Selasa, Jun 30, 2009

Anak Wayang

Rancangan ini pelik sampai kadang-kadang saya keliru beza rancangan ini dengan Raja Lawak. Paling kelakar, peserta-peserta ini diturunkan dari kereta mewah untuk berjalan di atas hamparan merah, (siap ada temuramah lagi tu) sebelum masuk ke dalam studio. Ini mengecewakan, serius. Atas nama bakat, rasanya program Bintang RTM lagi bagus walaupun koleksi pakaian RTM ‘semacam’ ditambah semua peserta dipaksa pakai contact lens berwarna.

Bagi saya, program mencari bakat lakonan tidak relevan langsung. Malah ada pelakon-pelakon drama yang bagus tapi tidak diberi peluang atau digilap melalui medium filem. Pokoknya yang lebih penting adalah idea, mencari seorang pemikir, seorang sutradara dan bukannya ‘bakat’ lakonan. Malah saya rasa penjual ubat kuat di Loken, Ipoh lagi berkarisma.

Tambah aneh, penaja utama rancangan ini adalah Canon! Bercakap tentang konsumerasi, rancangan ini tidak mengiklankan langsung produk-produk Canon. Daripada buat rancangan cari bakat lakonan ala-ala Akademi Fantasia, adalah lebih afdal jika rancangan ini digunakan untuk mencari sutradara muda. Jadikan Project Runway sebagai contoh. Hey Canon penaja utama, paling cikai beri saja mereka kamera D-SLR (model baru boleh rekod video) untuk selesaikan cabaran mereka, yakni video pendek, iklan, PSA, dokumentari atau apa-apa bentuk nikmat visual. Dalam masa yang sama, di bawah sedar pihak penaja sedang mengiklankan kualiti produk mereka. Apapun tiada teknologi yang boleh selesaikan masalah artistik.

Semestinya ke’selebriti’an (ala-ala Anak Wayang) perlu dihumban jauh-jauh. Rekaan setnya ringkas dan kosong, minimal, moden, takde bunga-bunga. Kalau rekaan setnya sarat berhias, macam mana filem nak maju bukan? Bercakap tentang mise en scène. 

Pastikan juri boleh baca filem. Di Malaysia ada lebih daripada tiga orang yang boleh baca filem, oleh itu ini bukan masalah. Cuma ia akan menjadi masalah besar jika yang tak reti baca filem dipilih menjadi juri. Ini sama macam mengaji Quran, ustaz/ah yang ajar mesti tahu tajwid, makna serta paling penting mesti boleh membaca! Kalau tak boleh baca, macam mana nak ajar budak?

Dan paling penting sekali, pengarah kreatif program ini perlu kreatif (dalam erti kata sebenar). Dulu cabaran-cabaran Project Runway Malaysia membosankan, pastikan ia tidak berulang. Walaupun cabarannya bertopengkan nilai-nilai komersial, tapi idea dan pemikiran (selain just duit) disebaliknya perlu ada. Sebab itu perlunya juri-juri yang boleh baca filem. Malah cabaran terakhir adalah ‘filem pendek’, jangan keliru dengan video pendek (ini bukan soal medium seluloid v digital tapi lebih dari itu,) tak semestinya yang dirakam dengan 35mm itu ‘filem’.

Juara dapat apa? Well bukankah David Teo nak 10 pengarah muda? Sediakan salah satu ruang untuk si juara. Daripada lawan dari luar, sekali sekala suntik racun ke dalam sistem ok apa? Pastikan juara muda ini faham filem (degil; agar tidak dipijak,) dan dalam masa yang sama strategi pemasaran berfungsi. Bila filem bagus laku, filem tak bagus laku akan goyang.

Tapi kalau semua yang terpilih dalam program ini tak faham-faham filem juga, alamat ia akan menjadi sumber hiburan lawak saya-lah.


Ridhwan Saidi

Ahad, Jun 28, 2009

RUMI

Kepada yang poyo sufi, tolong jangan perasan. Untuk peminat Asas ‘50, ini bukan agenda tulisan rumi, tau. ‘Rumi’ yang cuba saya khutbahkan ini tiada kena mengena langsung dengan itu semua, baik Rumi Sang Maulana mahupun rumi pengganti tulisan jawi.

Saya di sini ingin mencuit barang sekali dua akan sebuah event yang telah berlangsung beberapa minggu lalu di UiTM Shah Alam. Seperti biasa, saya datang sebagai pemerhati bebas yang memang sah, tak diundang. Dengan muka tak malu, saya rasa agak syok juga kalau saya titipkan beberapa komentar saya terhadap event ini, lebih-lebih lagi ini merupakan pengalaman kali pertama menghadirinya. Komentar saya pasti kasar (raw) berdasarkan first impression.

Sebelum itu, saya nak beritahu bahawa ulasan saya tak menyeluruh sepanjang empat hari (betul ke?) program berjalan. Saya hanya sempat mengikuti sesi sebelah malam, sekadar mengikuti acara persembahan dari setiap IPT awam dan swasta yang terlibat. Sebagai pengalaman kali pertama melihat acara sebegini, saya sungguh tak sangka mutu persembahan yang diberikan amat mengecewakan, apatah lagi jika difikirkan bahawa event ini melibat hampir kesemua IPT dari serata negara yang menyediakan kursus senibina. Kebanyakan peserta seolah-olah mengambil sikap sambil lewa, main-main dan tak nampak bersedia untuk membuat persembahan. Saya mendapat tahu penganjur sudah memberi surat jemputan lebih awal. Saya fikir, jika kebanyakan peserta mengambil serius, mereka seharusnya sudah membuat persediaan lebih awal dan memikirkan corak persembahan yang ada sangkut-paut dengan tema event, iaitu ‘RUMI.’ Tapi rupa-rupanya saya yang naif, itu tak berlaku.

