Rabu, September 15, 2010

Malaysia v Melayu

Seperti Garamond dan Helvetica, Malaysia dan Melayu juga adalah satu bentuk dualiti yang berlawanan satah di antara satu sama lain. Secara jemaah bawah sedar, seorang Melayu akan berpaksikan emosi, manakala seorang Malaysia akan berpaksikan rasionaliti. Ini jelas kerana kita sedari mereka yang masih merayakan keMelayuan ini cenderung untuk mengikut perasaan – rawak, rambang dan tidak menentu (dinamik), manakala seseorang yang meraikan keMalaysiaan terdiri daripada mereka yang lebih intelek – bersebab, empirikal, menuruti fungsi (statik).

Sebagai individu, setiap daripada kamu barangkali menghadapi krisis dalam diri ini, dan saya syak kebanyakan daripada kamu akan memilih Malaysia. Saya memahami ini kerana kondisi pentadbiran semasa kita yang lapuk. Sistem pentadbiran yang dilaksanakan secara suka hati (neo-feudal) tidak masuk akal bagi sebuah negara bangsa demokratik moden. Kita semua menyedari hakikat ini. Tetapi jauh di dalam sudut hati saya, sebagai seorang individu – memutuskan hubungan dengan dunia luar dan hidup bermasyarakat – saya lebih selesa menjadi seorang Melayu.

Jangan pula tuduh saya racist kerana ini, usah stereotaip, chill. Jika Melayu itu ras, begitu juga dengan Malaysia iaini satu bentuk ras negara bangsa. Jika seorang Melayu akan prejudis terhadap Cina dan India, ini serupa dengan seorang Malaysia yang akan prejudis terhadap buruh-buruh asing Indonesia dan Bangladesh. Secara amnya kita cuba berubah daripada satu ras kepada satu ras yang lain. Tanpa kepercayaan, diresapi ketidakpercayaan, baik Melayu atau Malaysia ia sama sahaja.

Sekarang berbalik kepada mengapa saya merasakan Melayu lebih menarik berbanding Malaysia (sebagai seorang individu). Ianya jelas sebagai seorang Malaysia saya tidak ada apa-apa yang menarik untuk bersandar. Perkara-perkara fundamental seperti bendera, lagu kebangsaan, bunga kebangsaan, sejarah menuntut kemerdekaan malah perlembagaan serta rukun negara sekalipun, ianya tidak ada kedalaman (‘deep’ bak kata hipster indie), sekadar fakta. Jika saya cuba menghayati dunia pop Malaysia seperti lagu-lagu Yuna misalnya, walaupun arrangment-nya menarik, tetapi ‘cinta’ yang dibawa masih bermain di permukaan. Jika mahu dibuat perbandingan, berani saya kata tidak ada bezanya di antara muzik Yuna dan Eddie Hamid. Ini berbeza dengan pantun atau hikayat-hikayat Melayu lama yang jauh lebih romantik, mistik dan menarik.

Jika dilihat pada pantun, ia adalah gabungan emosi dan rasionaliti. Puisi-puisi lain seperti sajak atau haiku selalunya lebih bebas, tetapi di dalam pantun ianya terikat dengan rasionaliti rima tengah dan rima akhir baris ayat. Keseimbangan ini menerujakan. Malah lebih dalam saya meresap masuk ke dalam alam Melayu ini semakin dekat diri saya kepada kemanusiaan dan seterusnya Tuhan. Ini berlawanan dengan rasionaliti yang secara perlahan-lahan memutuskan hubungan dengan Tuhan dan seterusnya kemanusiaan.

Saya merumuskan ini hasil daripada pemerhatian saya terhadap senibina rasional modenisme yang anti-manusia, ianya keras, kasar dan brutal; and yet ramai Malaysia-Malaysia kini sedang merayakan minimalisme 'less is more' yang membosankan ini. 'Less is bore' darlingMinimalism adalah knock-off kepada kehidupan anti-establishment mereka yang tidak berduit beli perabot IKEA lagipun.

Mitos mengatakan perkataan Melayu asli hanya ada beberapa kerat sahaja iaitu babi, besi, padi, ubi dan paku. Jangan pula paksa saya untuk meraikan nilai-nilai keMelayuan asli dan original ini sahaja, kerana sesungguhnya konsep 'original' bukan mengenai keaslian semata-mata. Malah saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa seorang pengkarya yang mencari keaslian adalah dikalangan mereka yang masih teraba-raba, instead kembali-lah kepada asal-usul, originality consists in returning to the origin. Oleh itu, Melayu yang berkembang, bergerak dan berdinamika ini-lah yang saya raikan – sehinggalah ia ingin berubah kepada Malaysia yang statik.

Kepada Malaysia, selamat hari jadi in advance. Kepada Melayu - ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia,’ sebab orang Melayu cepat membiak, that’s for sure darling!


Ridhwan Saidi

p/s: Lagu Cinta Sempurna oleh Yuna jika ditolak lebih dalam, merupakan satu bentuk penolakan terhadap Tuhan. Semestinya ia ditulis secara tidak sengaja kerana seorang Malaysia tidak ambil pot tentang 'kedalaman'.

Sempurnanya sifatMu
Tulusnya hatiMu
Jujurnya niatMu
Tingginya kesabaranMu
Lepaskanlah diriku
Kerna aku
Tak mampu 'tuk menanggung
Sebuah cinta sempurna
DariMu
DariMu ohhh