Khamis, September 30, 2010

Jadi maksud saudara bandar yang dirancang seperti Putrajaya tidak terancang?

- Ridhwan Saidi


Hishamuddin Rais: Bandar ini bukan terancang, ‘terancang’ kau tahu. Kalau you tengok Old Delhi, ia terancang dengan keperluan manusia itu kau tahu. Tiba-tiba ada kedai jual susu, tiba-tiba ada kedai gunting (rambut), ada kedai kasut, ada kedai roti. Ia terancang oleh situasi itu yang merancang. Keperluan manusia yang duduk di dalam kota itu yang merancang. Kalau kau rancang nak buat bank tapi takde orang yang nak guna bank buat apa? Banyak kota-kota yang dirancang semuanya gagal. Brasilia gagal. Kalau kau pergi Canberra, Australia, kau duduk situ 3 malam kau akan bunuh diri, gagal. Ini yang dikatakan ‘terancang’, Islamabad gagal. Ia tidak natural, pembangunannya itu tidak dari hati dan naluri orang yang duduk di dalam kota itu, jadi ia harus berkembang–berkembang–berkembang. Lagi satu yang paling gagal sekali pada zaman Tito di Yugoslavia, dia nak buat kota baru menggantikan Belgrade pun gagal juga. Jadi telah terbukti kota-kota yang dirancang ini ada masalah kerana ia tidak lahir dengan sendiri. Macam kampung kita itu, kamu nampak seolah-olah ia tidak terancang tapi ia terancang, ia natural. Lorong-lorong, denai-denai, makcik-makcik itu tahu mana nak pergi. Takde cityplanner rancang kampung-kampung itu.

Isnin, September 27, 2010

Pendengar Yang Universal

Di kantin sekolah Seafield, Subang Jaya sekitar tahun 1998.

RS: You suka muzik apa?
SW: I pendengar yang universal, semua boleh.

Aku sentuh tangannya di atas meja.
Di bawah, kakinya mengusap betisku.


Ridhwan Saidi

Ahad, September 26, 2010

Dialog Bersama Teman FB Yang Telah Dibuang Kemudian Diterima Kembali

Di dalam kereta menuju ke Sungai Buloh dari Kampung Melayu Subang.

ZE: Apa pendapat kau tentang diorang yang kutuk filem-filem kau?

RS: Secara peribadi, bila aku tengok filem aku sendiri, aku pun menyampah juga. Jadi bila diorang kutuk tu—kira betul la tu.

ZE: Jadi kau tak kisah?

RS: Aku tak peduli. Macam ni—aku tak ada rasa 'protective' terhadap filem-filem aku. Semua kucing-kucing yang aku bela, aku biar lepas. Kalau aku ada anak, aku biar lepas juga. Sesuatu seperti itu.

ZE: (Mendengar)

RS: Ini lain halnya dengan diorang yang fanatik dan protective dengan filem-filem diorang. Tak boleh ditegur selain puji-pujian semata; panas punggung bila ditegur. Rasa ketidakselesaan ini adalah satu bentuk 'insecurity,' dan mereka yang insecure ini adalah dikalangan mereka yang masih bebal—belum ketemu sama itu faith.

ZE: Macam mana pula kalau ada sorang member kau ni, takut-takut nak kritik filem kau? Sedangkan kau tak peduli.

RS: Sekali lagi dia tu sebenarnya dalam kondisi insecure, rasa tak selamat. Tak selamat kepada apa itu aku tak tahu, politik kawan mungkin. Macam kata Schopenhauer, manusia pendam 3/4 daripada dirinya yang sebenar semata-mata kerana mahu conform kepada orang ramai dan kawan-kawan.

ZE: Aku faham—politik kawan tu maksud kau macam mana?

RS: Ada satu penyakit bernama 'Friends Forever-Disorder' ini. Penyakit ini unik dimana setiap anggota kumpulan wajib sekepala sejubo selamanya. Tidak ada singularity dan individualiti. Simptomnya, apa yang benar takut dinyatakan. Takut hubungan politik kawan tadi terjejas—takut hilang kawan.

ZE: Jadi kau tak takut hilang kawan?

