Khamis, Oktober 09, 2008

Cinta Picisan

Beberapa hari lepas saya tonton filem Cinta oleh Kabir Bhatia buat kali kedua di kaca televisyen. Filem ini secara peribadi tidak memberi apa-apa impak yang besar terhadap diri saya.

Ramai yang katanya menangis masa tonton filem ini, saya no comment. Bagi saya filem ini mendatar, rigid dan monotonous sepanjang panjang cerita. Klimaksnya tidak jelas di mana. Saya tidak tahu bila saya patut mengalirkan air mata (jika benar ia kisah sedih).




Oh come on, saya juga pernah mengalirkan air mata sewaktu menonton filem. Bergenang mata saya menonton Tokyo Story dan Schindler’s List. Pilu hati saya melihat anak-anak di kota lupakan ibu bapa mereka dari kampung. Sedih melihat nyawa-nyawa manusia diambil tanpa rasa was-was.


Berbalik kepada filem Cinta, antara perkara yang dapat saya tangkap adalah penggunaan KLCC yang diulang-ulang. Pertama semestinya kerana ia sebagai simbol tempat. Tapi kenapa bukan Menara KL yang digunakan? Kerana KLCC adalah simbol dua dan berpasangan. Konsep monogami diterapkan secara halus dalam filem ini. Poligami, free love? Maaf ya.

Filem ini secara teknikal dan zahirnya kelihatan serupa seperti Love Actually, ya. Tapi ia sangat berbeza bagi saya. Tahu kenapa? Kerana konsep yang dibawa dalam mendefinisikan cinta. Love Actually dipenuhi kisah-kisah yang penuh humor, komedi dan kegembiraan. Cinta? Sebaliknya, ia penuh rasa sedih, tragedi dan kepiluan. (Rujuk entri Usahlah Kau Bersedih)

Daripada 5 kisah ‘cinta’ ini saya hanya berkenan dengan kisah Cikgu Elyas dan Rubiah. Yang lain-lain macam ada yang tak kena. Watak yang dicipta dan ayat-ayat yang dilontarkan agak picisan bagi saya. Kadang-kadang filem ini jadi komedi.

Kisah Fasha dan Eizlan sangat lawak bagi saya. Satu, mungkin sebab Fasha Sandha berlakon, kedua, karakter yang dicipta lemah dan tidak relevan. Cuba bayangkan watak Azura ditukarganti dengan gadis atau abang kedai MPH yang biasa. Adakah anda seorang kaya akan jatuh cinta dengan kakak atau mamat ni yang kritik font muka depan majalah anda?

Cinta antara dua darjat boleh, tapi sekurang-kurangnya karakter biar senonoh. Saya percaya cinta si Eizlan ini hanya pada fizikal si Fasha, cinta picisan. Atau mungkin masa terlalu pendek sehinggakan dua karakter ini tidak dapat dicintakan sepenuhnya. Lol.

Si Pierre ini pula pelat dan Que pula mengada-ada. Ini semua bikin kacau, jadi lawak. Saya tidak tahu sebab pelakon atau skrip dan saya tidak akan salahkan sesiapa.

Menambahkan rencah komedi adalah teknik sinematografi yang diwar-warkan cantik. Perasankah anda ada satu gerakan ini yang dibuat berulang-ulang. Gerak kamera ke tepi bermula dari balik dinding (dekat dan gelap). Pada mulanya membosankan, kemudian menjadi sangat kelakar bagi saya.

Nanu dan Rashidi pegang watak arkitek tak silap saya. OMG itu bidang saya. Mungkin bagi anda ini bagaimana rupanya seorang arkitek, ekonomi yang stabil tapi kegembiraan spiritual tak cukup. Oleh itu dengarkan ini, inilah imej-imej arkitek picisan.

Kenapa saya tidak dapat terima kisah cinta golongan muda-mudi ini sebaliknya saya boleh terima kisah Cikgu Elyas dan Ruby? Kerana kisah ini lebih ikhlas, yang lain-lain di balik cinta (kononnya) mereka wujud tujuan tersirat.

Semua kritikan yang saya lontarkan ini, ke atas Cinta sebagai ‘filem’ (dalam erti kata sebenar), bukan Cinta sebagai sebahagian daripada industri.

Dalam konteks industri bagi saya ia satu petanda baik (jangan overated pula). Kenapa? Kerana dari sudut teknikalnya ia bagus serta memerlukan kebolehan berfikir dan kemahiran matematik untuk mengaitkan 5 kisah dalam 2 jam. Serius susah.

Kesimpulannya filem Cinta ini difilemkan dengan terlalu berfikir dan bersifat teknikal. Setahu saya cinta ini tidak boleh dicapai melalui akal. Seseorang itu perlu rasa cinta dengan hatinya. Oleh itu saya lebih senang dengan filem bertemakan cinta yang digarap ikhlas dari hati berdasarkan gerak hati.


Ridhwan Saidi

p/s: Saya lebih enjoy menonton Kelab Buku Bukit Ceri. Entah siapa pengarahnya saya sudah lupa ;-)