Saya perasan, hanya ada beberapa IPT yang membuat persembahan yang sesuai dengan tema. Malangnya, saya tak ingat IPT yang mana kerana tak membuat sebarang catitan. Yang lainnya hampeh belaka, semuanya pakat-pakat merapu sampaikan ada sebuah IPT yang wakilnya menyanyikan lagu Yuna. Memang gila, beb! Bayangkan, apa relevannya tema RUMI dengan lagu ‘Yang Sebenarnya?’ Apa ‘yang sebenarnya’ tu?

Penekanan terhadap tema sangat penting untuk program sebegini, kerana selain berfungsi sebagai guide bagi setiap acara, tema juga akan menjadi sebab mengapa event ini perlu dikenang kerana keistimewaannya. Tapi tema tak semestinya diekspresikan sekelepuk bagai merenjis tepung tawar ke tangan pengantin. Setiap tema yang dipilih semestinya punya maksudnya yang tersendiri. Maksud ini seterusnya mencipta ‘roh’ yang tulus, yang mulus. Roh atau semangat tema inilah yang gagal ditarik keluar oleh para peserta workshop kali ini. Saya mendapat tahu, ada peserta yang merungut kerana tak faham tema, yang katanya terlalu puitis. Malah saya sendiri pun berpendapat tema RUMI bunyinya agak umum dan sukar dicerap hujung pangkalnya, terutama untuk mementaskan sebuah persembahan, dengan konsep persembahan yang relatif bebas. Mungkin ini juga menjadi punca rata-rata persembahan bagaikan orang rabun yang kehilangan cermin mata. Jadi, boleh dikatakan yang gagal di sini adalah dari segi pengisian tema itu sendiri.

Mungkin di lain masa, penganjuran workshop seperti ini memerlukan pemilihan tema yang lebih ‘catchy’ dan ringan sebagai daya tarikan, apatah lagi jika dilihat orang kita, tak kira elit ke, profesional ke, akademia ke, sampailah ke orang biasa secara amnya tak suka didera untuk berfikir. Lagipun, tiada beza pun di negara ini antara yang bergelar ‘mahasiswa’ dengan seorang petani, atau tukang gunting rambut, misalnya, dari segi keupayaan intelek, kerana kita di sini lebih berminat mengejar status sosial dan tangga gaji semata.

Dari segi penganjuran, bagi saya tidak gagal. Tiada istilah penganjuran yang gagal selagi ada acara pembukaan dan penutup. Cacat cela pengajuran, tak kira apa-apa penganjuran bukanlah perkara baru. Cuma bila ramai yang merungut tentang kualiti makanan yang disediakan tak mencapai tahap yang diingini, kelemahan sebegini perlu diambil pengajaran yang serius. Namun yang sebenarnya, pihak penganjur sendiri difahamkan kekurangan dana sokongan bagi menjayakan acara ini dengan lebih sempurna. Pihak universiti yang sepatutnya turut sama memberi bantuan tak datang membantu. Sebaliknya, mereka, pihak penganjur yakni pelajar senibina UiTM, seolah-olah dikencing oleh universiti sendiri apabila bantuan kewangan yang mereka terima dari pihak universiti, yang sepatutnya digunakan sebagai biaya kos penganjuran terpaksa ‘dipulangkan kembali’, disebabkan pihak universiti meminta bayaran untuk kos penginapan di asrama bagi para peserta. Inilah dia konsep ‘benteng terakhir orang Melayu’, sudah beri, minta semula. Dasar buruk siku.

Kadang-kadang saya terfikir juga, sampai bila kita perlu tengok universiti awam kita jadi hak milik para pegawai atasan dan para dekan fakulti? Bukankah kuasa autonomi universiti itu seharusnya jadi kepunyaan pelajar? Jangan hujahkan kepada saya bahawa pelajar UiTM mesti bersyukur kepada kerajaan kerana kos yurannya yang murah. Sebab, ini hujah murah untuk memesongkan pemahaman kita terhadap institusi ilmu, yang seharusnya bukan sekadar murah, tetapi kalau percuma lagi baik, untuk mereka yang layak. Pendidikan, sama seperti air, elektrik, perubatan dan perumahan adalah termasuk dalam hak asasi manusia yang TIDAK sepatutnya diniagakan sesuka hati.

Adakah jika yuran mahal itu tandanya kualiti ilmu yang ditimba lebih baik dari yang murah atau percuma? Di negara ini ada sebuah IPT swasta yang yurannya untuk satu semesta mencecah puluhan ribu ringgit. Ini contoh perniagaan mencari laba atas nama keilmuan yang sesuai untuk anak-anak orang kaya yang malas baca buku, atau memang semulajadi bebal. Perniagaan jenis ini bukan atas tujuan pendidikan, tapi atas urusan jual beli kertas sijil. Tapi lawaknya, disebabkan harga kertas sijil yang dibelinya mahal, maka sijil sebegini ini diiktiraf untuk mendapatkan kerja.

Jangan takut untuk mengkritik universiti kamu, wahai pelajar UiTM. Jangan peduli dengan hujah ‘tak mengenang budi.’ Universiti yang kamu duduki adalah universiti awam, yang bersumberkan dana awam, yakni wang saku kita semua sebagai warganegara yang membayar pelbagai jenis cukai setiap tahun. Kamu perlu tahu, yang sebenarnya (bukan tajuk lagu) kamu kritik bukanlah ‘universiti’, kerana universiti adalah entiti yang tak bernyawa, tak berfikir, tak berperasaan. Mengkritik sesuatu yang tak bernyawa, tak berfikir, tak berperasaan adalah kerja bangang. Yang kamu kritik – kamu harus sedar, kerana ada hak – adalah pembuat dasar dan pentadbir universiti yang berlagak seolah-olah universiti ini adalah warisan nenek moyang mereka, turun-temurun.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, Jun 23, 2009

Ilustrasi Sastera

‘Filem bukan ilustrasi sastera’ – Reygadas.

