Khamis, April 29, 2010

Kitaran Terakhir

Akhirnya rekod kutipan tertinggi filem tempatan dipecahkan sendiri oleh pengarah yang sama, yang dikhabarkan kaut lapan juta lebih. Apa yang pasti, sebagai insan yang masih belum berusaha mencuri masa menonton filem pecah panggung ini, tak dapatlah kiranya saya ulas apa-apa mengenainya. Apa yang saya ingin cetuskan di sini adalah berkenaan fenomena filem ini di luar pawagam.

Kita yang ambil pusing pasti tahu, tema dan subjek yang dibawa dalam filem ini adalah berpaut pada salah satu sub-budaya golongan muda hari ini, iaitu ‘rempit.’ Oleh itu bukan sesuatu yang begitu mengujakan sekiranya filem ini berjaya meletup di panggung. Sebab, ‘rempit’ dalam filem ini sendiri berupaya mengheret golongan rempit secara ‘eksklusif’ untuk bertandang ke panggung. Dari aspek komersial, ya, nyata ia berkesan ‘memenuhi permintaan.’ 

(Sebenarnya saya tak fikir produksi David Teo cuba melayan ‘permintaan’ golongan Mat Rempit agar menghasilkan filem ini. Jadi mungkin perkataan paling tepat ialah ‘mengumpan.’)

Saya tadi ada menyebut ‘budaya rempit.’ OK, saya tarik balik kata-kata itu. Rasanya, lebih cocok jika budaya ‘rempit’ ini disebut sebagai ‘fenomena’ atau kata lainnya, ‘gejala.’ Tujuannya supaya ia kena balik dengan apa yang ingin saya utarakan selanjutnya. Jadi fenomena rempit ini telah dibawa masuk ke panggung dengan lapang sasar penontonnya adalah Mat Rempit. Produksi ini dari aspek komersial, telah berjaya mengeksploitasi fenomena semasa ke panggung wayang untuk dijadikan bahan tontonan, sekali gus lelucon santai bagi mereka yang tidak into dengan gejala berasaskan ‘pelumbaan haram’ ini.

Apa yang saya lihat, filem ini juga berjaya mencetus fenomenanya sendiri, kalaupun tidak sekuat fenomena mencari ‘karya syurga’ dalam ‘Ada Apa Dengan Cinta?’ (2002) sedikit lama dahulu. Inilah perbezaannya, iaitu bukan filem mana kuat atau filem mana lemah, akan tetapi, apakah bentuk semangat yang terhambur lantaran cetusan fenomena yang tercetus antara kedua-dua filem ini. 

‘Ada Apa Dengan Cinta?’ ternyata berjaya mencetus fenomena yang tersendiri, bukan saja di Indonesia, bahkan juga di Negara ini. Sampaikan saya yang selalunya sebal dengan filem-filem ‘cinta remaja’ yang tahap plastiknya agak berbahaya bagi emosi itu, kecundang jua akhirnya. Namun jika ditilik semula, filem seberang ini mencetuskan fenomena-nya tanpa berpaut pada mana-mana fenomena hangat di dunia nyata. Tiada ‘rempit’, tiada ‘Akademi Fantasia’, tiada ‘indie’ atau apa. Ia masih tetap juga menumpang pada realiti semasa yang lain, misalnya muzik pop, dan ‘reformasi’ yang sehingga ke hari ini, satu dialog bapa Rangga terus melekat dalam kotak memori saya—“apanya yang reformasi?”— itupun secara santai dan bersahaja sifatnya, selain adegan bercumbu yang durasinya tujuh saat itu. Selebihnya, dengan sedikit berani, filem ini mengherat puisi ke dalam filem. Sedangkan di mana-mana pun puisi bukanlah wadah hiburan pilihan massa jika nak dibandingkan dengan filem dan muzik.

