Rabu, Februari 26, 2025

Apa yang dibuat untuk tahun 2024

Ada tahun saya terlalu banyak terlibat dengan perkara saya kena senaraikan untuk ingat balik kronologi penglibatan. Rupanya saya sudah aktif menyenaraikan, dan kemudian lebih rajin untuk catit sedikit nota berserta foto-foto, bermula dari tahun 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2022. Pada setiap judul saya pautkan ke laman yang lebih komprehensif (terutama buat projek sendiri bersama Moka Mocha Ink) atau sesuatu yang membuktikan projek itu wujud!

AIR MATA DI KUALA LUMPUR [selaku DIRECTOR]
binfilem / Moka Mocha Ink / Siring Siring Production

Idea filem ini di-initiate saya bersama Nurul Aizam dan Tan Cher Kian sewaktu recce Pengalaman Prangin di Pulau Pinang. Urgency untuk bikin filem ini sebab beberapa hari sebelum itu saya terima mesej Facebook dari Stefan Borsos (yang saya tak kenal waktu itu). Dia tanya jika saya ada filem baru untuk dihantar ke IFFR 2024. Sebelum saya balas mesejnya, saya initiate projek ini dan kemudian jawab “Ada, kita tengah shoot”. Di hari pertama penggambaran (29 September 2023) kita shoot tiga adegan. Dalam pada itu, Facebook saya kena hack dan pupus, dan perasaan kehilangan sebahagian identiti ini saya terapkan ke dalam filem Air Mata di Kuala Lumpur.

Kita wrap shooting hari ke-14 pada 27 Januari 2024 dan fundraising ditutup pada 31 Januari dengan kutipan sebanyak RM10,534.10. Kita buat tayangan tertutup buat para penderma di KongsiKL (dengan Filamen sebagai sokongan projektor) pada 10 Mac 2024 sebagai tanda terima kasih. IFFR 2024 yang sepatutnya filem ini dihantar sudah pun berlalu, jadi selepas filem ini siap kita tunjuk ke Stefan andai ia sesuai untuk IFFR 2025, tapi seingat saya, dia tak tunjuk sebarang minat. Kami turut hantar ke beberapa festival lain (sesungguhnya festival fee antarabangsa mahal), dan selepas menerima beberapa penolakan, ia hanya kemudian di hujung tahun kami terima berita gembira tentang filem kami yang terpilih di dalam Tiger Competition, International Film Festival Rotterdam 2025.

BAWANG PUTIH BAWANG MERAH [selaku PLAYWRIGHT]

10-12 Mei 2024 // Teater Ekamatra / diselenggarakan oleh Esplanade sempena Pesta Raya, Malay Festival of Arts 2024

Draf pertama saya tulis 24 Ogos 2023 tapi ia masih belum dalam format dialog untuk dilakonkan, banyak nota dan karangan. Setibanya 30 November 2023 baru bentuk skrip 41 muka surat muncul, tapi kisahnya akan tumbuh dan terus berkembang. Skrip akhir yang dipentaskan draf 5 April 2024 dengan 81 muka surat.

Sewaktu menulis skrip ini saya mengandai-andaikan saja sebab saya tak tahu bagaimana setiap ayat ini dilontarkan oleh pelakon. Saya cuma banyak berkomunikasi bersama Fared Jainal selaku pengarah, dan cuba mengimbangi letak duduk ensembel. Untuk kisah rakyat sebegini, biasanya cerita bergerak mengikuti main struggle protagonis, tapi dalam play ini saya spread-kan satu struggle besar kepada mini struggle setiap watak. Untuk pastikan setiap watak ada sebab musabab kenapa ia berpelakuan sebegitu.

Dalam kisah rakyat, ada yang Bawang Putih baik, dan ada yang Bawang Merah baik. Dalam versi saya ini, saya cuba kelabukan mereka. Saya bikin Bawang Merah yang kena dera, tapi sebab dia tiada akses kepada skrol hikayat dan kebolehan membaca, dia tak pandai sangat tapi dia berani (suatu sifat terpuji). Manakala si Bawang Putih yang berkebolehan membaca skrol hikayat, kuat berangan dan berfantasi, tak seberani Merah, tapi punya empati. Watak mak-mak (Mak Labu, Mak Kundur, Permaisuri) dan watak pemuda istana turut punya mini advencer masing-masing, dengan Kebayan sebagai pemegang cerita.

