Jumaat, Ogos 25, 2017

Reviu Teater L5-7-44

(Reviu ini mengandungi spoiler kerana pementasan ini memerlukan rahsia sebagai kejutan di dalam naratifnya. Walau bagaimanapun oleh kerana pementasan ini sudah berakhir, apa barang spoiler?)

Audien perlu berselisih dengan satu sosok hitam untuk masuk ke dalam auditorium lalu disambut empat manusia robotik bernama 1, 2, 3 dan 4. Satu lagi karakter (Anrie Too) terpancar di skrin mengucapkan selamat datang, selain memberitahu info umum. Kita sedang berada di Kementerian Kehidupan.

Ia ada nuansa science fiction, persis masuk galeri interaktif muzium, tetapi teknologi canggih yang kita hadapi kali ini berupa manusia, dan kerana itu ia teater. Audien perlu menunggu buat beberapa ketika sebelum sosok hitam di luar pintu tadi masuk ke dalam.

Rendisi sosok hitam oleh Syaffiq Hambali ini lebih mendekati drama Elizabethan, di mana ia berlegar-legar di ruang auditorium dan hanya melakukan hal-hal movement-based. Sosok hitam ini Kematian (Pada mulanya saya sangkakan sosok hitam ini Kemurungan dan kita sedang berada di dalam kepala Christopher Ling, tetapi sangkaan ini meleset dan menjadi semakin literal). Situasi ini buat saya terfikir: jika Kematian ini diselarikan dengan nuansa saifai dan futuristik tadi, Kematian ini boleh jadi server, atau internet, atau superkomputer atau sesuatu, dan bukan Kematian sebagai sosok hitam dengan wajah bengis.

Tema kematian ini juga menjadikan ia site-specific, in a way ia cuba bertindakbalas dengan semangat bangunan itu. Saya pernah beberapa kali ke Wisma MCA dan saya yakin secara umum, kepercayaan terhadap nombor 8 sebagai kaya masih kuat, dan nombor 4 itu taboo kerana ia bermaksud mati. Dan kerana itu teater ini berjudul L5-7-44, dengan 44 sebagai nombor hujung yang bermaksud mati mati (dalam konteks ini). Christopher Ling bukan seorang yang superstitious, tidak macam saya.

Manusia robotik 1, 2, 3 dan 4 ini berkumpul setempat dan bercakap sesuatu. Ia persis Kraftwerk tetapi tidak sepenuhnya robotik. Masih ada emosi manusia di dalam olahan empat orang performer ini: Andy Poon, Mia Sabrina Mahadir, Ping Khoo dan Zulhusni Zamir. Ia bukan masalah besar bagi saya sebab bentuk muka dan struktur tubuh orang Asia tidak setajam dan selurus bentuk muka orang Jerman untuk bawa attitude robot ini. Gesture Ping Khoo paling menjadi, tetapi bukan ke arah Kraftwerk, tetapi lebih mendekati android buatan Jepun.

Selain robot, performer-performer ini turut melakukan gerakan, monolog dan sedikit dialog via watak yang menyerupai audien (bernombor unik) dan bukan lagi dalam bentuk robot. Teks pementasan ini ditulis oleh Yasmin Bathamanathan.

Sewaktu keempat-empat performer ini menyampaikan monolog, saya tidak pasti jika ia berskrip, sebab ia beri impresi seperti performer ini hanya diberi instruction, dan mereka cuma bertindakbalas dengan instruction itu. Instruction itu berbunyi lebih kurang: ceritakan pasal orang yang paling kamu sayang atau cinta pertama kamu, sesuatu seperti itu (untuk establish bahawa mereka ada merindukan seseorang di dimensi lain—mereka yang masih hidup?). Dan sewaktu monolog ini berlangsung secara serentak, tiga bahasa digunakan iaitu Inggeris, Melayu dan Mandarin, tetapi sewaktu sesi saya, ramai audien berlonggok di Zulhusni Zamir. Saya tidak pasti adakah ia kerana performance itu, atau kejelasan suara atau cerita atau atas faktor bahasa semata? Dari situasi ini—maafkan saya sebab superstitious—ia memberi gambaran seolah di luar sana teater Melayu tengah in.

Sesetengah audien dipanggil nombor mereka dan diberitahu cara mereka mati (sebelum perlu tandatangan kontrak). Tidak lama selepas itu dinyatakan bahawa kita semua yang berada di ruang itu telah mati di dalam sebuah kemalangan bas. Ini membuatkan saya boleh relate kembali dari mana gesture robot itu datang, iaitu dari mesin jual tiket bas di TBS atau Pudu Sentral yang canggih dan dalam masa sama serabut. Teater ini immersive dalam erti kata kita semua yang berada di pentas auditorium itu, hakikatnya sudah mati.