RS: Aku ada faith—buat apa aku takut? Kalau aku tak ada kepercayaan terhadap kawan aku, buat apa aku berkawan in the first place?

ZE: Pernah kau alami situasi ni?

RS: Pernah sekali ni, ada seorang budak ni tiba-tiba menegur, "kalau aku cakap kau janji jangan marah tau?" Aku tanya apa dia? "Jangan marah tau," kemudian dia bisik kat telinga kata zip seluar aku terbuka. Aku bingung, kenapa aku perlu marah kalau zip seluar aku terbuka? Adakah keheteroseksualan aku tercabar? Atau adakah ia sesuatu yang tidak bermoral, maka dengan itu aku perlu marah? Ini absurd.

ZE: Kalau aku, aku malu.

RS: Kalau malu pun apa kaitannya dengan marah? Lagi satu, malu tu siapa yang tentukan? Siapa yang menentukan zip seluar terbuka itu sesuatu yang memalukan? Orang ramai? Masyarakat setempat? Kawan-kawan? Kau conform kepada pendapat orang ramai ni. Ini maknanya 3/4 diri kau masih lagi terpendam kau tau tak?

ZE: Kalau aku mencarut kat kau sekarang ni maknanya aku dapat luahkan diri aku yang sebenar la ye?

RS: Kau nak mencarut apa?

ZE: Fuck you!

RS: Lupa aku bagitau kau. Dalam konteks negara ni, F-word tu digunakan oleh mereka yang gila babi insecure, percayalah.

ZE: Fuck me!


Ridhwan Saidi

Sabtu, September 25, 2010

Evolusi Bin Filem

25 September 2009...


13 Mei 2009 - 25 September 2009


30 April 2009 - 13 Mei 2009


11 Ogos 2008 - 13 Mei 2009

Sabtu, September 18, 2010

Who Wants to Be a Filmmaker?

Dalam proses pembikinan filem, melalui pengalaman bertahun-tahun aku sebagai seorang pseudo-sinefilia, melalui pemerhatian yang aku jalankan di institusi pengajian filem dan industri perfileman tempatan, boleh aku kategorikan proses pembikinan filem ini kepada dua. Pertama, proses yang berteraskan idea yang bersifat amateur, rambang, spontan dan dinamik manakala kedua proses yang berteraskan profesionalisme, terancang, spesifik dan statik.

Pokoknya teras yang membezakan kedua-dua proses pembikinan filem ini adalah kebebasan, dan anehnya ramai filmmaker-wannabe di negara ini cenderung memilih untuk tidak bebas. Instead of merayakan seni dengan bertindakbalas dengan persekitaran, mereka memilih untuk ‘berkerja seperti anjing’—jangan marah, ini lirik lagu The Beatles. Mereka mementingkan produksi melangkaui idea. Ini kita sedari apabila hal-hal yang diwacanakan di kala pra-pembikinan filem kebiasaannya mengenai art direction, pakaian, lighting, sinematografi, make-up dan lain-lain. Ini tidak salah, cuma juling.

Idea-oriented v Production-oriented
Secara peribadi, bagi aku Blade Runner: Final Cut (1982) dan The Godfather Trilogy (1972, 1974 & 1990) merupakan antara filem-filem production-oriented yang sudah berada pada tahap lengkap. Tetapi kita perlu ingat, walaupun produksinya lengkap, ia adalah produksi yang mendukung idea. Yang aku lihat berlaku di negara ini, produksi-produksi jarang mendukung sebarang idea.

Menurut Alfred Hitchcock, sesebuah filem itu siap selepas skrip siap. Inilah fundamental bagi mereka yang merayakan production-oriented. Ini bermakna selepas selesainya pra-produksi (skrip), kerja-kerja selepas itu hanyalah sebuah proses perlaksanaan secara fizikal dimana ia dikerjakan oleh buruh-buruh kasar yang dipanggil kru. Ini adalah satu sistem makan gaji – kapitalisme – dimana kru-kru ini menukarkan keringat mereka kepada duit. Aneh apabila sesebuah projek dengan dana yang kecil cuba meraikan sistem kapitalisme ini.

