Jumaat, Januari 30, 2009

Autopsi Diri

Jika anda berpeluang berjumpa saya di dunia nyata, saya akan berkata serupa seperti apa yang saya tuliskan di ruangan ini. Ini adalah sifat semulajadi saya tanpa perlu err self proclaim. Setiap kali gadis-gadis (sangat) liberal lagi plural tak dikenali menelefon saya di malam hari, pasti mereka terkejut mendengar tuturkata saya.

“Eh, you cakap bahasa baku.”

Atau

“Eh, kenapa you cakap skema ni?”

Walaupun saya berbahasa baku, tapi ia berlenggok. Ini kerana saya telah semai cara pengucapan ini sejak di bangku sekolah rendah lagi. Guru bahasa melayu saya yang satu ini (cikgu Burn a.k.a Bakar) yang bertanggungjawab mendidik saya berbahasa baku. Bagi saya dia adalah iconoclast pertama yang saya kenal. Dari segi fizikal dia kelihatan lembut dan mendada, tapi semasa berkawad anehnya dia-lah tukang pekik. Di dalam kelas dia pasti menyelitkan unsur-unsur jenaka separa lucah-nya, malah pernah sekali menceritakan bahawa ketika di rumah dia selalu berbogel semasa mengambil surat dari peti suratnya. Mungkin budak lain hanya ketawa, tapi kesan ceritanya ini secara tak langsung mengganggu fikiran saya yang kuat berimaginasi ini.

Saya juga perasan pabila saya cakap sesuatu yang serius, mereka (manusia lain) ini pasti akan anggap ia sebagai lawak, atau lebih teruk lagi, mereka buruk sangka terhadap saya dengan menganggap saya ‘cuba’ buat lawak untuk kelihatan cool. Peliknya pabila saya betul-betul berlawak, mereka anggap ia sebagai sesuatu yang serius pula, ternganga kebingungan (ini serius.) Sebab itu saya malas layan karenah manusia-manusia ini, dan akhirnya dengan pantas lantas dicop sebagai seorang pemalu. 

Bagi saya pemalu dan pendiam adalah dua benda yang berbeza. Saya percaya saya adalah seorang yang pendiam, saya pilih untuk tidak bersuara (sebagai tanda protes terhadap mereka yang beriya-iya mahu bersuara.) Tapi saya bukan pemalu, atau mungkin tidak terlalu pemalu. Jika saya pemalu, saya tidak akan tulis pengalaman-pengalaman hidup saya (yang anehnya dianggap fiksyen atau goreng-gorengan oleh kebanyakan orang) di sini. Pelik, Saya berada di dalam satu situasi janggal, saya perlu berpura-pura sama macam orang lain agar dipandang waras oleh orang lain. 

Pernah sekali saya katakan 5 tahun dulu kepada kawan-kawan kampus yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, 

"saya suka makan spaghetti goreng." 

Apa jadi? Saya digelakkan. Saya tanya mereka,

"apasal gelak?" 

Mereka jawab, 

"spaghetti mana boleh goreng" (sambil ketawa berdekah-dekah.)

Tidak puas hati, saya cuba terangkan pendapat saya kepada salah seorang daripada mereka. Bagi saya spaghetti kononnya adalah bukti romantik Marco Polo pernah ke China selepas melihat mee. Jadi jika mee boleh digoreng, kenapa spaghetti tidak boleh digoreng? Saya juga cuba terangkan yang konsep al dente hanya wujud di Barat, sebab tekak kita dan tekak mereka berbeza. (Tapi cis! pendapat saya dibalas dengan hilai ketawa.)

Malah sebenarnya spaghetti goreng ini barangkali adalah antara simbol pegangan terawal saya. Saya percaya apa-apa bentuk makanan, penulisan, filem, senibina dan segala macam lagi perlu bertindakbalas dengan citarasa setempat, divernakularkan. Sebab itu bagi saya dapur-dapur kemas yang dipamerkan di IKEA hanya berfungsi sebagai hiasan semata-mata. Cara memasak di sini berbeza dengan di sana, (malah jika penulisan saya banyak goreng pun, ia digoreng dengan rempah ratus setempat.)

Resepi turun-temurun keluarga saya iaini laksa johor pun menggunakan spaghetti. Sos tomato + daun basil? Jangan harap! Hooray kepada ikan kembung atau ikan parang (jika banyak duit,) udang hidup, udang kering, serai, lengkuas, serbuk kari, air asam jawa, santan dan gerisik kelapa. Dressing ulam-nya (bukan salad!) terdiri daripada daun kesum, timun, bawang besar, taugeh serta sambal belacan. Layan. 

Berbalik kepada gadis-gadis liberal lagi plural di atas tadi, ia berakhir dengan kami bertiga di atas katil tanpa seurat benang, (lihat jika anda ambil ini secara serius atau jenaka.)


Ridhwan Saidi

Ahad, Januari 25, 2009

Hero Rasmi

Dilla
"Assalamualaikum and Peace to everyone.
I've always been a silent reader and i have to admit this place is starting to look like a forum than just any comment box. 

Ada sebab kenapa saya post comments dekat sini. Aside from total admiration for everyone that comes here to share their stories and views which have help me in shaping my own views and thinking, saya post komen dekat sini sebab nakkan pendapat semua.

Saya berumur 19 tahun dan saya datang dari pekan kecil dekat Pahang. Saya baru je nak mula kenal dunia sejak masuk universiti, dalam 2 tahun lepas. I carry with me a complication...inferiority complex. Jadi saya banyak buat benda yang orang tak faham dan mereka lari...so i dont have that many friends. But that is not why im postin. 

Mula2 saya nak minta maaf kalau dah merepek dekat kolum komen ni...tapi memandangkan saya tengok semua orang macam 'wise' jadi saya nak cuba tengok pendapat orang lain pula. 

Saya rasa saya ada banyak impian dan saya sedang usahakannya, cuma masalahnya, walaupun dah penat saya berusaha, nampak macam tak ada hasil. Saya percaya tuhan tak akan ubah nasib orang kalau dia tak ubah nasib dia. Saya cuba segala yang saya mampu untuk mengubah takdir saya tapi tak ada apa yang berlaku. Instead, saya rasa setiap langkah saya semakin berat dan setiap benda yang saya buat, walaupun kecil akan ada halangan. 

Saya dah buat tuhan marah dekat saya ke yang dia tak mahu tukarkan hidup saya? Or am i askin to much?"


Hazimin Hussein
"Kepada cik Dila, 
aku tak melihat pun kesukaran yg amat sangat dalam hidup kamu. Apabila manusia2 lain meminggirkan kau, bukan Tuhan untuk disalahkan. Dan bila kau sudah merasakan kau dah cukup kuat berusaha tapi belum dapat hasilnya, adakah benar usaha kau sudah mencukupi?

Aku seorang idealis berumur 23 tahun, seorang pesakit kanser tahap terakhir, sudah melakukan 3 kali pembedahan, 6 kali sesi kemoterapi dan 50 kali sesi radioterapi. Aku pernah menjaga arwah atok aku yg kene strok semasa cuti semester, memandikan beliau & memberi makan. 3 bulan lepas ibu aku terjatuh dalam bilik air dan juga mengalami serangan strok. Aku yg menjaganya sekarang. 

Doktor mengatakan 2 tahun lepas yang aku akan dapat hidup mungkin 3 bulan sahaja lagi. Sampai sekarang, dengan jayanya aku masih hidup lagi, seperti manusia normal. 

Terukkah hidup aku?

Tidak... = )" 


Yasmin Ahmad
"oh, my lord!

jimmy, you inspire me to be thankful for all that i have, both the good and the bad.

out there, there are people who go out of their way to humiliate me. they call me names and accuse me of all kinds of lowly things. and the lesson i learn from experiencing humiliation is this: i must try very hard never to humiliate anyone, because i know how it feels.

jimmy, you are now officially one of my heroes!

god is so, so, so great. and your courage is one of the many, many proofs that he is great!"


Dari cebisan komen entri "Tan Hong Ming" wins 2 Gold Awards in New York (May 2008)

Sabtu, Januari 24, 2009

Skala dalam Filem

Di dalam bidang senibina, skala adalah elemen yang wajib dikuasai oleh seseorang arkitek itu (tidak kira bertauliah atau tidak.) Sebuah rumah banglo dan bangunan tinggi punya skala yang berbeza. Sebuah bilik air punya skala yang berbeza dengan bilik tidur. Mudah kata, sesebuah ruang dan bentuk itu harus berdiri pada skala yang betul. 

(Sebab itu kebanyakan lagu hardcore punk berdurasi lebih kurang seminit manakala black metal lebih kurang 7 minit, skala!)

