Hari ini celik mata saya meradang, rasa hilang sabar, rasa ingin mengamuk. Hari ini saya mahu tulis panjang-panjang, entri paling panjang dalam dunia blog kalau boleh. Kasi pecah sama itu Malaysian Book of Record.
Trend, apa itu trend? Saya sendiri keliru ayat apa yang paling tepat untuk digunakan dalam bahasa melayu. Gaya? Stail? Ikut-ikutan? Beginilah apa pun, bagi saya trend ini umpama agama dan kepercayaan yang dianuti oleh individu. Seperti agama, bila dua trend berbeza bertembung, berlaku salah faham. Ini yang saya benci bila majoriti berakal singkat dan cetek. Selesa dengan kelompok sama trend kononnya, cis!
Baik jahat seseorang kita letak tepi. Siapalah saya untuk menghakimi seseorang individu itu. Oleh itu apa yang ingin saya borakkan ini adalah konsep trend atau mungkin menyentuh sub budaya semata-mata.
Rempit adalah penunggang motosikal, tapi bukan semua penunggang motosikal itu rempit. Ini sama seperti setiap rasul itu nabi, tapi bukan semua nabi itu rasul. Jadi saya jelik dengan pemandu-pemandu yang tidak faham konsep ini.
Semalam ketika sedang membonceng motosikal saya dihimpit sampai jatuh oleh sebuah kereta. Kereta ini terus cabut lari sebab ada mentaliti bahawa saya ini kononnya rempit, mentang-mentang saya guna motosikal untuk ke kedai runcit, Cis! Mahu saya simbah sebaldi semut api ke tubuh bogel pemandu itu (tak kira lelaki ke perempuan). Tapi apakan daya, saya hanya mampu berimaginasi, atau mungkin saya patut buat filem pendek pasal ini.
Ok, sekarang saya sudah tidak marah, puas. (sambil makan cokelat)
Dulu pernah saya tulis pasal rempit dan indie. Dua kelompok ini saya percaya tak boleh bertentang mata, ya. Saya tidak heran sama ini persengketaan. Ini semua bagi saya adalah hukum karma. Ianya pernah berlaku sebelum ini. Tapi di mana?
UK, 1960’s.
Masih ingatkah anda pada budak-budak Beatles? Masih ingatkah anda pada budak-budak Mods? Bagi saya, mereka-mereka yang rasa diri mereka indie ini tak ubah seperti bebudak Beatles. Manakala para rempit ini adalah reincarnation bebudak Mods. Dan ya bebudak Beatles dan Mods tak boleh bertentang mata.
Walau bagaimanapun, rasa saya, bebudak indie (serta sub-budaya lain) yang ada di negara kita kini, hanyalah trend yang menyelinap masuk dari luar. Rempit pula bagi saya lebih menarik untuk dikaji sosiologinya. Ia muncul purely di negara kita tanpa didesak atau dipupuk. Saya rasa rempit ini macam tak ada di negara-negara lain. Dan rempit ini bukan bermula selepas akhbar tabloid (apa nama?) menjenamakan dan melabelkan mereka. Ia sudah bermula sejak sekian lama. Bagi saya rempit bukan sekadar trend tapi sub-budaya itu sendiri kesan pemerintahan yang 'adil'.
Ahli sejarah David Fowler pernah berkata dengan lantang bahawa bebudak Beatles ini adalah ‘kapitalis muda’. Mereka ini mengeksploitasi trend dengan mengalakkan konsumer-konsumer pasif muda. Melihat scene indie hari ini saya hanya mampu tersenyum. Anti-kapitalis, anti-konsumerasi? Saya senyum sekali lagi.
Ini malas saya sentuh dalam-dalam, rasa saya Dewa akan ceritakan kisah ini satu masa nanti. Usah toleh ke belakang, mari kita kembali ke hari ini.
Saya rasa ada sempadan di antara trend dan budaya (sub-budaya). Ini saya percaya hanya tuan punya badan yang tahu. Bagi saya blog adalah satu trend, seperti telefon bimbit. Semua orang hendak satu (bukan perlu). Sejujurnya saya sudah buat akaun blogger sejak 2004, sebelum itu saya bereksperimen dengan Geocities diakhir 90an.
Ketika awal-awal saya ada blog ini saya bingung, apa kebenda yang patut saya tulis. Waktu itu saya masih hingusan. Saya belum masuk hospital untuk bertegur sapa dengan kematian, untuk mengenali erti kehidupan. Saya belum berkhalwat di dalam bilik tanpa tingkap menyapa kegilaan, untuk kenal erti kewarasan.
Berjam-jam saya mendangok di hadapan komputer. Apa patut saya tulis? Atau patutkah saya tulis?
