaran tu? Mana datangnya benda alah kesedaran tu? Pastinya dari berfikir dan berusaha sampaikan akhirnya kamu mampu menilai apa yang baik dan apa yang tidak, tang mana yang best, tang mana yang hampeh. Woit, nak tengok Jogho ke Cinta Kolestrol?

Kalau tidak, itu yang ramai keluar televisyen atau suratkhabar, minta simpati, sebab kemiskinan atau anak kena colek. Saya sampai naik tak kesihan pun ada. Saya selalu perhatikan, kerana saya suka merayau-rayau, ibu-bapa muda-muda ini, ada anak dibiar-biarkan. Kadang-kadang tu, dimanja-manja secara berlebihan pula. Sampai anak tu langsung naik tocang. 

Bukan ke Tuhan sudah bekalkan kita akal kepada kita supaya BERFIKIR? Ini tidak, balik-balik babitkan Tuhan, kata takdir Tuhan bla bla bla...sambil menitis air mata. Masalah macam ini tak timbul kalau mereka guna akal. Bukankah akal fikiran itu anugerah Tuhan yang paling ampuh? Orang yang tak percaya Tuhan pun berfikir. Sedangkan Muhammmad bila ditanya sahabat, apa itu agama? Nabi selamba kata ‘AGAMA ITU AKAL.' Tapi orang kita yang sibuk-sibuk, berebut-rebut nak mengaku yang paling Islam, tak nak guna akal pun! Ironi sungguh...

Tapi kalau kamu tetap mahu berkahwin di usia muda, itu kamu punya hal. Tak salah! Duit kamu. Kehendak kamu. Pilihan hidup kamu. Tapi please, biar betul-betul bersedia dan lepas itu jangan sesekali menyesal. Kalau menyesal, nanti saya tumbuk. Saya hanya cuba beri pendapat betapa kamu punya peluang untuk buat apa-apa yang kamu suka, semasa kamu BUJANG, selain daripada berkahwin. 

Contohnya banyak. Di Sweden, negara paling demokratik di dunia, pemuda pemudi di sana, kalau mereka dah habis belajar, ada yang tak terus bekerja. Mereka buat macam-macam. Ada yang main band, ada yang produce magazine, ada yang bikin painting, ada yg aktif dlm NGO, malah ada ramai yang 'tersesat' di Malaysia. Mereka gunakan masa muda mereka untuk berkreatif dan explore perkara-perkara baru yang tak mungkin dapat dilakukan setelah mereka memiliki anak lima atau bongkok tiga. Ini semua pada saya menjadikan naratif hidup mereka lebih berwarna-warni, lebih meriah lagi bermakna.

Saya cukup iri dengan mereka yang sudah merantau ke banyak ceruk dunia, nampak gaya mereka jadi manusia yang lebih hati kering, kental dan selamba. Dan paling penting, minda mereka semakin ‘terang.’ Tak payah nak disuluh-suluh. Suluh-suluh pun, last-last nampak benda lain jugak, kan?

Itu sebab juga saya katakan bahawa kebanyakan dari mereka yang berkahwin terlalu muda ini ‘hanya nampak apa yang betul-betul tercatuk di depan mata, tanpa mahu mengorek sebarang rahsia atau misteri disebalik apa yang betul-betul dilihat di depan mata itu.’ Mereka jarang atau langsung tak memikirkan konsekuen kepada setiap tindakan yang diambil. Mereka turut tidak mahu memandang sesuatu jauh ke hadapan. Bosan.

OK, apa yg Jack Kerouac buat masa usia muda?



HITCH HIKING!


Hasilnya?

ON THE ROAD!

Apa status novel itu sekarang?



CULT!!!


Diletak sebelah Bible lagi di New York – sebab asyik kena curik.

Ketika novel itu belum diterbitkan lagi pun – akibat kena reject - Kerouac sudah MEMBAYANGKAN bahawa suatu hari nanti beliau akan menggenggam dunia.

Hye, kamu boleh buat macam-macam lagi di waktu muda. Pergilah hirup udara segar di luar sana dan berhepi-hepilah selalu..:P


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Oh, bosan pula asyik cerita pasal kahwin ni, ada cerita lain yang lagi menarik kot?

Selasa, Oktober 21, 2008

Mekanik dalam Filem

Masihkah anda ingat di era 80an kita punya filem-filem yang punya watak mekanik. Sejujurnya saya tidak pasti bila ia bermula. Adakah Mekanik (1983) oleh Othman Hafsham pemula kepada fenomena ini? Saya pun tidak tahu.

Pekerjaan ini jugalah biasanya menjadi titik tembung antara si susah mekanik dan anak gadis sang senang. Kereta menjadi medium untuk mereka bersemuka dan kemudian bercinta. Mudah dan klise bukan? Tapi bukan ini yang ingin saya bebelkan.

