Selasa, Ogos 24, 2010

Melacurkan Ilmu Atas Nama Hijau

“Architecture cannot be totally explained but must be experienced . . . ” - Geoffrey Bawa

Aku bekerja dengan Jimmy Lim untuk mendekatkan diri aku dengan school of thought Geoffrey Bawa. Lama sebelum istilah 'sustainability' menjadi fashionable, sebelum Seksan menjadi hip, sebelum adaptive re-use itu gempak, sebelum Rimbun Dahan, Palate Palette & KLPac itu green, Bawa sudah layan alam sejujurnya terlebih dahulu. In fact, Bawa adalah pioneer kepada sekolah pemikiran senibina vernakular di Asia Selatan dan Tenggara ini.

Seperti mereka – berjiwa besar – yang lain, proses kematangan senibinanya terbahagi kepada beberapa fasa. Dalam kes Bawa, ada empat: 1. Tropical Modernism, 2. Contemporary Vernacular, 3. Regional Modernism, dan 4. Contextual Modernism. Basically, Bawa bertitik tolak daripada gerakan modenisme, begitu juga dengan Jimmy. Kita dapat rasai adanya hubungan arketaipal terhadap senibina Mise van de Rohe, Le Corbusier, Frank Lloyd Wright, Carlo Scarpa dan geng. Jimmy mengembangkan bawaan Bawa dengan apa yang dipanggilnya 'Architecture of Humility', apa yang aku gelar 'Setinggan with Style'. 

Baru-baru ini Dewa telah ke Sri Lanka mengalami werk-werk Geoffrey Bawa. Katanya masyarakat setempat di sana meletakkan Bawa di tempat yang tinggi. Mereka beremosi mengalirkan air mata semasa menceritakan kembali kesah kehidupan si Sinhalese ini. Masyarakat setempat di Sri Lanka amat menghormati alam sehinggakan gutter (alat tadahan air hujan) boleh melengkung mengelak pokok kelapa di tengah jalan. Jika ada sebatang pokok, batu atau bukit di dalam rumah, maka kita akan nampak ia terkeluar melalui dinding atau bumbung tidak dialih. Tambahnya lagi, di Sri Lanka ini haiwan 'liar' seperti monyet dan burung hidup sekali bersama manusia.

Conservation alam yang diraikan secara kolektif oleh masyarakat setempat di Sri Lanka ini begitu menyeluruh. Tambah Dewa lagi, walaupun ada sebilangan mereka yang berkereta, mereka lebih gemar berjalan kaki. Dalam konteks dualiti, apa yang berlawanan lagi songsang berlaku dengan meriahnya di negara ini. Masyarakat kita rakus merobek rupa bentuk alam. Daripada sebesar-besar skala sehingga sekecil-kecil renovation rumah. Kita telah putuskan hubungan dengan yang lama dan kita juga putuskan hubungan dengan alam. Sebaliknya kita telah membina biosfera konsumerisme kita sendiri dan hidup di dalamnya—iaini infrastruktur sifar subtance.

Aku pula secara batin hanya pernah ke Sri Lanka melalui filem Dharmasena Pathiraja. Tetapi dalam konteks sinema, aku perasan filem Pathiraja ini ada bertaut dengan French New Wave, terutamanya sentuhan Jean-Luc Godard. Ini lain pula ceritanya, tapi bila fikir kembali, gerakan senibina Modenism tak ubah seperti French New Wave, iaitu satu respon penolakan skala gergasi terhadap dogma lama.

Film cannot be totally explained but must be experienced . . .


Ridhwan Saidi

120 Malay Movies & Geng


Seorang kenalan (yang juga murtad senibina) pernah menceritakan kepada saya bahawa ketika P. Ramlee mula berkarya di negara ini (sebelum ini di kota Singa), filem-filemnya tidak mendapat biayaan pentadbir tempatan. P. Ramlee sedih katanya. Katanya lagi badan-badan seperti stesen penyiaran televisyen tidak mahu membeli filem-filemnya – ini perlu dilihat dalam konteks semangat kenegaraan—selaku sebuah negara baru. Tambahnya lagi, ketika Studio Merdeka ditutup, kesemua seluloid-seluloid itu telah dibuang ke dalam Sungai Gombak. Kita tidak simpan apa-apa (bagi kenalan saya, yang dihumban itu aset negara). Filem-filem P.Ramlee era Studio Merdeka yang kita tonton di televisyen itu adalah salinan daripada simpanan peribadi Sultan Brunei katanya. Kesahihan kisah ini saya tidak pasti.

