Jumaat, Januari 23, 2015

Antologi Cerpen SUPERFIKSYEN


Tahun lepas Wan Nor Azriq ada cadang kepada saya untuk buat antologi cerpen bertema adiwira. Maka inilah antologi itu. Ia antologi ketiga dan terakhir yang akan saya sunting (sebelum ini BILA LARUT MALAM dan TANDOORI NAN SEKEPING). Macam biasa 10 cerpen akan dipilih, siapa terpilih dapat RM50 dan 5 naskhah buku.

Moka Mocha Ink sedang bejinak-jinak menerbitkan novella dan antara syarat am untuk tulis novella dengan kami, penulisnya mesti pernah tulis cerpen dengan kami. SUPERFIKSYEN adalah salah satu jalan. Judul inspirasi dari Super-Fiksyen oleh Ise, tapi bayangan SUPERFIKSYEN saya sudah pasti berbeza.

Kisah hero, anti-hero, semanusia-manusia hero, sesemesta-semesta hero, dinantikan.

Jemput tulis.

Ridhwan Saidi

Selasa, Januari 20, 2015

Cinta Untuk Villa Nabila

Villa Nabila filem ketiga Syafiq Yusof dan yang pertama saya tonton. Saya tertarik dengan trailer-nya yang punya semangat Mastika yang kuat di samping ceritanya jelas. Biasanya filem-filem Malaysia, trailer kalau tak spoil filem, ia hilang arah dan tak pasti untuk cerita apa.

Ulasan ini ada spoiler.

Sebelum tayangan, trailer Puaka Balai Gombak ditayangkan. Selain itu saya ada tertonton trailer filem Bangunan. Kedua-dua filem ini guna pendekatan yang lebih kurang sama dengan Villa Nabila iaitu elemen dokumentari + found footage + horror (poinnya banyak syot-syot handheld), tapi jelas melalui trailer saja, Villa Nabila paling menarik perhatian saya sebab Puaka Balai Gombak dan Bangunan ada nuansa sinikal.

Villa Nabila bukan filem horror yang cukup (saya akan kupas permasalahannya sebentar lagi) tapi ia pada saya lebih berkesan daripada Seru yang semacam diterima ramai sebagai antara filem seram terbaik Malaysia. Seru tak menjadi sebab karakter-karakternya gelabah dulu sebelum audien. Dan karakter-karakternya menjengkelkan dengan pekikan-pekikan juvenil (ia okay kalau saya turut sama gelabah di hujung kerusi tapi masalahnya saya duduk dan sedar saya berada di pawagam). Di dalam Villa Nabila tiada pekikan juvenil ini, dan Syafiq pandai garap unsur suspens untuk dapatkan efek jump scare, cuma ia banyak dan repetitif.

Kalau sarcasm is the lowest form of wit, barangkali jump scare is the lowest form of horror.

Selain itu, saya rasa efek bunyinya terlalu kuat dan kasar, meski saya faham energi muda Syafiq tapi saya percaya ia akan jadi lebih baik jika ia lebih subtle dan halus. Villa Nabila ada sedikit masalah di sini dan sana, momen-momen corny, tapi kedua elemen jump scare dan efek bunyi tadi isu paling utama.

Momen paling menarik barangkali syot pokok dengan rakaman lakon semula diselang-seli dengan syot pokok ‘rakaman sebenar.’ Ia puitis. Kontraktor itu ada daya untuk bikin sinema (siap pacak tripod depan villa untuk syot tambahan).

Syafiq Yusof tahu bagaimana untuk bercerita (meski ini basic gila, tapi rata-rata pembikin filem Malaysia tiada sensibility ini!) Naratif dokumentari + lakon semula ini bukan baru, tapi perlaksaannya kemas. Premisnya berjejak dengan realiti iaitu Villa Nabila, dan bagaimana ia bergerak menuju domain fiksyen tanpa kita sedar, menarik.