Inilah bezanya dengan ‘Adnan Sempit’ (2010). Filem ini berpaut pada fenomena rempit, sambil naratifnya cuba digodak dengan sebaik mungkin. Saya tiada masalah dengan filem sebegini, yakni jenis yang mengangkat tema gejala-gejala semasa yang berlaku dalam masyarakat ke layar perak, cuma tak berminat jika mutunya rendah. Banyak filem macam ini yang berjaya di pasaran, dan ada juga yang gagal semestinya. Selain merayakan bentuk budaya atau fenomena itu, secara tak langsung ia telah mendokumentasikan fenomena/budaya itu dalam bentuk seluloid. Tapi bagi syarikat produksi filem terbabit, sudah pasti ia adalah tentang keuntungan.

Ditinjau lebih lanjut, filem sebegini juga pada hakikatnya merupakan manifestasi budaya semasa yang berpaksi pada struktur ekonomi dalam sesebuah Negara itu. Ia adalah proses timbal-balik, seperti proses pengeluaran dan permintaan. Maksud saya, kita tak akan dapat menonton ‘Adnan Sempit’ andai sub-budaya rempit ini tidak wujud sama sekali sekali sebagai fenomena/gejala. 

Adalah sesuatu yang tak logik juga, fenomena ini muncul sekiranya sistem ekonomi Negara ini berpaksi pada sistem yang bukan Kapitalisme. Alasannya mudah sekali, gejala rempit tak lahir dengan percuma, atau secara magik, tetapi Kapitalisme-lah yang melahirkan fenomena rempit. Sistem Kapitalisme yang melambakkan mesin beroda dua ini dipasaran untuk diimpikan, dimimpikan, dikumpul wang, lalu dibeli, ditunggang, hingga terlajak dan dirempitkan di jalan raya. (Awas, Mat Rempit bukanlah merujuk kepada mereka yang menunggang motor ‘kapcai’ semata-mata.) Jadi rumusan mudahnya, filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah produk budaya Kapitalisme yang bermodalkan fenomena yang lahir dari sistem Kapitalisme itu sendiri.

Apa yang melucukan, golongan rempit ini majoritinya terdiri dari golongan muda kelas pekerja. Mereka memburuh dan dengan upah yang diperolehi mereka membeli motorsikal dari perusahaan Kapitalis. Lalu mereka pun merempit ke hulu ke hilir untuk berseronok hingga terperangkap dengan gelaran ‘Mat Rempit.’ Apakan daya, ‘kegiatan’ mereka dipandang serong oleh majoriti masyarakat ‘bermoral’ gara-gara pelbagai perkara sampingan yang disifatkan sebagai ‘negatif.’ Niat bersuka-ria bertukar jadi masalah Negara. Dan tiba-tiba, Kapitalis filem nampak potensi gejala ini, untuk ditukar menjadi kepukan ringgit dengan kelompok pononton sasaran adalah golongan Mat Rempit itu sendiri. Akhirnya yang menang di sini tak lain tak bukan, Mr. Profit. Inilah yang dikatakan sebagai: ‘walhasil balik asal.’
 
Jadi boleh juga dikatakan filem ‘Adnan Sempit’ berjaya dari segi kutipan di panggung bukan atas nama ‘filem’ tapi fenomena Mat Rempit itu sendiri. Inilah sebabnya mengapa saya menyifatkan rempit dalam konteks tulisan ini sebagai ‘fenomena.’ Sesuatu fenomena itu tak bersifat kekal, tapi sementara. Ia umpama struktur naratif filem yang disebut “3 Acts” itu; ada permulaan, kemuncak dan pengakhiran.