Melalui Wan Azli, saya telah diperkenalkan kepada Carlos Reygadas iaitu seorang sutradara muda dari Mexico. Beliau ini saya kira satu batch sama itu Michel Rojkind yakni arkitek kontemporari kegemaran saya juga dari Mexico.

Ilustrasi sastera ini bermaksud imej-imej bernaratif atau gambar-gambar yang bercerita (seperti komik/novel grafik.) Jadi, jika filem bukan ilustrasi sastera, habis itu apa? Ini membawa kita kembali mencari makna filem. Adakah 'cerita' itu filem? Adakah 'storytelling' itu filem? Jika kita kembali kepada Pure Cinema, sejujurnya kita sepatutnya sudah faham filem (sesucinya) pada dasarnya apa. Stan Brakhage, Koyaanisqatsi & Baraka, antaranya pada dasarnya menolak esensi teater dan sastera. Menolak ‘lakonan’ dari teater dan ‘naratif’ dari sastera. Filem seolah lebih dekat dengan muzik iaitu ‘feel’, cuma ianya secara visual.

Sebab itu, berbekalkan penghayatan Pure Cinema, kita berkebolehan untuk menilai atau menguji kredibiliti sesebuah filem itu. Bogelkan saja filem itu daripada lakonan (kepura-puraan) dan naratif, apa yang tinggal? 

Ini bagaimanapun tidaklah bermakna saya menolak naratif dan lakonan secara fanatik membuta tuli. Cuma kenyataan tersebut tanpa disedari telah membuatkan saya sedar lalu insaf. Ini kerana saban hari, acap kali saya menonton filem di multiplex, apa yang dipaparkan hanya sekadar sebuah ilustrasi sastera semata-mata.


Ridhwan Saidi

Ahad, Jun 21, 2009

Arteri

Saya ada periksa laman web ‘Arteri’ baru tadi. Ini laman yang ‘seni’ gitulah, saya pun tak pandai sangat. Sambil saya turunkan skrol tetikus, sambil tu juga saya baca sepintas lalu topik-topik yang dikarang oleh penulis-penulis di situ. Dan saya tak baca tajuknya saja, tapi saya berminat untuk tahu siapakah pengarang di sebalik tulisan-tulisan ini.

Jujur, sebahagian besarnya saya tak kenal, baik kenal tahap ‘pernah dengar nama’ mahupun kenal peringkat pernah bersua muka atau sudah bersembang teh tarik semeja. Ada di kalangan penulis ini orang Cina. Menariknya, mereka, walau tak semua dan tak ramai, menulis dalam bahasa Melayu dan saya tak fikir tulisan itu diterjemahkan oleh sesiapa dari bahasa Inggeris. Dan peduli lantak sama ada tulisan mereka itu bagus atau tidak, sebab persoalan sedemikian tak berapa penting sangat jika dibandingkan dengan masalah tak tahu, atau rasa malu (lagi celaka!) untuk menulis dalam bahasa Melayu.

Saya juga terperasan ada penulis orang Melayu di situ, tapi memilih untuk menulis dalam tulisan bahasa Inggeris. Saya tiada masalah dalam hal itu, yang kerap dikatakan hak masing-masing untuk bebas ‘berekspresi.’ Saya tak fikir, untuk berbahasa seperti bercakap atau menulis, perlu dibuat satu aturan yang wajib pula dipatuhi. Cuma dalam situasi semacam ini, saya memilih untuk bersikap sinikal saja, kerana ia penuh dengan ironi. Memang tak perlu dipaksa-paksa, untuk berbahasa apa pun, tapi pokoknya: attitude!

Setahu saya, saya punya pengetahuan yang maha cetek bila dilayangkan soalan tentang penulis-penulis Cina yang menulis dalam bahasa Melayu, yang saya ‘kenal’. Saya saat ini hanya mampu mengingati satu nama: Pauline Fan. Beliau saya ‘kenal’ kerana pernah menulis dalam majalah politik, seni dan budaya, Siasah beberapa tahun lalu. Sayang seribu kali sayang, majalah sebagus itu begitu cepat pula pupusnya.

Jadi dipendekkan cerita, saya sangat suka dan senang hati bila melihat ada orang Cina yang suka menulis dalam bahasa Melayu. Sepatutnya, lagipun, ini menjadi hal yang biasa yang mana saya tak perlu melahirkan perasaan ‘suka sangat’ andainya dasar kebudayaan kita dibentuk dalam satu dasar yang jelas, yang saya percaya, hanya dapat dilaksanakan dengan mengangkat bahasa Melayu. Sebab, kita sudah lebih 50 tahun ‘merdeka’ tapi dasar bahasa kebangsaan kita sangatlah memalukan, hinggakan bila ada orang Cina atau India yang bercakap atau menulis dalam bahasa Melayu, orang Melayu perlu berasa ‘suka’ atau ‘bangga’. Contohnya, saya pernah berasa suka bila terpandang seorang India membaca Harian Metro. Apa kejadah?

Alasan saya remeh, kerana bahasa-lah yang menjadi tunjang kekuatan dalam mana-mana kebudayaan di dunia ini. Kalau kita kecut dan tak yakin akan hal ini (bahasa), dan memilih untuk lebih percaya kepada yang bukan bahasa kita sendiri, alamatnya kita akan jadi satu negara bangsa yang cacamarba kerana tiada asas kebudayaan yang tersendiri dan kuat.

