Di negara kita, ada hierarki yang perlu dilalui oleh seorang kanak-kanak sehinggalah dewasa. Secara asasnya kita akan lalu tadika (atau tabika?), sekolah rendah, sekolah menengah dan akhirnya universiti. Ini struktur yang paling pro-kerajaan yang boleh saya berikan (dengan penggunaan wang paling minimum; sepatutnya free.)
Kali ini malas saya sentuh pasal wang, sebaliknya saya mahu tulis pengalaman hidup saya dan sedikit konsep belajar/mendidik yang menarik bagi saya.
Dulu saya dimasukkan ke dalam tadika Perpaduan. Ia seronok kerana banyak field trip dan aktiviti-aktiviti luar kelas. Sekarang? (Dalam konteks bandar,) cuba beritahu di mana tadika Perpaduan atau Kemas yang terdekat. Di kawasan flat saya percaya ada, tapi di kawasan perumahan teres, semi-detached, town house, and god forbid bungalow, susah untuk kita jumpa tadika-tabika kerajaan ini. Sebaliknya kita dibanjiri dengan tadika-tabika private.
Tadika private ini sepatutnya satu alternatif kepada tadika kerajaan. Ini sama seperti tol. Highway bertol adalah alternatif kepada jalan dalam. Ini tidak, highway bertol jadi jalan utama manakala jalan dalam jadi alternatif. Jalan dalam secara literal lalu ‘dalam’ kawasan perumahan pula tu. Pelik.
Tadika ‘kerajaan’ pula dianaktirikan oleh kerajaan. Malah kebajikan guru-guru tadika ini juga tidak terjaga. Percaya atau tidak mereka digaji RM 120 (terutama di bahagian utara) hingga RM 400 (Selangor dan K.L) sebulan. Ini belum termasuk yang mengajar secara sukarela. Saya rasa gaji ini tak naik-naik dari zaman dulu. Malah gaji PATI lagi tinggi rasa saya. Mana pergi Belanjawan?
Pada skala tadika ini, bagi saya minda budak-budak ini perlu dibebaskan dari kerangka teks. Sebaliknya mereka perlu dibawa berjalan-jalan mengalami pengalaman. Dulu saya dibawa ke Tugu Negara. Juga ada satu tarian besar-besaran membentuk logo tadika Perpaduan di Stadium Merdeka. Di hujung tahun diadakan lagi konsert tari-tarian sebelum majlis konvokesyen di padang. Rasanya, saya asyik diajar menari dan menyanyi saja sepanjang tahun, eh betul ke tadika macam ni?
Masuk sekolah rendah, walaupun saya pernah berpindah sekolah sebanyak 2 kali, tapi saya tetap meluangkan masa di dalam satu ruang yang sama, iaitu perpustakaan. Ghairah dibuatnya melihat buku-buku karun yang bertimbun ini. Setiap helaian muka surat yang diselak seolah-olah seperti sedang menyelak pinaform seorang gadis.
Pada awalnya saya taksub dengan buku-buku bergambar, pasal planet, dinosaur, atlas dan seumpamanya. Saya kemaruk mahu tahu di mana dan atas garisan masa mana saya berpijak. Maklumlah, di rumah saya cuma ada komik Lat dan Ujang saja, culture shock sikit.
Selepas itu saya mula membaca novel, kegemaran saya adalah pengembaraan yang boleh dipilih mukasuratnya. Ingat lagi saya mati di makan ketam gergasi di tepi pantai. Nak lawan ketam gergasi sangat!
Oh, nampaknya saya sudah semakin tidak serius. Mahu tahu kenapa? Kerana pada skala sekolah rendah ini, ya mengeja, membaca dan mengira itu perlu, tapi bagi saya kefahaman itu lebih penting. Untuk mencapai kefahaman ini ia tidak boleh diajar dengan serius, ikut buku teks, ikut format, ikut prosedur. Pemahaman ini sesuatu yang dinamik, malah mata pelajaran muzik dan field trip itu bagus bagi saya. Tanpa disedari kita boleh belajar scale dan proportion melalui muzik.
Lihatlah sekarang, matapelajaran muzik dan field trip dianggap remeh (malah hampir tiada sekarang), sebaliknya matapelajaran sains dalam bahasa inggeris yang disibuk-sibukkan. Sains berlaku disekeliling kita, cuma perlu peka sahaja. Apa yang susah sangat? Di sini akan saya berikan hint, apa bezanya sains dalam bahasa inggeris dan bahasa melayu?
Buku-bukunya!
Apa signifikasi buku-buku ini? siapa yang kaya bila buku baru dicetak?
Syarikat percetakan! Yang saya pasti adalah milik kaum kerabat suku sakat menteri pendidikan. Jadi isu-isu remeh bahasa ini sebenarnya digunakan untuk mengaut keuntungan, atas nama pelajaran. Kaut duit dari siapa? Dari ibu bapa yang penat bekerja siang malam.