PENGALAMAN PRANGIN: a speculative performance [selaku DIRECTOR]
19-21 & 26-27 Julai 2024 // Capri, Jalan Magazine (gathering point) to Lorong Prangin (end point)

Teater ini merupakan teater dengan skala ruang/spatial terbesar dengan jarak jalan kaki 1.1 km dan jalan kaki + basikal 2 km setiap peserta. Ia pengalaman yang panas dan penat dan ada waktu saya tertanya biasanya bila kita buat teater dalam black box, paling banyak show kita buat tambah show matinee (selain di waktu malam); dalam satu hari ada dua show. Tapi untuk Pengalaman Prangin kita ada tiga full length show berjarak 2 km perjalanan setiap satu. Yang sudah itu sudah, tapi tak dinafikan ia sebuah persembahan yang menguji fizikal dan menyihatkan tubuh badan. Makanan yang lazat di Penang bertukar menjadi tenaga buat persembahan. Terima kasih buat audiens yang menyertai, serta buat para performer dan pelaksana yang bergelumang dengan projek sekali seumur hidup ini.

KENDURI SENI PATANI 2024 [selaku ARTIST]
10 Ogos - 3 Disember 2024 (tamat kerana banjir) // Sapakafe'36 Premium (3F)

Untuk pameran ini, karya Nurul Aizam & Ridhwan Saidi | Kawanku oleh Ali Abu Yassin (My Friend by Ali Abu Yassin) | Audio recording (2023) dipamerkan dan dipilih oleh Low Pey Sien. Oleh sebab ia tak melibatkan material fizikal, kita cuma hantar fail audio saja. Ia dipasang Pey Sien sewaktu di Patani.

 
Ini adalah persembahan kelima dan terakhir dalam siri Beyond Moving with Artisans yang sudah bermula sejak 24 Mei 2022 di PJPAC. Jika Pengalaman Prangin besar dari segi ruang, BMOA besar dari segi waktu. Saya bertindak selaku dramaturg bagi projek koreografi Lau Beh Chin ini, dan ia memerlukan saya untuk punya suatu cara fikir yang baru. Untuk berfikir tentang dramaturgi, saya lakukan ia selalu untuk projek-projek sendiri, tetapi untuk berada di posisi dramaturg (sebagai role) bagi projek orang lain, ia sebentuk tanggungjawab.
 
BMOA merupakan sebentuk introspection buat Beh Chin dengan kerja-kerja amal, komuniti, alam, diri, dan keinginan berkongsi keindahan gerakan tubuh. Selaku dramaturg, di awal-awalnya saya banyak membantu dari segi bentuk kerana idea Beh Chin cenderung mencapah ke pelbagai arah. Saya syorkan Beh Chin beri fokus ke tiap-tiap hubungan (ada lima kesemuanya) dan dari situ satu persatu terlaksana. Untuk siri terakhir ini yang menjadi penutup (selepas dua tahun lebih), saya cuba untuk mengundurkan diri perlahan-lahan, dan tidak terlalu intrude dengan bentuk performance yang akan terhasil. Ini kerana di versi pertama berbentuk lecture-performance di Aswara, kehadiran saya lebih bersifat director. Beh Chin dan Chi Ying menaip pada laptop, berdansa dengan jari-jemari, dan berbual kerana artisan ketika itu seorang petition typist. Saya belum fasih dengan posisi dramaturg ketika itu.
 
Untuk siri kelima dan terakhir di The GodownKL ini, banyak hal terjadi dan ia personal kepada Beh Chin (yang amat rapat), Xue Li, dan juga saya, setelah menerima berita Uncle Ng Kim Long meninggal dunia. Dua tiga hari saya diam dan tergamam. Dari posisi tak bertenaga dan penuh kerunsingan itu, saya syorkan Beh Chin untuk ajak lagi beberapa orang untuk terlibat membantu menggerakkan projek yang kurang dari sebulan perlu dipersembahkan. Ia mudah untuk membatalkan segalanya, tetapi kami fikir ia perlu diteruskan, dan ia berupa surat melankolik terakhir buat Uncle Ng, serta pakcik dan makcik di dalam siri lain yang sudah tiada, juga kepada seni-seni kraftangan setempat yang kian pupus. Sebuah tribute dalam bentuk kerja keras dari kami, dalam bentuk seni tari.