Untuk mendapatkan skala yang betul, kita perlu patah balik kepada fungsi sesebuah ruang dan bentuk itu. Ambil contoh bilik air rumah anda. Fungsi bilik air adalah tempat di mana anda mandi dan melakukan aktiviti-aktiviti tandas lain. Untuk melakukan aktiviti-aktiviti tandas ini ia perlu diasaskan dengan 3 objek sanitari iaitu kolah/shower/bathtub, sinki dan w.c (jamban.) Ambil ketiga-tiga objek ini dan sumbat ia ke dalam satu ruang. Bayangkan jika bilik tidur utama anda dijadikan tandas rumah, (pedulikan tentang susunatur ruang,) kita tahu skalanya tidak betul. Begitu juga jika anda jadikan stor bawah tangga rumah anda sebagai tandas. Tidak betul serta tidak berfungsi dari segi ergonomik ruang.

Bagi saya filem pendek dan filem (feature) sama macam rumah banglo dan bangunan tinggi, ia punya skala yang berbeza. Saya juga percaya bahawa filem pendek adalah medan eksperimen semata-mata dan selagi filem pendek ini berpaksikan nilai-nilai eksperimental, selagi itu skala-nya selamat. 

(Relevannya, adalah pelik jika seseorang sutradara itu cuba buat eksperimen ketika penggambaran filem feature.) 

Jika kita perhatikan 6Shorts (2006) oleh Amir Muhammad, akan kita dapati perbezaan ketara di antara kesemua filem-filem pendek itu. Kenapa? Kerana setiap satu daripadanya berbentuk eksperimen yakni ujikaji. Malah Mona Fandey pernah mengenyitkan matanya kepada saya di dalam Mona. Usah mengarut, di sini benarkan saya mengkritik (terutamanya dari segi skala) tiga buah filem pendek yang saya tonton tempoh hari.

Omah Cilikku Enek Kelambu (2009) oleh Zainorhisyam ‘ingin’ mengisahkan kepayahan dan kesusahan sebuah keluarga kecil bertopengkan bahasa Jawa. Bagi saya filem ini cukup bermasalah dari segi skalanya. Saya rasa filem-filem pendek sebegini (cukup banyak di luar sana) lebih molek dan cun jika dipersembahan dalam skala telemovie. Bukan apa, saya baru nak layan tiba-tiba dah habis, potong stim betul! Bila saya tulis telemovie, jangan pula pertahankannya dengan soal budget. Isu skala ini bermula daripada kertas kerja/lakon layar. Untuk filem pendek berdurasi 11 minit, ingin menceritakan tentang kepayahan sejujurnya tidak berkesan. Ia perlu durasi yang lebih panjang untuk meleret seksa audiens menonton.

Awan Mendung Menanti Pelangi (2009) oleh Azri Abu Hassan pula adalah satu bentuk cubaan dekonstruksi goyah. Dekonstruksi ini secara pendek dan mudahnya bermaksud, kita ambil apa yang pernah orang buat sebelum ini, lalu diadu-dumbakan untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar. Goyahnya di sini apabila filem ini hanya sekadar berpura-pura meniru filem-filem melodrama akhir 70an hingga awal 80an. Ia kekurangan kuasa pasca-modennya (jika betul-lah jika ia satu bentuk dekonstruksi.) Saya berpendapat bahawa sedikit twist yang jelas diakhir cerita akan menjadikannya lebih maju. Ini sama kesnya dengan filem Kala Malam Bulan Mengambang (2008) oleh Mamat Khalid. Saya cukup bengang dengan penutup gembira klise-nya. Kalau ia dibiarkan tergantung (seperti di awal cerita,) secara automatis ia akan menjadi antara filem kegemaran saya sepanjang masa, (walau bagaimanapun pasti 1000 orang lain tak puas hati.) Apapun dari segi skala, filem pendek ini elok dan cukup.

Sinkronis (2009) oleh Jaja Kadir pula mengisahkan tentang seorang jurugambar yang kehilangan muse-nya (melarikan diri selepas tanpa tidak sengaja telah terjatuhkan lensa kamera.) Ayat bombastik sinkronis ini sendiri tidak ramai audiens yang faham. Di dalam kepala otak saya ketika menonton, saya hanya fikir selari, atau keselarian. Jika terjentik di kotak akal atau peti hati anda ingin menelefon seseorang, tiba-tiba telefon anda berdering, lalu bila diangkat adalah seseorang itu tadi. Ini adalah synchronity mengikut Carl Jung. Di dalam filem ini saya tidak nampak di mana keselariannya. Tambah bercanggah, filem pendek ini dirakamkan dengan seluloid, tapi anehnya watak jurugambar fanatik (lakonan Sofi Jikan) di dalam filem pendek ini menggunakan D-SLR, (kamera digital!) Bagi saya seniman fanatik sebenar hanya obses kepada teknologi-teknologi analog. Kegilaan watak jurugambar ini bercanggah dengan logik karakter yang cuba dibina. Ia jadi pura-pura, (bagi saya-lah.) Skalanya mungkin ok, tapi ia tidak seimbang, tidak proportion. Intro-nya yang berat dan beriya-iya akhirnya ditamatkan dengan konklusi yang ringan dan remeh. Ini boleh saya ibaratkan macam anda check-in di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Ruang lobinya mewah, berkilau-kilau chandelier-nya, perdana habis. Tapi bila masuk bilik hampeh, sekali dinding tampal surat khabar daa! (Rujuk Ibu Mertuaku 1962)

Bagi saya filem-filem pendek sebegini wajar dikritik (jika anda tahu kritik itu apa.) Bukan apa, ini adalah proses menguji pegangan dan knowledge pembikin-pembikin muda ini sebelum bikin filem feature. Acah sikit sini-sana (walaupun saya banyak temberang sebenarnya.) Apapun saya percaya pembikin-pembikin muda ini cukup matang untuk tidak mengendahkan tulisan naif saya ;-)


Ridhwan Saidi

Antara Matang dan Tidak

Ramai yang berpendapat, cara berfikir akan menatijahkan perilaku seseorang itu. Misalnya, ramai yang akan mudah beranggapan bahawa perangai seseorang yang matang adalah walhasil dari pemikiran yang juga matang. Saya tak berapa pasti sejauh mana potensi kebenaran ini dapat ditolak. Tapi adalah menjadi sesuatu yang menyeronokkkan jika tanggapan ini berani dicabar. Saya di sini cuba memandang pandangan ini dalam perspektif yang berbeza. Di lapis yang pertama, pendapat ramai ini nampak ada logik dan benarnya . Tetapi setelah ditolak makin ke depan, teori ini mula goyang.

Sebelum saya mara lebih jauh, saya telah mencabangkan pandangan peribadi saya kepada dua iaitu, seseorang yang berfikiran matang BELUM TENTU melahirkan sikap yang matang, begitu juga sebaliknnya. Berdasarkan pengalaman, saya telah banyak kali berhadapan dengan manusia yang gayanya kelihatan matang, tapi sayang, cara fikirnya tak ubah seperti budak yang belum pernah bermimpi basah.

Saya ambil contoh, lelaki yang dari segi luarannya, mungkin dilihat matang dengan misainya, dengan janggutnya, dengan pemakaiannya, dengan teman wanitanya, dengan keretanya dan dengan bermacam-macam lagi. Bahkan paling nyata, dari segi tutur katanya. Tapi itu, pada saya, bukan jaminan. Situasinya begini. Katakan si mamat ini memiliki sebuah kereta. Dibikin, di make-up di sana sini. Tiba-tiba datang pula seorang lagi mamat yang lain, dengan kereta yang lagi kelihatan gempak. Si mamat yang pertama sudah mula tak tentu arah, menggelabah. Tak puas hati. Rasa tercabar. Risau. Lalu si mamat pertama bertekad, esok harinya beliau akan mengupgradekan lagi, dan lagi, dan lagi, dan lagi, keretanya ke tahap ‘super-duper’ gempak. Kononnya dengan berbuat demikian, beliau akan kembali selesa, kembali ke dalam zon ‘kemenangan.’ Ini contoh individu yang berfikiran kebudak-budakan, tetapi berhias gaya seorang yang matang. Orang yang sebegini lebih suka untuk ‘berlumba tikus.’

Tapi jika si mamat tadi benar-benar matang, saya percaya beliau akan lebih cool dan rileks. Beliau tak perlu kembali melawan kerana yang pasti, ia membuang masa. Orang yang berfikiran matang, yang sebenar, akan memilih untuk duduk dengan tenang, atau mengalihkan minat kepada perkara lain yang lebih menarik dan mencabar barangkali bagi melayan kepuasan diri daripada menyertai ‘perlumbaan tikus.’ Beliau tak akan menganggap yang si mamat kedua itu sebagai pencabar. Justeru itu, golongan pertama ini tak menarik langsung. Period.

Saya lebih tertarik dengan jenis yang kedua. Tapi golongan kedua ini tak ramai. Selalunya dihuni oleh spesis manusia-manusia essentrik dan pelik. Golongan kedua ini selalunya jadi manusia pelopor, pemula, pendombrak dan penggerak kepada sesuatu yang baru dan segar. Golongan kedua yang saya ertikan ini ialah manusia yang tingkah laku luarannya mungkin nampak keanak-anakan, tapi di dalamnya, pemikirannya, sebenarnya matang dan jauh ke hadapan. (Tapi kita di sini kadangkala pantas melabelkan orang yang nakal ini sebagai ‘tak matang.’)