Berdasarkan pemerhatian rambang, saya mula perasan bahawa fenomena rempit ini sudah memasuki fasa terakhir iaitu fasa penutup. Fasa ini bukan lagi kemucak, sebaliknya kitaran terakhir fenomena rempit. Ini kerana tahun ini apa yang saya perasan di tempat saya menetap, bilangan Mat Rempit yang merempit di malam minggu semakin menyusut. Dibandingkan tahun lepas, setiap kali malam minggu dah bagaikan pesta merempit. Saya sendiri tak punya idea ke mana geng Mat Rempit ini membawa diri. Mungkin mereka merajuk dengan Abang Trafik. Perhatikan juga di media cetak serta televisyen, khabar berita berkenaan rempit semakin berkurangan. Kenapa media massa semakin tak peduli dengan Mat Rempit? Adakah usaha membenteras ‘gejala rempit’ ini telah sukses? Well, saya hapah tak percaya. 

Apa yang pasti, malam minggu di kawasan tempat tinggal saya ini dihuru-harakan dengan hingar-bingar kereta ‘sport bikin’ yang sibuk menukarkan jalan raya menjadi trek perlumbaan. Jadi ada kemungkinan besar filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah ‘penutup rasmi’ fenomena rempit di Negara ini. Sekiranya ada lagi produksi filem tempatan yang mahu mengangkat sub-budaya rempit ini, tak mustahil filem itu akan terbabas ke dalam gaung. Malah ‘filem rempit’ yang paling akhir jika mengikut kata Raja Mukhriz, ‘V3, Samseng Jalanan’ (2010), ternyata ‘makan asap’ untuk menandingi kehebatan ‘Adnan Sempit’ merempit di pawagam. Bagi saya pula, ‘V3…’ itu hanyalah filem ‘last kopek’ yang tak perlu diambil pusing lagi. 

Selain filemnya itu dikhabarkan sebagai menarik, ‘lawak gila’, tak dilupa juga promosi gila-gila di radio swasta berbahasa Melayu di mana majoriti pendengarnya juga pasti orang Melayu, saya percaya faktor misteri ‘kitaran terakhir’ fenomena rempit ini juga menjadi sebab mengapa kutipan tiket ‘Adnan Sempit’ di panggung sangat lumayan sekali. 

Atas alasan yang sama, kejayaan kutipan filem ini bagi saya tak tampan untuk dijadikan kayu ukur mood penonton, atau perubahan citarasa, apatah lagi untuk mencongak masa depan ‘industri’ filem tempatan. Ia bukanlah tanda perubahan sebenar citarasa penonton di pawagam. Bagi saya, perubahan citarasa penonton tempatan wajar dilihat pada bentuk filem yang bebas dari sebarang fenomena semasa yang bersifat ‘hip’ dan sementara. Perubahan citarasa penonton hanya wajar diukur berdasarkan filem yang juga dibikin dengan penuh ‘citarasa.’ Citarasa ini sudah tentunya citarasa yang bagus, yang teruk nak buat apa? Hanya pembikin filem yang bercitarasa bagus sahaja yang mampu mencorak citarasa audiens menjadi lebih baik. Saya ambil contoh di Denmark, yang mana citarasa audiens telah disongket oleh gerakan Dogme 95, yakni gerakan filem yang berusaha menganakan pendekatan baru dan segar, dalam ertikata lain, meletakkan citarasa baru dalam filem-filem mereka. Filem ‘Open Hearts’ (2002) misalnya, adalah antara filem Dogme yang paling berjaya menghimpun audiens teramai di negara Scandinavia itu.

Tahun 1993, keluar ‘Perempuan, Isteri dan Jalang’, syukur filem itu laris di panggung. Tapi laris kerana apa lagi kalau bukan dek kerana kontroversi? Tapi sesudah itu, semua filem U-Wei yang lainnya terkulai layu dalam kegelapan sinema tempatan. Ini memberi pembayang bahawa ramai penonton waktu itu  menyusup ke panggung hanya mahu mengendap Sofea Jane mandi berkemban di tepi sungai dan bergolek-golek di kebun getah. Tiada perubahan citarasa seni sinema yang benar-benar berlaku. Keadaan kembali tenang seperti sediakala. 