BOOM BOOM BANG: PLAY & PARODY IN 1990s K.L. [selaku CO-CURATOR]

13 Oktober 2024 - 9 Mac 2025 | Ilham Gallery (level 5)
 
Sepertimana posisi dramaturg memerlukan suatu cara fikir spesifik, begitu juga posisi kurator. Saya terima pelawaan untuk jadi co-curator bersama Rahel Joseph, Simon Soon dan Azzad Diah sebab jadi sifat saya untuk sentiasa cuba benda baru, tapi dalam masa sama, saya rasa selaku penulis dan dramatis, ada sesuatu yang boleh saya contribute kepada pameran ini. Dengan pameran ini saya dapat bertemu Joe Kidd dan lihat arkib muzik di rumahnya, serta bertemu dan berhubung dengan Hatta Azad Khan perihal filem Mat Som (1990) dan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, antaranya. Dua pertemuan ini mendalam kerana saya berpeluang bertemu dan bersembang dengan mereka secara fizikal.

Pertemuan dan sembang ini diteruskan dengan sesi programming di mana tayangan filem dengan kolaborasi Wayang Budiman dan SIAR iaitu Perempuan, Isteri dan Jalang (1993), Hati Bukan Kristal (1990), dan Bintang Malam (1991) membolehkan saya untuk menjemput dan berbual bersama U-Wei Haji Saari, Sofia Jane, Habsah Hassan, Adman Salleh dan Shaharuddin Thamby. Ini diikuti satu sesi penutup kepada tayangan tiga filem 90an ini dengan sesi ‘Reel Talk: Bicara Sinema, Apresiasi dan Sebagainya’ dimoderator Alee Isa (Wayang Budiman), dengan panel Nik Amir Mustapha dan Ali Agung (SIAR).

Selain berkenaan filem dan merentas ke tahun 2025, satu sesi staged reading Hangus (dari sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu) juga terasa penuh di mana selepas sesi bacaan oleh lapan orang anak muda (dibaca oleh anak muda ini permintaan penulisnya), ia diikuti sesi bual bicara bersama Imuda dan Hatta Azad Khan yang melengkapkan apresiasi. Saya harap di dalam sesi-sesi yang saya moderate, ada insight yang menarik serta buah fikiran yang dapat kita ambil manfaat.

PEDAGOGI WANITA TERTINDAS [selaku PLAYWRIGHT]

10 Disember 2024 | Dewan Jubli Perak, Shah Alam

Seingat saya projek ini sangat suntuk. Saya perlu hasilkan skrip dalam kurang dari sebulan tentang keganasan domestik. Diarahkan oleh Taha Long, selain play mid-length ini, ada satu lagi projek yang bergerak selari berbentuk kempen kesedaran di masa rehat / lunch time parlimen Selangor, dan satu lagi di Pesta Buku Selangor berjudul Di Sebalik Tirai. Di Sebalik Tirai berbentuk verbatim threatre di mana kata-kata tiga mangsa dera etnik berbeza dibaca. Ini sedikit sebanyak membantu saya untuk memahami situasi yang berlaku, dan kebanyakan waktu mangsa sudah terjerat dari segi mental.
 
Senang untuk kita orang luar cakap mangsa boleh saja lari dari penderaan itu, tapi di posisi mangsa ia tak semudah itu. Di dalam Pedagogi Wanita Tertindas, saya perlu bina situasi dan monolog yang boleh buat audiens buat seketika percaya dan berempati dengan watak yang sudah terjerat ini. Saya sudah tahu dari awal durasinya perlu mid-length (full-length lagi bagus cuma kita tak cukup masa), ia tak boleh short play sebab durasi yang singkat akan bikin emosinya karikatur. Saya perlu berhati-hati kerana mangsanya wanita, dan tidak tulis semberono seperti ayat lelaki. Shasha Fairus sebagai watak isteri (dan ibu yang mengandung) banyak beri input dan peka dengan watak yang akan dibawanya, sentiasa membantu dalam pembentukan watak. Oleh kerana ia sebahagian kempen kesedaran, buat pertama kali saya all out gabungkan kedidaktikan Freire, Boal, dan Brecht, bermula dengan suatu yang komikal dan main-main dan berakhir dengan suatu yang tragik dan serius, dalam menyampaikan korus mesej terakhir.
 