Oleh kerana saya baru-baru ini banyak membunuh masa senggang dengan menonton filem-filem beliau, saya letakkan beliau ini sebagi rujukan. Individu yang saya maksudkan ini ialah pengarah filem Amerika, Woody Allen.

Woody Allen pada saya adalah manusia yang essentrik. Banyak karekter lakonan yang dicipta dan diperannya beridentitikan manusia-manusia yang neurotik. Tapi saya perhatikan, walaupun si Yahudi ini sudah tua, tapi perangainya tak ubah macam budak-budak nakal. Saya rasa, ia bukan tersekat dalam lakonan saja, malah dalam kehidupan yang sebenar. Beliau seakan individu yang terperangkap dengan masa, tewas dengan usia, tapi tak berkompromi langsung dengan sikap sebenarnya. Ini tandanya beliau berjiwa muda. Disebabkan itu, adalah mustahil untuk menuduh beliau sebagai seorang lelaki yang tak matang, hanya dek kerana tingkah lakunya yang tampak kebudak-budakan. Gaya yang membuatkannya kelihatan tak matang itu boleh kamu perhatikan menerusi mimik muka, gaya percakapan yang tak konfiden, tersekat-sekat, tergugup-gagap, tergaruk sana tergaruk sini, dan kekadang langsung mengada-ngada. (Namun awas, ramai orang di luar sana yang betul-betul mengada-ngada, ya.)

Saya kira, perkara yang membuatkan Woody Allen menjadi individu sebegitu adalah kerana beliau memiliki takat humor yang tinggi. Ya, sense of humor. Dari sense of humor inilah beliau construct dan develop watak dan perwatakan beliau, sama ada di dalam set mahupun di luar set filem. Malah, jika diperhatikan, banyak idea dalam filem-filemnya yang sofistikated. Filem-filem beliau pada dasarnya sarat dengan unsur falsafah di sebalik lawak jenaka. Jika kamu rajin untuk membuat kerja rumah, filem-filem Woody Allen selalunya berani mencabar atau menyoal konvensi rasional yang dipegang oleh kebanyakan manusia, kemudian kesudahannya ia ditertawakan di dalam filem. Beliau tak segan silu untuk mengejek politik, sosial, agama, cinta, malah soal seks sekalipun, berbeza dengan kebanyakan filem ‘komedi’ tempatan yang hanya bersandarkan lawak bodoh dan zero makna. Jika ragu-ragu dengan apa yang saya kata, sila tonton ‘Take the Money and Run’, ‘Bananas’ ataupun ‘Everything You Always Wanted To Know About Sex.’ Mungkin senak perut tapi kepala tambah berisi, bukannya belly.

Kalau diikutkan pengalaman peribadi pula, saya ada beberapa kisah yang mahu dikongsi. Saya sebelum ini mengambil jurusan senibina. Dalam jurusan ini, subjek yang terpenting dan mempunyai jam kredit terbanyak ialah subjek rekabentuk atau lebih mesra dipanggil ‘design.’ Setiap semester, kami diberi task untuk merekabentuk bangunan berdasarkan brief proposal. Kerana itu, kami semua tak terlepas dari sesi crit dan presentation, lisan mahupun lukisan bagi memperdagangkan idea rekabentuk masing-masing kepada para pensyarah sebelum berganjak ke peringkat final submission.

Sebenarnya, saya pernah melalui tahap kebosanan yang menggila dengan subjek ini. Sampai ke tahap saya tak ambil ‘pot’ lagi. Rasa bosan ini semakin menjadi-jadi apabila sesi crit atau presentation termasuklah juga final submission telah bertukar menjadi ‘Royal London Circus,’ penuh dengan drawing boards yang berwarna-warni yang banyak sekali jumlahnya.

Saya masih ingat lagi, waktu saya di Bota Kanan, mungkin berbunyi agak narcissistic, tapi pernah beberapa semester drawing saya mendapat reaksi positif dari pensyarah dan rakan-rakan yang lain. Ini di zaman saya masih poyo rajin dan tekun. Saya antara pelajar yang menghasilkan drawing yang banyak, walaupun taklah begitu banyak sebenarnya. Tapi perbuatan saya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau berlawan drawing siapa yang lagi banyak atau cantik. Jika ada pelajar lain yang seperti mahu berlawan, saya langsung tak ambil kesah. Saya lakukan sebegitu kerana saya sekadar melayan kegilaan saya untuk melukis. Masa itu, kami semua masih lagi menghasilkan drawing secara manual. Saya hanya melayan perasaan syok sendiri, kemaruk dan meraban untuk melukis tanpa henti. Jadi bila siap, saya rasa puas hati, tak kesahlah sama ada dipuji atau dikeji oleh pensyarah. Tak terlalu penting. A,B,C waktu ini bukan lagi menjadi agenda hidup saya. Ada soal lain yang lagi penting.

Kemudian, bila saya terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang diserabuti oleh lingkaran tengah, bandar di mana seorang sultan yang kelihatan lesu bersemayam, saya seperti mengalami shellshocked pula. Apa ketidaknya, rata-rata pelajar lebih ghairah menghasilkan drawing paling banyak, daripada bersikap kritikal terhadap design. Waktu ini, zaman sudah berubah, semua sudah beralih kepada teknologi komputer dalam menghasilkan presentation. Malah, design pun ramai yang terus menggunakan perisian ‘AutoCAD’ atau ‘Sketch-up.’ Amat mudah dan cepat terutamanya dalam menghasilkan lukisan perspektif. Nak buat sampai sejuta lukisan perspektif pun boleh kalau dah sewel sangat. Situasi sebegini sudah jadi seperti peraduan ‘siapa menghasilkan lukisan perspektif paling banyak, dia menang!’

Ini terjadi kerana ramai yang berpandangan serong. Ramai yang mudah terpesong bahawa apabila drawing itu berwarna-warni, maka ia akan lebih menarik. Dan bila mana drawing board bertimbun-timbun, maka mereka terus beranggapan mereka layak mendapat ‘A.’ Ini kebanyakannya dari mereka yang berfikiran kebudak-budakan. Sampaikan ada sesetengahnya tu yang sanggup berhabisan duit mengupah orang lain semata-mata mahu menampakkan kerjanya yang banyak, biar jadi bukti kehebatan dan kerajinan yang melambung-lambung.

Tak dinafikan, memang terdapat segelintir pelajar yang memang komited, bersungguh-sungguh dan rajin tunjuk effort. Tapi ada beberapa design proposal yang boleh dipersoalkan wibawanya untuk layak mendapat ‘A.’ Ada juga yang langsung bila dipandang, saya terburai ketawa kerana rekabentuk bangunan yang langsung tak proposition, seolah-olah si mamat/minah ini tak pernah menyentuh ‘lego’ seumur hidup. Tapi masih dapat markah yang baik, kerana drawing banyak nak mampus sampai 20 boards. Pun begitu, saya tak mempersoal atau cemburu buta kepada mereka yang saya rasakan memang layak mendapat ‘A’, kerana yang layak, tetap layak.

Sewaktu berhadapan dengan situasi sebegini, rasa bosan disokong pula oleh sikap malas ambil pusing, saya telah melakukan tindakan yang sebaliknya. Ini barangkali selaku kontrarian tegar, maka saya telah melakukan tindakan ‘reverse revolutionary,’ iaitu tindak balas radikal secara menyongsong ke belakang. Saya pada dasarnya tak mahu terperangkap dengan stigma, atau menjadi conformist buta. Di dua semester terakhir pengajian, saya telah memilih (atau menggatal?) untuk tidak menghasilkan presentation drawings secara berkomputer, sebaliknya saya go manual. Ini pada saya lebih ‘jujur’ daripada sibuk buat grafik lawa-lawa, tapi post and beam pun tak betul, scale dan proposition pun lari, semiotik pun entah ke mana.

Jadi, apa yang saya bikin, di dua semester terakhir, saya hanya mempersembahkan lukisan skematik saya pada kadar minimal, hampir tak berwarna, dilukis hitam putih dengan tak bersungguh-sungguh, dan di-xerox sahaja. Bagi menambah perisa, saya tampalkan di ruangan kosong tiga puisi bebas, sebagai penyataan konsep rekabentuk sambil menempelak situasi ketika itu. Saya tak pasti jika ada sesiapa yang pernah melakukan seperti mana yang saya lakukan, tentang puisi tadi. Semester akhir, saya lakukan perkara yang hampir sama, tetap manual hitam putih, cuma yang terakhir ini tanpa sebarang statement mahupun puisi yang selekeh, dibiarkan kosong, kerana sememangnya tiada apa yang mahu saya kelentongkan untuk kali terakhir melainkan hanya mahu grad. Pendek kata, apa yang saya lakukan adalah sangat-sangat berkontradiksi dengan expectation para pensyarah terhadap pelajar ketika itu. Kesannya, ada beberapa pensyarah yang agak terkejut, bahkan ada juga yang langsung tak perasan. Haha!