Saya rasa mekanik ini adalah simbol kelelakian, kejantanan, dan kemaskulinan dalam filem. Tidak, jangan tuduh saya chauvinist pula. Saya hormat kepada kaum wanita akan tetapi bagi saya lelaki dan perempuan tidak akan sama. Sifat maskulin dan feminin adalah umpama yin yang, hubungan simbiosis di antara mereka yang penting bukan sifat ingin menjadi antara satu sama lain.

Sudah, usah berbicara pasal modeniti dengan saya. Apapun kita masih berpijak di tempat yang mengamalkan sistem feudal haha.

Semalam saya menggunakan komuter, ada dua perkara yang menarik perhatian saya. Satu, suara ketika hampir sampai ke stesen yang direkod (seperti LRT) dan bukannya suara pemandu komuter yang sedang tidur. Kedua, lelaki-lelaki yang berambut ponytail dan berkemeja kemas, saya fikir ini golongan metroseksual baru pulang kerja.

Di sini terlintas dalam fikiran nakal saya, apa jadi jika saya masukkan lelaki-lelaki (kononnya) moden ini ke dalam konteks filem-filem 80an sebagai mekanik. Boleh anda bayangkan? Saya boleh dan semua orang dalam komuter hairan melihat saya senyum keseorangan.

Watak mekanik yang paling saya gemari adalah Saiful lakonan Eman Manan dalam Matinya Seorang Patriot (1984). Si Saiful ini siap bersila atas enjin betulkan kereta dalam gelap. Habis bersungguh-sungguh. Ini saya kira sungguh maskulin dalam konteks tempat kita (bukan 300, Gladiator atau Troy ya).

Dari lelaki-lelaki rawak yang saya pilih dalam komuter, kemudian saya beralih pula kepada pelakon-pelakon zaman sekarang. Lihat, betapa imaginatifnya saya. Saya berbincang dengan kawan baik saya (yang juga teman wanita saya) tentang siapa yang boleh bawa watak mekanik lakonan Eman Manan ini, secara tak langsung punya sifat-sifat maskulin sejati saya kira (bukan definisi maskulin majalah Maskulin).

Ini adalah perbincangan dua hala dan melibatkan seorang lelaki dan seorang perempuan. Ibarat dua tiang yang tidak terlalu jauh dan tidak pula terlalu dekat. Tidak terlalu independent dan tidak pula terlalu dependent.

Jika kedua tiang bersandar antara satu sama lain, maka robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama. Jika kedua tiang terlalu jauh pula, juga robohlah bumbung dan beban yang ditanggung bersama.

Tidak buta dalam terang, dan hairannya tidak pula celik dalam gelap.

Satu demi satu nama-nama pelakon dan selebriti masa kini yang kami lontarkan, tapi akhirnya hanya satu nama yang kami sepakat punya kualiti seorang mekanik maskulin iaitu S.J.

Borak punya borak punya borak pasal mekanik ini akhirnya kami terbawa kepada satu lawak aneh. Ada seorang mekanik yang tanpa disedari sangat terkenal dan berjaya masa kini (subjektif).

Jeng jeng jeng...

Masih ingat Spanar Jaya?;)



Ridhwan Saidi

p/s: Ketika menulis entri ini, keluarga saya pula yang hairan melihat saya senyum keseorangan.

Sabtu, Oktober 18, 2008

Mabok Kepayang

Entah mabuk apa saya hari ini, saya ingin berceloteh sikit tentang perkahwinan, yang mungkin merupakan institusi kemanusiaan paling kuno dalam sejarah peradaban umat manusia.

Saya mendapati, terdapat sedikit kejulingan di kalangan masyarakat kita hari ini, terutama yang masih muda, seawal 20-an barangkali, memiliki kecenderungan berebut-rebut untuk berkahwin. Saya tak tahu atas dasar apa sebenarnya, tabiat berebut-rebut ke jinjang pelamin ini semakin menjadi trend di kalangan pemuda-pemudi, terutamanya yang Melayu, walaupun ramai juga yang tua-tua biang keladi, kepala dah tak berbulu, tapi masih tak sedar diri.

Apa yang dapat saya lihat, mereka telah kerugian banyak peluang untuk mengutip seberapa banyak pengalaman di usia muda. Pengalaman yang saya maksudkan di sini ialah, membuat apa-apa saja yang dikira mencabar, adventure, penuh kegilaan, dan…er, romantik. Romantik pula, saya maksudkan dengan pengertian yang lebih besar, bukan hanya tercakup dengan klise ‘dua merpati terbang sejoli’, contohnya pergi menjelajah ke luar negara jika ada sikit wang, atau terlibat dengan sebarang bentuk gerakan massa seperti Soe Hok Gie. Ingat, itu hanya contoh.