Citarasa dan intelek audien tempatan seterusnya ‘diuji’ pula dengan kehadiran filem ‘Sembelit’ dan sekutu-sekutunya lalu para audien hanyut bersama linangan air mata. Kerana itu saya lebih percaya bukannya citarasa terhadap filem yang meningkat, sebaliknya jualan kertas tisu. Walhal, jika disingkap semula kualiti sinema ‘Perempuan…’ walau dari aspek pembuatan tidaklah begitu cemerlang, tapi falsafah, semangat dan permainan semiotik dalam ruang bingkainya itu ia ternyata pada saya lebih menarik dan tak mengada-ngada, katakanlah, jika dibanding-banding dengan filem-filem Yasmin Ahmad sekalipun. Dan secara bias, saya rasakan ‘Perempuan…’ itu lebih dekat dengan hati nurani saya sebagai manusia Melayu.

Jangan juga buat-buat lupa, fenomena ‘indie’ pernah cuba ditolak-masuk ke pawagam menerusi filem ‘Kami the Movie’ (2008) namun telah terkantol. Kutipannya tak lah segah mana. Suam-suam kuku saja. Boleh jadi juga kerana olahan ceritanya kurang umpp lalu gagal menarik Mat Indie ke panggung. Atau mungkin kerana Mat Indie ini majoritinya adalah budak sekolah yang cawat masing-masing masih dibelikan oleh ibu bapa mereka telah kekeringan RM10 untuk memenuhi ruang pawagam. Mungkin juga kerana duit bekalan ibu bapa telah dihanguskan untuk memiliki sepasang denim cengkik. Akibat dari itu, terpaksalah hero dan heroin Mat Indie meneruskan saki-baki perjuangan mereka di corong-corong radio swasta selain di kaca 8TV dan TV3 suku. Lalu terbukti sudah satu kenyataan pilu bahawa, gerombolan Mat Rempit lagi superior dari Mat Indie.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Karangan ni terperam hampir dua bulan. Still tak best. Haha.

Jumaat, April 16, 2010

Metamorphosis di DBP

“Arifwaran Shaharuddin telah membuat sebuah presentasi terhadap karya Metamorphosis (Kafka) bersama dengan beberapa pelakon teater, ini adalah hasil yang keluar daripada kerja kajiannya semenjak dia pulang dan ini adalah kerja terakhir yang akan dia kerjakan sebelum dia berangkat. Dalam setahun ini banyak yang dia dapati, dia berpeluang mengenali bakat-bakat muda, kawan-kawan lama dan yang penting sekali rakan-rakan yang baru yang membawa makna baru pada dia. Marilah beramai-ramai datang untuk memeriahkan presentasi ini, dia memang cukup bangga dengan pencapaian para pelakon yang terlibat dalam presentasi ini.”
Saya tiada idea tentang hal ini sehinggalah Fasyali memaklumkan kepada saya bahawa ada persembahan teater di DBP semalam petang. Sudah seminggu saya padam akaun Facebook saya, jadi agak leceh juga sebenarnya untuk saya mengikuti perkembangan situasi semasa, cis.

Tanpa apa-apa harapan, setelah tiba di pintu masuk Dewan Syed Nasir, saya curiga; Apahal cahayanya terbalik menyuluh penonton? Pencahayaannya meletakkan perasaan penonton seolah-olah di atas pentas, ini dikukuhkan lagi dengan keberadaan seorang gadis yang duduk diam di tengah belakang pentas. Gadis itu adalah penonton, dan kita (penonton sebenar) adalah performer. Saya juga melihat gadis itu sebagai satu sindiran terhadap penonton teater konvensional yang pasif. Kadang-kadang memuntahkan emosi tetapi masih melekap di kerusi.

