Selasa, Jun 16, 2009

Teknologi, Saintis dan Kapitalis

Technology is political – David Noble

(Tulisan ini mungkin tak cukup politikal atau memang tak politikal langsung. Tapi, harapan saya agar kamu sudahi bacaan yang ini.)

Sudah lama saya perhatikan, antara tabiat pelik di kalangan sesetengah manusia yang saya kenali ialah kegilaan mereka mengemaskini pakaian teknologi mereka. Teknologi di sini, saya maksudkan dengan peralatan/gajet elektronik/komunikasi seperti komputer, I-pod, telefon tangan dan sebagainya. Hari minggu pantang menjelma, mereka berkemungkinan besar akan menyerang Plaza Low Yatt. Saya pula, suatu masa pernah diperlekeh oleh kenalan gara-gara sikap saya yang buat tak endah dengan hal-ehwal komputer terkini, gajet tercanggih, telefon tangan termahal, dll. Saya mengaku, saya kurang ambil pot. Namun, jangan silap baca. Saya bukannya anti teknologi. Saya bahkan meraikan teknologi yang bagus dan menarik. Akan tetapi, saya fikir kita juga perlu melihat teknologi dari sisi yang lain. Begitu juga saya menulis ini atas dasar mengemukakan satu cermin pandang yang lain.

Jadi saya terfikir, mengapa hidup kita, manusia meta-moden ini, semakin karap dihambat teknologi? Semakin kita kejar, makin laju ia berlari. Ini seolah-olah mengejar sesuatu yang tak akan dapat kita kecapi. Kita hanya mampu berlari hampir dengannya, tapi bila sudah mendekat, ia rupa-rupanya terus memecut laju meninggalkan kita dalam keadaan terpinga-pinga. Misalnya, katakan ada seorang Mamat membeli gajet yang paling mutakhir di pasaran, dia sebenarnya hanya mampu berasa, atau lebih afdal lagi, berilusi, bahawa dia-lah yang paling best atau cool kerana memiliki barangan tercanggih yang boleh ditayang di depan rakan atau teman wanitanya. Inilah ilusi kononnya hidupnya sudah hampir sempurna dan lebih hebat dari orang lain. Kalau dia tayang depan saya, memang mampus saya tak pandang. Silap hari bulan, saya lempang saja si Mamat ni.

Tapi dalam masa yang sama juga, dia terlelap perasan bahawa tak sampai seminggu, malah mungkin keesokan harinya saja sudah keluar lagi model yang paling baru. Selang sebulan dua, gajet yang dibelinya itu sudah kotai. Kemudian tergerak lagi hatinya untuk membeli gajet yang paling paling terkini, konon tak mahu kalah atau takut dilabel ‘ketinggalan zaman’ oleh manusia-manusia bahlul di sekelilingnya. Ini serupa kerja orang bingai. Dan kerja bingai ini akan berterusan. Hakikatnya, hidup Mamat ini tiada apa-apa makna, kalau pun dia sibuk memperagakan barangan tercanggih setiap hari. Apa yang pasti, towkey kedai dan syarikat pengeluar barangan tadi yang melipat untung.

Tak pernahkah mereka terfikir, apa maknanya semua ini? Mana hujung pangkalnya semua ini, kerja mengemaskini teknologi setiap hari? Bagi saya, semua teknologi ini berpunca dan digerak-pantaskan oleh kaum pemodal alias kapitalis. Contoh senang, Microsoft itu syarikat multinasional. Sony Corporation yang handal dalam pengeluaran barangan elektrik dan elektronik itu juga pastinya syarikat kapitalis. Orientasi syarikat-syarikat besar ini pastilah keuntungan maksima. Jadi, bagaimana nak memaksimakan keuntungan? Sangat mudah. Jemputlah para saintis dan pakar-pakar teknologi yang hebat untuk melakukan segala macam pembaharuan dan penciptaan terkini. Semua kajian lazimnya akan melalui proses R&D (research and development). Proses ini akan ditanggung oleh majikan iaitu para pemodal tadi kerana ia melibatkan modal yang besar.