Waktu MBJB tiba, ia terasa lucu. Watak MBJB ini paling sinikal dalam filem ini tapi ia kena sebab watak ini cuma menjalankan tugas kerajaan. Alasan gangguan dan unsur tahyul tidak rasional dalam konteks tender gomen. Pada momen ini, rumah yang di-established sebagai berhantu itu terasa seperti rumah kosong biasa yang perlu dirobohkan bagi tujuan pembangunan. Ia satu momen relief.

Satu hal yang saya perasan, Syafiq sentiasa beri suara kepada karakter-karakternya untuk mempertahankan kepercayaan masing-masing. Hukuman tidak dijatuhkan. Jika ia dijatuhkan, ia lebih kepada watak yang digarap jahat iaitu Ishak, lawan kepada watak Asyraf. Hitam putih kehidupan ini barangkali dari susur galur tradisi sinema Yusof Haslam.

Meski hantu Villa Nabila itu tiada suara, atau mitos yang dapat buat karakter hantu itu kuat. Kadang-kala imej yang lekat bukan sekadar rupa hantu yang menakutkan tapi bagaimana hantu itu jadi begitu, kisah di sebalik itu yang buat kita ingat.

Pengakhirannya kita dipaparkan dengan imej skrin telefon bimbit, di mana suara seorang lelaki kedengaran. Kelihatan jari sentiasa menekan paparan skrin supaya ia tidak jadi gelap. Ia syot panjang dan meditatif. Babak terakhir ini merupakan poin filem ini. Ia dialog di antara seorang pembikin filem muda yang rasional dengan boss kontraktor yang terlibat sama dengan kejadian di Villa Nabila. Boss itu tidak mahu terlibat dan minta namanya dirahsiakan. Dia tidak mahu ditimpa masalah. Dalam hal ini, kebenaran jadi mangsa. Dan di Malaysia kebenaran selalu jadi mangsa.

Ridhwan Saidi

Sabtu, Januari 10, 2015

Analog x Digital dalam Fotografi

Polemik ini biasa dibincangkan hingga takah bosan, tapi jelas yang buat ia bosan kerana perbincangan itu termaktub dalam domain teknikal semata. Apa yang ingin saya coretkan ini, lebih kepada sintesis keduanya serta apa yang saya rasa setakat ini. Malah kerja-kerja pembikinan photobook saya melibatkan keduanya. Ia ibarat non-linear editing (FCP) dalam filmmaking. Berikut adalah proses/sentimen saya:

1. Tiada sesalan
Saya pengikut sekolah Eggleston di mana saya hanya shoot sekali. Kata Eggleston kalau beliau shoot dua atau banyak kali subjek sama, ia akan menyusahkan dirinya dalam memilih gambar mana yang terbaik kelak (sama halnya dengan saya). Dengan satu gambar, ia samada jadi atau tak, dan kita beri sepenuhnya dengan apa yang kita rakam. Masako Tomiya ada cerita proses dia tangkap gambar dan saya rasa ia amat betul. Sebelum dia rakam, dia akan tunggu hingga di antara diri dan subjeknya bertaut, akan muncul satu benang di antara dirinya dengan subjek dan pada momen itu, baru kamera diklik! Bak kata Robert Capa, “If your picture is not good enough, you are not close enough.” Bukan sekadar dekat secara spatial, tapi juga perasaan.

2. Photoshop
Dengan digital kita dapat fail yang besar, sharp lagi in your face untuk dikerjakan dalam post-processing. Kita perlu make up fail itu kepada apa yang kita mahu. Dengan filem, saya cuma kawal waktu scan dan warna tidak perlu disentuh. Saya guna Photoshop untuk crop, dodge, burn, bersihkan habuk (mana mampu). Saya prefer ia raw, malah dengan satu jenis filem yang konsisten, Ektar misalnya, kita tak perlu buat color grading atau bubuh filter sangat sebab ia sebagai stok filem akan sekata warnanya (kecuali masa scan auto-white balance yang akan ubah warna asal). Fotografi lakukan dua perkara serentak iaitu mendokumen dan mengekspresi. Semasa Photoshop kita mahu expresi sesuatu, maka segalanya mungkin.

