Ahad, Jun 28, 2009

RUMI

Kepada yang poyo sufi, tolong jangan perasan. Untuk peminat Asas ‘50, ini bukan agenda tulisan rumi, tau. ‘Rumi’ yang cuba saya khutbahkan ini tiada kena mengena langsung dengan itu semua, baik Rumi Sang Maulana mahupun rumi pengganti tulisan jawi.

Saya di sini ingin mencuit barang sekali dua akan sebuah event yang telah berlangsung beberapa minggu lalu di UiTM Shah Alam. Seperti biasa, saya datang sebagai pemerhati bebas yang memang sah, tak diundang. Dengan muka tak malu, saya rasa agak syok juga kalau saya titipkan beberapa komentar saya terhadap event ini, lebih-lebih lagi ini merupakan pengalaman kali pertama menghadirinya. Komentar saya pasti kasar (raw) berdasarkan first impression.

Sebelum itu, saya nak beritahu bahawa ulasan saya tak menyeluruh sepanjang empat hari (betul ke?) program berjalan. Saya hanya sempat mengikuti sesi sebelah malam, sekadar mengikuti acara persembahan dari setiap IPT awam dan swasta yang terlibat. Sebagai pengalaman kali pertama melihat acara sebegini, saya sungguh tak sangka mutu persembahan yang diberikan amat mengecewakan, apatah lagi jika difikirkan bahawa event ini melibat hampir kesemua IPT dari serata negara yang menyediakan kursus senibina. Kebanyakan peserta seolah-olah mengambil sikap sambil lewa, main-main dan tak nampak bersedia untuk membuat persembahan. Saya mendapat tahu penganjur sudah memberi surat jemputan lebih awal. Saya fikir, jika kebanyakan peserta mengambil serius, mereka seharusnya sudah membuat persediaan lebih awal dan memikirkan corak persembahan yang ada sangkut-paut dengan tema event, iaitu ‘RUMI.’ Tapi rupa-rupanya saya yang naif, itu tak berlaku.

Saya perasan, hanya ada beberapa IPT yang membuat persembahan yang sesuai dengan tema. Malangnya, saya tak ingat IPT yang mana kerana tak membuat sebarang catitan. Yang lainnya hampeh belaka, semuanya pakat-pakat merapu sampaikan ada sebuah IPT yang wakilnya menyanyikan lagu Yuna. Memang gila, beb! Bayangkan, apa relevannya tema RUMI dengan lagu ‘Yang Sebenarnya?’ Apa ‘yang sebenarnya’ tu?

Penekanan terhadap tema sangat penting untuk program sebegini, kerana selain berfungsi sebagai guide bagi setiap acara, tema juga akan menjadi sebab mengapa event ini perlu dikenang kerana keistimewaannya. Tapi tema tak semestinya diekspresikan sekelepuk bagai merenjis tepung tawar ke tangan pengantin. Setiap tema yang dipilih semestinya punya maksudnya yang tersendiri. Maksud ini seterusnya mencipta ‘roh’ yang tulus, yang mulus. Roh atau semangat tema inilah yang gagal ditarik keluar oleh para peserta workshop kali ini. Saya mendapat tahu, ada peserta yang merungut kerana tak faham tema, yang katanya terlalu puitis. Malah saya sendiri pun berpendapat tema RUMI bunyinya agak umum dan sukar dicerap hujung pangkalnya, terutama untuk mementaskan sebuah persembahan, dengan konsep persembahan yang relatif bebas. Mungkin ini juga menjadi punca rata-rata persembahan bagaikan orang rabun yang kehilangan cermin mata. Jadi, boleh dikatakan yang gagal di sini adalah dari segi pengisian tema itu sendiri.