Ini semua saya lakukan gara-gara rasa sesak mata dan fikiran menyaksikan limpahan warna-warni lukisan para ‘arkitek muda’ yang lain. Mereka mungkin tak sedar, dalam keghairahan berkreatif, mata kita sebetulnya tak sempat memproses limpahan imejan grafik yang serba serabut itu dalam sekaligus. Mata kita yang dua biji seorang satu ini, telah diserang, diserbu malah disergah secara bertubi-tubi tanpa ehsan, umpama Israel mengebom Gaza. Jika otak kita betul-betul menerima imej-imej grafik yang berlambak-lambak ini secara serentak tanpa tapisan, tak mustahil kita boleh jadi moron. Maka itu, saya berkeyakinan bahawa ramai yang melihat lukisan-lukisan ini hanya secara selayang pandang, termasuk juga pensyarah, ah, tak payah tipulah! Dan, alangkah ruginya, lukisan-lukisan skematik yang banyak dan cantik ini tak dilihat dengan terperinci, bermakna ia hanya tinggal sebagai imejan grafik kosong tanpa makna. Baik tiru macam saya!

Mungkin ada yang beranggapan saya sudah mereng ketika itu, tapi yang sebenarnya, saya lebih seronok dan gembira kerana tak payah buat kerja lebih. ‘A’ bukanlah kepuasan yang mandatori bagi saya. Mustahil saya akan mengelar urat nadi saya akibat tak dapat itu ‘A.’ Apa yang saya lakukan lebih kepada kepuasan ‘spiritual’, atau protes halus, dan paling tidak pun, ia satu lembaran parodi yang saya sajikan sewaktu berhadapan dengan kelompok yang berfikir secara kebudak-budakan. Bak kata Woody Allen, “if you can’t take a joke, go fuck yourself.”


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Ahad, Januari 18, 2009

Selamat Jalan, Bung Robin

foto: dirembat dari facebook

Tahun 2009 baru tak sampai sebulan, tapi saya telah dikejutkan dengan kematian seorang kenalan jauh, jauh dari seberang.

Robin Hutagaol, si pembanting set drum Noxa, kugiran grind asal Jakarta, Indonesia, meninggal dunia semalam.

(Saat saya menulis ini, saya masih lagi tak mengetahui punca sebenar kematian beliau.)

Tahun 2005, undur empat tahun kebelakang, saya mengenali beliau secara tak sengaja. Waktu itu, saya berkunjung ke stor musik saudara Fadzil, the Mad Rocker, di Johor Bahru. Mendiang turut berada di situ, ketika itu. Beliau sendiri yang memperkenalkan saya kepada Noxa.

Secara peribadi, saya rasa bandnya tidak begitu original, tapi penuh tenaga. Sebagai sebuah kugiran yang mengalunkan irama grindcore, tenaga adalah segala-galanya. Itu mungkin, yang lebih diperlukan dalam kugiran grindcore seperti Noxa. Ada yang lagi penting, iaitu komentari sosio-politik dan suara-suara kemanusiaan dalam lirik-liriknya, yang sebahagiannya digarap oleh Robin sendiri.

Album seterusnya agak memeranjatkan saya. Saya mendapat tahu, album kedua telah diadun dan dikemaskan di kota New York, Amerika. Saya tak berkesempatan mendengarnya lagi. Walau ia satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah band dari Asia Tenggara, tapi yang nyata, mereka tak kecoh-kecoh. Kalau di sini, ‘artis’ yang baru MELANCONG ke Hollywood pun digembar-gemburkan dalam majalah dan TV.

Noxa juga pernah mendapat jemputan bermain gig di Jerman sekitar 2006 namum gagal dipenuhi akibat kegagalan mendapatkan visa. Tahun lalu, 2008, band beliau mendapat sekali lagi tawaran persembahan di Eropah. Kali ini di Helsinki, Finland untuk Festival Metal Terbuka Tuska. Dan kali ini, mereka berkongsi pentas bersama Slayer, Morbid Angel, Carcass, Kreator, Entombed, Primordial, Dying Fetus, Behemoth dan banyak lagi band metal dari serata dunia!

Kali terakhir saya menemui mendiang ialah dua tahun lepas, sewaktu menyaksikan konsert Slayer di Singapura. Beliau tetap dengan imej boot berapi-nya.’ Orangnya mudah, ramah, dan baik hati. Paling nyata, beliau begitu jujur dan betul-betul komited dalam lapangan musik yang dijelajahinya.

Oh ya, saya teringat pula satu kisah dengannya yang saya anggap lucu. Ini kali pertama saya melepak dengannya, kebetulan waktu itu sekitar bulan puasa. Waktu hampir berbuka, beliau selamba makan seraya berkata, “eh, sorrylah, aku Kristian, aku tak puasa.“ Saya hanya tersengih bercampur kagum dengan kejujuran.

Saya sebenarnya seakan ‘dipaksa’ menulis hal ini kerana saya telah dilanggar kebetulan. Beberapa minit sebelum saya mengetahui berita sedih ini, saya baru saja berniat bertanyakan khabar berita tentang dirinya serta Noxa melalui facebook. Mungkin saya akan bertanya, “bila Noxa nak turun Malaysia lagi?”


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Sabtu, Januari 17, 2009

Zombie : Black Metal

Di awal-awal ini ingin saya terangkan yang saya ini bukan peminat tegar filem sub-genre zombie mahupun pengikut sub-budaya black metal. Oleh itu, saya mungkin akan membuatkan anda tersesat, tersesat dari kesesatan black metal itu sendiri. Sesat dalam sesat takpekan?

Rasanya saya baru setahun jagung menonton filem zombie. Day of the Dead, Dawn of the Dead, Diary of the Dead, Shaun of the Dead dan [Rec]. Habis, itu saja, sikit gila (Night of the Living Dead belum tonton lagi). Tapi saya cukup beruntung kerana telah memecahkan dara mata sub-genre zombie saya dengan filem-filem George A. Romero. Apapun jika filem-filem ini ditayangkan di pawagam di negara kita, tiada masalah pun. Kita akan anggap ia sebagai wadah hiburan semata-mata, walhal ada benda yang lebih besar yang hendak diceritakan.

Berbeza dengan black metal, ia kedengaran lebih sensitif, malah diharamkan di negara kita. Seperti sub-genre zombie, muzik-muzik black metal ini juga punya unsur-unsur falsafah dan humor. Saya tak mampu menahan ketawa sepanjang menonton Dawn of the Dead, begitu juga ketika mendengar Dunkelheit atau melihat Fenriz dan Ghaal ditemubual. Lawak sungguh!

Di sini akan akan terangkan pemahaman saya tentang sub-budaya black metal. Sebelum itu ada baiknya saya mulakan dengan sedikit kisah hidup saya. Kita sedia maklum bahawa saya adalah seorang pelajar jurusan arsitektur. Bagi saya, pelajar-pelajar arsitektur adalah internasionalis secara semulajadi. Tanyakan saja pada pelajar-pelajar arsitektur dari seluruh pelusuk dunia, kehidupan kami sama. Rajin tak bertempat.

Kami berbeza dengan pelajar kejuruteraan kerana mereka tidak beramah mesra dengan idea, konsep dan estetika. Kami juga berbeza dengan pelajar interior design atau art & design kerana mereka tidak beramah mesra dengan struktur, (yakni gabungan fizik dan matematik tambahan.) Saya rasa apa yang kami belajar ini, ibarat satu fakulti filem. Maksud saya kami perlu tahu daripada pra-produksi, produksi hingga ke pasca-produksi. Semua pun perlu tahu, dari seni ke sains, daripada puisi ke falsafah. Pernah sekali seorang penyarah subjek survey bertanya,

“macam mana jam kredit kamu 30 sedangkan dalam sehari ada 24 jam?”

Disebabkan terlalu banyak yang perlu tahu, kami senantiasa mengejar waktu submission. Untuk mengejar waktu ini, hanya ada satu jalan saja, waktu tidur dikorbankan, bantal disorok dalam almari. Dulu ketika saya dan Dewa roommate, saya pernah duduk bersila melukis/membuat model selama 50 jam tanpa henti (kecuali dua kali makan dan mandi.) Kemudian tidur selama 10 jam, lalu sambung kembali melukis/memotong/gam model selama 50 jam hingga cukup masa untuk dihantar.

Untuk mengharungi 100 jam ini, saya mendengar muzik-muzik yang keras dan bising lagi bingit agar tidak tertidur. Antara kaset yang saya pinjam dengar merangkumi heavy/speed/thrash/black/death metal seperti Loudness, Motorhead, Overkill, Sodom, Impiety, Vader, Morbid Angel, At the Gates dan macam-macam lagi. Ketika mula-mula saya dengar Impiety, saya sangkakan bunyi dentuman drum-nya seolah bunyi bedilan machine gun, laju gila. Lawaknya saya terpengaruh dengan cover depan kaset yang punya gambar makhluk bertanduk memegang machine gun. Haramjadah!