Idea-oriented pula adalah satu pendekatan di mana ia lebih terbuka. Kita boleh ambil pembikin-pembikin yang berkebolehan untuk merombak skrip (atau tanpa skrip) semasa penggambaran dan suntingan seperti Jean-Luc Godard, Wong Kar Wai, Mansor Puteh dan seumpamanya. Proses berkarya itu tidak tersekat selepas fasa pra-produksi. Ia lebih hidup dan dinamik. Malah perkataan ‘amateur’ itu jika digali asal istilahnya bermakna ‘cinta’. Proses pembikinan yang disemai rasa cinta ini bebas daripada kekangan profesionalisme. Tidaklah bermakna mereka mengabaikan serba-serbi tentang perkara-perkara teknikal produksi. Mengambil kata-kata Garin Nugroho, “Idea hanya muncul selepas teknik tidak lagi menjadi hal.” Bagi aku filmmaker-wannabe tidak perlu berkocoh-kocoh memikirkan soal bagaimana ia dibuat, sebaliknya apa yang dibuat.

Inspirasi v Imitasi
Apabila ‘APA’ (dengan huruf besar) ini diabaikan, secara tidak langsung ia juga memisahkan dualiti tadi kepada inspirasi dan imitasi. Tanpa idea, dengan hal-hal teknikal produksi semata-mata, werk yang dihasilkan ternyata adalah satu imitasi. Samada imitasi itu berjaya atau tidak, pokoknya ia hanya sekadar satu imitasi. Ini berbeza dengan idea-oriented dimana ia terjadi melalui inspirasi. Memang inspirasi ini diserap daripada idea orang lain, bak kata Jim Jarmusch, “Daripada mana kau curi idea itu tak penting, yang penting ke mana kau nak bawa idea tu.” Maka dengan itu sebuah imitasi tidak akan membawa idea itu ke mana-mana. Imitasi terhadap werk-werk P.Ramlee atau Yasmin Ahmad tidak akan menggerakkan (sila rujuk iklan dan rancangan Raya di televisyen), sebaliknya ia perlu terinspirasi. Untuk terinspirasi seseorang perlu gali ke dalam sesebuah werk itu. Di sini pentingnya pemahaman tentang kedalaman (yang tidak diambil pusing oleh majoriti jemaah Malaysia, terutamanya yang menggelarkan diri mereka singer/songwriter boohoo).

Konklusi
Aku mengambil kesempatan ini mendoakan jemaah filmmaker-wannabe yang berimankan production-oriented tadi agar murtad lalu merayakan idea, insya'Allah.


Ridhwan Saidi

Jumaat, September 17, 2010

Sabun di Atas Pinggan

Semalam aku ke rumah Mislina beraya. Mereka gelar tempat ini Republik Desa Pandan. Gaya hidup anti-establishment tulen dirayakan; tiada perabot dilaburkan untuk rumah ini. Yang kelihatan hanya perabot-perabot jiran, rak buku yang diperbuat daripada buku dan basikal-basikal yang dijemur di ampaian. Selain manusia, kucing-kucing juga menginap di rumah ini. Bau BBQ daging dan sosej meresapi udara. Terdapat juga salad kentang putar campur cendawan butang serta coleslaw bagi yang vegetarian. Aku ambil pinggan dan garfu, aku sambar 3 tenderloin steak, 5 batang sosej dan semangkuk sayur-sayuran. Selesai, aku bangkit ke dapur mahu basuh tangan. Aku dapati pili sinki di rumah ini rosak—kelihatan paip getah di tepi sinki. Aku ke balkoni mengikuti alur paip getah itu. Aku jumpa pilinya, aku putar. Aku patah balik ke sinki dan mendapati air tidak keluar. Aku ke balkoni sekali lagi, aku ternampak pili lain di bawahnya, aku putar. Aku patah balik ke sinki, air memancut-mancut keluar. Aku basuh tangan, aku sambar span dan sabun lalu basuh garfu dan pinggan yang aku gunakan. Pinggan kaca ini terasa lebih berat daripada kebiasaan, mungkin di rumah aku sudah biasa menggunakan pinggan Corelle. Selesai basuh aku keliru tidak tahu mahu letakkan pinggan ini di mana—tiada pinggan-pinggan lain kelihatan. Aku terbalikkan dan letak di tepi sinki. “Buat apa tu encik Ridhwan Saidi—ya Allah basuh pinggan ke?” Suara Mislina kedengaran dari ruang tamu. Aku pekakkan telinga. Aku tidak menganggap diri aku sebagai seorang moralis dengan membasuh pinggan ini. Aku basuh kerana ianya berlaku secara spontan. Lagipun apa masalahnya aku selaku tetamu mencuci pinggan yang telah aku gunakan. Niat aku suci kerana ingin meringankan beban tuan rumah yang telah bersusah-payah menyediakan makanan dan minuman. Kucing-kucing bergesel di pergelangan kakiku. Aku kembali ke ruang tamu lalu duduk. Tiba-tiba, aku sedari yang tersusun di atas meja bersebelahan makanan berupa pinggan kertas. Pinggan kaca siapa yang aku basuh tadi?