Mungkin di lain masa, penganjuran workshop seperti ini memerlukan pemilihan tema yang lebih ‘catchy’ dan ringan sebagai daya tarikan, apatah lagi jika dilihat orang kita, tak kira elit ke, profesional ke, akademia ke, sampailah ke orang biasa secara amnya tak suka didera untuk berfikir. Lagipun, tiada beza pun di negara ini antara yang bergelar ‘mahasiswa’ dengan seorang petani, atau tukang gunting rambut, misalnya, dari segi keupayaan intelek, kerana kita di sini lebih berminat mengejar status sosial dan tangga gaji semata.

Dari segi penganjuran, bagi saya tidak gagal. Tiada istilah penganjuran yang gagal selagi ada acara pembukaan dan penutup. Cacat cela pengajuran, tak kira apa-apa penganjuran bukanlah perkara baru. Cuma bila ramai yang merungut tentang kualiti makanan yang disediakan tak mencapai tahap yang diingini, kelemahan sebegini perlu diambil pengajaran yang serius. Namun yang sebenarnya, pihak penganjur sendiri difahamkan kekurangan dana sokongan bagi menjayakan acara ini dengan lebih sempurna. Pihak universiti yang sepatutnya turut sama memberi bantuan tak datang membantu. Sebaliknya, mereka, pihak penganjur yakni pelajar senibina UiTM, seolah-olah dikencing oleh universiti sendiri apabila bantuan kewangan yang mereka terima dari pihak universiti, yang sepatutnya digunakan sebagai biaya kos penganjuran terpaksa ‘dipulangkan kembali’, disebabkan pihak universiti meminta bayaran untuk kos penginapan di asrama bagi para peserta. Inilah dia konsep ‘benteng terakhir orang Melayu’, sudah beri, minta semula. Dasar buruk siku.

Kadang-kadang saya terfikir juga, sampai bila kita perlu tengok universiti awam kita jadi hak milik para pegawai atasan dan para dekan fakulti? Bukankah kuasa autonomi universiti itu seharusnya jadi kepunyaan pelajar? Jangan hujahkan kepada saya bahawa pelajar UiTM mesti bersyukur kepada kerajaan kerana kos yurannya yang murah. Sebab, ini hujah murah untuk memesongkan pemahaman kita terhadap institusi ilmu, yang seharusnya bukan sekadar murah, tetapi kalau percuma lagi baik, untuk mereka yang layak. Pendidikan, sama seperti air, elektrik, perubatan dan perumahan adalah termasuk dalam hak asasi manusia yang TIDAK sepatutnya diniagakan sesuka hati.

Adakah jika yuran mahal itu tandanya kualiti ilmu yang ditimba lebih baik dari yang murah atau percuma? Di negara ini ada sebuah IPT swasta yang yurannya untuk satu semesta mencecah puluhan ribu ringgit. Ini contoh perniagaan mencari laba atas nama keilmuan yang sesuai untuk anak-anak orang kaya yang malas baca buku, atau memang semulajadi bebal. Perniagaan jenis ini bukan atas tujuan pendidikan, tapi atas urusan jual beli kertas sijil. Tapi lawaknya, disebabkan harga kertas sijil yang dibelinya mahal, maka sijil sebegini ini diiktiraf untuk mendapatkan kerja.

Jangan takut untuk mengkritik universiti kamu, wahai pelajar UiTM. Jangan peduli dengan hujah ‘tak mengenang budi.’ Universiti yang kamu duduki adalah universiti awam, yang bersumberkan dana awam, yakni wang saku kita semua sebagai warganegara yang membayar pelbagai jenis cukai setiap tahun. Kamu perlu tahu, yang sebenarnya (bukan tajuk lagu) kamu kritik bukanlah ‘universiti’, kerana universiti adalah entiti yang tak bernyawa, tak berfikir, tak berperasaan. Mengkritik sesuatu yang tak bernyawa, tak berfikir, tak berperasaan adalah kerja bangang. Yang kamu kritik – kamu harus sedar, kerana ada hak – adalah pembuat dasar dan pentadbir universiti yang berlagak seolah-olah universiti ini adalah warisan nenek moyang mereka, turun-temurun.


Mohd Ikhwan Abu Bakar