Mereka, yang terhegeh-hegeh ini, tak mahu meneroka potensi hidup yang lari dari kongkongan tradisi, dan membuka gerbang kehidupan dalam skala yang lebih luas, sebaliknya lebih selesa mematikan segala kemungkinan itu lalu dengan pantas menjunam ke gerbang perkahwinan.

Berbeza pula dengan manusia yang ‘bukan Melayu’, of course tak semua, yang tampak lebih gagah, berani meneroka gerbang kehidupan dengan seluasnya, dan punya berahi mengais-ngais lapangan hidup. Misalannya, mereka ini yang mungkin dari kalangan Mat Saleh, orang Jepun, atau apa suku bangsa sekalipun, berani merantau jauh untuk melihat dunia luar. 

Tidak dengan yang namanya Melayu itu, mereka seakan puas dan cukup selesa berpusing-pusing dalam teritori selamat mereka. Melayu ini, sebenarnya merantau dekat-dekat sahaja dan selalunya mudah tumpas di tengah jalan.

Dari apa yang saya perhatikan, tak ramai yang bercita-cita besar. Cukup sekadar kahwin, dapat anak, lalu meneruskan hidup secara ‘normal’ – langsai hutang, kereta, rumah, bayar segala bil itu, bil ini, dan tanggung nafkah anak bini. Paling malang, mereka ini tiada niat langsung untuk mencabar potensi diri atau punyai jiwa besar walau dalam mimpi sekalipun! 

Mungkin ada di kalangan kamu yang beranggapan yang saya ini tidak adil dalam menyatakan sikap dan pendapat. Sebenarnya tidak, saya sebenarnya memilih untuk bercakap jujur – tentang apa yang saya rasa atau fikir. Saya tak kesah atau peduli jika kamu bertentang pendapat atau mata dengan saya.

Sebetulnya, saya kadangkala bingung melihat semudah itu mereka memilih jalan hidup. Tapi ada masanya saya juga agak cemburu ditambah sikit rasa kagum terhadap mereka ini. Haha!

Mereka yang menamatkan zaman bujang pada usia terlalu muda, saya rasa, adalah golongan yang kurang mencabar dan tak mahu mencabar potensi diri sendiri. Mereka memilih jalan selamat, duduk dalam zon selesa. Tapi sekiranya zon yang mereka diami itu pecah berderai, mereka ini, saya yakin, akan menggelabah, dan porak-peranda. 

Mereka ini kebiasaanya dari jenis tak tahu nak buat apa, tak kreatif dalam mencorak batik-batik kehidupan. Mereka hanya nampak apa yang betul-betul tercatuk di depan mata, tanpa mahu mengorek sebarang rahsia atau misteri disebalik apa yang betul-betul dilihat di depan mata itu. Realiti hidup yang dipilih hanya selapis, tipis, setipis kulit bawang.

Dan mereka lebih selesa melilit dan membelit leher mereka dengan rantai hutang – pada usia muda! Mereka lebih ghairah meneroka bank-bank, along-along, tuan-tuan ceti, tokey-tokey pajak gadai, rakan-rakan lama, atau sanak saudara.

Lalu sekonyong-konyong ditariknya Tuhan, untuk terlibat dalam kancah urusan peribadi mereka, sebagai alasan paling konkrit – seraya mengaku ‘sudah sampai jodoh, nak buat macam mana’ atau ‘ini ketentuan Ilahi.’ 

Semacam tiada keinginan langsung untuk cuba membuat pilihan sendiri yang jernih dari campur tangan Tuhan. Sayang, Tuhan yang dilibatkan itu tak mungkin akan membayar hutang-hutang mereka. 

Ketimbang soal ini, segalanya automatis halal, lepas masuk lalu disudahi dengan ‘alhamdulillah.’ Semudah itu, kan?


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Oktober 12, 2008

Jangan Dok Pandang

Di alam nyata, manusia secara umumnya tidak menyukai perasaan takut. Rasa cuak, seram sejuk, nak terkucil, nak pengsan, semua ini antara perasaan-perasaan, yang saya kira, sentiasa cuba dijauhi oleh setiap makhluk yang bergelar manusia. Kata orang, simpang malaikat 44! 

Tapi agak aneh, adakalanya manusia tetap juga cuba menyelusur rasa takut ini, melalui pelbagai cara. Ada yang cuba main ‘spirit’, ada yang ketika zaman kecilnya sibuk nak masuk ‘Rumah Hantu’ di Melaka, ada yang poyo cari hantu, dan masuk rancangan ‘Seekers’ yang mengarut, lalu tak sampai sepuluh minit dah terjerit-jerit, padahal satu habuk hantu pun tiada, ada yang baca kitab Tamar Jalis, ada yang baca kitab Mastika dan akhir sekali, ada yang cuba merasai nikmat ketakutan ini dengan menonton filem seram. 

