Ini kisah lapan tahun yang lalu. Waktu itu, saya di Johor Bahru. Bukan menetap di sana, tapi kembali bertemu rakan lama. Kami telah bercadang untuk pergi ke kompleks bebas cukai, yang tak berapa bebas (memang sial), yang letaknya di Stulang Laut.
Kami sebenarnya tiada tujuan yang jelas, sekadar ingin merewang-rewang. Membuang masa, kata masyarakat Hadhari.
Tapi dek kerana gatal ingin meletakkan sedikit makna kepada aktiviti petang itu, saya telah membeli sepapan coklat. Coklat ini tak cukup glamor di sini, bahkan jenamanya pun saya dah tak ingat. Apa yang pasti, coklat ini dibuat dan dipek di Sepanyol. Itu saja yang saya ingat.
Oleh kerana saya dah lupa akan jenamanya, saya dengan selamba menjenamakan semula coklat ini sebagai 'coklat Sepanyol.'
Saya memang punya tabiat meminati barangan/produk luar negara, terutamanya yang dikapalkan dari Eropah. Mungkin saya ini tak cukup patriotik. Terus terang, saya rasa bukan semuanya best sangat pun, barang-barang Mat Salleh ni. Tapi setidak-tidaknya, paling ketara, produk dari Eropah yang saya kemaruk ialah filem.
Setelah wang dan coklat bertukar tangan antara saya dan juruwang, saya dan rakan pun pulang. Tak terus pulang ke rumah, kami terus meleser di tengah bandar. Kerana takut coklat saya mencair dipanah petir, eh, matahari, saya pun siat kertas pembalut dan terus pepak sebahagian coklat saya.
Mulanya bessttt…tapi lepas tu…
Erk..!
Haramjadah, apahal rasa pelik semacam? Getus hati saya. Saya beritahu rakan kemudiannya, sambil saya masih control selamba, terus mengunyah sikit demi sikit coklat saya. Rakan saya pula minta sedikit, nak rasa katanya. Sambil-sambil itu, dia membelek-belek kertas pembalut, dan saya fikir dia cuba membaca bahagian ingredient.
Tak lama selepas itu, air mukanya berubah. Dia seakan terkejut beruk. Beruk pun belum tentu terkejut macam dia.
Dan tak pasal-pasal, dia bertempik, “wey, coklat ni ada alkohol, doh!”
Bin-fuckin’-go!
Tepat sangkaan saya. Memang ingredient yang dibacanya. Apa reaksi saya? Apa yang perlu saya buat? Muntahkan balik coklat Sepanyol saya?
No fuckin’ way!
Jadi, saya terus habiskan baki coklat Sepanyol saya, manakala rakan saya itu sedaya upaya memuntahkan semula apa yang telah disumbatnya ke dalam mulut. Ada alkohol itu coklat, haram katanya.
Saya taklah jengkel sangat. Almaklumlah, saya ini pernah bersekolah di sekolah agama. Itulah cubaan pertama saya untuk bergelar tok lebai. Jadi, logiknya, halal haram ini semua ‘mainan’ walaupun saya dah naik muak sebenarnya. Kerana itu, saya hanya buat ‘dono’ saja.
Kini, apabila mengenangkan semula kisah tadi, saya tersenyum keseorangan. Saya tak akan pernah tahu kalau coklat yang saya telan itu haram, sebab ada alkohol. Cuma saya agak pelik, di mana haramnya coklat Sepanyol saya?
Persoalan ini tersembul kerana, setin air harimau pun, alkoholnya hanya sekitar lima persen. Inikan pula sepapan coklat. Saya fikir, mestilah kandungan alkoholnya lagi sedikit. Secara logik, bagaimana saya boleh mabuk? Dan bahlul sangat ke orang Sepanyol ni, takde kerja lain, buat coklat supaya orang jadi mabuk? Rasa saya, alkohol dalam coklat itu sekadar penambah perisa saja.
