Ahad, November 16, 2008

Demokratia

Demokrasi, asalnya idea mulia tatangan kaum Greek. Kerajaan yang dipilih melalui kuasa rakyat, secara bebas dan telus. Tapi, pabila moderniti menjengah tamadun manusia, demokrasi yang asalnya mulia itu jadi tempang. Ini terjadi setelah dunia diambil-alih oleh kaum pemodal, kesan ledakan Revolusi Industri, yang paling ketara.

Demokrasi, tatangan kaum kapitalis, tidak lagi mulia. Demokrasi, tak lebih sekadar menjadi make-up agar nampak cantik. Demokrasi membuka jalan kepada kaum pemodal masuk ke dalam tatanan sosial masyarakat, dan mengawal selia jatuh bangun sesebuah negara.

Demokrasi liberal – mitos, demokrasi sosial – mitos, demokrasi berparlimen – mitos, demokrasi terpimpin??? Huh!

Demokrasi menyediakan gelanggang untuk kaum pemodal berpencak. Ruang yang terbuka, akan hanya mampu dikuasi oleh yang bermodal. Kepada yang pokai, jangan mimpi dan yang kurang modal terus tersepit. Ruang ternganga inilah yang dijarah kapitalis, dengan menggunakan tiket demokrasi.

Demokrasi menyediakan kerusi untuk dilagakan, tapi itu hanya opera. Tugas kerajaan adalah menulis skrip, skrip opera bertemakan mitos demokrasi. Apabila opera demokrasi dipentaskan dengan cemerlang, tiada cacat celanya lagi, itulah mimpi indah kaum pemodal, disebabkan mereka bebas mengaut untung maksima dengan aman. Orang kebanyakan yang menyertai pesta demokrasi, pesta merebut kerusi, dalam sebuah opera mega ini, wataknya hanya sebagai pelakon tambahan yang tak dibayar upah. Ini akan terus berlaku sekalipun kerajaan bertukar tangan, kerana yang tetap mahu ditarik dan dijaga adalah para pelabur, para pemodal.

Demokrasi zaman ini, kerajaan itu boneka kapitalis. Praktis kuasa kerajaan dalam konteks demokrasi zaman ini adalah bertujuan menjaga kepentingan pemodal, lalu cuba menjelmakan bayang-bayang kebebasan dan keadilan melalui pelbagai struktur dan institusi sosial yang konon mapan.Dan bila mana bayang-bayang ini mula terlihat oleh banyak orang, dan mereka percaya, maka saat itu, sekali lagi, kapitalis akan terus dibuai mimpi indah.

Demokrasi, dengannya pemodal terus rancak mengumpul untung, manakala yang tak bermodal terus dibeban hutang.

Saya di sini, cuba beromantika, terus nanti dan menanti, bilakah ’Demokratia’ akan kembali.


Mohd Ikhwan Abu Bakar