Tiada apa yang paling menyeronokkan bilamana melihat di Youtube, video sesi temuramah Jean Luc Godard. Situasinya begini, penemuramah bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris. Beliau pula dengan muka selamba menjawab soalan itu dalam bahasa Perancis tanpa was-was. Padahal sebenarnya Godard ini boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya tak nampak sebarang kerumitan di sini, kerana ada sari kata. Tapi yang lagi menarik, bukan-lah apa yang beliau jawab, sebaliknya tindakan beliau itu yang pada saya sangat cool. Kalau beliau ini perempuan, sudah lama saya copnya sebagai wanita seksi.

Kesah yang lain pula, lihat pada Carlo Ancelotti. Beliau bekas jurulatih kelab bolasepak AC Milan, kelab Serie A, Itali. Beliau sendiri adalah warga Itali. Tapi, baru-baru ini, beliau mengumumkan perceraiannya dengan kelab yang dibimbingnya selama lapan musim berturut-turut, kerana mahu melatih kelab dari London, Chelsea. Lalu, media mengheboh-hebohkan masalah utama Ancelotti untuk melatih Chelsea ialah kerana beliau tak begitu pandai speaking London. Hinggakan menjadi lawak, beberapa minggu sebelum perpindahan itu, beliau ‘terpaksa’ mengaku memang sudah lama belajar sikit-sikit bahasa Inggeris, bukan sebab ingin mengikat kontrak dengan Chelsea, tapi semata-mata mahu meredakan kehangatan spekulasi media dan peminat AC Milan serta Chelsea khususnya.

Namun jika dilihat semula, ada sebabnya mengapa Carletto perlu menguasai bahasa itu. Apa lagi kalau bukan kerana beliau mahu melatih pemain-pemain yang majoritinya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Secara teknikal, ini tindakan yang pragmatik berdasarkan keperluan, bukan mengada-ngada. Takkan nak cakap bahasa Itali? Sepatah haram pun budak-budak Chelsea itu tak faham. Bagaimana nak bina pasukan yang kuat kalau hubungan antara jurulatih dan pemain macam celaka akibat dibayangi oleh masalah komunikasi? Pun begitu, semasa di Milan, Ancelotti, saya tak fikir akan terhegeh-hegeh berbahasa Inggeris kerana sangat tak bermotif.

Ini contoh nyata individu-individu yang berjiwa merdeka, dalam erti kata yang sebenar. Mereka, baik Godard ataupun Ancelotti, tak segan apatah lagi gentar untuk bercakap bahasa sendiri di bumi sendiri. Apa yang tersembul keluar dari mulut itu sebenarnya hasil dari apa yang tertanam dalam tengkorak, yakni otak. Ini soal mentaliti, sama ada sudah betul-betul bersedia untuk mengaku bebas merdeheka, atau sikit-sikit masih lagi terjajah. Orang yang terjajah memiliki mentaliti pengecut, tak yakin, takut, dan sangat malu kalau dimarahi oleh tuannya, iaitu penjajah.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, Jun 16, 2009

Teknologi, Saintis dan Kapitalis

Technology is political – David Noble

(Tulisan ini mungkin tak cukup politikal atau memang tak politikal langsung. Tapi, harapan saya agar kamu sudahi bacaan yang ini.)

Sudah lama saya perhatikan, antara tabiat pelik di kalangan sesetengah manusia yang saya kenali ialah kegilaan mereka mengemaskini pakaian teknologi mereka. Teknologi di sini, saya maksudkan dengan peralatan/gajet elektronik/komunikasi seperti komputer, I-pod, telefon tangan dan sebagainya. Hari minggu pantang menjelma, mereka berkemungkinan besar akan menyerang Plaza Low Yatt. Saya pula, suatu masa pernah diperlekeh oleh kenalan gara-gara sikap saya yang buat tak endah dengan hal-ehwal komputer terkini, gajet tercanggih, telefon tangan termahal, dll. Saya mengaku, saya kurang ambil pot. Namun, jangan silap baca. Saya bukannya anti teknologi. Saya bahkan meraikan teknologi yang bagus dan menarik. Akan tetapi, saya fikir kita juga perlu melihat teknologi dari sisi yang lain. Begitu juga saya menulis ini atas dasar mengemukakan satu cermin pandang yang lain.

Jadi saya terfikir, mengapa hidup kita, manusia meta-moden ini, semakin karap dihambat teknologi? Semakin kita kejar, makin laju ia berlari. Ini seolah-olah mengejar sesuatu yang tak akan dapat kita kecapi. Kita hanya mampu berlari hampir dengannya, tapi bila sudah mendekat, ia rupa-rupanya terus memecut laju meninggalkan kita dalam keadaan terpinga-pinga. Misalnya, katakan ada seorang Mamat membeli gajet yang paling mutakhir di pasaran, dia sebenarnya hanya mampu berasa, atau lebih afdal lagi, berilusi, bahawa dia-lah yang paling best atau cool kerana memiliki barangan tercanggih yang boleh ditayang di depan rakan atau teman wanitanya. Inilah ilusi kononnya hidupnya sudah hampir sempurna dan lebih hebat dari orang lain. Kalau dia tayang depan saya, memang mampus saya tak pandang. Silap hari bulan, saya lempang saja si Mamat ni.

Tapi dalam masa yang sama juga, dia terlelap perasan bahawa tak sampai seminggu, malah mungkin keesokan harinya saja sudah keluar lagi model yang paling baru. Selang sebulan dua, gajet yang dibelinya itu sudah kotai. Kemudian tergerak lagi hatinya untuk membeli gajet yang paling paling terkini, konon tak mahu kalah atau takut dilabel ‘ketinggalan zaman’ oleh manusia-manusia bahlul di sekelilingnya. Ini serupa kerja orang bingai. Dan kerja bingai ini akan berterusan. Hakikatnya, hidup Mamat ini tiada apa-apa makna, kalau pun dia sibuk memperagakan barangan tercanggih setiap hari. Apa yang pasti, towkey kedai dan syarikat pengeluar barangan tadi yang melipat untung.