Walau bagaimanapun ruang kematian ini bukan limbo, kerana tiada dunia lain selepas itu. Tiada syurga atau neraka dijanjikan, dan ruang itu bukan ruang transit persis padang mahsyar. Ruang itu sendiri merupakan kematian/jalan mati, di mana ia gelap dan berasap (mendekati kepercayaan orang Mesir kuno) sementara ada sesetengah karakter cuba untuk berhubung kembali dengan mereka yang hidup.

Ada satu momen di mana keseluruhan auditorium itu gelap gelita, dan lampu ‘keluar’ di atas pintu auditorium satu-satunya yang bernyala: UBBL, 1984 klausa 172. Saya suka momen ini, meski saya tak rasa mahu keluar sebab saya sudah bayar tiket untuk berada di dalam.

Ada juga momen di mana kedua karakter Andy dan Zulhusni berebut ruang untuk mendapat talian telepati(?) terbaik. Ia persis mereka berebut signal wifi untuk berhubung dengan mereka yang masih hidup. Tetapi sekali lagi ia jadi non-saifai apabila Andy ini ingin mengirimkan surat fizikalnya (bukan emel etc.) dengan meminta tolong kepada audien. Andy malah ingin keluar dari auditorium itu tetapi dihalang sosok hitam Kematian. Dalam keadaan terdesak ini, Andy perlu mengorbankan teknologi apabila ia tidak lagi berkesan.

Sebelum pementasan tamat, signal tivi tanpa siaran terpancar pada projektor, diikuti kata-kata wajah di skrin. Sesuatu berlaku di mana audien disuruh keluar. Ia pada momen ini saya merasakan ia jadi janggal dan semberono. Ia terasa seperti waktu sudah cukup dan maka audien perlu keluar untuk tamatkan persembahan. Audien yang di-establish sebagai mati tiba-tiba perlu keluar untuk hidup kembali. Tiada logik yang buat kita faham kenapa audien perlu keluar.

Misalnya jika ia ruang transit, kita boleh terima alasan bahawa: neraka dan syurga sudah penuh. Atau jika mengikut kepercayaan orang Mesir kuno: kematian itu gangguan sementara, kerana roh akan kembali masuk ke dalam tubuh lain untuk hidup. Alasan-alasan ini mewajarkan audien untuk faham kenapa akhirnya mereka kena keluar dari ruang kematian tersebut. Dalam kes L5-7-44 ini, tiada sebab lain selain masa pementasan sudah cukup. Saya tak berkesempatan menunggu.


Ridhwan Saidi

Selasa, Ogos 22, 2017

Reviu Teater di Sawah Padi: Muzika Uda dan Dara


Ia bermula dengan Utih (dan beberapa orang kampung) berlari dari hujung sawah yang gelap, menyalakan pelita-pelita yang terpacak di tengah sawah, satu demi satu persis filem Akira Kurosawa. Di pertengahan pementasan, pelita-pelita ini ada yang terpadam dan perlu dinyalakan semua. Analogi pelita ini menggambarkan perasaan saya terhadap keseluruhan pementasan ini. Api perlawanan yang mahu disimpulkan di hujung kisah, berbalam-balam dan tidak cergas. 

Pementasan ini berlangsung selama dua hari dan saya tonton di malam kedua, yang bertempat di Parit Dua Barat, Sungai Besar. Ia berlokasi di dalam petak sawah yang sudah dituai dengan batas sebagai raise platform natural.

Utih dan konco-konco Awang Bakhil
Saya senang menonton pementasan ini, dan perkara pertama yang kita sedar apabila duduk di situ ialah baunya. Ia ada bau yang nyaman. Dan watak Utih lakonan Ilham Sulaiman paling kuat di dalam pementasan ini. Melalui pementasan ini juga saya lebih memahami Utih (nama pena Krishen Jit sewaktu menulis reviu teater Talking Drama), seorang yang dianggap gila tetapi menjadi voice of reason buat audien. Watak ini paling bermain, baik dengan sawah, audien mahu pun sangkar ayam.

