Typeface atau lebih senang dikenali sebagai bentuk tulisan terbahagi kepada dua, serif dan sans-serif. Serif ini dimana tulisannya mempunyai 'ekor-ekor hiasan'. Contoh tulisan serif yang selalu kita gunakan adalah Times New Roman, tetapi dalam esei ini saya menggunakan Garamond (yang bentuknya lebih menawan). Sans-serif pula adalah bentuk tulisan dimana 'ekor-ekor hiasan' tadi ditiadakan. Contoh tulisan sans-serif yang biasa kita gunakan adalah Arial, tetapi dalam esei ini saya menggunakan Helvetica (yang bentuknya lebih menarik).
Dualiti Garamond dan Helvetica ini ingin saya analogikan kepada dua bentuk paksi kehidupan manusia iaitu emosi dan rasionaliti. Manusia-manusia yang membenarkan emosi mereka mengawal hidup mereka ini akan kita labelkan mereka sebagai Garamond. Seorang Garamond akan membiarkan perasaan mereka menentukan jalan-jalan kehidupan yang mereka telusuri, ia lebih dinamik, rawak, rambang dan tidak menentu. Kita boleh simpulkan yang Garamond ini merayakan unsur-unsur feminin (jangan keliru dengan feminisme). Berlawanan dengan ini adalah manusia-manusia Helvetica yang bertunjangkan sebab (reason) dan logika empirikal sains dan matematik. Seorang Helvetica akan kembali kepada rasional akal, segalanya wajib bersebab, dan lebih statik merapati fungsi. Kita boleh simpulkan yang Helvetica ini meraikan unsur-unsur maskulin.
Yang membezakan dualiti Garamond dan Helvetica ini adalah ‘ekor-ekor hiasan’ tadi. Hiasan ini yang membezakan citarasa estetika seorang Garamond dan Helvetica. Hiasan ini dianggap indah bagi seorang Garamond dimana lekuk-lekuk ini menampakkan mainan jiwanya manakala bagi seorang Helvetica, hiasan ini tidak berfungsi lantas dianggap sebagai suatu kesalahan.
Apabila konsep ini disandarkan pada konsep kenegaraan; ke dalam negara kita ini, secara kolektif kita tahu majoriti rakyat negara ini masih berpaksikan emosi (sebab utama feudalisme bermaharajalela), cuma ia bukan pada gradien Garamond (yang menawan), tetapi pada keluarga serif yang lebih kaku, iaitu Times New Roman; dan minoriti rakyat negara ini yang bermain dengan logika empirikal, selalunya tewas kepada gradien Arial (walaupun mereka mengaku mereka minat Helvetica!).
Seseorang yang mempertingkatkan daya fikirnya daripada Arial kepada Helvetica akan menguasai intelektualiti, manakala seseorang yang mempertingkatkan daya rasanya daripada Times New Roman kepada Garamond akan menguasai intuisi (satu bentuk refleksi dalaman; jangan keliru dengan naluri). Di garis pemisah ini akan kita samada menemui Tuhan (pencipta kepada pencipta Garamond dan Helvetica) atau tidak. Bagi Garamond, intuisi (realiti sebenar) letaknya lebih tinggi daripada intelektualiti, suatu tempat di mana kita berserah lalu bersemadi bersama keabadian. Bagi seorang Helvetica pula, intuisi adalah satu konsep harapan yang tidak wujud. Maka dengan itu, boleh kita simpulkan di dalam dunia ini hanya terdapat dua typeface, bukan Times New Roman, bukan Arial, bukan Garamond, bukan Helvetica, dan bukan juga Courier New, tetapi typeface kau dan typeface aku.
Ridhwan Saidi