Ridhwan Saidi

Rabu, Februari 19, 2025

Performans yang saya tonton 2024

Saya mula menulis di blog ini tahun 2008, dan saya percaya kalau nak buat sesuatu buat ia selama sekurang-kurangnya 10 tahun secara konsisten. Dengan praktis selama 10 tahun itu ia jadi sekolah untuk sesiapa pun belajar apa-apa. Menulis membuka ruang untuk saya teroka ke dunia-dunia lain seperti seni teater dan persembahannya misalnya. Saya mula dengan Teater Modular pada tahun 2017, yang bawa maksud ia masih belum 10 tahun; saya kena terus melibatkan diri dengan teater untuk ada kefahaman yang lebih mendalam.

Berbalik kepada penulisan blog ini, ia sudah 16 tahun, dan trend sudah berubah dan tiada siapa guna blog sangat. Tapi kadang-kadang trend boleh datang balik, tapi semua itu tak penting. Yang penting saya perlu sedikit alasan untuk terus menulis di blog ini, dan satu-satu siri yang saya kekalkan ialah himpunan ulasan seni persembahan yang saya tonton sepanjang tahun. Saya sudah mulakan siri ini dari tahun 2017 yang bermakna ia sudah 7 tahun, merentas pandemik 2020.

Ulasan saya kadang-kadang berbentuk nota saja, tapi ada waktu saya senang untuk buat kupasan yang lebih terperinci, ikut mood. Ada waktu selepas saya tonton satu-satu persembahan, saya terus tulis, dan ia tersimpan sebagai draf. Tapi ada waktu saya perlu ingat balik apa yang terjadi, ditulis jauh dari pengalaman pementasan. Saya sentiasa cuba ambil iktibar dari kesilapan teater orang lain untuk ia tak diulang. Seperti sejarah, apa yang telah ketara tidak berkesan, perlu dielak, dalam mengalami kesilapan-kesilapan baru. Teater sentiasa bersifat komuniti, maka cara ia bercambah dan tumbuh perlu saling berefleksi. Saya akan tulis direct apa yang saya rasa, sebab untuk terlalu jaga hati adalah untuk mundur bersama. Apa yang saya tulis ialah apa yang saya rasa, jadi saya sentiasa rasa ia bukan sesuatu yang peribadi, dan fokus saya sentiasa karya atau apa yang dipersembahkan sebagai medium teater.

1. Persiapan Seorang Aktor arahan Syahrul Musa, skrip Saat Omar, artistik Hamzah Tahir. 29 Jun 2024, Studio Sedar Ruang—Saya ada tonton versi awal teater ini yang ditulis untuk projek student Sadiq M. Jamil dan bercadang untuk membandingkan antara kedua-duanya. Play ini seperti ingin memaparkan kelemahan seorang aktor/suami yang mana kejayaannya disokong oleh seorang wanita/suri rumah iaitu isterinya. Dalam versi Sadiq, Watak suami ketara terbaring, dan tak mampu bergerak, dipapah dan dimandikan oleh isterinya. Watak suami kebanyakan waktu terlentang di atas katil dan berada di sekitar tengah ruang pentas di mana lampu sorot disuluh. Watak isterinya pula aktif fizikal bergerak dan berlari, merentas kiri dan kanan bangunan (pentas teater ini outdoor di hujung bangunan empat tingkat, berserta struktur scaffolding besi dua tingkat), dan malah berlari naik ke tingkap tingkat dua (atau tiga?) yang menjadi dapur rumah mereka. Watak suami yang berfalsafah tentang teknik lakonan di dalam keselesaan pajama-nya merupakan satu bentuk kepoyoan. Kedua-dua aktor ini serius di dalam aksi mereka, tetapi selaku audiens pabila kita melihat seluruh kanvas pentas, kita tahu nada play ini menyindir ego dan visi seni kelelakian. Di tangan arahan Sadiq, naskah Saat Omar ini terasa in sync dengan lawak jenakanya.
 
Ini jauh sekali berbeza dengan versi arahan Syahrul Musa di mana setiap yang saya ceritakan tadi merupakan keterbalikan. Dengan ruang pentas yang lebih terhad dan approach naskah yang lebih serius. Ia masih komedi, tetapi bukan dari esensi naskah, tetapi berfokus kepada jenaka add on yang ditambah dan berasaskan situasi. Misalnya setiap malam akan dipetik nama seorang audiens yang hadir (biasanya tokoh) di momen tertentu. Nada jenaka dari play tenggelam dan digantikan dengan keseriusan watak suami yang benar-benar yakin dengan kata-kata dan ilmu lakonannya. Keseriusan dan subversion terhadap play ini membuatkan partiarki timbul di akhir pementasan.
 