Bagi saya pula, secara peribadi, saya akan berasa seram ketika menonton siri drama Gerak Khas.

Filem seram ternyata mampu menyediakan wadah ketakutan kepada kita. Filem seram yang berjaya sentiasa berjaya membuatkan hati penontonnya bagai nak meletup, disudahi dengan rasa terkejut atau terus menjerit. Filem seram yang sukses sentiasa sukses menewaskan minda sedar kita, menenggelamkan realiti agar menjadikan kita hidup di bawah sedar buat seketika waktu. 

Ini bermakna, ia berjaya memindah kesedaran kita dari realiti untuk masuk ke dalam alam ketakutan yang dicipta. Jika kita menonton filem seram dengan kesedaran penuh (conscious), maka kita akan hilang nikmat rasa ketakutan. Sebab itu kebanyakan dari kita hanya membiarkan elemen conscious dihanyutkan oleh naratif filem-filem seram ini, agar ketakutan itu dapat dirasai.

Pernah satu ketika dahulu saya menonton Ju-on, filem seram yang dikhabarkan sebagai amat menakutkan, sebuah filem Jepun, kalau tak silap, bersama rakan-rakan, bergelap dalam sebuah bilik. Nak feel la konon. 

Sampai ke satu babak yang konon menakutkan, hampir semua yang di dalam bilik menjerit, kecuali saya. Bukan saya nak berlagak macho atau cool. Cuma sememangnya saya tak rasa apa-apa kerana saya cukup sedar yang merangkak-rangkak terkial-kial menuruni tangga itu tak lebih sekadar minah Jepun yang disolek sedemikian rupa. Kalau dia tak disolek sedemikian rupa, rambut mengerbang, serabai macam baru bangun tidur, mata dicelak sampai naik lebam, mungkin dia itu sebenarnya seorang minah cun. 

Ketika itu, saya hanya menikmati jalan ceritanya sahaja. Silap saya juga, saya menonton filem itu dengan conscious, maka saya tak dapat menjerit bersama rakan-rakan. Haha!

Sama seperti perasaan-perasaan lain, rasa takut ini terbukti, sebenarnya, mempunyai nikmat. Kalau tak, masakan orang tetap menghabiskan wang untuk menonton filem seram di pawagam? Terjerit-jerit ketika menyaksikan filem seram itu satu manifestasi nikmat. Oleh itu, kamu tak perlu rasa meluat, menyampah atau rasa ’nak sekeh kepala sekor-sekor’ dengan mereka yang terjerit-jerit di dalam panggung ketika filem seram sedang dimainkan, disebabkan kamu sendiri ’tak rasa apa-apa.’ 

Ia umpama kamu menaiki roller coaster. Kamu tahu ia sangat mencuakkan, tapi kamu tetap berdegil, kamu tetap ingin mencubanya, semata-mata ingin merasai nikmat ketakutan. Kamu tak perlu marah kepada mereka yang terjerit-jerit ketika menaiki roller coaster, melainkan kamu itu Mr. Bean.

Nikmat seram ini saya rasa sebenarnya satu bentuk eskapism, satu cubaan kita untuk lari dari rutin hidup yang mundane, monotonous, predictable. Apabila hidup ini terlalu rutin, atau asyik bergembira tak sudah-sudah, kita akan mencapai satu takat di mana kegembiraan dan yang rutin itu menjadi terlalu banal dan hilang nilai. Hidup ini ternyata perlu diserikan dengan sikit elemen ketidakdugaan dan unsur-unsur suspen, saya fikir.

Entah kenapa, malam raya lalu saya memberanikan diri menonton filem Melayu di kaca TV. Ini saya anggap antara cubaan saya merasai perasaan seram, selain dari menyaksikan drama Gerak Khas. 

Sebelum itu, ingin saya nyatakan bahawa saya sebenarnya amat segan untuk membakar duit saya di pawagam, lebih-lebih lagi untuk menonton filem-filem ’glokal’, apatah lagi kalau ianya filem seram. Ala, faham-faham la kan...

Lagipun, filem-filem yang ditayang di pawagam tempatan biasanya tak menarik minat saya. Filem-filem yang ditayangkan ini, kebanyakannya hanya tahap mediocre. Selalunya, jika saya terasa seperti ingin menonton di pawagam, apabila tiba di sana, saya akan terpinga-pinga.

Tapi yang paling saya terasa ialah, filem-filem ini, walaupun tak semua, ’lepas’ di panggung kerana ianya adalah jenis filem yang tak mungkin menggertak kuasa hegemoni pemerintah, filem-filem yang boleh berkompromi dengan keberadaan nilai-nilai establishment palsu, langsung membuai masyarakat supaya terus ’ketiduran.’ Tak hairanlah mengapa negara kita memiliki Perdana Menteri yang kuat zzzzzz...