Saya punya seorang nenek saudara yang menetap dan berkeluarga di U.K. Semasa saya kecil, selang beberapa tahun pasti makcik dan pakcik serta sepupu sepapat kacuk mat salleh saya ini akan melawat ke negara ini. Saya sedari antara banyak-banyak benda yang akan dibawa pulang ke U.K adalah VHS dan VCD filem-filem Melayu klasik. Bukan sedikit tapi betul-betul banyak. Kenapa mereka berbuat demikian, saya tidak pasti.

Hussein Haniff tidak berkebolehan untuk membaca dan menulis. Saya tahu ini entah diberitahu, ataupun terbaca di mana-mana, ataupun saya bermimpi. Mengetahui ini, saya yakin filem-filemnya berjiwa besar (walaupun saya hanya pernah menonton filem pertamanya – sama halnya dengan Orson Welles). Bagaimana babak tarian kelolaan Siput Serawak digarap di dalam filem Hang Jebat amat menggiurkan. Saya syak Hussein Haniff ini bikin filem dengan intuisi sepenuhnya. Bak kata Henri Bergson, "Intuisi letaknya lebih dalam daripada intelektualiti." Andai kata seorang intelektual yang kaki buku menganggap lawak P.Ramlee dan geng sebagai lawak bodoh, itu tidak menghairankan, itu biasa.

Mat Sentol adalah wira Bin Filem, tak perlu cerita banyak. Dengar berita Mat Sentol akan datang melawat dalam masa terdekat ini.

Sebelum 120 Malay Movies, saya pernah terbaca sebuah buku tentang filem-filem Melayu dengan ulasan-ulasan ringkas di rumah Tukar Tiub. Tajuknya saya tidak ingat. Yang saya ingat ianya self-contained. Ianya buku lama lagipun. Satu lagi buku tentang filem yang saya ada bertajuk Sejarah Filem Melayu tahun 1980. Buku ini memuatkan beberapa esei (tentang sejarah bangsawan dan masa depan), senarai filem-filem dari Laila Majnun sehingga filem-filem yang sedang dibikin (mengikut huruf), tiga contoh skrip filem di dekad yang berbeza serta foto-foto lama. Bagi saya ianya sekadar satu himpunan data tanpa pentafsiran (ini berlawanan dengan 120 Malay Movies).

Selalunya buku-buku seperti 120 Malay Movies ini saya terus terjah ke muka surat tengah memilih ulasan-ulasan filem yang saya berkenan. Dan memang saya buat pun. Cuma apabila saya kembali ke pangkal buku, menyelak satu persatu dari mula, mengikut tertib, ianya sebenarnya lebih mengujakan. Sesebuah filem itu bertimbal balik. Pertaliannya ada, ia tidak putus dan bermain-main di antara satu sama lain. Yang membuatkan buku ini seronok, selain pentafsiran dengan diksi penuh humor Amir Muhammad, ia juga bertemankan suara-suara asal filem tersebut yang disampaikan melalui penceritaan semula, petikan dialog, pautan dengan filem lain dan lain-lain.

Pada selakan pertama akan kita nampak warna di-raja memenuhi halaman. Ia adalah pembayang kepada isi buku ini yang 'kadang-kadang' berbicara tentang feudalisme yang masih wujud hingga ke hari ini.


Ridhwan Saidi

Ahad, Ogos 15, 2010

D.I.Y Muslim Meatballs À la Carte


Seperti melakar, menulis, melukis, merakam, dan menjahit, memasak juga adalah salah satu experimen yang menyeronokkan. Aksi amateur bersandarkan nama cinta ini aku lakukan atas ketidakpuashatian aku terhadap bebola-bebola daging yang ada di luar sana. 

Aku pernah gigit bebola daging William yang mana terasnya masih terasa sejuk. Tetapi ini tidak mengapa, sehingga akhir-akhir ini setelah aku mencuba bebola daging IKEA yang terkenal itu. Aku dapati ianya tidaklah tidak sedap, ianya tidak juga terlalu sedap. Ianya biasa-biasa saja, setiap gigitan menuju ke arah kebosanan sejujurnya. Aku boleh bayangkan aku berada di Sweden dengan suhu mencecah -20 darjah Celcius, berseorangan, kemurungan, ya mungkin ketika itu bebola daging ini akan menjadi penyelamat diriku. Tetapi tidak sama sekali di Khatulistiwa ini. Aku lebih selesa menjadi seorang yang lurus.