Tak pernahkah mereka terfikir, apa maknanya semua ini? Mana hujung pangkalnya semua ini, kerja mengemaskini teknologi setiap hari? Bagi saya, semua teknologi ini berpunca dan digerak-pantaskan oleh kaum pemodal alias kapitalis. Contoh senang, Microsoft itu syarikat multinasional. Sony Corporation yang handal dalam pengeluaran barangan elektrik dan elektronik itu juga pastinya syarikat kapitalis. Orientasi syarikat-syarikat besar ini pastilah keuntungan maksima. Jadi, bagaimana nak memaksimakan keuntungan? Sangat mudah. Jemputlah para saintis dan pakar-pakar teknologi yang hebat untuk melakukan segala macam pembaharuan dan penciptaan terkini. Semua kajian lazimnya akan melalui proses R&D (research and development). Proses ini akan ditanggung oleh majikan iaitu para pemodal tadi kerana ia melibatkan modal yang besar.

Tujuannya adalah bagi memastikan bahawa penjualan berterusan dan pasaran tidak akan mati. Jika pasaran mati atau lembab, mereka, para kapitalis tadi akan dianggap gagal memaksimakan keuntungan. Oleh itu, proses konsumerasi perlu dipastikan agar terus berjalan pantas. Kita, para konsumer, wajib dilambakkan dengan alatan/gajet paling canggih, dengan pelbagai pilihan. Dengan banyaknya pilihan pula, kita boleh membanding-bandingkan barangan yang kita miliki dengan orang lain. Bila timbul perbandingan, akan timbul persaingan. Lalu, akan timbul pula peraduan untuk saling kalah-mengalah sesama sendiri. Peraduan ini sial mudahnya, hanya perlu tunggu keluaran apa yang paling baru, cukupkan wang kemudian sambar apa saja yang terkini! Komputer siapa paling lengkap serba-serbi, atau paling laju, dia menang. Hahahha...mamposss lah!

Sebelum itu, ilusi wajib dicipta melalui iklan agar pembeli berasa puas dan hebat. Dalam hal ini, pengiklanan juga memainkan peranan yang amat penting. Sesiapa yang memiliki barangan paling canggih, akan dijual mimpi-mimpi yang ‘wow.’ Anda akan kelihatan cool jika memiliki barangan ini! Syarikat-syarikat pengeluar tahap gergasi akan meyelinap di sebalik apa yang hot, apa yang cool, apa yang kelihatan megah hebat di mata orang ramai. Selalunya, sasaran utama pastilah golongan muda yang masih kemaruk untuk bergaya dan hidup indah dibuai ilusi. Kalau tidak, masakan dalam klip video kumpulan Meet Uncle Hussain untuk filem KAMI itu, di bahagian akhir klip video, ketika budak-budak KAMI memandang ke arah billboard yang tertera logo ‘K.A.M.I’, sempat juga diselitkan logo Nokia selaku penaja di bawahnya? Imej ini cuba menegaskan bahawa jenama Nokia itu cool serupa macam budak-budak KAMI. Maka gunalah telefon Nokia kalau nak cool, serupa macam saya. Tapi dengan adanya tulisan ‘Nokia’ tersebut ‘kehormatan’ visual itu sudah dicabul.

Oh, perasan atau tak, kebelakangan ini juga banyak syarikat telekomunikasi atau elektronik yang beria-ia benar mahu menaja aktiviti muzik ‘indie’, konon mahu menyokong ‘kemajuan scene independent tempatan.’ Pelik, kalau dah ‘indie’, sepatutnya pandai-pandai-lah bergerak secara mandiri. Ini tidak, kena pula bergayut kepada kaum pemodal walaupun sebenarnya mereka, kaum pemodal ini tak ikhlas kerana bermotifkan keuntungan semata-mata. Yang dikatakan scene ‘indie’ itu hanya dijadikan modal melipat untung. Jadi, indie? Pooodahh!

Mungkin kita tak sedar bahawa ini semua adalah permainan dunia kapitalis. Kita sepatutnya sebagai pengguna wajib waspada dari membiarkan diri kita ditipu sewenang-wenangnya dengan membeli sesuatu yang bukan keperluan secara rakus. Bayangkan, jikalau kita semua berbelanja secara berhemah, dan menggunakan teknologi atas dasar keperluan, dan bukan keinginan membabi buta, saya yakin syarikat-syarikat gergasi ini pasti menggelupur macam cacing kepanasan di dalam neraka. Saya tak nafikan yang saya juga salah seorang pengguna teknologi. Manakan tidak, saya menulis menggunakan laptop dan perlu membuka gerbang maya untuk mengirimkan tulisan ini. Cuma pada saya, biarlah apa yang dibeli itu beralaskan keperluan. Paling penting kena ingat, pilihan adalah di tangan kita, sama ada mahu MEnguasai teknologi, atau membiarkan saja diri DIkuasai olehnya.

Teringat pula kata Albert Einstein, “Our much-praised technological progress and civilization generally, could be compared to an axe in the hands of a pathological criminal.”