Ridhwan Saidi

Rabu, September 15, 2010

Malaysia v Melayu

Seperti Garamond dan Helvetica, Malaysia dan Melayu juga adalah satu bentuk dualiti yang berlawanan satah di antara satu sama lain. Secara jemaah bawah sedar, seorang Melayu akan berpaksikan emosi, manakala seorang Malaysia akan berpaksikan rasionaliti. Ini jelas kerana kita sedari mereka yang masih merayakan keMelayuan ini cenderung untuk mengikut perasaan – rawak, rambang dan tidak menentu (dinamik), manakala seseorang yang meraikan keMalaysiaan terdiri daripada mereka yang lebih intelek – bersebab, empirikal, menuruti fungsi (statik).

Sebagai individu, setiap daripada kamu barangkali menghadapi krisis dalam diri ini, dan saya syak kebanyakan daripada kamu akan memilih Malaysia. Saya memahami ini kerana kondisi pentadbiran semasa kita yang lapuk. Sistem pentadbiran yang dilaksanakan secara suka hati (neo-feudal) tidak masuk akal bagi sebuah negara bangsa demokratik moden. Kita semua menyedari hakikat ini. Tetapi jauh di dalam sudut hati saya, sebagai seorang individu – memutuskan hubungan dengan dunia luar dan hidup bermasyarakat – saya lebih selesa menjadi seorang Melayu.

Jangan pula tuduh saya racist kerana ini, usah stereotaip, chill. Jika Melayu itu ras, begitu juga dengan Malaysia iaini satu bentuk ras negara bangsa. Jika seorang Melayu akan prejudis terhadap Cina dan India, ini serupa dengan seorang Malaysia yang akan prejudis terhadap buruh-buruh asing Indonesia dan Bangladesh. Secara amnya kita cuba berubah daripada satu ras kepada satu ras yang lain. Tanpa kepercayaan, diresapi ketidakpercayaan, baik Melayu atau Malaysia ia sama sahaja.

Sekarang berbalik kepada mengapa saya merasakan Melayu lebih menarik berbanding Malaysia (sebagai seorang individu). Ianya jelas sebagai seorang Malaysia saya tidak ada apa-apa yang menarik untuk bersandar. Perkara-perkara fundamental seperti bendera, lagu kebangsaan, bunga kebangsaan, sejarah menuntut kemerdekaan malah perlembagaan serta rukun negara sekalipun, ianya tidak ada kedalaman (‘deep’ bak kata hipster indie), sekadar fakta. Jika saya cuba menghayati dunia pop Malaysia seperti lagu-lagu Yuna misalnya, walaupun arrangment-nya menarik, tetapi ‘cinta’ yang dibawa masih bermain di permukaan. Jika mahu dibuat perbandingan, berani saya kata tidak ada bezanya di antara muzik Yuna dan Eddie Hamid. Ini berbeza dengan pantun atau hikayat-hikayat Melayu lama yang jauh lebih romantik, mistik dan menarik.