Ensembel pelakon-pelakon lain juga ada tarikannya. Sebagai contoh di dalam sekumpulan anak muda kaum tani yang teraniaya itu, ada seorang yang kelihatan persis hipster, atas faktor potongan kemeja, lipatan seluarnya, jambang dan air mukanya yang kelihatan bandar. Dalam masa sama, ada satu watak yang kelihatan sedikit tua (di dalam ensembel anak muda itu), di mana dengan raut wajahnya kita amat percaya dia benar-benar orang kampung. Juxtaposisi ini menarik, dan membuka pintu imaginasi saya: teks Uda dan Dara dengan komuniti petani hipster/rural hipster/hickster, yang cuba blend in dengan kehidupan non-bandar.

Pementasan ini ada semangat improvisasi, di mana pengarahannya tidak ketat dan santai. Sebagai contoh Sani Sudin ada masuk untuk tepung tawar/beri restu ketika Uda dan Dara sedang main kahwin-kahwin, begitu juga kameo dari Yassin Salleh yang turut memberi nasihat dan kata-kata semangat terhadap orang kampung, selain Dinsman sendiri yang menghentikan pementasan di awal kisah untuk membetulkan mikrofon Malim yang tidak berfungsi. Intrusion ini mengejutkan tapi menarik, sebab Dinsman sebagai pengarah sedang mendedahkan dirinya tanpa self-aware atau dengan alasan metafiksyen. Dinsman cuma nak betulkan mikrofon yang tak berbunyi.

Saidin Omar memetik gitar manakala Sani Sudin memetik ukelele secara improvisasi. Saya boleh nikmati tekstur yang diberi Sani Sudin, tetapi petikan gitar Saidin Omar pada saya terlalu mendominasi keseluruhan pementasan. Meski saya faham bunyi strumming ini nadi muzika ini, ia ada masa jadi monotonous. Ada seorang perempuan bermain gendang dan angklung yang saya rasakan menarik, kerana ia beri tekstur alternatif kepada bunyi gitar, tetapi tidak ada momen solo bagi instrumen tersebut kerana bunyi gitar sentiasa ada. Selain itu set cak lempong juga berpotensi untuk beri nuansa dan tekstur berbeza, tetapi ia hanya digunakan bila ada adegan yang melibatkannya.

Uda, Mak Uda dan orang kampung
Mulanya saya keliru kenapa watak Malim (lakonan Fairul Pujangga) ini sakit kaki dari mula. Saya sangka watak itu memang sakit kaki. Hanya selepas pementasan saya ketahui pelakon itu benar-benar cedera dan sakit kaki. Dan ini menarik kerana watak Malim ini yang akan (dengan bantuan dan seruan Utih) menaikkan semangat orang kampung untuk melawan idea kapitalisme dari kota. Ia menjadi offbeat apabila watak yang berkobar-kobar untuk menaikkan semangat masyarakatnya secara visual cedera. Dan ia bukan sekadar cedera, dari riak wajah Malim ini juga terserlah kesakitan yang dialaminya.

Dan adegan akhir apabila semua orang kampung mengaksikan bunga silat, ia menjadi terlalu kosmetik dan bersahaja. Kita dapat rasa adegan ini ada, kerana mengikut tertib skrip. Kemenjadian api perlawanan di adegan akhir ini tiada intensiti. Ensembel orang kampung seolah tidak meyakini perjuangan yang sedang mereka lakonkan. Maka kerana itu saya nyatakan bahawa semangat penutup pementasan ini berbalam-balam. Lampu dipadam dan sawah padi itu gelap.


Ridhwan Saidi
p/s: Dalam filem Dia Ibuku (1981) arahan Yassin Salleh, ada satu babak di mana Sarimah sedang duduk di dalam gelap, memandang ke arah cahaya subuh terbit, sebelum disertai keluarganya, yang saya rasakan amat kuat dan bermakna.

Isnin, Ogos 21, 2017

Teater, Filem dan...

I
Filem biasa dibandingkan dengan teater dan saya boleh faham kenapa. Bila seseorang kata The Third Man (1949) bagus, saya boleh tonton filem itu sepertimana orang tadi tonton. Mungkin kualiti ruang dan medium sedikit berbeza, misalnya orang itu tonton dengan projeksi 35mm di panggung, dan saya tonton versi bluray dengan tivi di rumah. Bentuk, imej dan bunyinya tetap serupa dan perbincangan dua hala boleh berlaku. Kami masih boleh merujuk babak-babak tertentu, atau syot-syot tertentu sebagai asas hujah. Tetapi ini tidak boleh berlaku dengan teater. Teater tidak ada elemen rakaman, ia langsung dan semasa.

