‘Filem bukan ilustrasi sastera’ – Reygadas.
Melalui Wan Azli, saya telah diperkenalkan kepada Carlos Reygadas iaitu seorang sutradara muda dari Mexico. Beliau ini saya kira satu batch sama itu Michel Rojkind yakni arkitek kontemporari kegemaran saya juga dari Mexico.
Ilustrasi sastera ini bermaksud imej-imej bernaratif atau gambar-gambar yang bercerita (seperti komik/novel grafik.) Jadi, jika filem bukan ilustrasi sastera, habis itu apa? Ini membawa kita kembali mencari makna filem. Adakah 'cerita' itu filem? Adakah 'storytelling' itu filem? Jika kita kembali kepada Pure Cinema, sejujurnya kita sepatutnya sudah faham filem (sesucinya) pada dasarnya apa. Stan Brakhage, Koyaanisqatsi & Baraka, antaranya pada dasarnya menolak esensi teater dan sastera. Menolak ‘lakonan’ dari teater dan ‘naratif’ dari sastera. Filem seolah lebih dekat dengan muzik iaitu ‘feel’, cuma ianya secara visual.
Sebab itu, berbekalkan penghayatan Pure Cinema, kita berkebolehan untuk menilai atau menguji kredibiliti sesebuah filem itu. Bogelkan saja filem itu daripada lakonan (kepura-puraan) dan naratif, apa yang tinggal?
Ini bagaimanapun tidaklah bermakna saya menolak naratif dan lakonan secara fanatik membuta tuli. Cuma kenyataan tersebut tanpa disedari telah membuatkan saya sedar lalu insaf. Ini kerana saban hari, acap kali saya menonton filem di multiplex, apa yang dipaparkan hanya sekadar sebuah ilustrasi sastera semata-mata.
Ridhwan Saidi