Filem-filem hebat, mahsyur dan masyuk, setakat yang sudah saya tonton, sentiasa mampu menjentik rasa, menyentap minda dan membuatkan saya terjaga dari tidur. Dan kesemua filem sebegini yang sudah saya tonton datangnya dari medium cetak rompak. Long live pirate DVD!

Jadi, raya lalu sempat saya menonton beberapa filem, di TV, antaranya Syaitan, sebuah filem yang saya kira seperti bayangan rupa syaitan, buruk, mengelirukan tetapi langsung tak mencabar (tolong jangan bandingkan dengan Jean-Luc), dan membosankan, Zombie Kampung Pisang, lagi okay, serta Jangan Pandang Belakang. Ha, ni yang ambo nak ghoyak ni...

Menonton JPB ini juga saya anggap satu nikmat, maaf ya, bukan nikmat seram, tapi nikmat lawak.

Setelah menonton JPB, saya rasa ia cukup ’hebat.’ Tak hairanlah JPB mampu mengaut kutipan pecah panggung, kutipan filem tertinggi selepas filem sembelit lakonan Awie yang sungguh memilukan suatu masa dahulu. Di Malaysia, jumlah kutipan RM 7 juta memang bukan sedikit.

Apa yang hebatnya tentang filem ini? Saya rasa, di sebalik unsur seram yang cuba diterap, sebenarnya JPB berjaya membuat saya rasa seperti menonton filem komedi slapstik. Saya melihat JPB sebagai filem lawak seram, lebih lawak dari Zombie Kampung Pisang! Tapi awas, jangan cuba bandingkannya dengan Senario. Sebagai individu yang tak sukakan perasaan takut, apatah lagi bersedih, menonton JPB ini memberi satu pengalaman yang cukup berharga kepada saya, lebih-lebih lagi sewaktu di malam raya.

Dalam filem ini, perjalanan cerita dalam konteks filem seram adalah terlalu predictable. Saya boleh menjangka keseraman yang cuba ditimbulkan dalam JPB, semudah melihat suasana suram yang menyelubungi kediaman yang dihuni anak Khatijah Tan, yang memikul watak utama dalam filem ini. 

Saya tak pelik kalau hantu suka menyakat Dharma, watak lakonan anak Khatijah Tan ini, setelah melihat keadaan rumah beliau yang langsung tak ceria. Tapi saya rasa agak pelik, apahal sepanjang masa suasana rumah Dharma kelihatan suram sentiasa? Apa pasal rumah ini hampir bergelap gelita? Tak mampu bayar bil elektrik ke? Saiz rumah agak besar, tapi anak Khatijah Tan ini duduk sorang-sorang saja? Wah, hebat! Mana perginya kaum keluarga beliau yang lain? Kawan-kawan? Dia ni anti sosial ke? Ha, kan dah kena kacau hantu! Ahahaha!

Saya rasa, saya akan lebih suspen sekiranya pengarah memilih untuk mewujudkan suasana yang ’normal’, persekitaraan yang tampak tiada apa-apa keganjilan yang mungkin berlaku, tetapi hakikatnya akan terjadi peristiwa-peristiwa yang bakal melemahkan jantung. Maksud saya, kejadian-kejadian yang unpredictable, tak dapat dijangka di sebalik rutin harian yang kelihatan normal. Sekurang-kurangnya, saya akan lebih menghargai unsur-unsur sebegini kerana ia tak terperangkap dengan klise filem-filem seram yang berlambak-lambak sekarang ini, yang seolah-olah wajib menunjukkan elemen gelap, kusam dan suram yang tiada makna dan berlebih-lebih.

Pun begitu, saya masih menghargai babak-babak ketika Dharma berada di kampung, yang saya rasa lebih cool dengan persekitarannya yang tampak lebih 'normal.'

Ada satu babak, ketika Dharma baru keluar dari lif, dan tak tahu hujung pangkal, muncul pula kelibat hantu anak beranak, ada bapa hantu, ibu hantu dan anak hantu berpakaian serba putih masuk ke dalam lalu menebeng di dinding lif dengan masing-masing tertunduk malu. Ini lagi saya pelik! 

Soalnya, mengapa hantu-hantu ini muncul dengan tiba-tiba? Apa kaitan hantu anak beranak ini dalam kesah hidup Dharma? Apa kaitannya dalam filem ini? 

Sampaikan tamat saya tonton filem ini, saya langsung tak menjumpai pertalian atau apa-apa tanda hubungan antara hantu anak beranak dengan retetan siri kejadian-kejadian seram yang dialami oleh Dharma. Hantu sebenar yang mengacau Dharma berpunca dari hantu yang mula-mula mengganggu arwah teman wanita beliau, dan hantu ini tak pula ditunjukkan beranak-penak!

