Jumaat, Jun 12, 2009

Murtad

Saya tak berapa pasti apakah yang akan dicoret ini sepatutnya menjadi sebuah resensi filem ataupun hanya mengarut yang bukan-bukan, hanya kerana bermodalkan sebuah filem pendek yang durasinya sekitar dua minit lebih, hasilan saudara Faiq Khalifa.

Jadi, siapa dia-nya si Faiq ini? Nama haram tak pernah dengar pun?

Seperti Jhebat, Faiq juga sama, bak kata Zahiril Adzim, telah murtad dari lapangan senibina. Apakah benar? Dari sisi sempit senibina sebagai ‘profesion’, mungkin ada benarnya. Bahkan, si penulis juga mengakui kebosanan yang amat parah, andainya senibina itu hanya tinggal susunan beton-beton konkrit-pasir separa pejal. Itu belum masuk lagi soal kesibukan firma-firma yang hanya tahu mengejar projek, tapi di sisi lain kebanyakan para ‘arkitek’ ini, terutamanya yang lokal, tak punya sebarang attitude yang boleh dibanggakan. (nak cerita lebih-lebih pun tak guna, buat malu je) Seterusnya, saya bertanya, mungkinkah ini yang mendorong mereka ‘murtad?’

Ustaz, jangan gubra. Murtad ini asalnya perkataan Arab. Ertinya: berpaling, atau mundur ke belakang. Maka secara harfiah, kita boleh mengandaikan yang mereka ini telah ‘murtad.’ Dalam konteks tulisan ini, mereka telah berpaling dari senibina. Namun, dinilai sekali lagi, manusia yang telah sekali jatuh cinta dengan senibina takkan terus murtad se-murtad-murtad-nya. Mustahil, kerana senibina membibitkan ‘cinta mati.’

Yang sebenarnya, jika diluaskan lagi pengertian senibina dalam kehidupan, kita mustahil bercerai dengannya. Kecuali-lah kamu memilih untuk menjadi Tarzan si Raja Rimba. Apatah lagi jika kecintaan terhadap senibina itu disokong oleh ilmu dan aspirasi untuk mendambakan kecantikan yang sesungguhnya. Walaupun sudah bikin filem, mereka, saya pasti tak akan menjatuhkan talak tiga ke atas senibina. Senibina yang menawan adalah manifestasi kehidupan kita yang juga indah menawan, umumnya, jika itulah mimpi-mimpi indah yang kita kongsi bersama di dunia fana ini. Makanya, mereka bukan-lah sejati murtad. Yang sebenarnya, mereka cuba meneroka demensi baru, bukan seremeh mengalihkan siaran televisyen, atau menukar lampin pakai-buang, sebaliknya yang cukup menarik, ia dijolok oleh semangat lamina memperjuangkan idealisme bawaan mereka sendiri. Dan bagi saya, ini penting kerana saya benci dengan kitaran semula slogan Nike: Just DO IT a.k.a DUIT.

Diikutkan pandangan peribadi, walau mungkin ada yang melulu menuduh saya bias, atau mengamalkan kronisme, setelah melihat hasil kerja mereka, saya berani mengangkat topi. Oh, rupa-rupanya, saya betul mengarut. Sampai akhir saya masih tak menyentuh pun, filem Faiq dalam entri kali ini. Betul, entri ini bukan tentang resensi filem.

Apapun, saya tak optimis, mereka berdua akan ‘kembali ke pangkal jalan.’


Mohd Ikhwan Abu Bakar