Jika Rene Descartes tenung api, saya pula tenung skrin komputer.
Saya perlu ada sebab yang kuat sebelum saya buat sesuatu. Saya tidak boleh menulis semata-mata orang lain menulis. Itu terlalu murah bagi saya. Dan disebabkan sifat semulajadi saya yang suka menentang persekitaran, akhirnya saya tidak tulis apa-apa. Jika saya tulis dari saat itu barangkali sekarang saya sudah menjadi seorang selebriti blogger seperti …… haha.
Saya juga tidak merokok, kenapa? Hampir semua rakan-rakan di sekolah saya hisap rokok. Rasanya hampir beratus kali mereka offer saya sebatang rokok, tapi saya tolak sambil tersenyum sinis. Bagi saya merokok untuk menunjukkan kedewasaan ini terlalu kebudak-budakan. Ini sama seperti susu dengan arak. Saya meletakkan susu ditahap yang lebih cool dari arak.
Pendirian saya ini bukan saja pada blog atau rokok atau arak, malah terhadap jenama ‘environmentalist’ yang cukup popular masa kini (kononnya bersifat global). Ais di kutub sedang mencair beb. Perasankah anda beg kanvas tote tertera tulisan ‘I’m not a plastic bag?' Saya rasa akidah cinta terhadap alam telah dipesongkan dangan adanya beg ini. Ia menjadi trend, sigh.
Idea filem pendek ‘hijau’ saya pernah disenarai pendekkan dalam satu pertandingan ‘hijau’ beberapa bulan lepas. Saya dipanggil untuk satu sesi pitching. Sesi ini dilakukan di sebuah restoran di ibu kota, tapi saya tidak hadir. Tahu kenapa? Kerana wujud rasa ketidakpercayaan dan kesangsian dalam otak saya pada para ‘environmentalist’ dan ‘philanthropy’ ini.
Terdetik dalam diri saya ingin bertanya para pencinta alam ini. Kenapa kita buat t-shirt di sini tapi hutan ditarah di sana? Apa pendapat anda tentang semak? Bagaimana pula dengan haiwan? Apa jadi dengan manusia? Bagi saya kebanyakan mereka ini terkongkong dengan satu-satu bentuk skop kehidupan.
Tidak menghairankan jika seorang environmentalist itu menindas manusia lain atau haiwan, yang humanitarian pula tak perdulikan haiwan atau tumbuhan, dan pencinta haiwan pula buat dek dengan manusia atau tumbuhan.
Ini prejudis bagi saya. Sebab itu saya lebih suka melihat sesuatu itu dari sudut yang lebih luas. Apa persamaan yang ada pada ketiga-tiga tumbuhan, haiwan, dan manusia ini? Ketiga-tiganya biotik iaini organisma hidup. Setakat ini tak pernah lagi saya mendengar pencinta biotik (biotic lover).
Benda-benda yang tidak hidup pula bergelar abiotik. Jika anda sedang memandu dan terlanggar seketul batu, kemudian anda menangis pada batu itu, ya anda adalah pencinta abiotik (abiotic lover).
Dari pencinta alam semulajadi, kita ke filem pula. Kenapa kita perlu sentuh pasal filem? Kerana saya syak tak lama lagi filem akan menjadi trend. Bukan apa, itu hari sewaktu saya datang interview penulisan, punyalah ramai ambil course filem. Semua mahu jadi pengarah tersohor agaknya. Disamping itu, banyak juga tayangan-tayangan filem pendek amatur dijalankan secara bebas dan mendapat sambutan sekarang.
Seperkara yang saya perasan, biasanya orang yang hip dan cool ('urban' barangkali) suka mengata dan mengutuk filem professor, six million dollar man, seven million dollar man atau siapa-siapa, tapi ironinya filem pendek dan penulisan yang mereka buat setara dan setaraf saja. Ini bikin kalut, cakap tak serupa bikin.
Dan dalam banyak-banyak trend, terjadi juga lawak jenaka. Orang barat pakai tie kita pakai tie, orang barat minum starbucks, kita minum starbucks, orang barat tulis blog, kita tulis blog, orang barat buat filem naratif tak linear, orang kita? Tak faham kah kah kah.
Sebab itu saya berani kata orang kita gaya saja moden, tapi pemikiran masih feudal. Naratif tak linear adalah simbol pasca-moden, macam mana nak faham pasca-moden kalau tak lalu moden. Nak langkah bendul, keliru jawabnya. Ketidakfahaman ini yang saya geli hati. Trend ini sekadar 'peluang' ikut-ikutan. Semudah beli dan pakai.
Ridhwan Saidi