3. Scanner
Dalam proses mendigitalkan filem analog, perkara yang saya paling suka ialah proses scan. Ia ibarat mesin mikroskop. Filem 35mm kecil tapi kita boleh besarkan untuk dapat detil-detil yang tak kelihatan dengan mata kasar. Malah filem-filem yang saya guna hampir semua negatif (slide mahal!), ia amat misteri untuk tahu apa yang ada dalam bingkai, atau apa kejadah yang kita rakam in the first place.

4. Pengarkiban
Dengan filem kita ada arkib fizikal, dan betapa teruk pun gambar kita ambil, paling koman bila diperam lama akan muncul elemen nostalgia. Saya bukan peminat nostalgia, tapi kita tak boleh lari dari ini, terutama bila menatap album foto keluarga, foto kita semasa bayi atau mendapat serelung ijazah berlatarkan kanvas latar bilik naib chanselor. Saya pernah sekali update iPhone tahun lepas dan foto-foto dalam itu semua hilang, saya tak expect ia untuk padam gambar sekali. Dan memori-memori semasa saya ke Miami hilang, malah la ni barangkali saya tidak pernah jejakkan kaki ke Miami pun, sebab tiada bukti. Selain gambar, saya malah tiada lagi folder dan fail kerja novel-novel sebelum Babyrina. Semua hilang (Cekik, Amerika, Mautopia, Stereo Genmai) dalam hard disk korup dan tak boleh di-retrieve. Sekadar pdf yang selamat dalam emel ke pencetak, tapi ia bukan itu. Di dalam setiap folder ada fail-fail percubaan untuk memulakan novel, draf sinopsis dan macam-macam. Yang selamat cuma nota dan lakaran dalam buku serta final draft yang dicetak keluar. Saya tidak tahu bagaimana untuk handle gambar digital—potensi untuk rosak ada—kecuali upload ke flickr atau instagram (moga ia tak tutup). Negatif boleh rosak juga tapi ia masih rosak fizikal yang boleh kita terima. Negatif rosak malah bila di-scan boleh jadi cantik.

Ridhwan Saidi

Selasa, Januari 06, 2015

Kritikan, satu kritikan

Kritikan paling best datang dalam bentuk karya. Sebab kalau kritikan itu terputus dari karya, ia semacam murung kerana tiada apa yang sempurna di mata pengkritik. Kritikan sebagai ekspresi. Bentuk paling syok barangkali auto-esei.

TDL menarik kerana ia dapat mixed review, saya dapat baca kritikan positif dan negatif. Perlu jelas di sini kritikan dan ulasan berbeza, di mana melalui kritikan kita tahu penulisnya menggunakan fakulti akal secara ekstensif (tidak kira samada ia digunakan secara betul atau salah, itu hal lain dan akan dibincangkan sat lagi). Pendek kata ulasan cuma ulas (jalan cerita, kutipan tiket, dll.), tapi kritikan mengupas, dan rata-rata reviu di laman sosial dan blog yang saya temui tidak segan mengkritik, dan saya suka.

Semestinya dalam kritikan, ulasan, reviu ini, ada kesialan yang dipanggil iklan iaitu kritikan, ulasan atau reviu dengan niat utama untuk mengiklan. Ini berbalik kepada fundamental storytelling, di mana kita tahu bahawa kesimpulannya adalah untuk mempromosi filem yang dipilih. Ia macam celaka. Meski saya sedar setiap kritikan/ulasan/reviu = iklan, bak kata Andy Warhol, tapi di sini yang menjadi isu ialah teks yang sedar dan bangga sebagai iklan, ia anti-intelek, iklan bertopengkan reviu. Selaku pencinta sinema/seni/sastera dan penikmat intelek kita wajar acung jari hantu ke ulasan-ulasan sebegini. (Jika masyarakat kita pro-intelek seperti masyarakat Jerman, kita patut raikan entiti anti-intelek marjinal sebegini, cuma kita selaku masyarakat Malaysia yang mana segalanya anti-intelek, maka jadi satu tanggungjawab untuk kita meraikan intelek meski sekecil mana pun.)