Jika dilihat pada pantun, ia adalah gabungan emosi dan rasionaliti. Puisi-puisi lain seperti sajak atau haiku selalunya lebih bebas, tetapi di dalam pantun ianya terikat dengan rasionaliti rima tengah dan rima akhir baris ayat. Keseimbangan ini menerujakan. Malah lebih dalam saya meresap masuk ke dalam alam Melayu ini semakin dekat diri saya kepada kemanusiaan dan seterusnya Tuhan. Ini berlawanan dengan rasionaliti yang secara perlahan-lahan memutuskan hubungan dengan Tuhan dan seterusnya kemanusiaan.

Saya merumuskan ini hasil daripada pemerhatian saya terhadap senibina rasional modenisme yang anti-manusia, ianya keras, kasar dan brutal; and yet ramai Malaysia-Malaysia kini sedang merayakan minimalisme 'less is more' yang membosankan ini. 'Less is bore' darlingMinimalism adalah knock-off kepada kehidupan anti-establishment mereka yang tidak berduit beli perabot IKEA lagipun.

Mitos mengatakan perkataan Melayu asli hanya ada beberapa kerat sahaja iaitu babi, besi, padi, ubi dan paku. Jangan pula paksa saya untuk meraikan nilai-nilai keMelayuan asli dan original ini sahaja, kerana sesungguhnya konsep 'original' bukan mengenai keaslian semata-mata. Malah saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa seorang pengkarya yang mencari keaslian adalah dikalangan mereka yang masih teraba-raba, instead kembali-lah kepada asal-usul, originality consists in returning to the origin. Oleh itu, Melayu yang berkembang, bergerak dan berdinamika ini-lah yang saya raikan – sehinggalah ia ingin berubah kepada Malaysia yang statik.

Kepada Malaysia, selamat hari jadi in advance. Kepada Melayu - ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia,’ sebab orang Melayu cepat membiak, that’s for sure darling!


Ridhwan Saidi

p/s: Lagu Cinta Sempurna oleh Yuna jika ditolak lebih dalam, merupakan satu bentuk penolakan terhadap Tuhan. Semestinya ia ditulis secara tidak sengaja kerana seorang Malaysia tidak ambil pot tentang 'kedalaman'.

Sempurnanya sifatMu
Tulusnya hatiMu
Jujurnya niatMu
Tingginya kesabaranMu
Lepaskanlah diriku
Kerna aku
Tak mampu 'tuk menanggung
Sebuah cinta sempurna
DariMu
DariMu ohhh

Kodak ISO 100 (12)

Dalam perjalanan hendak membuang kotak filem yang aku baru isi ke dalam kamera, aku berhenti. Setelah 5 hari terperap di dalam bilik, petang tadi aku keluar menaiki Jobot-ku bagi menghidupkan kembali kamera Hi Matic G aku yang sudah bertahun-tahun terperap. Aku ke kedai hardware beli sebutir bateri LR44 dengan harga RM4, kemudian menyeberang jalan ke kedai gambar yang tak pernah aku sedari kewujudannya selama ini. Aku tidak expect C41 ataupun Portra, cukup sekadar filem konsumer biasa. Dalam hati, aku mahu ISO 100 (12), cukup sekadar aku hidupkan kamera ini dengan 12 keping gambar. Tiba di kaunter, yang kelihatan hanya ada dua jenis filem iaitu Kodak ISO 400 (36) dan ISO 100 (12). Yang 36 sekadar ada 2-3 kotak sahaja manakala yang 12 ada berpuluh-puluh kotak. Tuan kedai, merangkap seorang apek dalam lingkungan usia 50-an yang sedang duduk membaca surat khabar, datang berdiri di hadapan aku. Aku meletakkan jari telunjuk aku ke atas permukaan cermin kaunter. Di bawahnya kelihatan Kodak ISO 100 (12). Apek itu lantas berkata, “Oh yang ni tarak jual, sudah expired la, ini saja ada,” sambil menunjuk ke arah Kodak ISO 400 (36). Aku angguk tanda setuju sambil menunjukkan angka satu dengan jari telunjuk. “Sebelas ringgit sembilan—sebelas saja-lah,” kata apek itu. Sebelum sempat berjalan keluar aku ternampak sebuah rak kaca di belakang apek itu. Di dalamnya tersusun beratus-ratus kotak Kodak ISO 100 (12). Aku pasti semua filem-filem itu sudah expired sekadar dijadikan ornament. Aku tidak expect semua ini. Apek itu sambung duduk membaca surat khabarnya, perasaan aku pula yang tidak nyaman. Apalah nasib kedai gambar ini di dunia serba digital kini. Tiba-tiba bertalu-talu memori-memori lama kedai-kedai gambar yang pernah aku terokai meresapi jiwaku. Saat aku berbedak dan berminyak rambut bagi foto saiz passport untuk I.C aku semasa di darjah enam, foto passport bagi lesen-lesen L, P dan penuh, bagi borang-borang masuk U(-U), bagi borang-borang minta kerja(-kerja), saat aku berpapan selaju, saat aku bersubjek fotografi, saat aku dihadiahi kamera pertama serta dan dan dan. Aku patah balik ke bilik tidak jadi buang kotak filem itu.


