Dalam bidang senibina, rekabentuk sesuatu bangunan itu boleh dikembangkan melalui dua cara. Pertama, melalui analisis tapak. Ini adalah teknik asas yang ahli akademik dan para pelajar gunakan. Tujuan analisis tapak adalah supaya kita dapat bertindakbalas dengan kekuatan/masalah sesuatu tapak itu. Di sini akan saya berikan beberapa contoh agar anda faham.
Jika ada stesen LRT bersebelahan tapak, apa kamu buat? Semestinya kamu buka laluan ruang sirkulasi agar pejalan-pejalan kaki ini mudah masuk ke kawasan tapak kamu. Baru mesra pengguna, juga disable-friendly dari segi susunatur ruang (belum bentuk lagi.) Ini sama jika ada ruang-ruang penting lain (nodes,) kamu perlu buka ruang kepada manusia-manusia ini bergerak. Heck, senibina ini sepatutnya untuk manusia! Disebabkan kita tidak mahu tinggal bersama alam semulajadi, kita bina ‘alam’ konkrit dan besi kita sendiri. Oleh itu mana-mana senibina yang tidak respons kepada manusia, saya akan anggap ia senibina 'kelakar'. Fikirkan, kita potong bukit, musnahkan hutan, kononnya semata-mata untuk (kemajuan) manusia, tapi akhirnya manusia-manusia ini dihalang dengan tembok (lutsinar atau tidak) dari memasuki ruang tersebut. Apa hal?
Jika anda perasan, saya banyak menulis tentang ruang berbanding bentuk. Secara peribadi, saya tidak ambil pot dengan senibina yang canggih-manggih kalau susunatur ruangnya gagal. Saya rasa anda sudah boleh nampak apa yang saya cuba sampaikan ini. Ia sama macam filem, saya tidak peduli dengan CGI, efek, pelakon cun atau apa-apa yang zahiriah, kalau cerita-nya hampeh. Saya tonton filem sebab mahu rasa cerita, saya masuk bangunan sebab mahu rasa ruang. Semudah itu.
Cara kedua, ia berdasarkan intuisi semata-mata. Ini dipelopori oleh golongan pasca-moden dekonstruktivis. Perlu diingatkan di sini, mereka wujud bukan suka-suka. Mereka yang bertanggungjawab mematikan gerakan senibina moden, lalu buat yang baru (masalah betul.) Menolak segala falsafah-falsafah senibina moden yang sedia ada waktu itu, dipelopori Le Corbusier (dengan brutalist-nya dll,) Mies van der Rohe (dengan minimalis-nya) dan Walter Gropius (dengan Bauhaus-nya.) Frank Wright pula dengan seni organik-nya (tidak mahu diasosiasikan dengan para modenis eropah.)
Menulis pasal Frank Wright ini, saya percaya ramai pelajar senibina tidak tahu yang dia pernah dipenjarakan selama sehari. Tahu kenapa? Kerana dia mengkritik senibina White House. Katanya ia sungguh un-American, kerana bentuknya tiada kaitan dengan fungsi akibat pengaruh senibina Greek, racun pagan. Golongan modenis ini bukan saja melukis, mereka juga menulis. Dari tulisan itu datang falsafah modenisme. Berlainan dengan sekarang, “arkitek sekarang tidak reti menulis” kata Rem Koolhass berseloroh.
Berbalik kepada dekonstuktivis tadi, ia berlaku kerana mereka sudah mula bosan dengan order, terancang. Jadi sebab itu mereka bersuka-ria dengan menolak sebarang dogma yang telah ditetapkan oleh para modenis.
“Form follows function.”
“Purity of form.”
“Truth to materials.”
Tapi ingat, bangunan-bangunan umpama kapal angkasa makhluk asing terhempas ini biasa terjadi di tengah kota. Impak ganas senibina dekonstuktivis ini semata-mata untuk provoke senibina ‘biasa’ sedia ada (rasa saya-lah.) Walau bagaimanapun provokasi ini hanya pada bentuk semata-mata, ruangnya tetap mesra pengguna ;-)
UFA-Palast di Dresden, Jerman oleh Coop Himmelb(l)au
Baru-baru ini saya menonton Gubra di kaca televisyen. Entah kenapa filem ini mengingatkan saya pada filem Monsieur Ibrahim et les fleurs du Coran yang saya tonton di panggung beberapa tahun dahulu. Saya tidak-lah terkejut beruk pabila menonton filem ini, malah sedikit sebanyak filem ini membuatkan saya bernostalgia semasa tinggal di Pudu Lama. Tok Imam dan keluarga berjiran sama pelacur. Saya pula berjiran dengan pengedar dadah semasa di K.L dulu (saya tingkat atas, mereka tingkat bawah.) Realitinya saya tidak punya apa-apa masalah dengan mereka, saya tetap dengan pendirian saya (bersih dari sebarang bentuk dadah, ubat dan apa-apa bahan kimia.)