Tujuannya adalah bagi memastikan bahawa penjualan berterusan dan pasaran tidak akan mati. Jika pasaran mati atau lembab, mereka, para kapitalis tadi akan dianggap gagal memaksimakan keuntungan. Oleh itu, proses konsumerasi perlu dipastikan agar terus berjalan pantas. Kita, para konsumer, wajib dilambakkan dengan alatan/gajet paling canggih, dengan pelbagai pilihan. Dengan banyaknya pilihan pula, kita boleh membanding-bandingkan barangan yang kita miliki dengan orang lain. Bila timbul perbandingan, akan timbul persaingan. Lalu, akan timbul pula peraduan untuk saling kalah-mengalah sesama sendiri. Peraduan ini sial mudahnya, hanya perlu tunggu keluaran apa yang paling baru, cukupkan wang kemudian sambar apa saja yang terkini! Komputer siapa paling lengkap serba-serbi, atau paling laju, dia menang. Hahahha...mamposss lah!

Sebelum itu, ilusi wajib dicipta melalui iklan agar pembeli berasa puas dan hebat. Dalam hal ini, pengiklanan juga memainkan peranan yang amat penting. Sesiapa yang memiliki barangan paling canggih, akan dijual mimpi-mimpi yang ‘wow.’ Anda akan kelihatan cool jika memiliki barangan ini! Syarikat-syarikat pengeluar tahap gergasi akan meyelinap di sebalik apa yang hot, apa yang cool, apa yang kelihatan megah hebat di mata orang ramai. Selalunya, sasaran utama pastilah golongan muda yang masih kemaruk untuk bergaya dan hidup indah dibuai ilusi. Kalau tidak, masakan dalam klip video kumpulan Meet Uncle Hussain untuk filem KAMI itu, di bahagian akhir klip video, ketika budak-budak KAMI memandang ke arah billboard yang tertera logo ‘K.A.M.I’, sempat juga diselitkan logo Nokia selaku penaja di bawahnya? Imej ini cuba menegaskan bahawa jenama Nokia itu cool serupa macam budak-budak KAMI. Maka gunalah telefon Nokia kalau nak cool, serupa macam saya. Tapi dengan adanya tulisan ‘Nokia’ tersebut ‘kehormatan’ visual itu sudah dicabul.

Oh, perasan atau tak, kebelakangan ini juga banyak syarikat telekomunikasi atau elektronik yang beria-ia benar mahu menaja aktiviti muzik ‘indie’, konon mahu menyokong ‘kemajuan scene independent tempatan.’ Pelik, kalau dah ‘indie’, sepatutnya pandai-pandai-lah bergerak secara mandiri. Ini tidak, kena pula bergayut kepada kaum pemodal walaupun sebenarnya mereka, kaum pemodal ini tak ikhlas kerana bermotifkan keuntungan semata-mata. Yang dikatakan scene ‘indie’ itu hanya dijadikan modal melipat untung. Jadi, indie? Pooodahh!

Mungkin kita tak sedar bahawa ini semua adalah permainan dunia kapitalis. Kita sepatutnya sebagai pengguna wajib waspada dari membiarkan diri kita ditipu sewenang-wenangnya dengan membeli sesuatu yang bukan keperluan secara rakus. Bayangkan, jikalau kita semua berbelanja secara berhemah, dan menggunakan teknologi atas dasar keperluan, dan bukan keinginan membabi buta, saya yakin syarikat-syarikat gergasi ini pasti menggelupur macam cacing kepanasan di dalam neraka. Saya tak nafikan yang saya juga salah seorang pengguna teknologi. Manakan tidak, saya menulis menggunakan laptop dan perlu membuka gerbang maya untuk mengirimkan tulisan ini. Cuma pada saya, biarlah apa yang dibeli itu beralaskan keperluan. Paling penting kena ingat, pilihan adalah di tangan kita, sama ada mahu MEnguasai teknologi, atau membiarkan saja diri DIkuasai olehnya.

Teringat pula kata Albert Einstein, “Our much-praised technological progress and civilization generally, could be compared to an axe in the hands of a pathological criminal.”

Hairan juga saya dengan golongan gila teknologi ini. Mungkin mereka orang yang sama yang melagukan nyanyian benci ke atas kekejaman Amerika ke atas Iraq, barangkali mereka jua yang paling beremosi melihat kanak-kanak di Gaza seusia lima tahun yang kehilangan sebelah kakinya akibat dibedil peluru berpandu tercanggih. Kena tahu, teknologi bom berangkai yang terbukti hebat juga pernah digunakan oleh Israel untuk membunuh seramai mungkin warga Palestin. Namun amatlah ironis, di kalangan mereka yang gila teknologi ini juga gagal membaca tabiat mereka yang kemaruk menjadi konsumer teknologi, pada hakikatnya, menyayikan lagu seirama merdunya dengan perangai Zionis Amerika dan Israel, yang gilakan teknologi peperangan tercanggih demi agenda penguasaan di planet bumi.


Mohd Ikhwan Abu Bakar