Tapi secara peribadi, efek keras ini hanya pada awalnya saja. Pabila telinga saya sudah mula lali dengan bunyi-bunyian ini, tidur juga jawapannya. Berbalik kepada black metal. Jika zombie Romero mula muncul pada tahun 1968 melalui Night of the Living Dead, kelompok Norwegian black metal pula muncul di awal 90-an.

Di sini akan saya kisahkan beberapa kejadian pelik merangkumi remaja-remaja Norway ini. Saya rasa Mayhem adalah kumpulan yang paling kontroversi pernah wujud di dunia ini. (Haa orang kita cukup suka dengan kontroversi-kontroversi ini.) Sekarang, mari saya kenalkan anda dengan Dead (vokalis) dan Euronymous (gitar.)

Dead adalah pemuzik black metal pertama yang mengenakan solekan mayat (corpse paint.) Ini bukan pasal mahu kelihatan cool, tapi dia memang betul-betul mahu jadi mayat. Dead juga akan tanam pakaiannya dalam tanah berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum digali kembali untuk dipakai sewaktu persembahan. Ini 5 tahun sebelum Hussein Chalayan tanam dress sutera di belakang rumahnya, kemudian dipaparkan di butik mewah Browns, London. Di samping itu, Dead juga akan menghirup udara bangkai gagak yang disimpannya dalam balang. Ini agar nafasnya berbau kematian ketika melakukan persembahan. Dipendekkan cerita, ketika usianya 22 tahun, Dead kelar tangannya dengan pisau, lalu menggunakan senapang patah tembak di kepala bunuh diri.
Tertulis nota, “Excuse all the blood.”

Tidak habis di situ, Euronymous yang baru pulang ke rumah tersebut terkejut. Lalu dia terus bergegas ke kedai runcit membeli sebuah kamera pakai buang. Kembali ke rumah, Euronymous lalu merakam foto mayat Dead yang dilimpahi darah (lihat foto atas.) Tidak cukup dengan itu, Euronymous kemudian merebus cebisan otak Dead buat stew, untuk dimakan. Juga mengambil cebisan tengkorak Dead untuk dibuat rantai sebagai kenang-kenangan.

(Ada juga spekulasi yang mengatakan Euronymous bunuh Dead.)

Habis satu kisah, kemudian Mayhem dianggotai oleh Count Grishnackh (bass) pula yakni satu-satunya anggota Burzum. Disebabkan hubungan Euronymous dan Grishnackh terlalu kompleks dan panjang, di sini akan saya simpulkan kesannya saja. Akhirnya, Euronymous (25 tahun) ditikam dengan pisau tumpul – dua kali di kepala, lima kali di leher, dan 16 kali di belakang tubuh.

Vikernes (a.k.a Grishnackh) yang berumur 20 tahun ketika itu lalu dipenjarakan selama 21 tahun atas tuduhan membunuh (dan membakar gereja.) Pada tahun 2003, ketika dia dibebaskan selama 1 minggu untuk berjumpa keluarga, Vikernes telah menghilangkan diri. Beberapa hari selepas itu, dia dijumpai di dalam sebuah Volvo curi bersama senapang AG3, pistol, pisau, topeng gas, baju celoreng, lap top, kompas, GPS, peta dan paspot palsu ingin melarikan diri.

Bercerita mengenai Vikernes (Burzum) ini (yang kini di penjara,) saya secara peribadi merasakan videoklip lagu Dunkelheit dari album Filosofem adalah ibarat permata montaj/filem eksperimental yang telah tenggelam ke dasar pekasam. Ia sungguh mengasyikkan, setara karya Stan Brakhage. Anda akan dibawa melayari imej serigala, runes, hutan, bintang, matahari, bulan, terang dan gelap kecuali satu subjek sahaja iaitu manusia!

Bagi saya mereka ini dahulukan ideologi sebelum muzik. Mereka ingin kehidupan mereka kembali kepada alam, Norse mythology dan Germanic paganism. Di sebabkan saya pemain siri RPG Final Fantasy, nama-nama seperti Odin, Thor, Ragnarok, Midgar, Nibelheim dan lain lain tidak asing bagi saya. Juga perlu diingatkan, Vikernes cukup minat sama Lord of the Rings. Malah dia pernah mengkritik filem yang diarahkan oleh Peter Jackson. Katanya kaum Rohan, yang diintepretasinya sebagai golongan Germanic kelihatan sebagai pengotor. Ini bercanggah dengan masyarakat Germanic yang katanya sangat pentingkan hal-hal kebersihan. Apapun kritikan ini di tujukan terus kepada J.R.R. Tolkien dan saya rasa ia rasa bangga diri bangsa eropah semata-mata.

Malah jika kita dengar muzik Dunkelheit itu sendiri, ia mengadunkan alunan keras (karat) dan lembut (licin) sebagai SATU sepanjang lagu. Bagi saya ini cara yang betul jika seseorang seniman atau pemuzik itu mahu suntik unsur-unsur tradisi ke dalam muzik mereka. Bukannya intro ditampal bunyi lembut tradisi, lepas itu tiba-tiba bunyi kasar lagi laju, habis itu ditampal kembali bunyi lembut tadi pada outro-nya. Lepas tu koya muzik ada nilai-nilai murni tradisi. Mudah benar nak buat muzik camgini.

Jika dilihat pada Burzum itu sendiri, ia terdiri daripada Vikernes seorang diri, one-man-band, projek solo. Malah tidak pernah buat persembahan secara live pun. Buat muzik tapi tak perform live? Mungkin anda akan rasa janggal, tapi jika difikirkan kembali. Muzik bukan sekadar persembahan secara live, malah banyak band yang sebenarnya telah ‘tersesat’ dari definisi muzik (dalam erti kata sebenar) itu sendiri sebab persembahan. Persembahan live boleh mengundang trend barangkali.

Seangkatan dengan Burzum, Darkthrone juga menarik untuk dilihat proses perjalanan muziknya. Makin lama makin orthodoks, muziknya dari black metal (awalnya death) berevolusi kembali kepada crust punk. Tak pernah dibuat orang.

Di sini ingin juga saya tuliskan beza black metal dan death metal mengikut intepretasi saya yang tak seberapa ini. Dari segi teknikal, death metal lebih garang, blastbeat padu, solo mantap. Tapi ia hanya sekadar zahirnya saja. Ini boleh saya samakan macam filem-filem splatter lain yang kaya dengan darah, tapi isi ceritanya lemah. Berbeza dengan black metal, muziknya lebih matang, liriknya berisi. Saya tidak banyak mengabiskan masa menonton filem, tetapi buat masa ini, saya cukup yakin bahawa filem-filem zombie Romero paling tepat untuk disamakan dengan Norwegian black metal scene

Saya juga percaya filem-filem zombie sebelum Romero, boleh diibaratkan bagai band-band pelopor black metal seperti Venom, Bathory, Hellhammer dan Celtic Frost. Cuma bezanya Romero dan remaja Norway ini, mereka bawa ia naik ke satu tahap yang baru dan lebih menyegarkan malah menggerunkan. Seperti filem-filem zombie yang muncul selepas Romero, banyak band-band yang menggunakan label black metal. Akan tetapi kebiasaannya, atau kebanyakannya, pasti ada filem-filem dan band-band yang hampeh. 

Nothing to prove
Just a hellish rock'n roll freak
You call your metal black
It's just plastic lame and weak

We're too old
Too cold
Too old
And too cold

cebisan Too Old, Too Cold - Darkthrone


Ridhwan Saidi

Jumaat, Januari 16, 2009

Orasi Pendek Menjelang Sabtu

Saya terfikir, tadi, sejauh mana sekalipun seseorang itu mengasingkan diri dari dunia sekelilingnya, sedalam mana pun dia menyorok di perut gua, dia tetap jua individu yang wajib berhubung sesama manusia. Walau dalam keadaan yang seminimal mungkin. Ini adalah antara soal yang paling asas, hukum kanun kemanusiaan yang paling azali.

(Dan dalam hal ini, kita perlu lupakan Tarzan Raja Rimba.)

Hubungan yang saya maksudkan mencakupi segala bentuk perhubungan manusia, yang merentasi sempadan bangsa, agama, ideologi mahupun geografi. Hubungan yang pasti melibatkan hubungan antara ibu dan anak, nenek dan cucu, majikan dan pekerja, ketua kampung dan anak buah, penjual dan pembeli, guru dan murid, hubungan adik beradik, saudara-mara, hinggalah hubungan sepasang kekasih.

Perlu diingat, elemen yang paling penting dalam perhubungan ialah kejujuran. Apa saja bentuk perhubungan.

Andaikata kejujuran gagal dibina, kepercayaan pasti roboh. Ini kerana, usah berharap orang akan mempercayai kita jika kita terlebih dahulu berlaku curang, termasuk yang paling kronik, gagal berlaku jujur kepada diri sendiri. Dari jujur inilah, kita membina kepercayaan yang hakiki. Dari kejujuran ini juga datangnya keikhlasan. Pasti.

(Sedangkan beriman kepada Tuhan juga memerlukan kejujuran di dalam hati.)

