Di dalam kereta menuju ke Sungai Buloh dari Kampung Melayu Subang.
ZE: Apa pendapat kau tentang diorang yang kutuk filem-filem kau?
RS: Secara peribadi, bila aku tengok filem aku sendiri, aku pun menyampah juga. Jadi bila diorang kutuk tu—kira betul la tu.
ZE: Jadi kau tak kisah?
RS: Aku tak peduli. Macam ni—aku tak ada rasa 'protective' terhadap filem-filem aku. Semua kucing-kucing yang aku bela, aku biar lepas. Kalau aku ada anak, aku biar lepas juga. Sesuatu seperti itu.
ZE: (Mendengar)
RS: Ini lain halnya dengan diorang yang fanatik dan protective dengan filem-filem diorang. Tak boleh ditegur selain puji-pujian semata; panas punggung bila ditegur. Rasa ketidakselesaan ini adalah satu bentuk 'insecurity,' dan mereka yang insecure ini adalah dikalangan mereka yang masih bebal—belum ketemu sama itu faith.
ZE: Macam mana pula kalau ada sorang member kau ni, takut-takut nak kritik filem kau? Sedangkan kau tak peduli.
RS: Sekali lagi dia tu sebenarnya dalam kondisi insecure, rasa tak selamat. Tak selamat kepada apa itu aku tak tahu, politik kawan mungkin. Macam kata Schopenhauer, manusia pendam 3/4 daripada dirinya yang sebenar semata-mata kerana mahu conform kepada orang ramai dan kawan-kawan.
ZE: Aku faham—politik kawan tu maksud kau macam mana?
RS: Ada satu penyakit bernama 'Friends Forever-Disorder' ini. Penyakit ini unik dimana setiap anggota kumpulan wajib sekepala sejubo selamanya. Tidak ada singularity dan individualiti. Simptomnya, apa yang benar takut dinyatakan. Takut hubungan politik kawan tadi terjejas—takut hilang kawan.
ZE: Jadi kau tak takut hilang kawan?
RS: Aku ada faith—buat apa aku takut? Kalau aku tak ada kepercayaan terhadap kawan aku, buat apa aku berkawan in the first place?
ZE: Pernah kau alami situasi ni?
RS: Pernah sekali ni, ada seorang budak ni tiba-tiba menegur, "kalau aku cakap kau janji jangan marah tau?" Aku tanya apa dia? "Jangan marah tau," kemudian dia bisik kat telinga kata zip seluar aku terbuka. Aku bingung, kenapa aku perlu marah kalau zip seluar aku terbuka? Adakah keheteroseksualan aku tercabar? Atau adakah ia sesuatu yang tidak bermoral, maka dengan itu aku perlu marah? Ini absurd.
ZE: Kalau aku, aku malu.
RS: Kalau malu pun apa kaitannya dengan marah? Lagi satu, malu tu siapa yang tentukan? Siapa yang menentukan zip seluar terbuka itu sesuatu yang memalukan? Orang ramai? Masyarakat setempat? Kawan-kawan? Kau conform kepada pendapat orang ramai ni. Ini maknanya 3/4 diri kau masih lagi terpendam kau tau tak?
ZE: Kalau aku mencarut kat kau sekarang ni maknanya aku dapat luahkan diri aku yang sebenar la ye?
RS: Kau nak mencarut apa?
ZE: Fuck you!
RS: Lupa aku bagitau kau. Dalam konteks negara ni, F-word tu digunakan oleh mereka yang gila babi insecure, percayalah.
ZE: Fuck me!
Ridhwan Saidi