Khamis, April 29, 2010

Kitaran Terakhir

Akhirnya rekod kutipan tertinggi filem tempatan dipecahkan sendiri oleh pengarah yang sama, yang dikhabarkan kaut lapan juta lebih. Apa yang pasti, sebagai insan yang masih belum berusaha mencuri masa menonton filem pecah panggung ini, tak dapatlah kiranya saya ulas apa-apa mengenainya. Apa yang saya ingin cetuskan di sini adalah berkenaan fenomena filem ini di luar pawagam.

Kita yang ambil pusing pasti tahu, tema dan subjek yang dibawa dalam filem ini adalah berpaut pada salah satu sub-budaya golongan muda hari ini, iaitu ‘rempit.’ Oleh itu bukan sesuatu yang begitu mengujakan sekiranya filem ini berjaya meletup di panggung. Sebab, ‘rempit’ dalam filem ini sendiri berupaya mengheret golongan rempit secara ‘eksklusif’ untuk bertandang ke panggung. Dari aspek komersial, ya, nyata ia berkesan ‘memenuhi permintaan.’ 

(Sebenarnya saya tak fikir produksi David Teo cuba melayan ‘permintaan’ golongan Mat Rempit agar menghasilkan filem ini. Jadi mungkin perkataan paling tepat ialah ‘mengumpan.’)

Saya tadi ada menyebut ‘budaya rempit.’ OK, saya tarik balik kata-kata itu. Rasanya, lebih cocok jika budaya ‘rempit’ ini disebut sebagai ‘fenomena’ atau kata lainnya, ‘gejala.’ Tujuannya supaya ia kena balik dengan apa yang ingin saya utarakan selanjutnya. Jadi fenomena rempit ini telah dibawa masuk ke panggung dengan lapang sasar penontonnya adalah Mat Rempit. Produksi ini dari aspek komersial, telah berjaya mengeksploitasi fenomena semasa ke panggung wayang untuk dijadikan bahan tontonan, sekali gus lelucon santai bagi mereka yang tidak into dengan gejala berasaskan ‘pelumbaan haram’ ini.

Apa yang saya lihat, filem ini juga berjaya mencetus fenomenanya sendiri, kalaupun tidak sekuat fenomena mencari ‘karya syurga’ dalam ‘Ada Apa Dengan Cinta?’ (2002) sedikit lama dahulu. Inilah perbezaannya, iaitu bukan filem mana kuat atau filem mana lemah, akan tetapi, apakah bentuk semangat yang terhambur lantaran cetusan fenomena yang tercetus antara kedua-dua filem ini. 

‘Ada Apa Dengan Cinta?’ ternyata berjaya mencetus fenomena yang tersendiri, bukan saja di Indonesia, bahkan juga di Negara ini. Sampaikan saya yang selalunya sebal dengan filem-filem ‘cinta remaja’ yang tahap plastiknya agak berbahaya bagi emosi itu, kecundang jua akhirnya. Namun jika ditilik semula, filem seberang ini mencetuskan fenomena-nya tanpa berpaut pada mana-mana fenomena hangat di dunia nyata. Tiada ‘rempit’, tiada ‘Akademi Fantasia’, tiada ‘indie’ atau apa. Ia masih tetap juga menumpang pada realiti semasa yang lain, misalnya muzik pop, dan ‘reformasi’ yang sehingga ke hari ini, satu dialog bapa Rangga terus melekat dalam kotak memori saya—“apanya yang reformasi?”— itupun secara santai dan bersahaja sifatnya, selain adegan bercumbu yang durasinya tujuh saat itu. Selebihnya, dengan sedikit berani, filem ini mengherat puisi ke dalam filem. Sedangkan di mana-mana pun puisi bukanlah wadah hiburan pilihan massa jika nak dibandingkan dengan filem dan muzik.

Inilah bezanya dengan ‘Adnan Sempit’ (2010). Filem ini berpaut pada fenomena rempit, sambil naratifnya cuba digodak dengan sebaik mungkin. Saya tiada masalah dengan filem sebegini, yakni jenis yang mengangkat tema gejala-gejala semasa yang berlaku dalam masyarakat ke layar perak, cuma tak berminat jika mutunya rendah. Banyak filem macam ini yang berjaya di pasaran, dan ada juga yang gagal semestinya. Selain merayakan bentuk budaya atau fenomena itu, secara tak langsung ia telah mendokumentasikan fenomena/budaya itu dalam bentuk seluloid. Tapi bagi syarikat produksi filem terbabit, sudah pasti ia adalah tentang keuntungan.

