Rabu, November 12, 2008

Multira(sial)

Di benua Asia, atau lebih afdal, di Asia Tenggara, terdapat sebuah Negara yang cukup unik. Negara ini rakyatnya multirasial, hidup aman harmoni. Rasionalnya, untuk menyudahkan konsep ‘negara’, maka Negara ini wajib memiliki kerajaan. Dan proses membentuk ‘kerajaan’ di Negara ini sangatlah unik lagi multirasial.

Pertama, perlu diadakan proses pilihanraya, sebagai bukti saheh dan logik bahawa Negara unik ini mengamalkan demokrasi terpimpin. Semasa kempen, segala cogan kata wajib dilaung-laungkan. Bonus andainya mampu mengungkap kata pepatah tradisional. Kalau masih tak cukup, tumbuklah udara, atau acungkan keris panjang sedepa.

Ah, tak cukup unik!

Lebih unik, Negara ini warganya yang berdaftar ada seramai hampir 30 juta. Awas, mereka yang baru turun dari tongkang, tak diambil kira. Tapi yang uniknya, untuk memilih kepala Negara, hanya sebahagian kecil rakyatnya saja yang berhak. Rakyat istimewa ini datangnya dari sebuah partai semangat bangsa. Nak lagi spesifik, mereka yang berhak memilih adalah dari cawangan bahagian-bahagian. Kadang-kadang, dalam mesyuarat peringkat bahagian, mereka terpaksa membuat pilihan dengan membaling kerusi plastik sesama sendiri kerana tiada pilihan.

Unik.

Habis tu, apa cerita dengan warga yang lainnya, sebagai majoriti? Apa hak mereka sebagai warga? Hak mereka hanyalah satu – jangan lupa bayar cukai. Inilah keunikan hakiki Negara multirasial.

Ini amat berlainan sama sekali dengan sebuah negara kafir, yang benderanya telah ditiru tanpa segan silu oleh Negara multirasial penuh adat ketimuran. Negara kafir ini tak mengamalkan demokrasi terpimpin. Dasar kurang ajar punya kafir!

Ada ke patut negara kafir ini mengadakan pilihanraya presiden?! Bangang! Untuk apa pilihanraya presiden ini semua? Membuang masa! Silap-silap, rakyat akan berpecah-belah, negara huru-hara, pelabur asing tak datang, ekonomi down! Bodoh! Patutnya, tiru la Negara multirasial, amalkan demokrasi terpimpin. Kan senang. Negara pun tak perlu membazir cetak kertas undi buat kali kedua. Ini tidak!

Nak lagi unik? Nah, oleh kerana kerajaan mesti dibentuk dalam sesebuah negara, maka tak dapatlah dikecualikan oleh Negara multirasial dalam hal ini. Setelah menang pilihanraya, kerajaan dibentuk dengan mewujudkan potfolio-potfolio untuk bermacam-macam Kementerian yang merapu-rapu. Bila ada Kementerian, mesti ada Menteri, ye tak? So, semua Kementerian dikepalai oleh seorang Menteri lah.

Ada Menteri buku teks, ada Menteri kapal selam, ada Menteri motokar, ada Menteri teakwando, malah, Menteri sayur dan keledek pun ada!

Unik!

Tapi yang paling unik di antara yang terunik ialah Perdana Menteri. Mengapa boleh jadi unik? Bukan sebab beliau kuat tidur! Itu koman sangat la... Sebabnya, semua kementerian diketuai seorang Menteri, contohnya Menteri Duit-Duit, tapi sampai ke ketua bagi semua Menteri, istilahnya jadi Perdana Menteri pula. Mengapa tidak Menteri Perdana?

Huh, kan saya dah kata, Negara ini cukup unik.

Tahukah kamu, apakah signifikannya apabila istilah ini ditunggang-terbalikkan? Pertama, mungkin lebih mesra jika kita sebut Perdana Menteri sebagai ’PM’, atau dalam bahasa penjajahnya, ’Prime Minister.’ Kedua-duanya dipanggil ’PM.’ Ini mungkin satu cubaan secara halus untuk mengguna pakai konsep ’bilingual’ dalam urusan rasmi.

Kedua, barangkali dengan menyebut Perdana Menteri, kesannya berlainan. Dalam separa sedar, ini seolah-olah memberi signal betapa drakoniannya kuasa yang boleh dimiliki oleh seorang PERDANA MENTERI jika nak dibandingkan dengan Menteri Perdana. Sekiranya Menteri Perdana, ia seakan membataskan kekuasaannya, kerana terpaksa duduk sebaris dengan ’Menteri- Menteri’ yang lain.

Di Negara ini telah lahir seorang budak sekitar 80-an.

Dia masih ingat, di tahun 1990. Bapanya telah membawa pulang segelung kalender tahunan yang memaparkan imej sebuah negara maju, berwawasan 2020, dalam bentuk kartun. Dalam ilustrasi ala komik itu, terdapat imej rakyat Negara multirasial yang tersenyum kambing. Ada yang berkulit gelap, ada yang terang benderang malah ada yang sedang-sedang. Tapi, kartun manusia itu taklah menarik sangat, fikir si budak ini.

Yang lebih menarik baginya adalah gambar kereta nasional, kapal terbang dan bangunan-bangunan tinggi menjulang. Ada seketul menara, yang paling tinggi di antara yang tertinggi, dalam ilustrasi kalender itu.

Di televisyen pula, banyak propaganda yang cuba menunjukkan betapa majunya Negara multirasial ini. Lebih maju dari Korea, lebih canggih-manggih dari Taiwan. Banyak minyak dan sawit. Yang paling tak tahan, siap ada lagu pasal kelapa sawit tu! Kelapa sawit…kelapa sawit...! Pergh!

Maka, akibat masih kekurangan garam untuk dirasa, budak ini pun mudah percaya yang Negaranya ini Negara maju. Bila memikirkan tentang Negaranya yang maju nak mampus ini, dia jadi kembang semangkuk. Macam bunga Kiambang selepas hujan.

Tapi perasaan kembang itu menguncup apabila satu hari, budak ini menanyakan soalan bonanza kepada emaknya. Dia tanya direct, “mak, Negara kita ni negara maju, eh?”

“Ish, takdelah!” Enough said.

Kasihan, sedari kecil lagi budak ini dikencing di Negara multirasial. Memang sial.

Enough IS enough.


Mohd Ikhwan Abu Bakar