Ada beberapa babak yang berjaya memikat hati saya. Pertama adalah ketika tiga daripada watak itu sedang diambil gambar (1,2,3) ketawa berdekah-dekah dalam senyum di sebelah kanan pentas manakala seorang gadis sedang terbaring terseksa di sebelah kiri pentas. Sebagai ensembel, inilah detik yang paling seimbang tenaganya dibahagikan sama rata penuh perkadaran. Ia asimetri, tetapi timbal. Tenaga aksi fizikal yang dikeluarkan gadis itu (Siti Surya) mampu untuk mengimbangi hilaian tawa yang lagi tiga orang tadi. Malah saya kagum melihatnya merangkak terbalik dengan mulut ternganga merana. Kontra luhur di sini.

Bagi bahagian solo pula, saya mengagumi Sharifah Mariam a.k.a Sherry. Selalunya bila kita nak tengok teater, kita samada datang pada hari pertama atau hari terakhir sebab semua pelakon selalunya akan buat all out. Yang saya tonton ini di tengah. Tenaga yang dibawa Sherry ini serius menenggelamkan babak-babak solo pemain lain. Dia ke depan menepuk-nepuk tangan kiri dan mata kanannya kemudian ke belakang menepuk-nepuk perutnya. Dedikasinya antara yang paling tinggi pada malam itu sampai satu tahap saya pula yang risau, tak penat ke minah ni? (Saya pertama kali mengagumi Sherry ini di Rumah Anak Teater 1 sebagai makcik yang rumahnya diroboh).

Dari segi struktur, terdapat extra turn di mana watak Peran yang dimodenkan (dalam takrifan sebenar) menjadi sesi casting. Dalam wayang kulit, kita ada Pak Dogol. Ia sesi lawak ringan yang diselitkan dan dalam persembahan ini, ia adalah seorang lelaki yang sedang diujibakat untuk menyertai persembahan ‘ini’. Di sini faktor masa dimanipulasi di mana ia telah meloncat ke belakang. Malah secara keseluruhan, teater fizikal ini kabur hujung pangkalnya. Tembok keempat di antara pelakon dan penonton sudah dari mula dihancurkan dengan kelakar.

Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang bagus. Antara perkara bijak yang dilakukan (walaupun kedengaran remeh) adalah pemilihan lokasi. Jikalau ia diraikan di dalam ruang komuniti arty farty borjuis, serius saya akan anggap ia sebagai one of those post-modern B.S. Tetapi sesuatu yang moden seperti ini, dimainkan di dalam ruang yang feudal di siang harinya, ini total ironi. Cheers!


Ridhwan Saidi

p/s: Gangguan paling ketara adalah nyamuk di dalam dewan.

Khamis, April 08, 2010

Franchising, Post-Modernity dan Manchester United

Macam manusia, kapitalisme juga berubah dan berevolusi. Noam Chomsky mengatakan bahawa ia telah mati pada tahun 1920-1930an. Yang kita salah tanggap hari ini adalah state capitalism yang menjurus ke arah fasisme, ini yang ditolak. Bagaimanapun proses perubahan ini telah menarik minat saya.

Kapitalisme pada awalnya kononnya adalah sistem yang paling sejati liberal. Malah laissez-faire bagi Adam Smith sendiri adalah satu konsep yang bebas daripada cengkaman dan campurtangan kerajaan pada ketika itu. Ianya berbalik kepada kebebasan individu (dari sudut ekonomi). Pada waktu itu, sebuah kilang (besar) akan menghasilkan satu produk (monopoli), dan bahan mentah bagi produk-produk ini kebiasaannya dijarah dari negara-negara yang dijajah. Wanita disundal, lelaki diburuh. Ianya datang sekali dengan kolonialisme dan imperialisme.

Masuk Perang Dunia Pertama hingga selepas Perang Dunia Kedua, dunia bergoncang lalu murung. Munculnya sub-sub kilang yang joint venture di antara satu sama lain dalam menghasilkan sesuatu produk. Saya tak tahu kenapa tetapi logiknya pada ketika itu, ekonomi sesebuah negara itu sedang kembali bangkit membangun.