Ditinjau lebih lanjut, filem sebegini juga pada hakikatnya merupakan manifestasi budaya semasa yang berpaksi pada struktur ekonomi dalam sesebuah Negara itu. Ia adalah proses timbal-balik, seperti proses pengeluaran dan permintaan. Maksud saya, kita tak akan dapat menonton ‘Adnan Sempit’ andai sub-budaya rempit ini tidak wujud sama sekali sekali sebagai fenomena/gejala. 

Adalah sesuatu yang tak logik juga, fenomena ini muncul sekiranya sistem ekonomi Negara ini berpaksi pada sistem yang bukan Kapitalisme. Alasannya mudah sekali, gejala rempit tak lahir dengan percuma, atau secara magik, tetapi Kapitalisme-lah yang melahirkan fenomena rempit. Sistem Kapitalisme yang melambakkan mesin beroda dua ini dipasaran untuk diimpikan, dimimpikan, dikumpul wang, lalu dibeli, ditunggang, hingga terlajak dan dirempitkan di jalan raya. (Awas, Mat Rempit bukanlah merujuk kepada mereka yang menunggang motor ‘kapcai’ semata-mata.) Jadi rumusan mudahnya, filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah produk budaya Kapitalisme yang bermodalkan fenomena yang lahir dari sistem Kapitalisme itu sendiri.

Apa yang melucukan, golongan rempit ini majoritinya terdiri dari golongan muda kelas pekerja. Mereka memburuh dan dengan upah yang diperolehi mereka membeli motorsikal dari perusahaan Kapitalis. Lalu mereka pun merempit ke hulu ke hilir untuk berseronok hingga terperangkap dengan gelaran ‘Mat Rempit.’ Apakan daya, ‘kegiatan’ mereka dipandang serong oleh majoriti masyarakat ‘bermoral’ gara-gara pelbagai perkara sampingan yang disifatkan sebagai ‘negatif.’ Niat bersuka-ria bertukar jadi masalah Negara. Dan tiba-tiba, Kapitalis filem nampak potensi gejala ini, untuk ditukar menjadi kepukan ringgit dengan kelompok pononton sasaran adalah golongan Mat Rempit itu sendiri. Akhirnya yang menang di sini tak lain tak bukan, Mr. Profit. Inilah yang dikatakan sebagai: ‘walhasil balik asal.’
 
Jadi boleh juga dikatakan filem ‘Adnan Sempit’ berjaya dari segi kutipan di panggung bukan atas nama ‘filem’ tapi fenomena Mat Rempit itu sendiri. Inilah sebabnya mengapa saya menyifatkan rempit dalam konteks tulisan ini sebagai ‘fenomena.’ Sesuatu fenomena itu tak bersifat kekal, tapi sementara. Ia umpama struktur naratif filem yang disebut “3 Acts” itu; ada permulaan, kemuncak dan pengakhiran.

Berdasarkan pemerhatian rambang, saya mula perasan bahawa fenomena rempit ini sudah memasuki fasa terakhir iaitu fasa penutup. Fasa ini bukan lagi kemucak, sebaliknya kitaran terakhir fenomena rempit. Ini kerana tahun ini apa yang saya perasan di tempat saya menetap, bilangan Mat Rempit yang merempit di malam minggu semakin menyusut. Dibandingkan tahun lepas, setiap kali malam minggu dah bagaikan pesta merempit. Saya sendiri tak punya idea ke mana geng Mat Rempit ini membawa diri. Mungkin mereka merajuk dengan Abang Trafik. Perhatikan juga di media cetak serta televisyen, khabar berita berkenaan rempit semakin berkurangan. Kenapa media massa semakin tak peduli dengan Mat Rempit? Adakah usaha membenteras ‘gejala rempit’ ini telah sukses? Well, saya hapah tak percaya. 

Apa yang pasti, malam minggu di kawasan tempat tinggal saya ini dihuru-harakan dengan hingar-bingar kereta ‘sport bikin’ yang sibuk menukarkan jalan raya menjadi trek perlumbaan. Jadi ada kemungkinan besar filem ‘Adnan Sempit’ ini adalah ‘penutup rasmi’ fenomena rempit di Negara ini. Sekiranya ada lagi produksi filem tempatan yang mahu mengangkat sub-budaya rempit ini, tak mustahil filem itu akan terbabas ke dalam gaung. Malah ‘filem rempit’ yang paling akhir jika mengikut kata Raja Mukhriz, ‘V3, Samseng Jalanan’ (2010), ternyata ‘makan asap’ untuk menandingi kehebatan ‘Adnan Sempit’ merempit di pawagam. Bagi saya pula, ‘V3…’ itu hanyalah filem ‘last kopek’ yang tak perlu diambil pusing lagi. 