Ridhwan Saidi

Ahad, September 12, 2010

Wacana Seorang Meta-Hipster: Konflik Garamond dan Helvetica

Typeface atau lebih senang dikenali sebagai bentuk tulisan terbahagi kepada dua, serif dan sans-serif. Serif ini dimana tulisannya mempunyai 'ekor-ekor hiasan'. Contoh tulisan serif yang selalu kita gunakan adalah Times New Roman, tetapi dalam esei ini saya menggunakan Garamond (yang bentuknya lebih menawan). Sans-serif pula adalah bentuk tulisan dimana 'ekor-ekor hiasan' tadi ditiadakan. Contoh tulisan sans-serif yang biasa kita gunakan adalah Arial, tetapi dalam esei ini saya menggunakan Helvetica (yang bentuknya lebih menarik).

Dualiti Garamond dan Helvetica ini ingin saya analogikan kepada dua bentuk paksi kehidupan manusia iaitu emosi dan rasionaliti. Manusia-manusia yang membenarkan emosi mereka mengawal hidup mereka ini akan kita labelkan mereka sebagai Garamond. Seorang Garamond akan membiarkan perasaan mereka menentukan jalan-jalan kehidupan yang mereka telusuri, ia lebih dinamik, rawak, rambang dan tidak menentu. Kita boleh simpulkan yang Garamond ini merayakan unsur-unsur feminin (jangan keliru dengan feminisme). Berlawanan dengan ini adalah manusia-manusia Helvetica yang bertunjangkan sebab (reason) dan logika empirikal sains dan matematik. Seorang Helvetica akan kembali kepada rasional akal, segalanya wajib bersebab, dan lebih statik merapati fungsi. Kita boleh simpulkan yang Helvetica ini meraikan unsur-unsur maskulin.

Yang membezakan dualiti Garamond dan Helvetica ini adalah ‘ekor-ekor hiasan’ tadi. Hiasan ini yang membezakan citarasa estetika seorang Garamond dan Helvetica. Hiasan ini dianggap indah bagi seorang Garamond dimana lekuk-lekuk ini menampakkan mainan jiwanya manakala bagi seorang Helvetica, hiasan ini tidak berfungsi lantas dianggap sebagai suatu kesalahan.

Apabila konsep ini disandarkan pada konsep kenegaraan; ke dalam negara kita ini, secara kolektif kita tahu majoriti rakyat negara ini masih berpaksikan emosi (sebab utama feudalisme bermaharajalela), cuma ia bukan pada gradien Garamond (yang menawan), tetapi pada keluarga serif yang lebih kaku, iaitu Times New Roman; dan minoriti rakyat negara ini yang bermain dengan logika empirikal, selalunya tewas kepada gradien Arial (walaupun mereka mengaku mereka minat Helvetica!).