Misalnya saya pernah tanya Amir Muhammad teater lokal kegemarannya, dan yang disebut kalau teater Melayu ialah Tanah Bernanah oleh Aminah Rhapor (yang sewaktu itu teks ini turut dilakonkan Hamzah Tahir). Selepas mengetahui ini, saya tidak lagi boleh akses atau mengalami persembahan ini (selain membaca teksnya jika ada atau menonton rendisi pementasan terbaru). Andai kata pementasan ini ada dirakam dan boleh ditonton melalui vcd, ia membantu. Walau bagaimanapun ia masih bukan pengalaman yang sama kerana bentuknya sudah berubah—ia bukan lagi teater (meski ia membuka ruang sebagai bahan dokumentasi, untuk saya intip ke masa lalu). Selain video, reviu dan foto juga membantu sedikit sebanyak untuk saya merapati pementasan tersebut. Di sini, apabila saya berhadapan dengan pementasan yang saya tidak tengok, saya tidak boleh berbincang sangat, saya cuma boleh bertanya dengan sosok tersebut pengalamannya menonton pementasan tersebut. Saya perlu memposisikan diri saya sebagai seorang pendengar.

II
Selepas saya baca buku Towards a poor theatre (1968) oleh Grotowski, antara yang paling lekat dengan saya bukan kata-katanya tetapi foto-foto selingan yang terdapat di dalam buku tersebut. Saya nampak meja panjang, katil dua tingkat, proses dan tubuh. Elemen teatrikal dalam bidang fesyen juga menarik untuk diperhatikan kerana ia dirakam dengan penuh gaya. Pertunjukan fesyen Alexander McQueen misalnya, ada imej-imej yang kuat atas faktor ini. Ia dirakam seperti ia sebuah filem atau video muzik. Cat kereta menyembur gaun dan tubuh, akuarium di dalam akuarium yang pecah, wajah-wajah Bjork. Tidak lagi pada kadar paling fakir, ia menjurus ke arah kekayaan. Kali ini pertunjukan dan persembahan ini didesain untuk memenuhi kedua-dua medium, bahawa ia kuat dipersembahkan secara langsung persis teater, dan ia juga kuat dipersembahkan di dalam medium video seperti filem.

Poin saya di sini, bukan untuk melagakan atau beri kontras via kedua medium teater dan filem ini, sebaliknya ia boleh berkesan sebagai output yang kita sudah peka kekuatan mediumnya. Dan di sini sebagai produser (melalui buku Grotowski yang membahasakan dirinya sebagai produser, ia membuka keterbukaan saya untuk memakai istilah ini, bahawa seorang produser tak terhad sekadar memikirkan soal duit atau menterjemahkan soal jualan tiket—seorang produser menggerakkan Proses) saya percaya waktu legar di luar Pementasan juga penting. Proses dan dokumentasi sebelum dan selepas pementasan perlu disusun secara bergaya dengan teks, foto dan video. Dan ini secara fakirnya berkesan dengan zine, blog dan interviu (saya tidak gemarkan istilah ‘buku program’ sebab ia kedengaran mewah). Material-material ini akan membuka jendela kepada generasi atau kehidupan di masa hadapan.

III
Seperkara menarik tentang dinamik teater dan filem ini, kedua-duanya memerlukan audien menunggu di ruang lobi sebelum masuk ke ruang pementasan/tayangan. Ia biasanya ruang di mana tiket dibeli atau diambil (jika ia bertiket), dan audien perlu tunggu atau beratur sebelum masuk ke dalam (tidak secara literal ke dalam ruang tertutup, tetapi ke dalam karya itu sendiri). Ruang lobi ini limbo. Dalam momen ini ia terapung di antara domain arsitektural dan teatrikal. Ia bukan set pementasan tetapi ia sebahagian dari pengalaman audien tersebut dalam menikmati pementasan. Audien melalui ruang ini sebelum dan selepas show. Dan ruang ini tidak secara zahir spatial. Penantian dan persembahan ini boleh berlaku di atas spot yang sama, e.g.: LiteraTur, kerja-kerja happening, site-specific, wayang pacak dan seumpamanya.

“All the world’s a stage,” kata Shakespeare. Macam mana kalau stage itu sebenarnya afterlife? Dan dunia yang kita diami ini sebuah ruang lobi yang besar. Kita bukan lagi para pemain dan pelakon, tetapi sebagai Audien yang menunggu.