Tiap kali kami bertembung, kami bertukar-tukar senyuman, kadang-kadang tegur-tegur ayam. Wujud rasa hormat di antara kami, tanpa dipaksa. Dan semestinya jiran saya ini sedar apa yang dilakukannya, tidak pernah sesekali offer saya, kerana dia tahu saya 'bersih'. Semuanya atas dasar perniagaan, cari makan. Ini sama macam dalam Gubra, pelacur dan tok imam ini hormat di antara satu sama lain sebagai manusia. Adalah sesuatu yang biadap jika pelacur itu offer dirinya kepada tok imam. Jika ini berlaku, baru keruntuhan akhlak dan moral terjadi, sungguh kurang ajar. Apapun dua-dua hidup susah. Pelacur tidak akan melacur jika kebajikan mereka (sebagai rakyat) diutamakan oleh kerajaan.
Walau bagaimanapun, Gubra tidak mampu untuk mencengkam hati saya. Hanya adegan Orked dan suaminya bergaduh saja yang mampu saya ingat. Kamera bergoyang (goyangnya rumah tangga mereka,) si suami ditolak keluar dari skrin (keluar dari hidup Orked,) tapi akhirnya digenggam kasar oleh suaminya dengan paksaan (rasa saya.) Di akhir filem ada kata-kata hikmah Jelaluddin Rumi, tapi bagi saya ia terlalu keras, dan diletakkan sekelepuk di situ. Saya juga berpendapat Rumi ini budaya popular dengan sufism-nya, malah saya cukup ngeri kalau ada di antara kita yang perasan sufi dengan hanya membaca beberapa kerat ayat Rumi.
Secara peribadi, suntingan babak di mana kesemua mereka berdoa juga agak keras. Saya sedikit terganggu dengan babak ini, bukan pasal isinya, tapi dari segi teknikal. Saya tidak faham kenapa ketika di gereja kamera zoom out, sedangkan di surau kamera statik (ia seolah bercanggah sedangkan point filem ini 'cahaya yang sama.') Ini serius mengganggu saya. Mungkin anda akan kata, aaahh pedulikan benda-benda teknikal, jangan fikir tapi rasa. Tapi bagi saya gerakan kamera perlu bersebab (malah ia sebenarnya bahasa filem,) dan kacau-nya saya tidak faham kenapa, mesej tersembunyi barangkali (atau saya terlalu amatur).
Dalam Monsieur Ibrahim, ia tidak menjual nama Rumi secara terus. Tapi saya sebagai penonton yang akan kaitkan kembali Rumi dan Gibran ke dalam filem itu. Filem ini mengisahkan seorang budak yahudi yang selalu datang lepak di kedai runcit seorang tua arab (lakonan Omar Sharif.) Budak ini lalu mempersoalkan tentang perbezaan agama yahudi dan islam dengan pak cik Ibrahim ini (saya tidak ingat soalannya tapi jawapannya saya akan ingat sampai bila-bila.) Jawab pak cik itu,
"ini tanganku, ini hidungku" sambil tunjuk menggunakan jari.
Ia dibiarkan tergantung. Ini sama macam,
"lampu yang berbeza, tapi cahayanya sama" - Rumi
Bagi saya filem Gubra terlalu jauh ke depan untuk difahami oleh masyarakat kita, atau secara relatifnya masyarakat kita yang terlalu ketinggalan? Saya tidak tahu. Satu lagi hal yang saya tidak berkenan dengan Gubra adalah babak-babak yang ditonjolkan, ia dicubit sikit-sikit. Cubit sikit-sikit pasal agama (terutama di nusantara yang syariat-driven ini) memang bagi saya cari pasal. Ini sama kesnya dengan senibina dekonstruktivis, nak dekonstruk, dekonstruk betul-betul, jangan sikit-sikit, nanti struktur tumbang, bahaya, roboh.
Ridhwan Saidi