Jika perkara asas ini gagal dipenuhi, usah membuang masa bercerita tentang kasih sayang. Huha huha tentang cinta, LOVE, l.o.v.e, lurve, loave, termasuk luff dengan dua ‘f’ itu semua hanya tinggal sebagai rekayasa banal dalam kehidupan. Bahkan, pantas saja jadi lelucon si Woody Allen.

Saya tahu, saya sedar, ia beresiko dan mungkin sukar. Tapi, cubalah..


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Ingatan untuk sesiapa saja, termasuk diri sendiri.

Ahad, Januari 11, 2009

Memang Kosong Pun!

Semalam, saya bertemu ennui. Ennui ini bukan seorang amoi bergetah dari Bukit Beruntung, tapi adalah satu perasaan bosan nak mampus. Jadi, saya rawat demam ennui ini dengan meleburkan diri saya di celah-celah ulat tahi kotaraya, sekitar Bukit Bintang. Tapi, saya seboleh-bolehnya tak mahu rewangan saya ini kosong bersahaja, lalu saya letakkan sasaran saya untuk mencari buku di Borders.

Namun sial, apakandaya, saya tak ketemu dengan buku yang diingini, dan akhirnya saya terpaksa bertransformasi menjadi pemerhati budaya yang tak bertauliah.

Hari minggu, macam biasa. Masa untuk para remaja a.k.a budak-budak ‘kota berlumpur’ berlibur, berjoget terkinja-kinja, dan mungkin, bercengkerama. Saya tak berniat mahupun berminat untuk menjadi moralis, lalu poyo merakamkan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja. (Melayu khususnya.) Mata saya hanya galak merakam setiap aksi, setiap situasi tanpa mahu membuat sebarang justifikasi; moral. Rakaman pengalaman yang ditangkap oleh – bukan kamera – tapi mata ini lebih saya hargai, selalunya. Lebih tepat, lebih menusuk terus ke otak, tanpa sebarang salinan analog mahupun digital.

Dan ya, memang benar, mata saya yang semakin rabun ini dapat merakam sesuatu yang menarik semalam.

Oleh kerana saya pernah terbaca (tapi di mana ya?) tentang ‘fenomena’ baju-T budak-budak sekarang yang banyak tertera tulisan-tulisan bahasa Melayu, (atau Malaysia? hish!) saya telah merakam sesuatu di dalam kepala. Telah dikatakan, ‘fenomena’ bebudak Melayu sekarang yang memperaga baju-T bercop dengan slogan-slogan atau tulisan bahasa ibunda adalah suatu tanda yang positif. Positif dalam erti kata, mereka (remaja) sudah tak segan silu untuk memperagakan, atau mengaksesorikan diri dengan tulisan-tulisan bahasa Melayu. Jika sebelum ini, baju-T hanya bertampal dengan tulisan Mat Salleh, baru nampak cool dan tak malu. Sekarang tidak lagi. Baju-T yang bercap tulisan Melayu juga boleh menampakkan yang kamu ini seorang ’Mat Cool.’ Ini tandanya, bahasa Melayu semakin subur. Tahniah!

Eh, betul ke?

Nah! Hujah ini yang ingin saya sanggah di sini. Saya tak nampak apa-apa kaitan di sebalik ’fenomena’ baju-T bertulis bahasa Melayu ini dengan nilai jati diri bangsa, nilai nasionalisme, apatah lagi nilai patriotisme. Saya juga gagal melihat fenomena yang sedang berarak di Bukit Bintang semalam sebagai tanda kesuburan atau perkembangan positif bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Maaf kata la ya, setelah dituras dengan rasional akal, saya merasakan bahawa fenomena yang saya maksudkan ini tiada kena mengena dengan nilai-nilai muluk itu semua. Ia sebenarnya hanyalah fenomena yang cuba diangkat pada masa kini oleh para trend sucker.

Trend sucker ini, maaf, bahasa orang putih. Untuk menampakkan yang saya ini seorang nasionalis bahasa ibunda, kita panggilkan saja sebagai penghisap atau penjilat fesyen atau budaya terkini. Golongan yang melayan trend terdiri dari pelbagai kategori, bermula dari pencipta budaya terkini itu sendiri, yang acap kali digelar sebagai trend setter, sampailah kepada para pengikutnya yang paling tercicir kelewatan. Manusia yang keciciran ini lagi parah, umpama keciciran bas setelah berlari untuk mengejar, akan kelihatan letih dan berpeluh-peluh. Dan, barangkali berbau hapak. Golongan tercicir inilah kebayakkannya menjadi seperti yang saya cop sebagai trend sucker.

Dan lagi satu, yang ramai pastinya trend followers, para pengikut yang kebanyakkannya dimonopoli oleh remaja lepasan dan yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mereka ini, saya tak sampai hati pula nak menjatuhkan sebarang hukuman, justifikasi baik atau buruknya tindakan mereka . Saya sekadar mahu melampiaskan keserakahan nafsu saya pada sesuatu yang saya rasakan benar.

Trend baju-T bercetak slogan-slogan bahasa Melayu ini baru saja tercetus tahun lepas, saya rasa, oleh sebuah kugiran yang pernah ’dihujani kebebasan melampau’ pada suatu masa yang pendek. Jika benar sangat kumpulan musik ini mahu mengangkat bahasa Melayu, ya, mereka boleh teruskannya. Saya tak berminat melayan niat suci mereka.

Tapi jika direnung kembali, hasilan musik kugiran ini tiada kena mengena dengan keghairahan pemuda-pemudi trendy ’memperdadakan’ dada mereka dengan tulisan atau slogan berbahasa Melayu. Mungkin ya pada mulanya, sebagai pencetus trend. Walau apapun alasannya, jika berkarya, menulis atau bernyanyi misalnya, saya fikir kita tak perlu meletup-letupkan lantai perkaryaan kita. Yang penting, kita mesti tahu bahawa kita berkarya kerana ingin berkarya, for fuck sake! Dan yang paling penting, karya itu memang bagus, tak kiralah apa medium atau instrumen yang digunapakai sekalipun. Tak payah sibuk memelikkan diri dengan instrumen yang kita guna. Kalau kamu seorang Melayu dan bernyanyi dengan bahasa Melayu, ah, apa yang perlu diheboh-hebohkan sangat? Perlu ke kita berasa pelik? Atau kecoh? Saya ingat, biasa saja, dan tak pelik langsung. (Tapi saya akan berasa pelik jika terjumpa seorang Mexico yang pandai bernyanyi lagu Tamil.)

Apa yang berlaku ialah, kita buat-buat pelik, buat-buat kecoh. Atas alasan, sebelum ini ramai pemusik bebas kita suka bernyanyi dalam bahasa Inggeris. Apabila kita berhujah bangang sebegitu, yang terhasil adalah lebihan-lebihan rasa pelik atau kagum yang dibuat-buat, yang terjelma kepada sesuatu yang hip dan trendy. Lebihan-lebihan inilah yang bermetamorfosis menjadi bahan kumbahan atau tahi, yang kemudiannya disedut oleh golongan trend sucker yang saya katakan tadi.

Trend semasa ini bersifat pop, semestinya, serta tak tahan lama seperti ketulan ais yang lekas cair. Jika ketulan ais diletakkan di tempat yang panas, ia akan mencair dengan lebih cepat. Begitu juga kesnya dengan budaya pop ini. Kalau kamu perasan, makin hot atau hip sesuatu trend, lagi cepatlah trend itu padam. Oleh itu, biar saya berlagak sebagai tok nujum di sini. Saya berani meramalkan bahawa trend baju-T ini tak lama, paling kuat pun ia hanya mampu bertahan sampai hujung tahun ini saja. Justeru, mungkin ini akan menjadi simbol kemerosotan bahasa Melayu pula! Hahaha!!

Tambahan pula, ada satu lagi yang perlu kita sedari, trend atau budaya popular ini tak memiliki sebarang nilai falsafah yang sebenar. Trend semasa ini tiada kesinambungannya. Boleh hidup secara tiba-tiba dan mati dalam sekelip mata. Ini berbeza dengan letusan budaya Hippie suatu ketika dahulu, atau sub-kultur Punk, yang mana ianya ditopang oleh falsafah-falsafahnya yang tersendiri, walau ramai jua yang cuma ikut-ikutan. Malah, Black Metal juga mengandungi nilai falsafah, di sebalik palitan ‘corpse-paint,’ di sebalik hingar bingar dan karatnya alunan musik mereka. Falsafah-falsafah inilah yang memberi nilai kepada sesuatu kewujudan budaya atau sub-budaya lalu menampakkan pembudayaan yang ada hujung-pangkalnya.