Mula-mula semasa di Central Mart semasa mencari bahan-bahan resepi yang aku dapat daripada internet, aku was-was. Daripada aku beli bahan-bahan yang ternyata bermacam-macam, lebih efisien jika aku beli bebola daging sejuk beku jenama Marina yang berharga RM9, cepat, mudah dan tidak merenyahkan. Ini berlaku setelah aku mengetahui sebungkus keju parmesan berharga RM13. Ini belum termasuk kos daging kisar dan roti biskut yang tiada di rumah. Nekad, bukan rasa kenyang yang penting, tetapi proses perlaksanaannya bisikku.

Di rumah, aku masukkan 400g daging kisar, 5 batang sosej ayam (menggantikan daging babi) yang dihancurkan, sebiji telur, seulas bawang besar yang dipotong, 3 ulas bawang putih yang dicincang halus, 1/3 cawan serbuk roti biskut, 1/3 cawan keju parmesan, garam, lada hitam, daun basil kering, dan sedikit air ke dalam mangkuk besar. Seperti merakam filem-filem pendekku, aku meraikan kespontanan dan estetika kerja tangan. Ketidakpersisan adalah keindahan di abad serba persis ini.

Takkan berbuka dengan bebola daging semata-mata? Lantas aku mencari bahan-bahan lain di ceruk gerobok. Aku jumpa sebungkus spaghetti, kuah tomato Prego, dan kentang. Selalunya adikku yang bekerja sebagai seorang biologis di Cameron Highlands akan membawa pulang sayur-sayuran daripada ladang, terutamanya dua jenis tomato. Satu tomato ceri yang sehalus strawberi, manakala satu lagi tomato besar yang lebih besar daripada buah epal. Hasil penyekan kedua-dua tomato itu aku boleh bikin sos aku sendiri. Tetapi disebabkan tiada tomato, aku pakai saja sos dalam tin Prego ini, tambah bawang, tambah garam, tambah lada sulah, tambah daun parsley.

Spaghetti aku rebus sehingga al dente berlatarkan lagu-lagu Faye Wong dari album Restless (memasak tanpa muzik would be bloody boring isn't it?). Kentang pula aku potong dan goreng dengan kulitnya sekali. Bebola daging pula pada mulanya aku mahu panggang, tetapi mengambil keputusan untuk goreng sahaja kerana waktu berbuka sudah hampir.

Siap sudah juadah berbuka puasa aku, D.I.Y Muslim Meatballs À la Carte bertemankan segelas wain merah. Azan Maghrib berkumandang.


Ridhwan Saidi

Jumaat, Ogos 13, 2010

Ulasan Maskara Shorties 2010

Berbekalkan pengalaman Maskara Shorties 2008 dan 2009, aku paling bersedia pada kali ini. Dua yang pertama itu aku tewas terpaksa pulang awal kebuluran. Yang ini biarpun 5 jam tayangan, masih kekal steady, dah siap makan malam bawa bekal semua. Walau bagaimanapun ianya menjadi satu hal untuk aku ingat kembali satu persatu filem pendek yang telah ditayangkan. Berikut adalah ulasan ringkas dan pandangan peribadi aku terhadap kesemua filem-filem yang telah ditayangkan, berdasarkan aturan poster.

LAWAN oleh Azizulhakim Salleh
Bagaimana filem ini bermain dengan tempo pantas dengan pemilihan syot yang tepat adalah kekuatan Azizulhakim dalam menyampaikan visual karenah Melayu moden yang bersifat kereptiliaan (dewasa ini). Konsistensi ini aku lihat pada Capal juga.

LOW BUDGET LOVE oleh Bainun Waheeda
Aku hanya sempat tonton bahagian kedua-dua pasangan ini berkira-kira nak membayar sepinggan makanan dan segelas air. Sesudah itu aku tak tahan terpaksa ke tandas. Ia membuaikan imaginasi aku terhadap dunia pra-Rumah Ares. 

3 HANTU SILAP MATA oleh Alif Firdaus Azis
Aku menyesal tak ke tandas semasa filem pendek ini ditayangkan. Salah sebuah crowd pleaser pada malam itu.