Hairan juga saya dengan golongan gila teknologi ini. Mungkin mereka orang yang sama yang melagukan nyanyian benci ke atas kekejaman Amerika ke atas Iraq, barangkali mereka jua yang paling beremosi melihat kanak-kanak di Gaza seusia lima tahun yang kehilangan sebelah kakinya akibat dibedil peluru berpandu tercanggih. Kena tahu, teknologi bom berangkai yang terbukti hebat juga pernah digunakan oleh Israel untuk membunuh seramai mungkin warga Palestin. Namun amatlah ironis, di kalangan mereka yang gila teknologi ini juga gagal membaca tabiat mereka yang kemaruk menjadi konsumer teknologi, pada hakikatnya, menyayikan lagu seirama merdunya dengan perangai Zionis Amerika dan Israel, yang gilakan teknologi peperangan tercanggih demi agenda penguasaan di planet bumi.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Jumaat, Jun 12, 2009

Murtad

Saya tak berapa pasti apakah yang akan dicoret ini sepatutnya menjadi sebuah resensi filem ataupun hanya mengarut yang bukan-bukan, hanya kerana bermodalkan sebuah filem pendek yang durasinya sekitar dua minit lebih, hasilan saudara Faiq Khalifa.

Jadi, siapa dia-nya si Faiq ini? Nama haram tak pernah dengar pun?

Seperti Jhebat, Faiq juga sama, bak kata Zahiril Adzim, telah murtad dari lapangan senibina. Apakah benar? Dari sisi sempit senibina sebagai ‘profesion’, mungkin ada benarnya. Bahkan, si penulis juga mengakui kebosanan yang amat parah, andainya senibina itu hanya tinggal susunan beton-beton konkrit-pasir separa pejal. Itu belum masuk lagi soal kesibukan firma-firma yang hanya tahu mengejar projek, tapi di sisi lain kebanyakan para ‘arkitek’ ini, terutamanya yang lokal, tak punya sebarang attitude yang boleh dibanggakan. (nak cerita lebih-lebih pun tak guna, buat malu je) Seterusnya, saya bertanya, mungkinkah ini yang mendorong mereka ‘murtad?’

Ustaz, jangan gubra. Murtad ini asalnya perkataan Arab. Ertinya: berpaling, atau mundur ke belakang. Maka secara harfiah, kita boleh mengandaikan yang mereka ini telah ‘murtad.’ Dalam konteks tulisan ini, mereka telah berpaling dari senibina. Namun, dinilai sekali lagi, manusia yang telah sekali jatuh cinta dengan senibina takkan terus murtad se-murtad-murtad-nya. Mustahil, kerana senibina membibitkan ‘cinta mati.’

Yang sebenarnya, jika diluaskan lagi pengertian senibina dalam kehidupan, kita mustahil bercerai dengannya. Kecuali-lah kamu memilih untuk menjadi Tarzan si Raja Rimba. Apatah lagi jika kecintaan terhadap senibina itu disokong oleh ilmu dan aspirasi untuk mendambakan kecantikan yang sesungguhnya. Walaupun sudah bikin filem, mereka, saya pasti tak akan menjatuhkan talak tiga ke atas senibina. Senibina yang menawan adalah manifestasi kehidupan kita yang juga indah menawan, umumnya, jika itulah mimpi-mimpi indah yang kita kongsi bersama di dunia fana ini. Makanya, mereka bukan-lah sejati murtad. Yang sebenarnya, mereka cuba meneroka demensi baru, bukan seremeh mengalihkan siaran televisyen, atau menukar lampin pakai-buang, sebaliknya yang cukup menarik, ia dijolok oleh semangat lamina memperjuangkan idealisme bawaan mereka sendiri. Dan bagi saya, ini penting kerana saya benci dengan kitaran semula slogan Nike: Just DO IT a.k.a DUIT.

Diikutkan pandangan peribadi, walau mungkin ada yang melulu menuduh saya bias, atau mengamalkan kronisme, setelah melihat hasil kerja mereka, saya berani mengangkat topi. Oh, rupa-rupanya, saya betul mengarut. Sampai akhir saya masih tak menyentuh pun, filem Faiq dalam entri kali ini. Betul, entri ini bukan tentang resensi filem.

Apapun, saya tak optimis, mereka berdua akan ‘kembali ke pangkal jalan.’


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Jun 06, 2009

Tak Ada Apa-apa Pun!

Dalam banyak babak filem Seman yang menarik, saya masih lagi cukup terkesan dengan satu babak ini yang pada saya, dalam konteks filem tempatan, klasik. Tapi sebelum itu juga, saya mahu simpulkan di awal lagi bahawa Mansor Puteh benar-benar seorang pembikin yang memahami medium yang ingin dimainkannya, bukan sekadar ‘buat.’ Jika ‘buat’ ini yang dijual, kita juga perlu sedar bahawa kita perlu ‘bermain’ dengan beribu malah mungkin berjuta-juta lagi umat di luar sana yang juga mem‘buat’, tapi di akhirnya tetap tak jadi apa.

Babak yang saya maksudkan ialah ketika watak Seman berada dalam kapal terbang untuk pulang entah ke mana kerana saya pun sudah lupa. Ah, lupakan saja ke mana destinasi impian Seman. Apa yang penting di sini ialah moment dalam bingkai, saat di mana terjadinya babak lucu antara Seman dengan gadis di sebelahnya yang mana gara-gara kejadian ini, muncul bibit-bibit hubungan mesra antara mereka berdua. Cewah!

Dalam babak ini, romantisnya, si gadis dengan tak sengaja telah tertumpah air ke atas peha Seman yang tentunya dibaluti sehelai seluar. Dengan spontan, si gadis meminta maaf. Tapi aneh bahkan lucu, Seman hanya sekadar berkata, “Oh, tak mengapa. Takde apa-apa. Sikit je ni.” Si gadis seakan tak berpuas hati dengan respon Seman, lalu beliau ‘menduga keikhlasan’ Seman yang mengaku ‘tak apa-apa’ sedangkan seluarnya telah dilencuni air. Tapi sebelum itu, Seman malah mencabar si gadis supaya menuangkan sekali lagi air ke atas seluarnya. Si gadis tanpa ragu-ragu terus saja menuangkan air, dan dengan selamba juga Seman masih berkata, “tengok, takde apa-apa pun. Takde apa-apa pun” sambil tersengih-sengih. Si gadis pula langsung tersipu-sipu dibuatnya dek telatah selamba nak mampus si Seman ini.