Jelas sekali, babak ini kantoi dalam menjalinkan hubung kait antara unsur seram yang cuba ditandai melalui kewujudan entiti hantu dengan keseluruhan jalan cerita. Saya tak terlalu peduli dengan plot. Senang cerita, walau semua babak dalam filem adalah buatan, namun babak ini nampak terlalu dibuat-buat, semata-mata ingin memberi idea yang JPB adalah sebuah filem seram lagi menyeramkan. Hakikatnya, ia menjadikan JPB sebuah filem lawak yang murah.

Dan pada saya, ia tak lebih sebagai babak copy and paste dari beratus-ratus lagi filem seram yang lain, terutamanya yang datang dari Korea dan Jepun.

Motif sebenar hantu yang mengacau Dharma ini juga agak kelam. Sampai ke akhir cerita, saya tak nampak sebab musabab hantu ini beria-ia benar mengganggu hidup beliau. Nak kata saka pun bukan. Ia sekadar memberi klue bahawa teman wanita Dharma mati akibat tekanan melampau setelah kerap diganggu si hantu. Dan mentang-mentang la Dharma ini teman lelaki si mati, hantu ini nak kacau Dharma pula. Bosannya!

Imej hantu yang dipapar juga satu lawak. Muka hantu itu tak menyeramkan, tapi melawakkan. Fizikal hantu jelas kelihatan, berterbangan ke hulur ke hilir langsung tak membuatkan lutut saya terketar-ketar. Untuk saya, hantu hanya menarik untuk ditinjau dari sisi misterinya sahaja. Unsur misteri yang mewarnai imej hantu inilah yang membuatkan kita tercari-cari, ingin tahu rupa hantu yang sebenar. Lagi tak nampaknya hantu itu, semakin ia menjadi misteri, bertambahlah keseramannya.

Tapi jika hantu bebas berkeliaran melayang-layang di udara macam burung, dan kita, manusia, bebas pula melihatnya dengan jelas, maka ini akan membunuh unsur misteri hantu tersebut. Dan saya yakin, selepas itu, tiada siapa yang akan ambil pot lagi dengan apa yang dipanggil sebagai hantu. Kalau hantu hilang taring, kelak Uncle Seekers pun susah nak cari makan.

Saya bercakap dalam konteks saya sebagai penonton, bukan dalam konteks realiti filem ini. Harap maklum.

Selain itu, kegagalan Dharma menyebut ’s’ dengan telus juga saya anggap satu lawak. Ssss...la, bukan ‘h’! Susah sangat ke nak sebut? Alahai...ahahaha!!!

Namun, terdapat juga adegan lawak, yang memang betul-betul lawak. Serius, bukan lawak seram. 

Adegan yang saya maksudkan ini ialah adegan yang melibatkan perbualan antara watak Opah, lakonan ibu Adlin Aman Ramli, dengan Dharma. 

Si Opah bertanya kepada Dharma, “nama cucu siapa?”

“Nama saya Dharma, opah.”

“Dharmaopah?”

“….”

LOL!

Saya ingin membungkus pojok kali ini dengan mengucapkan ‘selamat hari raya’ kepada Ahmad Idham kerana berjaya membuatkan saya ketawa terbahak-bahak ketika malam raya yang lalu. Sekian.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Khamis, Oktober 09, 2008

Cinta Picisan

Beberapa hari lepas saya tonton filem Cinta oleh Kabir Bhatia buat kali kedua di kaca televisyen. Filem ini secara peribadi tidak memberi apa-apa impak yang besar terhadap diri saya.

Ramai yang katanya menangis masa tonton filem ini, saya no comment. Bagi saya filem ini mendatar, rigid dan monotonous sepanjang panjang cerita. Klimaksnya tidak jelas di mana. Saya tidak tahu bila saya patut mengalirkan air mata (jika benar ia kisah sedih).




Oh come on, saya juga pernah mengalirkan air mata sewaktu menonton filem. Bergenang mata saya menonton Tokyo Story dan Schindler’s List. Pilu hati saya melihat anak-anak di kota lupakan ibu bapa mereka dari kampung. Sedih melihat nyawa-nyawa manusia diambil tanpa rasa was-was.


Berbalik kepada filem Cinta, antara perkara yang dapat saya tangkap adalah penggunaan KLCC yang diulang-ulang. Pertama semestinya kerana ia sebagai simbol tempat. Tapi kenapa bukan Menara KL yang digunakan? Kerana KLCC adalah simbol dua dan berpasangan. Konsep monogami diterapkan secara halus dalam filem ini. Poligami, free love? Maaf ya.