SROQ oleh Indra Syaabani
Syot pertama aku rasa seolah-olah filem ini seperti mahu mengambil semangat orang asli secara serius, tetapi hampa selepas ia akhirnya dipermain-mainkan. Filem ini membuatkan aku teringat filem Sifu dan Tongga yang belum pernah aku tengok.

THE COLOR OF IDEAS oleh Low Wei Yan
Di penghujung cerita, cokelat Smarties yang berwarna-warni ini hancur akibat perbalahan dan peperangan. Di dalamnya kita dapati semuanya serupa berwarna coklat iaitu sebagai cokelat. Ia adalah analogi comel kepada manusia yang kulitnya berwarna-warni, berbeza kaum, negara, ideologi dll. yang fundamentalnya serupa iaitu selaku manusia.

BADUT oleh Rizal Gunx
Ini adalah filem dengan make up terbaik pada malam itu.

KIAMU oleh Anwari Asyraf
Dengan kebolehan yang sama seperti Azizulhakim, cuma Anwari lebih kemas bermain dengan tempo yang lebih perlahan. Ia tahu bagaimana untuk sustain minat audien. Kesimpulannya ia mengiyakan keganasan yang berlaku di sekolah itu yang lebih nyata sifat kereptiliaannya - survival of the fittest!

ENAM LORONG oleh Syed Zahrul Zarizi
Satu luahan emosi tentang kecelaruan dengan montaj-montaj yang bercelaru, secelaru lebuhraya enam lorong.

A LA FOLIE oleh Sanif Olek
Filem pilihan aku pada malam itu. Mengenai semangat Melayu Singapura berhawakan old-school French New Wave berlatarkan hutan batu dunia imigran. Kaki lima, kegelapan malam, diselangi awang batil moden iaitu sekumpulan pelacur & transeksual yang bercerita mengenai cinta yang secara tidak langsung berkaitan dengan kesemua watak-watak protagonis dan antagonis yang ada di dalam filem pendek ini. Penghujung filem ini aku mengharapkan visual penutup yang kena dengan muzik a la filem-filem Wong Kar Wai tetapi ia tidak menjadi. Kira ok-lah.

IKAN LANGKA oleh Basil Mironer
Tengok tapi tak ingat.

WANT MALAYSIA oleh Mamat Khalid
DVD filem ini tak boleh main kalau tak silap.

SEPI SEORANG ABDILLAH oleh Vovinski Annuar
Dalam filem pendek ini Pipiyapong ada membelek-belek sebuah blog. Blog itu adalah blog ini, yang menjadikan mini doku ini sebagai filem pendek terbaik pada malam itu. Secara ilmiahnya doku ini membawa pendekatan kontemporari pasca moden, di mana subjek temubual menyuarakan filem ini, manakala subjek utama mengaksikan kehidupan sehariannya. Tiada lagi kaedah narator bersuara yang sudah lapuk. Ianya sebuah doku ringan yang kena dengan skala Maskara ini.

NASI LEMAK 1.20 SEN YANG MARVELLOUS & FRINGETOWN oleh Rozinor Razali
Aku ke tandas semasa Nasi Lemak 1.20 Sen Yang Marvellous. Bagi Fringetown aku tidak begitu nampak apa yang tertera pada poster yang dibuka oleh koboi-koboi itu, yang aku syak penting kepada penceritaannya.

MR. AND MRS. BBM oleh CST PRODUCTION
Serius aku betul-betul terlupa yang ini.

MY FATHER & HIS CELLULOID oleh Daven R.
Yang ini pun.

FIGHTING FIT oleh Sulaiman Salamon
Sebuah filem pendek 'Singapura' yang persis to the point dengan perlaksanaan dialog yang berkesan.

SUNRISE oleh Platon Theodoris
Yang ini pun tak ingat.

PEMANDU PELENCONG oleh Tok Rimau & Jimbo Tiram
Yang ini ingat, tapi tak minat, macam mana tu?

SUJUD oleh Muhammad Rahimi
Persoalannya mudah, siapa yang lebih khusyuk semasa bersujud, yang tidur atau yang sembahyang?

BABI ITU KHINZIR oleh Faiq Khalifa
Sketch komedi a la P.Ramlee, sekurang-kurangnya.

PERT.A.M.A oleh Halimi Hassan
Ini kali yang ke-20 aku layan filem ini, cuma pada Maskara ini, ia adalah yang paling berkesan buat aku. Kepudaran warna pada skrin barangkali membuatkan aku larut ke dalam dunia cinta pertama mereka.