Apa yang ditunjukkan di skrin adalah ‘realiti’ filem. ‘Realiti’ adegan ini menunjukkan bahawa Seman tak terkesan dengan air yang telah dicurahkan ke atas seluarnya. Beliau sekadar menunjukkan reaksi lucu, nampak tak terganggu dek seluarnya yang basah itu. Sedangkan dalam realiti, lazimnya kita, apabila seluar basah, pasti berasa tak selesa. Jika seluar kita basah, kita selalunya mahu ia cepat kering, kerana mahu kembali berada dalam situasi ‘selesa’. Sebab itu apabila kita membasuh pakaian, kita wajib mengeringkan pakaian yang basah selepas dibasuh itu, agar nanti boleh dipakai semula. Bayangkan, kalau konsep basah tapi tak akan kering, saya percaya kita semula akan berhenti membasuh baju, atau paling tidak kita akan menukar modus-operandi kepada cara basuhan kering.

Kembali semula kepada Seman. Berdasarkan pandangan peribadi sebagai seorang penonton, pengadeganan ini secara halus telah menghancur-leburkan pra-konsep kepada sesuatu realiti. Tanpa merujuk pada apa-apa teori, saya selalu percaya apa saja realiti di hadapan kita sebenarnya telah di-design untuk kita terima-pakai. Kita sering percaya kepada sesuatu itu atas dasar persepsi rekaan yang telah di-set dalam sel otak. Dan persepsi ini pula terbentuk hasil dari pengumpulan pengalaman kita yang lepas, ditambah dengan ilmu pengetahuan yang bersifat saintifik yang diperoleh dari sumber bercetak seperti buku atau elektronik seperti internet. Tapi dalam masa yang sama kita lupa, bahawa realiti itu tak wujud sehingga ianya benar-benar ‘wujud’ – sama ada ‘ada’ ataupun ‘berlaku’. Apa yang telah ‘ada’ atau ‘berlaku’ tadi akan disusuli oleh respon yang mempunyai caj berlawanan, positif atau negatif, baik-buruk, suka-benci, dll. Namun kita kerap tersasar percaya akan konsekuensi terhadap sesuatu kejadian sebelum ianya benar-benar terjadi.

Sebagai contoh renungan, andaikan kamu keseorangan di rumah. Tiba-tiba, perut kamu memulas. Oh, tidak. Jijiknya. Ok, saya tukar. Andaikan pula badan kamu melengas dan melekit akibat suhu di rumah terlalu membahang, kononnya akibat kesan pemanasan global. Lalu kamu mengambil keputusan nekad untuk mandi. Ya, kamu di kala ini keseorangan di rumah. Tak ada sesiapa walau hantu galah sekalipun. Tapi, perasan atau tidak, waktu kamu masuk ke kamar mandi, kamu secara spontan akan terus menutup pintu kamar mandi kamu. Mengapa pula? Bukan kah kamu tinggal seorang saja? Hai, dah lupa ke? Atau otak dah mereng? Mengapa perlu menutup pintu, sedangkan kamu saja di rumah? Takut orang mengendap? Soalnya siapa?

Nah, kamu lihat bagaimana pra-realiti tadi telah mengaburi fikrah kamu akan konsekuensi terhadap sesuatu bentuk kejadian. Tiada sesiapa yang akan menonton kamu berbogel tapi kamu masih lagi paranoid takut diintai orang. Inilah yang kita lakukan sehari-hari. Kita telah melangkaui hakikat sebenar kepada sesuatu kewujudan atau kejadian. Tapi dalam Seman, sama ada sengaja atau tak, konsep ini dipersoalkan. Realiti tak akan kita kecap selagi ia belum benar-benar terjadi. Dan hakikatnya, konsekuensi kepada sesuatu wujudiah/kejadian itu masih lagi terbuka luas untuk sebarang andaian atau kemungkinan. Dalam kes bilik mandi tadi, kamu boleh saja membiarkan pintu bilik mandi itu terbuka luas, andai realitinya saat kamu mandi tiada mata-mata horny yang memerhatikan kamu. Nak tahu lebih lanjut, sila bertanya kepada Kak Nasha Aziz kita, sebab beliau pasti lebih arif dalam bab-bab sebegini.

Dan dalam Seman pula, Mansor Puteh telah menggunakan medium filem untuk mencipta hakikat lain, bahawa Seman tetap ‘tak apa-apa’ walau seluarnya telah basah. Ini amat-amat bertentangan dengan pra-realiti yang kita semua pegang di alam nyata di mana kita pasti setuju pabila seluar kita basah, kita pun naik menyampah. Kerana itu, waktu adegan ini berputar, ramai audien telah ketawa terbahak-bahak, termasuklah saya, walhal hakikatnya kami semua sedang mentertawakan diri sendiri. Hahahaha!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Selamat Hari 'Slayer' Sedunia. Kalau tak tahu yang ini, ha kantoi! Nampak sangat yang kamu ini masih Mat Belia=)

Isnin, Jun 01, 2009

Wacana Bahasa di Youtube

yasminthestoryteller
awak pernah tak pergi ke negeri cina atau jepun? saya dah. alhamdulillah saya dijemput untuk membuat ceramah di beberapa bandaraya di sana. anak-anak muda di sana, terutamanya penuntut-penuntut di sekolah dan universiti, bertungkus lumus untuk belajar bahasa inggeris kerana mereka tidak mahu ketinggalan. english, along with mandarin, are absolutely compulsory in china's education system now, and the better your english, the better your chances of getting a job.