Kemudian masuk tahun 50-60an (lebih kurang), syarikat-syarikat multi-nasional mula berkuasa. Ianya berkembang dalam bentuk franchise. Produk-produk yang dihasilkan didomestikkan mengikut citarasa setempat. McD di Malaysia tak sama dengan McD di Jepun. Nak tahu lebih lanjut tolong tonton pembukaan filem Pulp Fiction (1994). Satu elemen penting kapitalisme pada tahap ini: produk tidak sepenting nama/brand. Malah status nama dan brand sesebuah syarikat itu yang akan menentukan nilai produk tersebut.

Bila kita lihat Manchester United, ianya sebenarnya adalah satu bentuk branding. Ada nama tapi produknya biasa saja. Macam kamu makan sebungkus nasi lemak berharga RM 20 di hotel 5 bintang. Serius kepada mereka yang sudah melalui tahap self-actualization, pasukan M.U ini ya boleh menghasilkan gol, tetapi sebenarnya tak reti ‘bermain’ bola sepak. Ini saya sedari ada berkait paut dengan post-modernity di mana keruntuhan akhlak berlaku serta keindahan itu ditolak.

Ini berbeza sama sekali dengan La Liga ataupun Serie A yang mana corak permainannya lebih ‘tradisional’. Ia masih mengekalkan unsur-unsur pencerahan di mana beauty itu diraikan. Bila ada orang mengatakan bahawa EPL itu memainkan ‘beautiful football’, bagi saya itu karut.

Macam senibina Inggeris Norman Foster misalnya, mereka lebih rasional. Bandingkan ini dengan senibina Renzo Piano (Itali) atau Antoni Gaudi (Sepanyol). Walaupun bola sepak Inggeris ini ke arah rasionaliti, pantas dan straight to the point, tetapi kadang-kadang ia tak masuk akal. Saya tak rasa melambung bola ke dalam kotak penalti (bukan ‘pass’) dengan harapan ia disudahkan oleh penyerang barbaric seperti Wayne Rooney itu rasional. Macam kata kawan saya, “Ini bukan bola sepak, ini pinball!”


Ridhwan Saidi

p/s: Pemain-pemain M.U emo seronok untuk dilihat. Penyokong-penyokong M.U emo meluat untuk dilihat.

Selasa, April 06, 2010

Generasi Muda Masakini dan Piet Mondrien

Sebelum saya menuntut ilmu arsitektur, saya sempat bergelumang dengan fakulti Art & Design di Perak selama setahun. Semester pertama untuk asas (foundation) dan semester kedua barulah masuk fine art. Semasa di semester asas ini, ada kelas Drawing. Salah satu task yang perlu kami selesaikan adalah meniru (imitate/copy) mana-mana lukisan para masters.

Generasi muda masakini yang digerakkan oleh teknologi internet, saya sedari munculnya 2 kesan akibat daripada teknologi ini. Pertama, maklumat itu boleh diakses dan diderma di mana-mana sahaja dengan kemudahan gajet sedia ada. Dengan itu ia telah berjaya memecahkan tempurung dan mengurangkan kesulitan seseorang itu untuk mengetahui atau berkongsi sesuatu kepada dunia. Kedua, saya perasan golongan yang tersedia dilabel ‘malas’ ini mula mengeksploitasi kemudahan internet dengan copy paste assignment mereka asal siap.

Ini berbalik kepada pengalaman kelas meniru lukisan masters itu tadi. Out of all, mereka – generasi muda masakini – meniru lukisan Composition II in Red, Blue and Yellow oleh Piet Mondrian. Sudahlah lukis pakai pembaris, tak tahu Golden Section pula. Ish ish ish generasi muda masakini…semua pun nak ambil mudah — poodah!