Selain filemnya itu dikhabarkan sebagai menarik, ‘lawak gila’, tak dilupa juga promosi gila-gila di radio swasta berbahasa Melayu di mana majoriti pendengarnya juga pasti orang Melayu, saya percaya faktor misteri ‘kitaran terakhir’ fenomena rempit ini juga menjadi sebab mengapa kutipan tiket ‘Adnan Sempit’ di panggung sangat lumayan sekali. 

Atas alasan yang sama, kejayaan kutipan filem ini bagi saya tak tampan untuk dijadikan kayu ukur mood penonton, atau perubahan citarasa, apatah lagi untuk mencongak masa depan ‘industri’ filem tempatan. Ia bukanlah tanda perubahan sebenar citarasa penonton di pawagam. Bagi saya, perubahan citarasa penonton tempatan wajar dilihat pada bentuk filem yang bebas dari sebarang fenomena semasa yang bersifat ‘hip’ dan sementara. Perubahan citarasa penonton hanya wajar diukur berdasarkan filem yang juga dibikin dengan penuh ‘citarasa.’ Citarasa ini sudah tentunya citarasa yang bagus, yang teruk nak buat apa? Hanya pembikin filem yang bercitarasa bagus sahaja yang mampu mencorak citarasa audiens menjadi lebih baik. Saya ambil contoh di Denmark, yang mana citarasa audiens telah disongket oleh gerakan Dogme 95, yakni gerakan filem yang berusaha menganakan pendekatan baru dan segar, dalam ertikata lain, meletakkan citarasa baru dalam filem-filem mereka. Filem ‘Open Hearts’ (2002) misalnya, adalah antara filem Dogme yang paling berjaya menghimpun audiens teramai di negara Scandinavia itu.

Tahun 1993, keluar ‘Perempuan, Isteri dan Jalang’, syukur filem itu laris di panggung. Tapi laris kerana apa lagi kalau bukan dek kerana kontroversi? Tapi sesudah itu, semua filem U-Wei yang lainnya terkulai layu dalam kegelapan sinema tempatan. Ini memberi pembayang bahawa ramai penonton waktu itu  menyusup ke panggung hanya mahu mengendap Sofea Jane mandi berkemban di tepi sungai dan bergolek-golek di kebun getah. Tiada perubahan citarasa seni sinema yang benar-benar berlaku. Keadaan kembali tenang seperti sediakala. 

Citarasa dan intelek audien tempatan seterusnya ‘diuji’ pula dengan kehadiran filem ‘Sembelit’ dan sekutu-sekutunya lalu para audien hanyut bersama linangan air mata. Kerana itu saya lebih percaya bukannya citarasa terhadap filem yang meningkat, sebaliknya jualan kertas tisu. Walhal, jika disingkap semula kualiti sinema ‘Perempuan…’ walau dari aspek pembuatan tidaklah begitu cemerlang, tapi falsafah, semangat dan permainan semiotik dalam ruang bingkainya itu ia ternyata pada saya lebih menarik dan tak mengada-ngada, katakanlah, jika dibanding-banding dengan filem-filem Yasmin Ahmad sekalipun. Dan secara bias, saya rasakan ‘Perempuan…’ itu lebih dekat dengan hati nurani saya sebagai manusia Melayu.

Jangan juga buat-buat lupa, fenomena ‘indie’ pernah cuba ditolak-masuk ke pawagam menerusi filem ‘Kami the Movie’ (2008) namun telah terkantol. Kutipannya tak lah segah mana. Suam-suam kuku saja. Boleh jadi juga kerana olahan ceritanya kurang umpp lalu gagal menarik Mat Indie ke panggung. Atau mungkin kerana Mat Indie ini majoritinya adalah budak sekolah yang cawat masing-masing masih dibelikan oleh ibu bapa mereka telah kekeringan RM10 untuk memenuhi ruang pawagam. Mungkin juga kerana duit bekalan ibu bapa telah dihanguskan untuk memiliki sepasang denim cengkik. Akibat dari itu, terpaksalah hero dan heroin Mat Indie meneruskan saki-baki perjuangan mereka di corong-corong radio swasta selain di kaca 8TV dan TV3 suku. Lalu terbukti sudah satu kenyataan pilu bahawa, gerombolan Mat Rempit lagi superior dari Mat Indie.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: Karangan ni terperam hampir dua bulan. Still tak best. Haha.