Jumaat, Januari 30, 2009

Autopsi Diri

Jika anda berpeluang berjumpa saya di dunia nyata, saya akan berkata serupa seperti apa yang saya tuliskan di ruangan ini. Ini adalah sifat semulajadi saya tanpa perlu err self proclaim. Setiap kali gadis-gadis (sangat) liberal lagi plural tak dikenali menelefon saya di malam hari, pasti mereka terkejut mendengar tuturkata saya.

“Eh, you cakap bahasa baku.”

Atau

“Eh, kenapa you cakap skema ni?”

Walaupun saya berbahasa baku, tapi ia berlenggok. Ini kerana saya telah semai cara pengucapan ini sejak di bangku sekolah rendah lagi. Guru bahasa melayu saya yang satu ini (cikgu Burn a.k.a Bakar) yang bertanggungjawab mendidik saya berbahasa baku. Bagi saya dia adalah iconoclast pertama yang saya kenal. Dari segi fizikal dia kelihatan lembut dan mendada, tapi semasa berkawad anehnya dia-lah tukang pekik. Di dalam kelas dia pasti menyelitkan unsur-unsur jenaka separa lucah-nya, malah pernah sekali menceritakan bahawa ketika di rumah dia selalu berbogel semasa mengambil surat dari peti suratnya. Mungkin budak lain hanya ketawa, tapi kesan ceritanya ini secara tak langsung mengganggu fikiran saya yang kuat berimaginasi ini.

Saya juga perasan pabila saya cakap sesuatu yang serius, mereka (manusia lain) ini pasti akan anggap ia sebagai lawak, atau lebih teruk lagi, mereka buruk sangka terhadap saya dengan menganggap saya ‘cuba’ buat lawak untuk kelihatan cool. Peliknya pabila saya betul-betul berlawak, mereka anggap ia sebagai sesuatu yang serius pula, ternganga kebingungan (ini serius.) Sebab itu saya malas layan karenah manusia-manusia ini, dan akhirnya dengan pantas lantas dicop sebagai seorang pemalu. 

Bagi saya pemalu dan pendiam adalah dua benda yang berbeza. Saya percaya saya adalah seorang yang pendiam, saya pilih untuk tidak bersuara (sebagai tanda protes terhadap mereka yang beriya-iya mahu bersuara.) Tapi saya bukan pemalu, atau mungkin tidak terlalu pemalu. Jika saya pemalu, saya tidak akan tulis pengalaman-pengalaman hidup saya (yang anehnya dianggap fiksyen atau goreng-gorengan oleh kebanyakan orang) di sini. Pelik, Saya berada di dalam satu situasi janggal, saya perlu berpura-pura sama macam orang lain agar dipandang waras oleh orang lain. 

Pernah sekali saya katakan 5 tahun dulu kepada kawan-kawan kampus yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, 

"saya suka makan spaghetti goreng." 

Apa jadi? Saya digelakkan. Saya tanya mereka,

"apasal gelak?" 

Mereka jawab, 

"spaghetti mana boleh goreng" (sambil ketawa berdekah-dekah.)

Tidak puas hati, saya cuba terangkan pendapat saya kepada salah seorang daripada mereka. Bagi saya spaghetti kononnya adalah bukti romantik Marco Polo pernah ke China selepas melihat mee. Jadi jika mee boleh digoreng, kenapa spaghetti tidak boleh digoreng? Saya juga cuba terangkan yang konsep al dente hanya wujud di Barat, sebab tekak kita dan tekak mereka berbeza. (Tapi cis! pendapat saya dibalas dengan hilai ketawa.)

Malah sebenarnya spaghetti goreng ini barangkali adalah antara simbol pegangan terawal saya. Saya percaya apa-apa bentuk makanan, penulisan, filem, senibina dan segala macam lagi perlu bertindakbalas dengan citarasa setempat, divernakularkan. Sebab itu bagi saya dapur-dapur kemas yang dipamerkan di IKEA hanya berfungsi sebagai hiasan semata-mata. Cara memasak di sini berbeza dengan di sana, (malah jika penulisan saya banyak goreng pun, ia digoreng dengan rempah ratus setempat.)

Resepi turun-temurun keluarga saya iaini laksa johor pun menggunakan spaghetti. Sos tomato + daun basil? Jangan harap! Hooray kepada ikan kembung atau ikan parang (jika banyak duit,) udang hidup, udang kering, serai, lengkuas, serbuk kari, air asam jawa, santan dan gerisik kelapa. Dressing ulam-nya (bukan salad!) terdiri daripada daun kesum, timun, bawang besar, taugeh serta sambal belacan. Layan. 

Berbalik kepada gadis-gadis liberal lagi plural di atas tadi, ia berakhir dengan kami bertiga di atas katil tanpa seurat benang, (lihat jika anda ambil ini secara serius atau jenaka.)


Ridhwan Saidi