Filem ini secara teknikal dan zahirnya kelihatan serupa seperti Love Actually, ya. Tapi ia sangat berbeza bagi saya. Tahu kenapa? Kerana konsep yang dibawa dalam mendefinisikan cinta. Love Actually dipenuhi kisah-kisah yang penuh humor, komedi dan kegembiraan. Cinta? Sebaliknya, ia penuh rasa sedih, tragedi dan kepiluan. (Rujuk entri Usahlah Kau Bersedih)

Daripada 5 kisah ‘cinta’ ini saya hanya berkenan dengan kisah Cikgu Elyas dan Rubiah. Yang lain-lain macam ada yang tak kena. Watak yang dicipta dan ayat-ayat yang dilontarkan agak picisan bagi saya. Kadang-kadang filem ini jadi komedi.

Kisah Fasha dan Eizlan sangat lawak bagi saya. Satu, mungkin sebab Fasha Sandha berlakon, kedua, karakter yang dicipta lemah dan tidak relevan. Cuba bayangkan watak Azura ditukarganti dengan gadis atau abang kedai MPH yang biasa. Adakah anda seorang kaya akan jatuh cinta dengan kakak atau mamat ni yang kritik font muka depan majalah anda?

Cinta antara dua darjat boleh, tapi sekurang-kurangnya karakter biar senonoh. Saya percaya cinta si Eizlan ini hanya pada fizikal si Fasha, cinta picisan. Atau mungkin masa terlalu pendek sehinggakan dua karakter ini tidak dapat dicintakan sepenuhnya. Lol.

Si Pierre ini pula pelat dan Que pula mengada-ada. Ini semua bikin kacau, jadi lawak. Saya tidak tahu sebab pelakon atau skrip dan saya tidak akan salahkan sesiapa.

Menambahkan rencah komedi adalah teknik sinematografi yang diwar-warkan cantik. Perasankah anda ada satu gerakan ini yang dibuat berulang-ulang. Gerak kamera ke tepi bermula dari balik dinding (dekat dan gelap). Pada mulanya membosankan, kemudian menjadi sangat kelakar bagi saya.

Nanu dan Rashidi pegang watak arkitek tak silap saya. OMG itu bidang saya. Mungkin bagi anda ini bagaimana rupanya seorang arkitek, ekonomi yang stabil tapi kegembiraan spiritual tak cukup. Oleh itu dengarkan ini, inilah imej-imej arkitek picisan.

Kenapa saya tidak dapat terima kisah cinta golongan muda-mudi ini sebaliknya saya boleh terima kisah Cikgu Elyas dan Ruby? Kerana kisah ini lebih ikhlas, yang lain-lain di balik cinta (kononnya) mereka wujud tujuan tersirat.

Semua kritikan yang saya lontarkan ini, ke atas Cinta sebagai ‘filem’ (dalam erti kata sebenar), bukan Cinta sebagai sebahagian daripada industri.

Dalam konteks industri bagi saya ia satu petanda baik (jangan overated pula). Kenapa? Kerana dari sudut teknikalnya ia bagus serta memerlukan kebolehan berfikir dan kemahiran matematik untuk mengaitkan 5 kisah dalam 2 jam. Serius susah.

Kesimpulannya filem Cinta ini difilemkan dengan terlalu berfikir dan bersifat teknikal. Setahu saya cinta ini tidak boleh dicapai melalui akal. Seseorang itu perlu rasa cinta dengan hatinya. Oleh itu saya lebih senang dengan filem bertemakan cinta yang digarap ikhlas dari hati berdasarkan gerak hati.


Ridhwan Saidi

p/s: Saya lebih enjoy menonton Kelab Buku Bukit Ceri. Entah siapa pengarahnya saya sudah lupa ;-)

Selasa, Oktober 07, 2008

Namaku Bukan Karmen

Pagi ini, celik mata, saya terasa ingin menulis sesuatu. Asalnya, saya tak mahu mengepos apa-apa entri pada hari ini, tapi nyata saya tak mampu mengepung bakaran gelodak asmara (pundek). Saya nyata ‘menagih nikmat’. Dan ketagih nikmat saya bukan terhadap internet, tapi filem. See, saya bukannya internet junky. Hehe…

OK. Tadi malam, saya menonton Prenom Carmen/ First Name: Carmen/ Nama Pertama: Carmen. Ini satu lagi filem Jean-Luc Godard yang telah saya tengok.

Kali pertama saya tonton filem Jean-Luc adalah menerusi filem Contempt, bukan Breathless. Kali pertama ini cukup bererti buat saya. Kali pertama ini membuka lembaran baru kefahaman saya tentang seni wayang bergerak ini. Kali pertama ini laksana saya bertukar kiblat. Kali pertama ini seolah melalui malam pertama yang sungguh nikmat. Barangkali...