Ridhwan Saidi

Manusia, Senibina dan Persekitaran

Selama 2 tahun sejak saya bikin filem pendek pertama saya iaitu Ah Long, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang dipanggil seni filem ini. Ada sesuatu tentang filem ini, di sini – di negara ini – yang saya masih tak puas hati; iaitu sesi perbincangan dan kritikan selepas tayangan. Ianya tidak sampai ke tahap yang saya harapkan. Ya, harapan yang tidak kesampaian itu mengecewakan, tetapi masih terlalu awal untuk saya menyimpulkannya. Di dalam senibina, sesi kritik sangat hidup, dan persoalan besarnya adalah “kenapa?”. Secara amnya kita bukan nak tahu sangat kenapa, tetapi pasal sengaja nak dengar “sebab” atau “hujah” kenapa ia diperlakukan begitu. Lagipun orang muda zaman sekarang macam saya ini, mahu juga asah skill bercakap saya.

Dalam bidang senibina, kitaran itu lengkap setelah rumah atau bangunan yang kita reka itu diduduki orang. Dalam bidang filem (lebih-lebih lagi filem pendek), selain ditonton orang, satu sesi discourse perlu untuk melengkapi kitaran ini, bagi saya-lah. Memikirkan hal ini, tiba-tiba saya terperasan perkaitan di antara sesuatu yang pernah saya belajar dahulu dengan situasi ini.

Di zaman di mana manusia mula pura-pura menyintai alam sekitar ini, boleh kita kategorikan sesebuah rekaan senibina itu kepada 2. Pertama senibina dengan sistem terbuka, dan kedua senibina dengan sistem tertutup. Senibina sistem terbuka ini adalah senibina yang bertindakbalas dengan alam. Ianya seperti rumah-rumah yang punya pengaliran udara dari luar, gerai mamak, pasar malam dll. Di dalam rekaan yang bagus seperti rumah Melayu tradisional, ada cross ventilation dan stack effect bagi melancarkan dan menyejukkan lagi sesuatu ruang itu tanpa perlu menjana tenaga yang tidak perlu.

Sistem tertutup pula adalah senibina yang memutuskan sebarang hubungan dengan alam. Contohnya seperti rumah, McD, KFC, pusat membeli belah berhawa dingin dan apa-apa yang bersifat artifisial. Antara ciri-cirinya seperti: di waktu siang menggunakan lampu walhal cahaya matari percuma di luar.

Cuba mengaitkan ini kembali kepada audiens yang menonton filem, ya saya percaya manusia masakini (warga Malaysia khususnya), juga terbahagi kepada dua iaitu manusia dengan sistem terbuka dan manusia dengan sistem tertutup.

Manusia dengan sistem terbuka ini adalah mereka yang bertindakbalas dengan persekitaran mereka. Mereka ini ada kesedaran tentang realiti yang berlaku di luar sana, samada hujan atau panas. Sebaliknya golongan manusia dengan sistem tertutup pula adalah mereka yang memutuskan hubungan dengan persekitaran mereka. Seperti penghawa dingin, mereka konstruk ekosistem dan realiti mereka sendiri. Ini sama konsepnya dengan analogi Plato’s Cave itu. Menolak kebenaran dan kekal jahil (ignorant). Sebab itu audiens kasual di negara dunia ketiga (seperti di negara ini) sentiasa mencuit hati saya.

Dalam skala yang paling kecil, Mautopia adalah tentang Pancha Delima dan Puncak Perdana. Ramai yang menonton tak mampu relate dengan persekitaran yang mereka duduki itu sendiri. Ini ibarat jika saya hasilkan sebuah lukisan ‘hujan’ dan dipamerkan di dalam galeri berhawa dingin yang mana pada ketika itu sedang hujan di luar. Pemerhati-pemerhati seni yang tak pernah keluar merasai hujan, takkan mampu relate dengan lukisan hujan itu, walhal hujan sedang menangis di luar. Mereka ini telah konstruk ilusi syurga duniawi mereka sendiri. Ini cukup advance bagi warga negara dunia ketiga. Pudina betul!