Yang paling menyesakkan nafas saya adalah budak-budak sekolah yang terperap di dalam kelas sepanjang tahun. Ini secara tak langsung mempersiapkan budak-budak ini dengan situasi makan gaji. Ibubapa terperap dalam pejabat, anak-anak terperap dalam kelas.
Tambah menyeksakan, budak-budak kecil ini dipaksa memikul buku-buku yang berat. Budak-budak kecil diperlakukan sebegitu rupa, sedih. Malah ada yang begnya lebih besar daripada budak ish ish ish.
Pada tahap sekolah rendah ini, bagi saya bukan buku yang penting tapi cikgu. Cikgu ini pula akan buka masalah lain iaitu politik cikgu. Ini lagi lawak, cikgu macam budak-budak. Tapi ini cerita lain.
Kemudian daripada kanak-kanak mereka akan berubah menjadi remaja (13-19 tahun). Saya berpindah sebanyak 3 kali semasa di sekolah menengah, jadi saya dapat lihat lebih banyak ragam. Remaja ini adalah usia berujikaji dan bereksperimen. Malah ketika saya di tingkatan dua, remaja-remaja ini sudah mula berbicara tentang seks, arak, babi dan dadah secara terbuka. Apa yang dilarang, itulah yang mereka ingin cuba.
Malah ingat lagi saya satu ketika, di mana kawan saya bernama Nasran sedang memberikan khutbah seks, dikelilingi jemaah-jemaah teruna. Lawaknya ada sesi soal jawab selepas itu. Antara soalannya adalah,
“macam mana rasanya?”
Kepada ustaz dan ustazah yang sedang membaca entri ini usah khuatir. Di sebabkan saya menolak budaya popular (dalam konteks sekolah), tidak terpengaruh dengan kawan, ada pegangan dan pendirian, saya tidak melakukan perkara-perkara tersebut. Sebaliknya saya into benda-benda yang lebih merepek seperti susu, anti-chemical (ubat dan dadah), mengumpul surat khabar kedai komik (free), dan sesuatu yang lebih rare dari seks itu sendiri, iaitu CINTA! (sedihnya saya tak jumpa cinta saya di sekolah, mungkin saya jarang berkomunikasi dengan perempuan.)
Bagi saya di usia remaja ini mereka harus mula berpendirian. Sebab itu banyak sub budaya untuk dihayati (bukan sekadar ikut, rujuk trend). Mahu lebih menarik, buat pendirian sendiri.
Setelah puas berujikaji dan bereksperimen di usia remaja, tiba pula puncak belajar iaitu universiti. Di sinilah setiap individu yang berpendirian tadi menyimpulkan segalanya ke dalam bentuk perspektif. Setiap individu harus punya perspektif sendiri tentang hidup. Konsep ajar dan mengajar di universiti juga tidak relevan bagi saya. Bentuk yang paling afdal bagi saya adalah anarki itu sendiri. Setiap individu bebas mengeluarkan, mengubah dan memberikan pendapat sendiri. Kerana akar umbi kepada segala benda di dunia ini adalah falsafah. Malah kita boleh berfalsafah tentang falsafah. Jadi saya cukup hairan di universiti kita, falsafah dipandang sebelah mata (bagi diploma dan degree). Yang Master dan Phd pula mereka pura-pura berfalsafah kah kah kah.
Dalam arsitektur, banyak kali proferah-doktorah melakarkan idea mereka pada saya. Profesor dan doktor menyuapkan idea terus ke dalam mulut saya? Ini serius, satu penghinaan buat saya. Bagi yang tidak berpendirian mereka akan tiru terus idea yang diberikan pensyarah itu tadi. Bila ditanya kenapa? Mereka jawab, sebab pensyarah suka. Alasan yang sungguh teruk! (Ini universiti?)
Realitinya universiti kita teruk. Yang kelihatan hanyalah zombi, banyak zombi. Saya rasa mentaliti mereka tersekat paling kurang ketika darjah enam. Tahu kenapa? Kerana mereka tidak berpendirian. Di mana silapnya? Sekolah. Saya percaya bahawa ‘A’ ini adalah statistik yang dikawal (teori konspirasi). Mahu lebih A? Boleh, gred B dijadikan A. Maka bertambahlah A setiap tahun. Bila A semakin mudah, makin jahanamlah harapan masa depan kita.
Di universiti, siapa yang paling kuat menghafal, dialah dapat A. Tahu kenapa? Sebab sebelum peperiksaan akhir, soalan diberikan. Ini sungguh universiti, wow! Pensyarah mana tak bangga anak muridnya dapat A. Jika penyarah tak bagi soalan, mudah saja, hantar kawan anda yang paling jambu atau cantik pergi bodek, sure dapat punya. Ini penting bila grad nanti mahu kerja, boleh bodek sama itu Datuk atau Tan Sri. Kira praktikal-lah.
Oleh itu, dalam konteks Negara. Saya menyanjungi mereka yang belajar tak habis, berhenti atau diberhentikan. CGPA 3.98? Saya hanya mampu tersenyum.
Ridhwan Saidi