Isnin, Januari 05, 2009

Indahnya Alam

Itu hari, waktu semua orang sibuk-sibuk sambut tahun baru, saya berkhalwat dalam hutan. Begini ceritanya, saya menetap di pinggir sungai yang banyak buloh, manakala tempat saya belajar pula di puncak segala alam. Di antara tempat tinggal dan tempat belajar saya, ada hutan, kata orang tempat jin bertandang, kata orang-lah (saya lebih takut tempat manusia bertandang, serius.) Tak silap saya, dulu ada seorang gadis pernah dirogol, ditembakbunuh dan dibom di sekitar kawasan ini. Tidak-lah betul-betul di tempat yang saya telah pergi ini, tapi di sekitar kawasan ini, tidak pasti di mana.

Perlu diingatkan bahawa ini cubaan berkhemah saya yang pertama. Jadi di sini saya amatur habis. Tujuan saya hanya satu, saya ingin tinggalkan ‘modeniti’ buat sementara waktu, satu malam di mana manusia ‘moden’ menyambut kedatangan entiti yang bergelar ‘2009’.

Sewaktu sekolah rendah dulu, saya pengakap. Saya pernah dibawa mendaki bukit belakang tangki air (yang lazimnya terletak di atas bukit), cuma kami tidak bermalam. Berbekalkan pengalaman pengakap saya ini, kini saya telah bersedia!

Sekarang, disebabkan saya hanya mahu bermalam untuk satu malam saja, saya hanya bawa khemah kecil yang saya jumpa di dalam stor, beg tidur (ini mandatori bagi pelajar senibina yang tidur studio a.k.a squatter), sepaket belerang (konon takut binatang buas), dua kotak mancis, sebatang lilin, sebilah keris tersisip rapi dipinggang, sebotol besar air mineral, dua batang sosej yang dibalut kemas, lidi satay (lidi saja), serta pen dan kertas (andai kata saya bosan nanti atau lebih teruk bertemu Gila). Oleh kerana tujuan saya ingin berkhalwat bersama alam semulajadi tanpa campurtangan ‘modeniti’, maka dengan itu saya tinggalkan segala gajet-gajet canggih. Telefon bimbit, kamera digital, macbuku dan err… eh tiga benda alah ini saja ke teknologi mudahalih moden yang saya ada? (saya tak pakai jam tangan.)

Selepas sarapan kenyang-kenyang, minum puas-puas, siap sedia berkemas, terus saya tumpang naik kereta kekasih saya pergi studio. Dalam perjalanan pergi, kami lalu di antara dua bukit. Selepas itu saya diturunkan di tepi jalan. Dari situ si dia meneruskan perjalanan ke studio. Sambil menoleh kiri kanan, pabila tiada kereta lain, terus saya menyusup masuk ke dalam belukar senyap-senyap (takut disalah anggap oleh manusia 'bertamadun'). Dalam hati tiba-tiba beri salam, seolah-olah saya telah masuk ke rumah orang (walhal saya percaya manusia sepatutnya sebahagian daripada alam).

Selangkah demi selangkah saya masuk ke dalam, sambil toleh ke belakang banyak kali. Arah belakang saja jalan keluar dari hutan belukar ini. Umpama cahaya di hujung terowong. Tidak berkompas, bunyi kenderaan lalu-lalang tadi semakin pudar, samar, lalu hilang sepenuhnya. Saya semakin jauh, jauh ke dalam.

Oh ya, sebelum saya masuk ini belukar, saya juga perhatikan matahari terbit dari mana. Ini sebagai langkah berjaga-jaga jika saya tersesat di dalam hutan, dengan harapan boleh keluar berpandukan bayang.

Jalan punya jalan punya jalan, tiba-tiba angin bertiup kuat. Lihat! saya terjumpa sebuah gua. Ia bukan betul-betul gua sebenarnya, macam perigi, tapi bukan. Senang kata ada sebuah loobang masuk ke dalam perut bumi. Pada awalnya saya sangkakan ia sarang apa-apa binatang (waktu itu saya fikir labah-labah gergasi), disebabkan saya punya rasa ingin tahu yang tinggi lalu saya periksa ia dengan cermat (padahal saya sedang kikiskan rasa takut saya ini masa terang benderang, bila gelap nanti takut terngiang-ngiang pula sebelum tidur.)

Meletakkan beg di tepi sebatang pokok berdaun merah. Lalu saya nyalakan lilin, sambil cuba menyuluh permukaan gua itu. Hitam. Dalam. Macam dalam filem, lalu saya keluarkan syiling 50 sen dari poket lalu campak ia masuk ke dalam. Hairan, tiada bunyi ‘ting’ pun. Berdiri di hadapan muka gua itu, terlintas dihati, saya perlu buat pilihan. Samada patah balik, atau masuk ke dalam gua itu. Dalam takut-takut itu sempat juga saya berlawak jenaka dengan diri sendiri. Kalau saya masuk gua itu, boleh saya tulis pengalaman pelik saya ini dalam Bin Filem.

Bin Filem punya pasal, saya pun turun masuk ke dalam gua itu. Tapi apakan daya, saya tergelincir lalu terluncur masuk sehingga terhentak pada sesuatu yang lembut dan berlendir. Lilin saya masih lagi dalam genggaman, anehnya api tidak padam sebaliknya semakin bersemarak. Saya nampak cahaya di hujung terowong. Perlahan-lahan bergerak, saya menyuluh-nyuluh persekitaran saya. Menakutkan, saya rasa saya telah terjatuh di atas sesuatu  yang pejal tapi nipis.

Lebih menakutkan, cahaya di hujung gua tadi dikepung secara tiba-tiba oleh bebayang. Silhouette-nya begini, badan di tengah, ada lapan kaki, dan ada taring. Dalam keadaan ini, saya cukup pasti bahawa bebayang itu adalah labah-labah gergasi. 

Tiada jalan lain selain masuk ke dalam. Saya perlu koyakkan lapisan pejal ini (sarang labah-labah gergasi itu mungkin,) untuk menyelamatkan diri. Tapi ia tidak mudah, cuba punya cuba masih tidak mahu. Oh tidak! Tiba-tiba saya teringat keris di pinggang. Dengan nama Tuhan, saya tikam dan koyakkan lapisan itu lalu terjatuhmasuk, ke dalam lautan air. Bukan sebarang air, di dalam air ini kelihatan api berwarna-warni, meliuk-lentuk, bergerak manja.

Cantik, sungguh cantik,
indah, sungguh indah.
Inikah yang mereka panggil ‘syurga’
wahai dindaku?


Ridhwan Saidi