Ketika saya kerja di Brickfields dahulu, di pejabat saya ada seorang interior designer, dia sangat sayangkan haiwan, al maklum dia wanita bujang. Di rumahnya ada 7 ekor anjing, 14 ekor puppies dan 3 ekor kucing. Dia ini boleh kita katakan sebagai seorang animal lover kerana semua haiwan yang dibelanya adalah haiwan-haiwan terbiar.
Ini adalah situasi kedua di mana konstruk sosial anjing + kucing = gaduh dipecahkan buat saya. Kali pertama saya berkenalan dengan Ramdan, Mummy dan 4 ekor anaknya haha
Tapi tunggu dulu, disebalik tujuan murni itu pasti terselit sesuatu, sesuatu yang aneh. Ingat, anjing tidak sebersih kucing, jadi siapa yang akan menjaga dan membersihkan haiwan-haiwan ini? Mudah saja, upah seorang pekerja Indonesia.
Pekerja Indonesia ini akan dibawa ke pejabat tiga kali seminggu untuk membersihkan pejabat (lihat, salah guna). Walaupun kerja mereka kelihatan remeh, tapi sebenarnya berat kerana mereka terikat 24/7 365 hari setahun. Pendek kata tiada cuti.
Anda biasa ke kedai mamak bukan? Bukankah anda melihat wajah pelayan yang sama setiap masa? Tahukah anda mereka ini hanya cuti sehari dalam setahun. Hari apa? Hari Raya Aidilfitri! Ini belum masuk berapa jam mereka kerja dalam sehari.
Pekerja Indonesia tadi sentiasa datang minta tolong saya gode-godekan telefon bimbitnya. Walhal saya tidak begitu arif pun tentang teknlogi ini. Malah telefon bimbitnya lebih canggih daripada saya. Apapun saya cuba menolong. Bukan apa, kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan sebarang orang.
Kami berborak, dan satu perkara penting yang saya ingat adalah gajinya. Tahu berapa? 400 ringgit. Kenapa 400 akan saya jelaskan kemudian.
Biasakah anda ke tempat-tempat perlancongan bertaraf dunia (kononnya) di negara kita ini? Berikut adalah pengalaman yang masih segar dalam ingatan saya. Saya ke Taman Tasik Titiwangsa untuk melihat Eye on Malaysia. Namanya pun saya tidak berkenan. Dari London Eye anda boleh melihat satu kota London. Dari Eye of Malaysia, err bolehkah anda melihat satu Malaysia? Hmmm sedikit pelik di situ.
Satu lagi perkara yang menjengkelkan saya adalah dengan adanya satu gondola v.i.p. Gondola ini sungguh pelik, ada leather seat, DVD player, plasma screen, peti sejuk dan lantai kaca. Fungsi asas Ferris wheel ini adalah supaya kita dapat menikmati pemandangan dengan rasa privasi. Oleh itu, apa kejadahnya kita tengok t.v dalam Ferris wheel!
Dengan adanya satu gondola v.i.p ini, ia merobak modeniti struktur ini. Sungguh tidak demokratik, kita masih feudal, kasihan.
Di bahagian bawah Ferris wheel ini seperti biasa pasti ada jual makan-makan. Dibuka gerai-gerai. Menakjubkan, setiap makanan yang dijual berharga RM 3.80. Aiskrim 3.80, keropok lekor 3.80, popcorn 3.80, semuanya 3.80.
Kenapa RM 3.80? Jika anda perasan (jangan perasan), 3.80 ini berkaitan dengan RM 400 tadi.
RM 3.80 ini bersamaan USD 1. Kita MENJUAL ikut nilai mata wang asing. Ini pelik lagi ajaib. Dan RM 400 pula bersamaan 1 juta Rupiah. Kita MEMBELI ikut nilai mata wang asing sekali lagi.
Menyedihkan, kita memperhambakan nilai mata wang kita untuk kepentingan diri sendiri. Jual pakai USD, beli pakai Rupiah, mana Ringgitnya? Ini secara terang tidak adil. Nasionalisme? Patriotik? Punggung saya kah kah kah. Oleh itu tolonglah,
Guna wang ringgit dengan rasa hormat, kesederhanaan dan logik akal!
Ridhwan Saidi