Dari apa yang saya sikit tahu, yang saya faham dari al-Quran, memang ada disebut arak itu haram, walau saya tak ingat dengan tepat, dalam surah apa, ayat yang mana. Tapi, ya, selalu ada tapi, kita seharusnya baca ayat di dalam al-Quran itu, between the lines.
Saya harap, apabila disebut bahawa arak itu haram, kita jangan mudah melatah, atau jadi bahlul. Ayat larangan itu datang dengan satu konsep, saya fikir. Konsep inilah yang sebenarnya perlu kita, (kalau kamu Muslim lah), fahami. Bukan menceduk bulat-bulat, ayat itu secara literal.
Al-Quran, jika diperlakukan sebegitu (ceduk bulat-bulat), tanpa kefahaman akan konsep, ia hanya menjadi sebuah buku teks tinggalan yang usang. Al-Quran, perlu dibebaskan dari kerangka teks, saya rasa. Barulah ia relevan dan bersifat kontemporari. Kitab ini (al-Quran) perlu bersifat kontekstual dengan masa.
Berbalik kepada kes coklat saya tadi, saya agak ragu-ragu untuk menyatakan yang coklat saya haram. Arak yang disebut dalam al-Quran sebagai haram sebetulnya, saya fikir, dijadikan sebagai simbol sahaja. Kebetulan, ayat larangan itu turun kerana para sahabat kemabukan setelah meminum arak, lalu menyebabkan mereka melewat-lewatkan sembahyang atau sembahyang mereka tak khusyuk.
Di sini, mabuk itu satu konsep. Bukan arak, bukan alkohol. Yang ditegah ialah mabuk. Mabuk atau khayal ini ditegah dalam Islam kerana ia membawa mudarat, kepada kesihatan dan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Ini adalah satu konsep.
Disebutkan arak dalam ayat itu, kerana ‘kena’ dengan konteks kejadian. Sekali lagi, kebetulan, yang membuatkan minum arak itu menjadi mabuk kerana terkandungnya alkohol dengan julat yang besar. Kalau yang diminum orang Islam masa itu ialah teh, dan mereka mabuk, maka pasti akan turun ayat yang mengharamkan minuman teh! Apa kes tak boleh minum teh tarik?
Dadah misalnya, pun boleh dikatakan haram, sekiranya ia memabukkan, mengkhayalkan. Tapi dadah boleh saja digunakan atas tujuan perubatan, bukan? Selagi tak memudaratkan. Alkohol turut banyak diguna pakai dalam perubatan. Tak jadi hal pun.
Ini samalah juga kesnya dengan minyak wangi. Di mana logiknya minyak wangi yang beralkohol itu haram dibawa sembahyang? Boleh mabuk ke? Atau alkohol ini najis? Setahu saya yang tak boleh dibawa sembahyang ialah kekotoran, kerana ‘kebersihan itu asas keimanan.’ Bagi saya, daripada sibuk-sibuk pasal alkohol, lebih baik tandas masjid itu dicuci dahulu!
Bagaimana pula dengan abah saya, yang suka makan tapai? Tapai ini, makanan yang diperam. Air tapai, kalau diperam lama-lama, boleh buat tuak. Air tuak ini, walau saya tak pernah rasa, memang memabukkan, kata orang lah. Mungkin juga saya tahu rasanya kerana saya pernah makan tapai. Tapi mustahil saya mabuk kerana memakan tapai, kecuali airnya yang boleh dibuat tuak itu, kalau dihirup banyak-banyak mungkin boleh jadi senoneng kepala saya. Minum secawan mungkin tak rasa apa kot.
Jadi, adakah coklat yang saya telan lapan tahun lalu haram, kerana adanya alkohol, sedangkan saya langsung tak mabuk? Kalau yang saya telan itu najis, kerana alkohol itu najis, maka samalah juga saya ni dah makan tahi! Saya dah telan tahi? Omaigod!!!
Mohd Ikhwan Abu Bakar