Setel satu hal. Kita kembali kepada teknik reviu yang betul atau salah tadi. Mungkin bunyinya macam saya seorang moralis tapi saya akan cerita juga sebab ia meresahkan. Saya tak rasa ia salah dalam erti kata haram atau luar tabii, tapi lebih kepada sesuatu yang ‘tidak berjejak.’ Teknik reviu yang saya perasan ini berupa reviu yang meraikan sub-teks, meta-teks, para-teks, hipo-teks, pra-teks, dan seks-teks lain, tapi meninggalkan yang fardhu ain iaitu teks itu sendiri.

Teks (filem yang dipersembahkan) mesti berkesan dulu, dan ciri-ciri untuk ia berkesan amat simpel, ia cuma perlu bangkitkan sesuatu dalam jiwa kita (biasanya via cerita atau puisi). Ia paradoks sebab kita terima ia sebagai satu perasaan tapi kita apresiasi ia dengan pemikiran (barangkali inikah kehidupan?)

Hanya selepas teks berkesan baru datang yang lain-lain. Filem macam orang. Kita kenal orang melalui orang tu dulu, baru boleh masuk dalam (dan pancutkan sub-teks, meta-teks, para-teks, hipo-teks, pra-teks, seks-teks dan...)

Mungkin anda berhujah bahawa penerimaan setiap orang berbeza, maka ia subjektif, ada orang suka, ada orang benci. Saya setuju takat penerimaan orang, sebab kita dilahirkan dan melalui sejarah hidup dan hal berbeza. Sejarah dan hal-hal ini dibawa sekali semasa kita menonton, jadi ya pengalaman kita selaku audien secara zahir berbeza. Orang suka, orang tak suka, itu citarasa dan ia boleh digilap. Keindahan filem/seni/sastera pula bukan subjektif. Di sini saya tidak bersetuju kerana keindahan objektif dan Esa. (Ia bukan subjektif sebab ia boleh diperoleh, you need to earn it. Ada orang umur 5 tahun dah dapat, ada orang 15 tahun, ia ambil saya 30 tahun untuk sedar ini.)

Ridhwan Saidi
P/S: Saya hormati kritikan dan pandangan pengulas-pengulas filem lain, cuma bak judul entri ini, ia adalah kritikan ke atas kritikan, satu luahan sensibiliti. Bak pepatah Pendekar Bujang Lapok yang di-mashup, “Jangan marah haaaa... nanti makcik buatkan kopi.”

Jumaat, Januari 02, 2015

Terbaik Dari Langit, Nova, dll.

Terbaik Dari Langit ibarat iklan Raya yang panjang bak kata Asyraf B. Saya punya perasaan yang sama selain ia juga ada beberapa masalah lain. Jadi mari kita kupas satu-persatu sebagai iktibar bersama. Oh ya, ada spoiler.

Semacam satu tertib untuk puji dulu sebelum kutuk, atau menyatakan yang positif sebelum yang negatif dalam mereviu. Maka tanpa berlengah, saya suka syot kipas lalu siling berubah jadi langit malam. Ia detik paling sinematik dalam TDL. Bak kata Asyraf B. lagi, sepatutnya itu syot pembukaan filem ini yang saya rasa ada potensi.