Jumaat, Ogos 04, 2017

Reviu Showcase Theatresauce: Alone/Together

Pementasan ini memfokuskan kepada showcase pengarah dan ia membuatkan saya terfikir bahawa sesi diskusi dan q&a bersama pengarah selepas show amat penting (yang show ini tiada). Ini kerana ia merupakan satu-satunya ruang untuk pengarah bersuara, lebih-lebih lagi buat pengarah baru yang belum punya body of work untuk kita detect suaranya. Susah untuk kita speculate di mana sentuhan pengarah di dalam skala teater pendek + di dalam ruang yang sempit. Kerana apabila saya menyaksikan pementasan ini, yang paling ketara ialah pelakon dan teksnya. 


Poof! naskah dari Amerika oleh Lynn Nottage diarahkan oleh Esther Liew, dilakonkan oleh Anitha Abd Hamid dan Marina Tan. Teks Poof! ini bagus, dan lakonan kedua-dua aktor juga berkesan terutama renungan Anitha. Saya boleh rasa kegilaan stail Amerika, yang boleh jadi berlaku di kawasan suburban macam filem Get Out (2017) atau Texas Chain Saw Massacre (1974), dengan elemen ketagihan Katolik dan witchery and all. Dalam kes ini teksnya sangat kuat, dan kedua pelakon ini membantu menyampaikannya. Selain itu, oleh kerana posisi audien dalam lingkungan berbentuk U, pengarahan (atau lakonannya?) berkesan kerana ia aware kedudukan audien dan cuba connect dengan membenarkan wajah pelakon kelihatan. Ini crucial kerana play selepas ini lemah dari segi ini.


I Didn’t Want a Mastodon oleh Halley Feiffer juga berlatar Amerika, kali ini New York, diarahkan Toby Teh, dilakonkan oleh Lily Jamaluddin dan Meng Kheng Tan. Play ini treat audien seolah ia proscenium, jadi cuma penonton di hadapan dapat nikmati show ini sepenuhnya. Saya tidak boleh connect sangat dengan play ini sebab wajah kedua mereka most of the time terhalang, dan selain itu lifestyle New York City semacam off kalau dibuat dalam konteks Malaysia. Kita rasa macam tengok tivi, rancangan Sex and the City misalnya, ia buat kita rasa ada jarak. Sebab-sebab ini buat saya rasa detach.


One, Two... One naskah oleh Alexis Coward dari UK, arahan Alex Chua, lakonan Tiara Anchant dan Nur Zakuan. First impression saya bila melihat kedua mereka saya sangkakan mereka ini backpackers yang mendaki gunung. Hanya selepas itu saya sedari mereka ini homeless. Pencahayaannya (persis tiang-tiang lampu kota) buat kita tidak nampak wajah mereka secara penuh dan jelas, tetapi sebaliknya kita perlu fokus gerak tubuh mereka. Suara pelakon kadang-kala sedikit tenggelam, tidak sejelas performans lain, tetapi ceritanya agak berkesan. Hubungan kedua karakter ini menjadi (malah paling ada, bak kata pepatah: chemistry, antara semua), kita dapat rasa ada hubungan. Dan kita juga rasa dingin, sedingin penamat play ini.


Allah! naskah oleh Adiwijaya Iskandar, satu-satunya naskah lokal, diarahkan oleh Arief Hamizan, dilakonkan oleh Ariff Kamil dan Jad Hidhir. Bila ia teks lokal saya percaya ia akan resonates dengan lebih mendalam sebab ia rooted dengan konteks di mana ia dipentaskan. Jika dalam Poof! kita dapat kegilaan Amerikana, dalam Allah! kita dapat teroris psychopath Melayu. Dan ini secara tidak langsung buat ia paling engaging antara semua. Dari segi lakonan ada bahagian di mana psychopath ini sekejap cakap loghat Utara, sekejap loghat Kelantan, ia tidak selari dengan semangat realisme yang ia bawa (as if ia beri impresi orang Utara dan Kelantan ini jahat, manakala watak mangsa persis remaja hipster biasa yang hisap rokok atas bumbung, lantas teks ini tidak beri kita ruang untuk mempedulikan nasibnya). Secara keseluruhan play ini bernuansa komedi gelap, tetapi berakhir dengan twist/punchline yang mengubah seluruh tone cerita jadi all-out sinikal.

Selepas pementasan saya dapat tahu latihan yang dijalankan sebulan sebelum show. Saya masih rasa jika ada sesi diskusi/q&a (macam tradisi Revolution Stage) kita akan dapat lebih info dari segi direction, memandangkan ia showcase pengarah. Secara keseluruhan ada niat dan daya untuk buat keempat-empat pengalaman pementasan ini sebagai satu, jadi transisinya buat saya senang hati.


Ridhwan Saidi