Tak akan pernah wujud sentimen nasionalisme, patriotisme, atau apa-apa bentuk nilai sosiologi positif sekalipun dalam budaya pop atau trend semasa. Saya mahu katakan, trend semasa tak lebih sekadar budaya picisan yang diraikan oleh para remaja, sebagai wadah eskapisme runcit-runcitan sewaktu muda. Ideanya sangat cetek. Maknanya, kalau dahulu mereka memakai baju-T bertulis dengan istilah Inggeris, bukan kerana mereka berpaling dari budaya tempatan. Tapi kerana melayan trend. Sekarang pula, yang tengah ‘in’ dan kelihatan hip ialah istilah berbahasa Melayu, maka itulah pilihan mereka. Jangan buat-buat pelik, jika satu hari nanti datang trend memakai baju-T tertera bahasa Jepun, maka mereka ini tak mustahil akan beralih ke bahasa Jepun pula. Kalau ini terjadi, adakah kita akan menganggap yang golongan trend sucker ini sedang berusaha mengaplikasikan dasar pandang ke timur?’

Saya juga hairan betapa mudahnya penjiwaan Melayu mereka, hanya semurah sehelai baju. Soalnya, apakah mereka ini pernah membaca Hikayat Hang Tuah? Apakah mereka ini mengenali Pendeta Za’ba? Adakah mereka pernah merasa cencaluk? Adakah mereka ini tak malu menumis sambal? Jikalau jawapan kepada soalan-soalan ini cenderung ‘tak pernah’ atau ‘tak tahu’, nescaya terbukti bahawa fenomena baju-T ini memang sekadar trend murahan.

Selain itu, pastinya di sebalik trend ini, tersisip nilai yang lain, selaku nilai yang sebenar, yakni nilai komoditi pasaran. Pastinya akan ada pihak yang menangguk di air yang keruh, untuk menjala untung. Disebabkan itu, trend baju-T ini sekadar kilauan budaya pop yang bertopengkan keuntungan dan konsumerisme. Adalah sangat lawak jika kita percaya bahawa bahasa kebangsaan mendapat signal positif dengan hanya melihat seorang remaja ’mendadakan’ baju-T bercetak frasa, “Saya Jiwa Kosong” – ha, tahu takpe.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

S&M

Saya ingat, hari tu, saya mahu berhenti menulis. Rasa macam dah lemau. Tapi, mungkin lebih baik rasanya kalau terus menulis, setelah fikir balik semula. Ataupun yang lebih tepat..err..merapu.

Bakat? Talent?? Siapa peduli! Kalau betul-betul ada, dan daya rasa yang baik, ia bonus!

Menulis, bagi saya, sama saja macam melukis, ataupun bermusik, atau, bernyanyi. Sebaiknya bersifat peribadi, agak egoistik, self absorbed, dan syok sendiri. Pedulikan dunia sekeliling yang tak akan berhenti merayu, memohon untuk dibelai selagi tak puas, sedangkan kita semua tahu malah bersetuju, ia tidak akan pernah puas.

Kata lain yang mungkin lebih tepat, ia umpama self liberation, pembebasan diri dari toksik-toksik kehidupan yang seakan teramat pedih, ngilu, busuk, menyakitkan, tapi sedap untuk dilayan.

Layan diri.

Menulis, maksud saya.

Baik, esok pagi-pagi, saya mahu mengembara ke negeri Antah Berantah, kepingin menikam khayalan.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Selasa, Januari 06, 2009

Kapal Angkasa Gubra

Dalam bidang senibina, rekabentuk sesuatu bangunan itu boleh dikembangkan melalui dua cara. Pertama, melalui analisis tapak. Ini adalah teknik asas yang ahli akademik dan para pelajar gunakan. Tujuan analisis tapak adalah supaya kita dapat bertindakbalas dengan kekuatan/masalah sesuatu tapak itu. Di sini akan saya berikan beberapa contoh agar anda faham.

Jika ada stesen LRT bersebelahan tapak, apa kamu buat? Semestinya kamu buka laluan ruang sirkulasi agar pejalan-pejalan kaki ini mudah masuk ke kawasan tapak kamu. Baru mesra pengguna, juga disable-friendly dari segi susunatur ruang (belum bentuk lagi.) Ini sama jika ada ruang-ruang penting lain (nodes,) kamu perlu buka ruang kepada manusia-manusia ini bergerak. Heck, senibina ini sepatutnya untuk manusia! Disebabkan kita tidak mahu tinggal bersama alam semulajadi, kita bina ‘alam’ konkrit dan besi kita sendiri. Oleh itu mana-mana senibina yang tidak respons kepada manusia, saya akan anggap ia senibina 'kelakar'. Fikirkan, kita potong bukit, musnahkan hutan, kononnya semata-mata untuk (kemajuan) manusia, tapi akhirnya manusia-manusia ini dihalang dengan tembok (lutsinar atau tidak) dari memasuki ruang tersebut. Apa hal?

Jika anda perasan, saya banyak menulis tentang ruang berbanding bentuk. Secara peribadi, saya tidak ambil pot dengan senibina yang canggih-manggih kalau susunatur ruangnya gagal. Saya rasa anda sudah boleh nampak apa yang saya cuba sampaikan ini. Ia sama macam filem, saya tidak peduli dengan CGI, efek, pelakon cun atau apa-apa yang zahiriah, kalau cerita-nya hampeh. Saya tonton filem sebab mahu rasa cerita, saya masuk bangunan sebab mahu rasa ruang. Semudah itu.

Cara kedua, ia berdasarkan intuisi semata-mata. Ini dipelopori oleh golongan pasca-moden dekonstruktivis. Perlu diingatkan di sini, mereka wujud bukan suka-suka. Mereka yang bertanggungjawab mematikan gerakan senibina moden, lalu buat yang baru (masalah betul.) Menolak segala falsafah-falsafah senibina moden yang sedia ada waktu itu, dipelopori Le Corbusier (dengan brutalist-nya dll,) Mies van der Rohe (dengan minimalis-nya) dan Walter Gropius (dengan Bauhaus-nya.) Frank Wright pula dengan seni organik-nya (tidak mahu diasosiasikan dengan para modenis eropah.)

Menulis pasal Frank Wright ini, saya percaya ramai pelajar senibina tidak tahu yang dia pernah dipenjarakan selama sehari. Tahu kenapa? Kerana dia mengkritik senibina White House. Katanya ia sungguh un-American, kerana bentuknya tiada kaitan dengan fungsi akibat pengaruh senibina Greek, racun pagan. Golongan modenis ini bukan saja melukis, mereka juga menulis. Dari tulisan itu datang falsafah modenisme. Berlainan dengan sekarang, “arkitek sekarang tidak reti menulis” kata Rem Koolhass berseloroh.

Berbalik kepada dekonstuktivis tadi, ia berlaku kerana mereka sudah mula bosan dengan order, terancang. Jadi sebab itu mereka bersuka-ria dengan menolak sebarang dogma yang telah ditetapkan oleh para modenis.

Form follows function.”

Purity of form.”

Truth to materials.”

Tapi ingat, bangunan-bangunan umpama kapal angkasa makhluk asing terhempas ini biasa terjadi di tengah kota. Impak ganas senibina dekonstuktivis ini semata-mata untuk provoke senibina ‘biasa’ sedia ada (rasa saya-lah.) Walau bagaimanapun provokasi ini hanya pada bentuk semata-mata, ruangnya tetap mesra pengguna ;-)
UFA-Palast di Dresden, Jerman oleh Coop Himmelb(l)au

Baru-baru ini saya menonton Gubra di kaca televisyen. Entah kenapa filem ini mengingatkan saya pada filem Monsieur Ibrahim et les fleurs du Coran yang saya tonton di panggung beberapa tahun dahulu. Saya tidak-lah terkejut beruk pabila menonton filem ini, malah sedikit sebanyak filem ini membuatkan saya bernostalgia semasa tinggal di Pudu Lama. Tok Imam dan keluarga berjiran sama pelacur. Saya pula berjiran dengan pengedar dadah semasa di K.L dulu (saya tingkat atas, mereka tingkat bawah.) Realitinya saya tidak punya apa-apa masalah dengan mereka, saya tetap dengan pendirian saya (bersih dari sebarang bentuk dadah, ubat dan apa-apa bahan kimia.)

Tiap kali kami bertembung, kami bertukar-tukar senyuman, kadang-kadang tegur-tegur ayam. Wujud rasa hormat di antara kami, tanpa dipaksa. Dan semestinya jiran saya ini sedar apa yang dilakukannya, tidak pernah sesekali offer saya, kerana dia tahu saya 'bersih'. Semuanya atas dasar perniagaan, cari makan. Ini sama macam dalam Gubra, pelacur dan tok imam ini hormat di antara satu sama lain sebagai manusia. Adalah sesuatu yang biadap jika pelacur itu offer dirinya kepada tok imam. Jika ini berlaku, baru keruntuhan akhlak dan moral terjadi, sungguh kurang ajar. Apapun dua-dua hidup susah. Pelacur tidak akan melacur jika kebajikan mereka (sebagai rakyat) diutamakan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, Gubra tidak mampu untuk mencengkam hati saya. Hanya adegan Orked dan suaminya bergaduh saja yang mampu saya ingat. Kamera bergoyang (goyangnya rumah tangga mereka,) si suami ditolak keluar dari skrin (keluar dari hidup Orked,) tapi akhirnya digenggam kasar oleh suaminya dengan paksaan (rasa saya.) Di akhir filem ada kata-kata hikmah Jelaluddin Rumi, tapi bagi saya ia terlalu keras, dan diletakkan sekelepuk di situ. Saya juga berpendapat Rumi ini budaya popular dengan sufism-nya, malah saya cukup ngeri kalau ada di antara kita yang perasan sufi dengan hanya membaca beberapa kerat ayat Rumi.