Ceritanya jelas disjuncture. Karakter-karakter timbul tenggelam. Secara teknikal garapan ceritanya longgar. Dan garapan longgar ini bukan masalah utama. Saya okay dengan filem-filem serabut, sifar naratif etc., cuma asas storytelling, ia perlu ada poin tematik yang disimpulkan. Beza cerita dari puisi ialah, cerita ada intro dan penamat. Intro dan penamat ini penting gila, dan penamat TDL amat problematik, ia buat kesimpulan yang hambar.

Tiada magis waktu tayangan filem di babak akhir. Saya sangka syot yang ditunjukkan adalah momen-momen natural semasa Sofia Jane mandi hujan, waktu mereka tengah bergaduh ke, a la Mr. Bean Holiday's. Mungkin contoh yang saya beri ini predictable dan remeh, tapi ia masih ada feel yang genuine (up sikit kita ada penamat Cinema Paradiso). Saya malah tak selesa dengan efek camcorder yang dibuat-buat, ia tak jujur sepertimana persahabatan di dalam filem ini (ini berbalik kepada garapan cerita).

Ada dua orang keluar panggung cakap lebih kurang, “Tak faham lah filem tu.” Dan watak yang cakap itu dilakonkan oleh Redza Minhat selaku penulis skrip filem ini. Ia nampak main-main dan seolah ia okay untuk parodikan diri sendiri, tapi sebenarnya ia adalah luahan bawah sedar bahawa, penulis skrip tak faham filemnya sendiri. Ia sinikal. Sinikal kepada penguasa korup, pembalak haram, kapitalis ke, meski cheesy, sentiasa lebih molek dari sinikal terhadap karya (lebih-lebih karya sendiri.) Ia malah sinikal kepada audien, tapi sentimen ini tak penting sebab selaku super-audien, kita sudah robohkan ego semasa menonton sesebuah filem.

Mungkin orang akan bidas intro dan penamat tak penting tapi perjalanannya yang penting. Hujah saya: perjalanan TDL tak menarik sebab ia ambil pendekatan iklan Raya tadi. Sinematografinya cantik bagi kebanyakan orang dan saya faham (sebab ia cantik macam iklan-iklan syarikat korporat besar), tapi pada saya ia hodoh sebab ia tidak berjejak. Bukan sekadar berjejak dengan realiti, tapi berjejak dengan perasaan yang real. Ambil contoh Y Tu Mama Tambien di mana kereta mereka melintas dengan dunia luar seperti kemalangan jalan raya, yang reflek dengan situasi dalam kereta. Atau Easy Rider yang selain lanskap alam, punya lanskap muzik OST yang amat membantu menghidupkan feel. TDL tiada feel.

Di sepanjang perjalanan mereka bertemu dengan cameo-cameo yang mencubit industri perfileman tempatan, yang sewajarnya tak relevan 2015 ni. Bak kata Asyraf B., kalau nak kritik industri patut buat dokumentari atau mokumentari ke. Interviu dan bagi ruang betul-betul. Ia lebih menarik sebagai filem, saya percaya. Bayangkan This Is Spinal Tap versi industri filem Malaysia dengan nuansa deadpan Aki Kaurismaki (audien panggung lebih sepi banding fan rock n roll).

Apa pun isunya, ia boleh jadi lebih baik.

Dan poin terakhir saya ini adalah masalah utama saya dengan filem ini. TDL tiada rasa cinta, baik cinta pada sinema, cinta pada boarding school, cinta pada persahabatan, cinta pada perjalanan itu sendiri. Filem-filem Z. Lokman meski thrashy, ia masih ada rasa cinta Z. Lokman pada medium sinema. Dalam TDL ia tiada. TDL berkiblatkan estetik iklan. Ia tidak berkiblatkan sinema, dunia yang secara rahsia ingin kita hidupi.

Ridhwan Saidi
P/S: Iklan-iklan syarikat korporat besar cenderung phony, tapi saya tak nafikan ada juga iklan-iklan yang kool dan real seperti iklan Tora.