“Arifwaran Shaharuddin telah membuat sebuah presentasi terhadap karya Metamorphosis (Kafka) bersama dengan beberapa pelakon teater, ini adalah hasil yang keluar daripada kerja kajiannya semenjak dia pulang dan ini adalah kerja terakhir yang akan dia kerjakan sebelum dia berangkat. Dalam setahun ini banyak yang dia dapati, dia berpeluang mengenali bakat-bakat muda, kawan-kawan lama dan yang penting sekali rakan-rakan yang baru yang membawa makna baru pada dia. Marilah beramai-ramai datang untuk memeriahkan presentasi ini, dia memang cukup bangga dengan pencapaian para pelakon yang terlibat dalam presentasi ini.”
Saya tiada idea tentang hal ini sehinggalah Fasyali memaklumkan kepada saya bahawa ada persembahan teater di DBP semalam petang. Sudah seminggu saya padam akaun Facebook saya, jadi agak leceh juga sebenarnya untuk saya mengikuti perkembangan situasi semasa, cis.
Tanpa apa-apa harapan, setelah tiba di pintu masuk Dewan Syed Nasir, saya curiga; Apahal cahayanya terbalik menyuluh penonton? Pencahayaannya meletakkan perasaan penonton seolah-olah di atas pentas, ini dikukuhkan lagi dengan keberadaan seorang gadis yang duduk diam di tengah belakang pentas. Gadis itu adalah penonton, dan kita (penonton sebenar) adalah performer. Saya juga melihat gadis itu sebagai satu sindiran terhadap penonton teater konvensional yang pasif. Kadang-kadang memuntahkan emosi tetapi masih melekap di kerusi.
Ada beberapa babak yang berjaya memikat hati saya. Pertama adalah ketika tiga daripada watak itu sedang diambil gambar (1,2,3) ketawa berdekah-dekah dalam senyum di sebelah kanan pentas manakala seorang gadis sedang terbaring terseksa di sebelah kiri pentas. Sebagai ensembel, inilah detik yang paling seimbang tenaganya dibahagikan sama rata penuh perkadaran. Ia asimetri, tetapi timbal. Tenaga aksi fizikal yang dikeluarkan gadis itu (Siti Surya) mampu untuk mengimbangi hilaian tawa yang lagi tiga orang tadi. Malah saya kagum melihatnya merangkak terbalik dengan mulut ternganga merana. Kontra luhur di sini.
Bagi bahagian solo pula, saya mengagumi Sharifah Mariam a.k.a Sherry. Selalunya bila kita nak tengok teater, kita samada datang pada hari pertama atau hari terakhir sebab semua pelakon selalunya akan buat all out. Yang saya tonton ini di tengah. Tenaga yang dibawa Sherry ini serius menenggelamkan babak-babak solo pemain lain. Dia ke depan menepuk-nepuk tangan kiri dan mata kanannya kemudian ke belakang menepuk-nepuk perutnya. Dedikasinya antara yang paling tinggi pada malam itu sampai satu tahap saya pula yang risau, tak penat ke minah ni? (Saya pertama kali mengagumi Sherry ini di Rumah Anak Teater 1 sebagai makcik yang rumahnya diroboh).
Dari segi struktur, terdapat extra turn di mana watak Peran yang dimodenkan (dalam takrifan sebenar) menjadi sesi casting. Dalam wayang kulit, kita ada Pak Dogol. Ia sesi lawak ringan yang diselitkan dan dalam persembahan ini, ia adalah seorang lelaki yang sedang diujibakat untuk menyertai persembahan ‘ini’. Di sini faktor masa dimanipulasi di mana ia telah meloncat ke belakang. Malah secara keseluruhan, teater fizikal ini kabur hujung pangkalnya. Tembok keempat di antara pelakon dan penonton sudah dari mula dihancurkan dengan kelakar.
Secara keseluruhan, ia satu persembahan yang bagus. Antara perkara bijak yang dilakukan (walaupun kedengaran remeh) adalah pemilihan lokasi. Jikalau ia diraikan di dalam ruang komuniti arty farty borjuis, serius saya akan anggap ia sebagai one of those post-modern B.S. Tetapi sesuatu yang moden seperti ini, dimainkan di dalam ruang yang feudal di siang harinya, ini total ironi. Cheers!
Ridhwan Saidi
p/s: Gangguan paling ketara adalah nyamuk di dalam dewan.
p/s: Gangguan paling ketara adalah nyamuk di dalam dewan.