Seseorang yang mempertingkatkan daya fikirnya daripada Arial kepada Helvetica akan menguasai intelektualiti, manakala seseorang yang mempertingkatkan daya rasanya daripada Times New Roman kepada Garamond akan menguasai intuisi (satu bentuk refleksi dalaman; jangan keliru dengan naluri). Di garis pemisah ini akan kita samada menemui Tuhan (pencipta kepada pencipta Garamond dan Helvetica) atau tidak. Bagi Garamond, intuisi (realiti sebenar) letaknya lebih tinggi daripada intelektualiti, suatu tempat di mana kita berserah lalu bersemadi bersama keabadian. Bagi seorang Helvetica pula, intuisi adalah satu konsep harapan yang tidak wujud. Maka dengan itu, boleh kita simpulkan di dalam dunia ini hanya terdapat dua typeface, bukan Times New Roman, bukan Arial, bukan Garamond, bukan Helvetica, dan bukan juga Courier New, tetapi typeface kau dan typeface aku.


Ridhwan Saidi

Perempuan, Hantu dan Skandal (2010)



With a shoestring budget of RM50, we did it girls, Alhamdulillah.
Perempuan, Hantu dan Skandal (2010)

Ulasan: Tonton Filem, Hassan Muthalib, Aidi Rahimi

Sabtu, September 04, 2010

Pra-Pemilihan Antologi Surat Cinta Kita

Daripada 30 penyertaan yang kami terima, saya buatkan dua folder, satu namanya 'OK' manakala satu lagi 'KIV.' Dalam folder OK ini, ada 7 teks. Kita boleh consider teks yang sudah berada di dalam folder OK ini sudah terpilih untuk dicetak kelak. Mereka-mereka (err maksud saya mereka) yang bertuah ini adalah:

Mislina Mustafa
Saat Omar
Hajar Aznam
Fared Ayam
Nadrah Mustafa
Aina Atiqah
Sarah Mohammad

Selain itu saya juga memilih diri sendiri dan teks daripada Dewa (yang belum ditulis) menjadikan ia 9. Penyertaan masih terbuka. Oleh kerana overall tone penyertaan yang kami terima banyak bermain dengan arketaipal kesyahduan 'Rindu Serindu Rindunya' Eddie Hamid, potensi untuk teks anda terpilih bermula sekarang adalah teks-teks yang mempunyai perspektif yang selain itu.

Ada beberapa teks yang menarik di dalam folder KIV, cuma kami mahu antologi Surat Cinta Kita ini mempunyai gradien cinta yang pelbagai. Dalam rona warna ada macam-macam warna, ada cinta kuning, ada cinta merah, ada cinta biru, ada cinta putih, dan ada cinta hitam. Mungkin saya boleh color code-kan secara spontan cinta-cinta ini dengan tema-tema tertentu, lalu tag-kan pada setiap teks (atau warna kertas yang akan digunakan nanti).

Cinta Kuning (coming of age/pra cinta)
Cinta Merah (keberahian/cinta)
Cinta Biru (kemurungan/pasca cinta)
Cinta Putih (keabadian/Tuhan)
Cinta Hitam (nothingness/absurd)

Warna-warna ini boleh jadi bercampur. Seperti teks saya, bila saya baca balik, ianya adalah campuran warna kuning dan hitam, lol.

Satu lagi elemen penting yang menentukan pemilihan kami adalah sustainability teks tersebut. Biarpun ia 100 patah perkataan, tetapi kekal syok untuk dibaca dan ditelusuri. Walaupun nampak seolah tak serius, tetapi kami sebenarnya serius ya. And bear in mind that kita cetak atas kertas, kita akan consume kertas. Setiap kewujudan patah perkataan harus bersungguh-sungguh, jika sambil lewa sila pastikan sambil lewa bersungguh-sungguh.

Kepada yang berada di dalam folder KIV, diharap berserah. Tarikh akhir penyertaan adalah pada 31 November 2010. Prosa dan/atau puisi, tiada syarat; saya hanya faham bahasa Melayu, Inggeris dan Itali. Semua dijemput untuk memeriahkan antologi Surat Cinta Kita ini. Sebarkan kepada kenalan-kenalan anda yang lain. Terima kasih.

Emel penyertaan anda ke: binfilem@gmail.com
sebelum 31 November 2010


JHBT

p/s: Projek ini dijangka siap awal 2011, terima kasih,

Rabu, September 01, 2010

Dialog Atas Katil

"Without sex, love would be an error," kata lelaki.

"Without love, sex would be an error," kata wanita.


Ridhwan Saidi