Antara imej yang saya suka dalam teater arahan Syahrul Musa ini ialah pabila watak suami lakonan Aloy Paradoks, setelah selesai melontarkan monolog Hamlet dengan penuh perasaan mendalam, lalu terduduk di kerusi tengah di bawah lampu sorot termenung mengalami katarsis. Sementara itu siluet isterinya lakonan Fazleena Hishamuddin melintas ke kiri dan kanan sedang mengemas rumah di hadapannya. Imej ini merangkumkan apa yang saya rasa play ini ingin sampaikan. Jika ia tamat di sini, saya rasa ia persembahan yang baik. Tetapi sentuhan babak akhir buat ia kembali konvensional. Instead of hubungan suami isteri ini absurd dan lucu, adegan akhir ini menerapkan hubungan kuasa yang biasa dipaparkan media popular kita di mana watak isteri itu tiada agency dan yang lelaki kekal dominan. Meski ia play yang sama, tetapi sentuhan direction beri nuansa yang berbeza. Di dalam versi Sadiq, kedua-dua suami isteri ini karikatur yang cocok dengan play dan ruang. Watak suami menguasai dialog tetapi watak isteri menguasai ruang. Tetapi di dalam versi Syahrul Musa ini, watak suami bulat, penuh, realistik, mendalam dan serius (tak dinafikan lakonan Aloy mantap) tetapi ini bikin ia tidak seimbang dan mendedahkan kelemahan watak isteri dengan ayat yang selalu mengalah, idea kena cantas disamping ruang untuk watak isteri ini bermain terasa kecil dan sempit.

2. Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar directed by Yudi Ahmad Tajudin. Teater Garasi/Garasi Performance Institute (Indonesia). 28 Julai 2024, One Theatre Hall, Penang (sebahagian George Town Festival 2024)—Sebelum menonton ia secara langsung depan mata, saya sudah terlebih tonton versi rakamannya di youtube. Ia satu fasa di mana saya tonton hampir semua dokumentasi video oleh Teater Garasi di Youtube. Ada beberapa yang berbekas yang menimbulkan emosi meski ia cuma rakaman, dan ‘Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar’ merupakan salah satunya (ada beberapa versi, yang saya tonton versi Indonesia Bertutur 2023 di Candi Borobodur). Selain itu, pengalaman penontonan via komputer rumah berjudul “Yang Fana Adalah Waktu. Kita Abadi” (2016) dan “je.ja.l.an” (tidak pasti sama ada rakaman ini versi ‘Yogyakarta, Jakarta 2008’, ‘Shizuoka Jepun 2010’ atau ‘Adelaide Australia 2015’) juga berbekas. Saya pernah dengar nama Teater Garasi (bukan Garasi TV ya) tetapi saya tidak terdedah dengan approach mereka. Berkat internet, kini saya tahu, dan sempena George Town Festival 2024, saya dapat nikmati seni persembahan yang benar-benar meneroka jenis pengucapan sebegini. Sepertimana sebelum ini saya lebih awal mendedahkan diri dengan rakaman performance penuh Pina Bausch, dan kemudian Dumb Type dari Jepun, untuk saksikan sesuatu yang segar dan besar dalam skala nusantara dengan pengucapan hibrid sebegini cukup mengujakan.