presa1200
ye mmg btol. memartabatkan bhs dan budaya sendiri tak bermaksud kita meninggalkan BI secara total. bahkan kedua2 bhs tersebut sama penting. kita tak pernah mempertikaikan pangkat kedua2 bhs tersebut. tujuan kita sbnarnye adalah utk mengingati kpd diri kita supaya sayang kpd bhs dan budaya sendiri dan pada masa yg sama tidak ketinggalan utk meluaskan ilmu dgn memperlajari BI. sesungguhnya dlm Islam tak pernah suruh kita tinggalkan sesuatu ilmu. lebih2 lg BI itu bhs antarabangsa.

presa1200
utk pengetahuan kak Yasmin kami tidak mempunyai masalah utk berkawan ataupun berkomunikasi dgn pelangan2 kita yg kebanyakannye terdiri drpd warga asing. namun kami lebih gembira melihat rakyat m'sia terutamanya muda mudi sebaya kami cintai kpd bhs dan budaya sendiri. sy org cina pasti bangga dgn bhs cina tapi sbg rakyat m'sia sy mesti menyanjungi bhs rasmi kita.

yasminthestoryteller
tahukah awak bahawa perkataan "bahasa" dan "budaya" asalnya dari negeri india??

presa1200
hampir semua bhs dlm dunia nih saling mempengaruhi antara satu sama lain. biarpun BI adapun istilah yg dipinjam drpd Yunani purba & Latin. cth bhs Jepun byk menggunakan perkataan Kanji yg dipinjam drpd bhs Cina tapi sebutan mungkin hampir sama, ataupun berbeza.

dan seterusnya dalam proses penterjemahan ilmu kebanyakan istilah homofonik masih dikekalkan dalam bahasa lain.

jd sy rase takde masalah kalo bhs saling meminjam. yg penting kita tau sape diri kita dan mcm mane org hormat kita.

yasminthestoryteller
ma'af, saya ingin tahu. siapakah diri kita dan bagaimanakah orang boleh menghormati kita?

presa1200
Jauhari jualah yg mengenal manikam. Apabila kite menghormati diri kite sendiri, orang lain insyaAllah akan menghormati kite.

yasminthestoryteller
pada tahun yang lepas, lebih dari 30 ribu anak melayu tak dapat kerja kerana mereka tak fasih menulis atau bertutur dalam bahasa inggeris. bagaimana agaknya perasaan mereka. they say it's hard to respect yourself when you are unable to get a job. ma'af, saya bukan nak mempertikaikan apa-apa. cuma saya kurang faham kenapa kita boleh hilang budaya atau bangsa jika kita mempelajari ilmu matematik dan sains dalam bahasa inggeris. maklumlah, saya ni bukannya jauhari macam awak.

presa1200
Kami tak pernah mengatakan kite tak perlu menguasai BI. Tidak pernah. Apabile kite merasakan BM tak mampu menjadi bhs ilmu, dgn sendirinya kite mengetepikan kemampuan bhs kite. Kami juga tidak mendakwa kite hilang budaya dan bangsa dgn mempelajari sains&math dlm BI. Ape yg menjadi perhatian kami adalah peminggiran BM dlm bidang Sains dan Teknologi. Saya ingin bertanya, adakah 30 ribu anak melayu yg tak fasih BI itu disebabkan mereka belajar sains & math dlm BM??

yasminthestoryteller
the simple answer to that is, YES.

presa1200
oh WOW! seems like you are now acting like Jauhari already...hmmm...

yasminthestoryteller
snide remarks aside, for some reason i think there are parties who want to fuel malay paranoia over the english language. i sedih bila i jumpa malay undergrads yang jumpa i for career guidance, expressing their deep-seated insecurities sebab tak boleh cakap atau tulis bahasa inggeris respectably. and there are so many of them out there! i care for them. that's all.

presa1200
yeah, i agree that there're parties tryin to gain support or whateva over this issue, but we can't always say that those who are against PPSMI are simply being paranoid. Saya sendiri dah terangkan sebhg sebab saya tidak bersetuju dgn PPSMI. malangnya sesetgh org suka menganggap pihak yg mpunyai pandangan berbeza sbg tidak realistik, terpengaruh dgn sentimen, etc etc... for me i believe that PPSMI is not the way to help Malay kids or others to improve their English skills.

MalaysianTiger2007
yasminthestoryteller,

kalau mahu orang lain hormat pada kita,
usaha kita mesti lebih keras,
tindakan kita mesti lebih waras,
pelaksanaan kita mesti lebih tegas,
alasan-alasan kita mesti lebih berasas.

percayalah kepada kebolehan diri sendiri, semua bangsa di dunia ni telah berjaya dengan semangat juang mereka yang amat tinggi.

MalaysianTiger2007
yasminthestoryteller,

negara mana yang awak kata pernah pergi belajar tu?

negara seperti Jepun dan China, kerajaan mereka amat tegas dalam mempertahankan bahasa kebangsaan mereka seperti negara China mengamalkan polisi satu china (tulisan dalam bahasa china), berbeza dengan Malaysia amalkan polisi one Malaysia (bahasa inggeris).

negara China dan Jepun mereka bukan hanya mengatakan bahasa inggeris sahaja penting malahan semua bahasa di dunia ini, mereka mahu hasilkan pakar dalam semua bahasa.

PeaceF0rc3s
sape lah si bodoh MalaysianTiger2007 ni..ada hati nk debat dgn yasmin ahmad? cuba pandang cermin tu dulu..usia pon blom cecah separuh usia kak yasmin..cakap tak lebey hanya tin kosong..how much do you earn each month? what working exp do you hav to strengthen your bullshit statements? go get the records from MOHE bout fresh grads nowaday..how many of them dont get any job because of the language barrier.

p/s: talking bout respect?!!! sighhhhh.