Secara peribadi, suntingan babak di mana kesemua mereka berdoa juga agak keras. Saya sedikit terganggu dengan babak ini, bukan pasal isinya, tapi dari segi teknikal. Saya tidak faham kenapa ketika di gereja kamera zoom out, sedangkan di surau kamera statik (ia seolah bercanggah sedangkan point filem ini 'cahaya yang sama.') Ini serius mengganggu saya. Mungkin anda akan kata, aaahh pedulikan benda-benda teknikal, jangan fikir tapi rasa. Tapi bagi saya gerakan kamera perlu bersebab (malah ia sebenarnya bahasa filem,) dan kacau-nya saya tidak faham kenapa, mesej tersembunyi barangkali (atau saya terlalu amatur).

Dalam Monsieur Ibrahim, ia tidak menjual nama Rumi secara terus. Tapi saya sebagai penonton yang akan kaitkan kembali Rumi dan Gibran ke dalam filem itu. Filem ini mengisahkan seorang budak yahudi yang selalu datang lepak di kedai runcit seorang tua arab (lakonan Omar Sharif.) Budak ini lalu mempersoalkan tentang perbezaan agama yahudi dan islam dengan pak cik Ibrahim ini (saya tidak ingat soalannya tapi jawapannya saya akan ingat sampai bila-bila.) Jawab pak cik itu,

"ini tanganku, ini hidungku" sambil tunjuk menggunakan jari.

Ia dibiarkan tergantung. Ini sama macam,

"lampu yang berbeza, tapi cahayanya sama" - Rumi

Bagi saya filem Gubra terlalu jauh ke depan untuk difahami oleh masyarakat kita, atau secara relatifnya masyarakat kita yang terlalu ketinggalan? Saya tidak tahu. Satu lagi hal yang saya tidak berkenan dengan Gubra adalah babak-babak yang ditonjolkan, ia dicubit sikit-sikit. Cubit sikit-sikit pasal agama (terutama di nusantara yang syariat-driven ini) memang bagi saya cari pasal. Ini sama kesnya dengan senibina dekonstruktivis, nak dekonstruk, dekonstruk betul-betul, jangan sikit-sikit, nanti struktur tumbang, bahaya, roboh.


Ridhwan Saidi

Isnin, Januari 05, 2009

Indahnya Alam

Itu hari, waktu semua orang sibuk-sibuk sambut tahun baru, saya berkhalwat dalam hutan. Begini ceritanya, saya menetap di pinggir sungai yang banyak buloh, manakala tempat saya belajar pula di puncak segala alam. Di antara tempat tinggal dan tempat belajar saya, ada hutan, kata orang tempat jin bertandang, kata orang-lah (saya lebih takut tempat manusia bertandang, serius.) Tak silap saya, dulu ada seorang gadis pernah dirogol, ditembakbunuh dan dibom di sekitar kawasan ini. Tidak-lah betul-betul di tempat yang saya telah pergi ini, tapi di sekitar kawasan ini, tidak pasti di mana.

Perlu diingatkan bahawa ini cubaan berkhemah saya yang pertama. Jadi di sini saya amatur habis. Tujuan saya hanya satu, saya ingin tinggalkan ‘modeniti’ buat sementara waktu, satu malam di mana manusia ‘moden’ menyambut kedatangan entiti yang bergelar ‘2009’.

Sewaktu sekolah rendah dulu, saya pengakap. Saya pernah dibawa mendaki bukit belakang tangki air (yang lazimnya terletak di atas bukit), cuma kami tidak bermalam. Berbekalkan pengalaman pengakap saya ini, kini saya telah bersedia!

Sekarang, disebabkan saya hanya mahu bermalam untuk satu malam saja, saya hanya bawa khemah kecil yang saya jumpa di dalam stor, beg tidur (ini mandatori bagi pelajar senibina yang tidur studio a.k.a squatter), sepaket belerang (konon takut binatang buas), dua kotak mancis, sebatang lilin, sebilah keris tersisip rapi dipinggang, sebotol besar air mineral, dua batang sosej yang dibalut kemas, lidi satay (lidi saja), serta pen dan kertas (andai kata saya bosan nanti atau lebih teruk bertemu Gila). Oleh kerana tujuan saya ingin berkhalwat bersama alam semulajadi tanpa campurtangan ‘modeniti’, maka dengan itu saya tinggalkan segala gajet-gajet canggih. Telefon bimbit, kamera digital, macbuku dan err… eh tiga benda alah ini saja ke teknologi mudahalih moden yang saya ada? (saya tak pakai jam tangan.)

Selepas sarapan kenyang-kenyang, minum puas-puas, siap sedia berkemas, terus saya tumpang naik kereta kekasih saya pergi studio. Dalam perjalanan pergi, kami lalu di antara dua bukit. Selepas itu saya diturunkan di tepi jalan. Dari situ si dia meneruskan perjalanan ke studio. Sambil menoleh kiri kanan, pabila tiada kereta lain, terus saya menyusup masuk ke dalam belukar senyap-senyap (takut disalah anggap oleh manusia 'bertamadun'). Dalam hati tiba-tiba beri salam, seolah-olah saya telah masuk ke rumah orang (walhal saya percaya manusia sepatutnya sebahagian daripada alam).

Selangkah demi selangkah saya masuk ke dalam, sambil toleh ke belakang banyak kali. Arah belakang saja jalan keluar dari hutan belukar ini. Umpama cahaya di hujung terowong. Tidak berkompas, bunyi kenderaan lalu-lalang tadi semakin pudar, samar, lalu hilang sepenuhnya. Saya semakin jauh, jauh ke dalam.

Oh ya, sebelum saya masuk ini belukar, saya juga perhatikan matahari terbit dari mana. Ini sebagai langkah berjaga-jaga jika saya tersesat di dalam hutan, dengan harapan boleh keluar berpandukan bayang.

Jalan punya jalan punya jalan, tiba-tiba angin bertiup kuat. Lihat! saya terjumpa sebuah gua. Ia bukan betul-betul gua sebenarnya, macam perigi, tapi bukan. Senang kata ada sebuah loobang masuk ke dalam perut bumi. Pada awalnya saya sangkakan ia sarang apa-apa binatang (waktu itu saya fikir labah-labah gergasi), disebabkan saya punya rasa ingin tahu yang tinggi lalu saya periksa ia dengan cermat (padahal saya sedang kikiskan rasa takut saya ini masa terang benderang, bila gelap nanti takut terngiang-ngiang pula sebelum tidur.)

Meletakkan beg di tepi sebatang pokok berdaun merah. Lalu saya nyalakan lilin, sambil cuba menyuluh permukaan gua itu. Hitam. Dalam. Macam dalam filem, lalu saya keluarkan syiling 50 sen dari poket lalu campak ia masuk ke dalam. Hairan, tiada bunyi ‘ting’ pun. Berdiri di hadapan muka gua itu, terlintas dihati, saya perlu buat pilihan. Samada patah balik, atau masuk ke dalam gua itu. Dalam takut-takut itu sempat juga saya berlawak jenaka dengan diri sendiri. Kalau saya masuk gua itu, boleh saya tulis pengalaman pelik saya ini dalam Bin Filem.

Bin Filem punya pasal, saya pun turun masuk ke dalam gua itu. Tapi apakan daya, saya tergelincir lalu terluncur masuk sehingga terhentak pada sesuatu yang lembut dan berlendir. Lilin saya masih lagi dalam genggaman, anehnya api tidak padam sebaliknya semakin bersemarak. Saya nampak cahaya di hujung terowong. Perlahan-lahan bergerak, saya menyuluh-nyuluh persekitaran saya. Menakutkan, saya rasa saya telah terjatuh di atas sesuatu  yang pejal tapi nipis.

Lebih menakutkan, cahaya di hujung gua tadi dikepung secara tiba-tiba oleh bebayang. Silhouette-nya begini, badan di tengah, ada lapan kaki, dan ada taring. Dalam keadaan ini, saya cukup pasti bahawa bebayang itu adalah labah-labah gergasi. 

Tiada jalan lain selain masuk ke dalam. Saya perlu koyakkan lapisan pejal ini (sarang labah-labah gergasi itu mungkin,) untuk menyelamatkan diri. Tapi ia tidak mudah, cuba punya cuba masih tidak mahu. Oh tidak! Tiba-tiba saya teringat keris di pinggang. Dengan nama Tuhan, saya tikam dan koyakkan lapisan itu lalu terjatuhmasuk, ke dalam lautan air. Bukan sebarang air, di dalam air ini kelihatan api berwarna-warni, meliuk-lentuk, bergerak manja.

Cantik, sungguh cantik,
indah, sungguh indah.
Inikah yang mereka panggil ‘syurga’
wahai dindaku?


Ridhwan Saidi