Ahad, Ogos 15, 2010

D.I.Y Muslim Meatballs À la Carte


Seperti melakar, menulis, melukis, merakam, dan menjahit, memasak juga adalah salah satu experimen yang menyeronokkan. Aksi amateur bersandarkan nama cinta ini aku lakukan atas ketidakpuashatian aku terhadap bebola-bebola daging yang ada di luar sana. 

Aku pernah gigit bebola daging William yang mana terasnya masih terasa sejuk. Tetapi ini tidak mengapa, sehingga akhir-akhir ini setelah aku mencuba bebola daging IKEA yang terkenal itu. Aku dapati ianya tidaklah tidak sedap, ianya tidak juga terlalu sedap. Ianya biasa-biasa saja, setiap gigitan menuju ke arah kebosanan sejujurnya. Aku boleh bayangkan aku berada di Sweden dengan suhu mencecah -20 darjah Celcius, berseorangan, kemurungan, ya mungkin ketika itu bebola daging ini akan menjadi penyelamat diriku. Tetapi tidak sama sekali di Khatulistiwa ini. Aku lebih selesa menjadi seorang yang lurus.

Mula-mula semasa di Central Mart semasa mencari bahan-bahan resepi yang aku dapat daripada internet, aku was-was. Daripada aku beli bahan-bahan yang ternyata bermacam-macam, lebih efisien jika aku beli bebola daging sejuk beku jenama Marina yang berharga RM9, cepat, mudah dan tidak merenyahkan. Ini berlaku setelah aku mengetahui sebungkus keju parmesan berharga RM13. Ini belum termasuk kos daging kisar dan roti biskut yang tiada di rumah. Nekad, bukan rasa kenyang yang penting, tetapi proses perlaksanaannya bisikku.

Di rumah, aku masukkan 400g daging kisar, 5 batang sosej ayam (menggantikan daging babi) yang dihancurkan, sebiji telur, seulas bawang besar yang dipotong, 3 ulas bawang putih yang dicincang halus, 1/3 cawan serbuk roti biskut, 1/3 cawan keju parmesan, garam, lada hitam, daun basil kering, dan sedikit air ke dalam mangkuk besar. Seperti merakam filem-filem pendekku, aku meraikan kespontanan dan estetika kerja tangan. Ketidakpersisan adalah keindahan di abad serba persis ini.

Takkan berbuka dengan bebola daging semata-mata? Lantas aku mencari bahan-bahan lain di ceruk gerobok. Aku jumpa sebungkus spaghetti, kuah tomato Prego, dan kentang. Selalunya adikku yang bekerja sebagai seorang biologis di Cameron Highlands akan membawa pulang sayur-sayuran daripada ladang, terutamanya dua jenis tomato. Satu tomato ceri yang sehalus strawberi, manakala satu lagi tomato besar yang lebih besar daripada buah epal. Hasil penyekan kedua-dua tomato itu aku boleh bikin sos aku sendiri. Tetapi disebabkan tiada tomato, aku pakai saja sos dalam tin Prego ini, tambah bawang, tambah garam, tambah lada sulah, tambah daun parsley.

Spaghetti aku rebus sehingga al dente berlatarkan lagu-lagu Faye Wong dari album Restless (memasak tanpa muzik would be bloody boring isn't it?). Kentang pula aku potong dan goreng dengan kulitnya sekali. Bebola daging pula pada mulanya aku mahu panggang, tetapi mengambil keputusan untuk goreng sahaja kerana waktu berbuka sudah hampir.

Siap sudah juadah berbuka puasa aku, D.I.Y Muslim Meatballs À la Carte bertemankan segelas wain merah. Azan Maghrib berkumandang.


Ridhwan Saidi