Ridhwan Saidi

Ahad, April 04, 2010

At The End of Daybreak

Dalam perjalanan ke Midvalley, saya tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap filem ini. Malah, saya memikirkan helah apa yang patut digunakan untuk tidak menonton filem ini. Di dalam kepala saya, duit yang saya ada ini mahu digunakan untuk membeli peralatan melukis. Saya mahu melakukan sesuatu yang aktif secara fizikal dan bukannya duduk pasif di dalam pawagam. Ini serupa seperti saya mengadap laptop di rumah.

Apapun ini adalah ulasan saya terhadap bentuk dan sains filem tersebut instead of nilai-nilai kemanusiaan. Hal-hal manusiawi cinta-cintun itu boleh dibaca di Tonton Filem.

Filem ini dimulai dengan grafik ganas dan kejam seekor tikus di dalam sangkar mati menggelupur disiram air mendidih. Menariknya filem ini adalah bagaimana babak-babak di akhir kisah yang dipenuhi plot holes dan jump cut, telah diisi secara bawah sedar di awal dan pertengahan cerita (rujuk babak gunting rambut, artikel surat khabar yang dibaca). Kita hanya perlu menggunakan imaginasi kita berasaskan visual-visual yang telah dipancarkan. Sebagai contoh, saya syak pemuda itu telah merogol mayat gadis tersebut sebab...

Seperkara lagi yang menarik adalah bagaimana bentuk filem ini dibina. Ianya diulang secara berkadar. Sebagai contoh terdapat satu babak di mana terdapat ketidaksinambungan ruang dan masa. Gadis 16 tahun itu ada di dalam bilik mahu keluar rumah. Di dalam bilik – pakai kasut – di dalam bilik – buka pintu – dan seterusnya. Ketidaksinambungan yang mudah ini saya perasan diulang sekali lagi di penghujung cerita, cuma ianya semakin kompleks. Yang mana dulu yang mana kemudian? Ianya tidak absurd membabi buta kerana kita telah diberikan rujukan, ini matematik.

Saya tidak berminat sangat dengan hal-hal manusiawi seperti moraliti dan maruah kerana filem ini mempunyai sisi intelek (yakni sains) yang bagus ditambah ia tidak mengada-ngada ‘berat’ atau ‘dalam’. Permainan matematika dalam orde-nya indah disamping beberapa syot yang berkuasa terutama ketika pemuda itu sedang mendail telefon (menghubungi seseorang). Syot mendail ini boleh diambil secara literal, tetapi saya melihat ia sebagai suatu transisi dari alam hidup kepada alam kematian (menghubungi Tuhan). Ianya spiritual. Bagi saya ia adalah ‘durasi cerita’ terakhir tetapi didahulukan (rujuk permainan ketidaksinambungan masa tadi).

Dari segi mise-en-scene (atau ‘setting’ bagi yang kurang faham), saya tertarik dengan penggunaan terowong sebagai node. Saya sedar 3 kali ia diulang. Ke kiri dengan awek (bersama cinta) naik motosikal, ke kanan mencari awek (mencari cinta) dengan motosikal dan akhirnya menangis meninggalkan ibunya (meninggalkan cinta) diiringi azan. Terpulanglah kepada anda untuk memahaminya dari sudut semiotik. 

At The End of Daybreak (2009) oleh Ho Yuhang ini adalah sebuah filem Malaysia (dalam erti kata sebenar). Walaupun perspektif yang digunakan adalah daripada kacamata seorang Tiong Hua, tetapi hal-hal semasa Malaysiawi yang digarap cukup Malaysia. Bila sebut tentang Malaysia, semestinya ia datang sekali dengan 'keunikan' bukan?


Ridhwan Saidi