MAMAT oleh Ajami
Ajami harus terus menghasilkan doku-doku penting kecil tapi besar sebegini.

PETRA BOND oleh Chin Yew
Sebuah filem pendek korporat yang sedikit lari daripada konteks acara. Walau bagaimanapun ia ternyata 'menghiburkan' dengan persekitaran pejabat yang begitu asing buat aku.

UNTITLED (Rumah Ares/Racun) oleh Ares Bahar
Racun (Klorok sebenar) merujuk kepada 'perempuan' yang akan mempermainkan lelaki di dalam komedi patriaki santai ini sebagai respon terhadap rancangan-rancangan dan filem-filem feminisme seperti 3R, Pisau Cukur dan seumpamanya.

PENUMPANG oleh Alhafiz Burhanuddin
Ini adalah filem yang paling anti-audien pada malam itu. Dengan filem tidak berdialog ini, ramai audien yang terseksa mula berdikari meletakkan dialog sendiri seperti, "apekebenda ni? tak faham, apa ni? dah agak dah, aik? dll." Mungkin hanya ada beberapa kerat sahaja yang larat larut ke dalam filem ini. Filem ini adalah mengenai keterasingan hubungan anak bapak yang tidak bercakap sepatah walaupun hanya berdua di dalam teksi.

HENNIE oleh Ethan Page
Filem surreal ini seadanya mengujakan dengan bunyi gosokan gigi yang menyeramkan itu.

THE FOREST SPIRITS oleh Ting Tzu Kiong
Pengulangan epik Cina lama dengan produksi yang mantap. Jika mise-en-scene warna pakaian a la Zhang Yimou diterapkan, pasti ia lebih tampak bergaya. Tapi bila fikir balik, yang seadanya pun sudah ok. Tahniah!


Ridhwan Saidi

p/s: Ulasan rajin: Review-Filem

Selasa, Ogos 03, 2010

I, Too, Am Blogger

Ini pula adalah respon spontan kepada entri Mapieceofart yang saya percaya ditujukan kepada saya, yang menganggap saya pathetic selepas "condemn" Dilema Panggung (2010). Katanya kritikan yang baik perlu neutral, balanced and positive. Bukan bias, destructive, ataupun brag.
It is my friends you're talking about, buddy. You have no idea how much they sacrificed and worked hard for it. And that critic, was way far too much to be constructive. Don't think of a compliment, it sucks.

Pertama sekali saya tahu bentuk kritikan ilmiah macam mana, saya ada belajar ini. Kedua ini adalah blog, ia sepatutnya expresif. Bukan sekadar fokus kepada subjek semata-mata, saya bedal semua 1. subjek, 2. penulis dan 3. pembaca sekaligus. Bagi saya lebih baik patah balik kepada fungsi kritikan secara menyeluruh iaitu mencari KEBENARAN. 

Contoh mudah, kalau masakan ibu kita tak sedap, kemudian kita cakap sedap, ini bukan kebenaran. Kita sepatutnya cakap tak sedap pasal kurang garam ke apa. Kenapa perlu menipu semata-mata untuk menjaga hubungan politik kekeluargaan? Atau dalam konteks DP, mahu menjaga hubungan politik kawan. Bila politik dimasukkan ke dalam kritikan, semestinya ia korup.

Ketiga, Ada sesuatu yang tidak betul dengan kritikan "baik" Mapieceofart. Bagaimana neutral dan balanced boleh sekali dengan positive? Sedangkan positive, takkan balanced & neutral tanpa negative? Ini bukan nak mencari kesalahan atau berlagak tetapi benda ini bagi saya tidak logik. Atau patutkan saya letakkan smiley di setiap hujung ayat bagi menunjukkan bahawa tulisan saya ini tak perlu diambil serius :-)

Berkenaan tidak boleh bias pula, bak kata Amir Muhammad, "kalau semua orang tak bias, dunia ini pasti membosankan." Semuanya di situ.

Sejujurnya saya sebenarnya tak berminat mengulas DP, tetapi pasal mengenangkan tentang 'suara kedua' Fadz, saya tulis juga (mana tau kot-kot ada orang cari filem ini, secara sedar saya tengah menyokong filem ini). Dan saya percaya ianya bukan sepenuhnya satu bentuk condemnation. Saya menggunakan gaya bahasa Melayu + Inggeris bukan sebab suka-suka, tapi sebab mengajuk perbualan yang ada di dalam filem DP. Selain itu saya banyak mengajuk atau counter tulisan DP di Utusan dan kata-kata pembikinnya. Kalau tulisan saya itu seperti berlagak, maknanya sumbernya juga ada unsur-unsur keberlagakan (semangat intertekstualiti beb!).

