Apa kejadahnya remodenisme ini? Kenapa saya menggelarkan diri saya sebagai seorang remodenis? Mengaku pula tu, tak malu betul haha. Baik, sebelum kita ke hal ini kita perlu tahu perkara asas terlebih dahulu.
Apa yang ingin saya terangkan adalah konsep Tuah dan Jebat. Tuah akan selamanya bercanggah dengan Jebat dan begitu juga sebaliknya. Apa itu Tuah dan apa itu Jebat?
Mengikut intepretasi saya terhadap karangan Tun Sri Lanang ini, Tuah adalah simbol feudal manakala Jebat pula adalah simbol moden. Seperti Tuah dan Jebat, feudal dan moden akan sentiasa bercanggah. Ia tak boleh dicampur gaulkan.
Feudal ini mengikut tafsiran saya adalah sistem yang statik, rigid dan tidak boleh diubah. Anak raja akan terus menjadi raja, anak hamba akan terus menjadi hamba. Moden pula lebih dinamik, siapa-siapa boleh jadi ketua, anda pun boleh, tapi dengan syarat anda dipilih oleh orang ramai (yang bijak).
Kenapa masyarakat kita mengangkat Tuah sebagai hero? Kerana kita masih berpegang pada konsep feudal. Saya cukup percaya tidak ada seorang pun anak kecil di negara kita ini yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri. Kenapa? Kerana ia tidak relevan, PM kita saya percaya akan berganti-ganti keturunan mereka sesama mereka.
Pangkat-pangkat seperti tan sri dan datuk juga amat menjengkelkan saya. Kenapa? Satu semestinya ia 100% feudal. Kedua layanan orang-orang yang tidak berpangkat (rujuk: kaki bodek, tukang kipas) ini berikan kepada mereka. Sedihnya bodekan mereka ini menyerlahkan kebebalan mereka.
Satu ketika dahulu PM melawat sebuah sekolah antarabangsa untuk satu pertunjukan teater. Tahu apa majlis perbandaran buat? Mereka tar jalanraya yang akan dilalui PM dan yang paling mengagumkan, mereka tebang semua pokok-pokok besar di tepi jalan. Selama ini jalan itu redup, kini yang kelihatan hanyalah rumah-rumah (tiada lagi privasi, wujud pencemaran bunyi dan keadaan semakin panas). Mereka menganggap pokok-pokok di tepi jalan sebagai ‘semak’.
Bagi saya golongan elit ini yang semak. Saya percaya bahawa selagi konsep elit ini tidak dipupuskan selagi itu modeniti tidak akan wujud. Konsep elit ini bagi saya terjadi bila ada dua pihak, satu ego elitis ini sendiri (banyak duit banyak harta), dan kedua golongan pengampu dan penyembah wang mereka.
Bagi saya modeniti hanya akan terjadi bila elitis ini makan semeja dengan orang gaji mereka tanpa rasa takut, segan, pelik atau apa. Ibarat dua manusia makan bersama, apa yang anehnya tentang itu?
Di sini ingin saya tanyakan satu soalan. Anda rasa kita hidup di zaman moden? Di mana modennya? Di kalendar anda? Pakaian? Teknologi? Kereta? Ingat, semua material-material ini boleh dibeli dengan wang ringgit. Jika itu maksud anda bermakna lebih kaya seseorang itu, lebih moden lah dia ya?
Di sini saya rasa konsep moden itu telah dijulingkan, kita hilang nilai-nilai spiritual modeniti. Oleh itu, dengan santai saya menjenamakan apa yang saya perjuangkan ini sebagai REMODENISME. Memperjuangkan kembali roh-roh modeniti sebenar yang kini bertopengkan hipokrasi.
Saya mahu bebas dan rasa senang hati tanpa wujud sebarang ancaman atau ugutan dari penjajah. Apa, penjajah? Bukankah kita sudah merdeka? Kaki saya. Penjajah-penjajah ini akan senantiasa merompak kita. Lebih menyedihkan penjajah-penjajah ini orang kita. Ya penjajah ini adalah para elitis itu tadi.
Dengan adanya golongan elit ini juga, seni diperlekehkan. Mereka menjual beli seni seolah-olah ia satu hobi. Saya cukup pantang bila keluar ayat jual beli seni ini. Sungguh kurang ajar! Atas nama seni sila rujuk atas nama seni.
Apa itu seni? Jika anda anggap seni sebagai objek, samalah seperti anda anggap modeniti itu objek. Di mana roh dan spiritnya? Di sini remodenisme bertindak untuk meniupkan kembali roh-roh seni. Ahli-ahli Ninja Turtle (Leonardo, Michaelangelo, Raphael & Donatello) bikin painting dan skulptur untuk mencerahkan minda rakyat mereka yang buta huruf, bukan untuk dijual beli.
Pernah sekali saya pergi melihat pertunjukan fesyen pelajar degree di sebuah universiti tempatan. Sebelum setiap hasil kerja pelajar ini digayakan oleh para model, akan diucapkan terlebih dahulu konsep mereka.
Konsep: CD, kemudian keluarlah model-model menggayakan pakaian disangkut kepingan CD. Konsep: Pin, kemudian keluarlah model-model menggayakan pakaian dipenuhi pin-pin. Omg, apakah maksud ini semua. Ini degree bukan diploma!
Malah jika anda pernah tertonton rancangan Project Runway Malaysia, anda akan dapati mereka ini agak kaku dan terkial-kial bila ditanyakan idea dan konsep. Sejujurnya saya rasa mereka ini tidak tahu apa yang mereka lakukan.
Fesyen ini hanyalah satu contoh. Di dalam arsitektur jangan terperanjat jika konsepnya daun dan pelannya secara literal berbentuk daun kah kah kah.
Ini baru idea dan konsep belum ditanya apa itu seni. Apa itu seni? Saya tidak boleh jawabkan untuk anda, sebaliknya anda perlu cari ia disebalik akal dan jiwa anda sendiri. Jika anda rasa belajar fine art itu selangkah ke arah seni, sejujurnya ini sudah juling.
Di sini ingin juga saya nyatakan, bahawa saya tidak terikat dengan manifesto Remodernism (1999) oleh Billy Childish dan Charles Thomson. Walaupun sejujurnya apa yang ada di dalam fikiran dan jiwa saya hampir sama dengan manifesto ini, saya tetap tidak akan terikat dengan sebarang format atau dogma. Malah saya sendiri khuatir jika tema remodenism mereka ini digunapakai MTV. Apa kes?
Daripada saya ikut mereka, baik saya definisikan remodenisme saya ikut situasi setempat (dalam erti kata sebenar ikut kepala otak saya haha). Mereka ingin 'moden kembali' kerana tidak puas hati dengan pasca moden, manakala saya pula mahu 'moden kembali' kerana kita pura-pura moden (tapi sebenarnya masih feudal).
Ada faham? Pandai.
Ridhwan Saidi