Lalu, apa yang saya jumpa? 

Keganjilan.

Bukan, serius, bukan saya mahu membuat resensi filem di sini. Tadi malam, saya saksikan filem ini untuk kali pertama tanpa kefahaman yang jelas. Terus terang saya katakan yang saya agak blur. 

Kadangkala, seperti kata U-Wei Shaari, “tak faham itu indah“. Dan tadi malam, saya terpaksa bersetuju.

Lalu, apa yang saya jumpa?

Pengalaman tadi malam sebenarnya menyebabkan saya semakin memahami kerja-kerja kreatif pengarah lagenda Perancis ini. Bukan filem yang saya faham, tapi pemikiran seorang individu. 

Berdasarkan ‘pencerahan’ yang saya lalui malam tadi, saya mula sedar bahawa filem-filem beliau adalah cukup bebas, bebas sebebas bebasnya dari segala aturan lapuk. Karya beliau tidak terkepung dengan sebarang nahu, stigma, undang-undang, atau terma dan syarat. Godard tidak cuba untuk memenjara minda penonton ke dalam naratif filem beliau. Ini semacam memberi kebebasan kepada penonton bukan saja untuk menafsir malah ‘menikmati’ filem tersebut. ‘Menikmati’ di sini saya maksudkan seperti makan biskut – cecah kopi, sekadar menikmati gerakan-gerakan visual secara nihil. Seperti beliau pernah berkata, just take it!

Ini kerana, tiada konsep aturan dalam kerja filem beliau. Kita tak perlu gusar keciciran perjalanan cerita, kerana ’cerita’ itu belum tentu bermakna. Dengan menunggang-terbalikkan naratif atau plot, beliau berpeluang untuk bermain dengan medium filem sepuas-puasnya, memasukkan apa saja yang dirasakan bukan perlu, dari segi musik ataupun sinematografi, tapi sentiasa mencabar daya imaginasi dan kreativiti. 

Dan sebab itu dalam kerja beliau, saya mendapati bahawa beliau begitu menitiberatkan aspek editing. Naratif filem tidak sejalur, tapi ia bebas untuk ditikam mengikut resa beliau. Ada satu babak, ketika musik dari Beethoven berkumandang dengan asyiknya, lalu dengan tiba-tiba, sound dimatikan, dan secara automatik mood penonton akan sikit terganggu. Kekacauan sebegini amat menarik hati saya.

Sememangnya Godard bukan sahaja seorang pembikin filem, beliau juga komposer, pemuisi, dan penulis yang dengan rencam berani mengadun segala macam bentuk seni lalu dituang ke dalam acuan filem sekaligus. He is a true artist, in the true sense of the word.

Dalam filem-filem Godard, beliau tak dapat lari dari bermain-main dengan aspek emosi yang mendalam. Ini juga bagi saya amat menarik (saya akan cuba relate dalam konteks architecture di lain masa). Dari aspek ini, kebiasaannya musik akan memainkan peranan penting. Penggunaan musik oleh Beethoven yang membuai perasaan kemudian secara halus ‘dicamouflage’ dengan lagu dendangan Tom Waits bukan saja memainkan mood, tapi seakan menyuntik kesegaran dalam filem ini. Perlu diingat, filem ini dibikin pada 25 tahun yang sudah.

Beliau amat pakar dalam hal ehwal menangkap gerakan awan, visual langit terbentang luas serta deruan ombak memecah pantai. Selalunya ia adalah metafora kepada sebuah kehidupan. Tapi dalam konteks filem ini, ia seperti perantaraan antara satu momen ke satu momen yang lainnya. Babak-babak sebegini banyak dilayarkan dalam First Name: Carmen.

Satu lagi ciri yang saya dapat tangkap dari filem ini ialah habit Godard menggunakan elemen perempuan dan pistol. 

Godard juga gemar menjadikan filem beliau sebagai platform untuk melemparkan pandangan peribadi dan kritikan. Dan setiap pandangan mahupun kritikan ini juga biasanya tidak terikat dengan naratif filem. Ia ditebuk secukup rasa. Maka amatlah perlu untuk penonton observe setiap dialog dengan khusyuk, jika mahu menemui makna dan nikmat menonton filem-filem Godard.

Kadangkala saya terfikir yang Jean-Luc ini membikin filem, ceritanya tiada makna, sekadar penghias atau kulitan sahaja. Ia umpama menatap catan di atas lembaran kanvas renjisan tangan Jackson Pollock, barangkali nampak semacam cakar ayam dan tak tentu arah, tapi maknanya perlu disingkap dengan teliti, dengan mengambil kira subjek, bukannya objek, dan hasilnya bukannya cerita, tetapi ‘filem’.


Mohd Ikhwan Abu Bakar