Saya rasa saya bukan mencari kesalahan, sebaliknya saya menyatakan dan mengekspreskan apa yang saya rasa tidak betul. Saya tak kuasa nak cari pasal sebab saya tak mahu kawan baru. Kepada yang merasakan esei saya itu berlandaskan perasaan kebencian atau kemarahan, sila baca dan tonton DP terlebih dahulu. Benda-benda yang saya tulis ada di depan muka, bukan perkara-perkara yang deep belaka. Semestinya juga saya tidak akan menulis constructive criticism sebab saya bukan seorang jururawat.

"You have no idea how much they sacrificed and worked hard for it."

Effort adalah di antara perkara yang saya paling pantang sekali. Ini akan diwacanakan di dalam esei lain, lol.

All in all, jika sesiapa yang terasa resah selepas membaca esei saya itu, maknanya saya (kononnya) telah berjaya. Filem thriller sepatutnya meresahkan daripada mula sampai habis, terduduk di hujung kerusi bak kata orang putih, berdebar-debar, baru 'benar' hehe.


Ridhwan Saidi

p/s: :-)

Isnin, Ogos 02, 2010

Kenapa Teater Bangsawan Tiada Nilai Komersial?

Ini adalah respon spontan kepada entri Vitamin berkenaan nilai-nilai komersial dalam teater bangsawan. Selaku seorang yang tak pernah melihat teater bangsawan, ini bukan nak melawan, tapi sebagai medan untuk kita sama-sama belajar. Esei panjang Vitamin itu adalah respon kepada sepotong ayat saya iaitu, "teater bangsawan tiada nilai komersial" lol.

Melalui tulisan Vitamin baru saya sedari yang teater bangsawan ini bentuk dan isinya pro-komersial. Tujuannya adalah untuk menghiburkan orang ramai, ya kita faham. Tetapi saya percaya walau telus mana pun kekomersialan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi, akhirnya NILAI komersial bergantung kepada penggunanya iaitu audiens.

Biar saya kemukakan dalil-dalil saya pula kenapa teater bangsawan tidak punya nilai komersial pada masa kini. Saya bercakap dalam konteks terkini kerana ia asalnya berkenaan filem Dilema Panggung (2010).

Seperti yang saya tulis tadi, 'nilai' komersial bergantung kepada 'audiens'nya. Siapakah audiens mereka ini? Sebelum merdeka, golongan kelas menengah belum wujud, oleh kerana itu hiburan "berkilau-kilau" diperlukan oleh mereka yang pada ketika itu bertani. Sekali sekala mereka perlukan hiburan eskapis yang dimobilkan oleh Tauke Panggung ke kampung-kampung.

Kini selepas merdeka, golongan kelas menengah mula berfungsi sebagai pengguna/konsumer utama. Golongan kelas menengah tidak sama seperti masyarakat tani. Mereka ada kebebasan untuk memilih hiburan jenis apa yang mereka mahu. Bukan lagi hiburan cari audiens, kini audiens yang cari hiburan. Ia lebih terbuka (lebih-lebih lagi di era globalisasi ini) dan dalam masa yang sama, konsumer (model baru) ini saya sedari tidak lagi ambil peduli tentang teater bangsawan. Saya percaya 99.9% rakyat Malaysia zaman ini tidak tahu tentang teater bangsawan. Logiknya masih adakah orang yang 'terhibur' menonton teater bangsawan, kini? Main Facebook lagi terhibur kot.

Ini ada sedikit kaitan dengan PGL yang diklaim Vitamin sebagai bangsawan versi baharu. Bagi saya PGL tak ubah seperti Laksa Shack, 1901, JusMate5 dll. Ianya adalah satu bentuk PENJENAMAAN. Yang punya nilai komersial adalah jenama "PGL" itu, bukan teater bangsawan sebagai bentuk dan isi. Ini berbeza dengan muzik indie, ia wujud sebagai bentuk dan isi, jenama-jenamanya seperti kugiran Hujan yang berpayung di bawah.


Ridhwan Saidi