Jumaat, September 17, 2010

Sabun di Atas Pinggan

Semalam aku ke rumah Mislina beraya. Mereka gelar tempat ini Republik Desa Pandan. Gaya hidup anti-establishment tulen dirayakan; tiada perabot dilaburkan untuk rumah ini. Yang kelihatan hanya perabot-perabot jiran, rak buku yang diperbuat daripada buku dan basikal-basikal yang dijemur di ampaian. Selain manusia, kucing-kucing juga menginap di rumah ini. Bau BBQ daging dan sosej meresapi udara. Terdapat juga salad kentang putar campur cendawan butang serta coleslaw bagi yang vegetarian. Aku ambil pinggan dan garfu, aku sambar 3 tenderloin steak, 5 batang sosej dan semangkuk sayur-sayuran. Selesai, aku bangkit ke dapur mahu basuh tangan. Aku dapati pili sinki di rumah ini rosak—kelihatan paip getah di tepi sinki. Aku ke balkoni mengikuti alur paip getah itu. Aku jumpa pilinya, aku putar. Aku patah balik ke sinki dan mendapati air tidak keluar. Aku ke balkoni sekali lagi, aku ternampak pili lain di bawahnya, aku putar. Aku patah balik ke sinki, air memancut-mancut keluar. Aku basuh tangan, aku sambar span dan sabun lalu basuh garfu dan pinggan yang aku gunakan. Pinggan kaca ini terasa lebih berat daripada kebiasaan, mungkin di rumah aku sudah biasa menggunakan pinggan Corelle. Selesai basuh aku keliru tidak tahu mahu letakkan pinggan ini di mana—tiada pinggan-pinggan lain kelihatan. Aku terbalikkan dan letak di tepi sinki. “Buat apa tu encik Ridhwan Saidi—ya Allah basuh pinggan ke?” Suara Mislina kedengaran dari ruang tamu. Aku pekakkan telinga. Aku tidak menganggap diri aku sebagai seorang moralis dengan membasuh pinggan ini. Aku basuh kerana ianya berlaku secara spontan. Lagipun apa masalahnya aku selaku tetamu mencuci pinggan yang telah aku gunakan. Niat aku suci kerana ingin meringankan beban tuan rumah yang telah bersusah-payah menyediakan makanan dan minuman. Kucing-kucing bergesel di pergelangan kakiku. Aku kembali ke ruang tamu lalu duduk. Tiba-tiba, aku sedari yang tersusun di atas meja bersebelahan makanan berupa pinggan kertas. Pinggan kaca siapa yang aku basuh tadi?


Ridhwan Saidi