‘Waktu Batu. Rumah Yang Terbakar’ mengkagumkan kerana meski ia bukan persembahan yang berlandas bahasa semata, tetapi bahasa-bahasa percakapan yang terungkap (biarpun berfragmen), amat kuat. Sebagai penulis saya terpaksa akui kebanyakan karya-karya teater di Malaysia lemah dari segi ini, sesuatu yang perlu diambil iktibar. Perasaan saya sewaktu menonton, ada suatu kesedihan dan ratapan profound suara-suara wanita dirasai. Di dalam sinopsisnya tertera perkataan ‘duka ekologis’ (ecological grief), ia barangkali suatu titik mula kerana ekologinya tidak begitu ketara tetapi grief-nya intens dan mendebarkan. Untuk teroka grief dalam teater perasaannya primordial (sejak tamadun kuno), tetapi untuk sentiasa mengalaminya dari semasa ke semasa, dalam mendepani dunia, ia diperlukan. Metodnya penuh kecanggihan, tetapi pada saya bunyi-bunyi yang berpadu (bunyi suara, rekaan bunyi, nyanyian kugiran, bunyi pentas, tiada bunyi, etc.) yang menuju ke suatu bentuk ‘kebakaran’, buat persembahan ini menjadi salah satu persembahan kegemaran sepanjang zaman. Teater merupakan medium yang aneh dan terhad, di mana kita cuma berpeluang saksikan apa yang berada di dalam lingkungan ruang yang boleh kita pergi, di dalam hidup kita. Dan untuk mengalaminya secara langsung, sewaktu Teater Garasi (est. 1993) pelan-pelan bertransisi menjadi Garasi Performance Institute, dari visi Yudi ke Ugoran, untuk merasai ketiadaan sosok Gunawan Maryanto, dari forum formal sebelum persembahan ke sesi informal di restoran Cina selepas persembahan, untuk sentiasa mempersoal kerelevanan membikin teater dan seni, untuk berdisiplin dengan pelbagai disiplin.

3. I Thought We Had A Deal (and I tell you with tongue between your toes) directed and scenography by Liew Chee Heai. 3 Ogos 2024, KongsiKL—Persembahan ini ibarat gambar tiga dimensi di mana kita dapat lihat konfigurasi empat tubuh dalam posisi berbeza dari stesen meja mereka, ke van, ke pentas utama dari kiri ke kanan, depan ke belakang, atas ke bawah. Dari ingatan saya wanita berambut pink kebanyakan waktu berada sedikit jauh dari tiga yang lain, dan dalam masa sama, saya dapat rasa gadis ini lebih meneroka pengalaman Gen Z (loneliness, ootd, etc.), manakala tiga yang lain lebih dalam satu unit generasi berbeza. Eksplorasi tubuh terlihat tetapi abstraksi ini tidak menuju ke suatu perasaan yang koheren. Judulnya yang rambang, barangkali beri sedikit idea bahawa ia bermain-main dan juga sedikit sensual dan absurd (tongue between your toes). Bahagian paling menarik pada saya apabila tubuh lelaki menampung papan dengan tubuh wanita di atasnya, selari dengan gadis berambut pink itu gerudi tembikai. Saya tak tau apa maknanya tetapi ia playful, sensual dan lucu sekali gus.

Penggunaan tiang-tiang yang dihimpunkan secara tergesa-gesa selari dengan musik yang menuju kresendo klimaks persembahan tidak saya faham atau rasai, kerana urgency ini tidak dibina dari awal. Tubuh-tubuh ini tiada karakter penuh, selain dari rupa fizikal, saya tiada idea apakah keresahan tubuh-tubuh ini untuk berada di atas pentas selain melakukan persembahan. Pendek kata saya tak boleh relate dengan tubuh-tubuh ini andai ia tiba-tiba gelisah ingin mengumpulkan batang-batang kayu setempat. Runut bunyi ala klimaks post-rock seolah beri idea bahawa adegan ini penting dan mendebarkan, tetapi ia jadi detached dan buat saya tiada empati. Klimaks ini lalu dihentikan, dan mereka berempat menyanyi pada van yang ditolak ke kiri dan ke kanan, dengan suluhan lampu terang. Ia seperti kesengsaraan terjadi ketika dua orang gelisah mengumpul batang-batang kayu yang panjang di dalam gelap, sebelum segalanya hilang, rupanya ia mimpi ngeri, dan mereka di alam syurgawi ala Teletubbies, menyanyi ke kiri dan ke kanan. Saya sedar tentang bentuknya yang beragam, tetapi secara keseluruhan, konfigurasi-konfigurasi ini tiada graviti mahu menuju ke mana atau bercakap tentang apa. Teks tentang persembahan ini juga agak rambang dan tidak membantu. Ia terbuka yang terlalu terbuka. Tidak dinafikan imej-imejnya kuat dengan penggunaan lampu dan kostum, tetapi sebagai suatu persembahan yang berpadu dengan bunyi dan durasi, ia tidak menampung beban untuk menuju ke suatu arah. Saya sedar saya sedang menyaksikan dan respek kesungguhan para performers, tetapi tiada apa-apa yang bergerak dan menyentuh di dalam, persis melihat catan, saya admire apa yang terpapar, dan boleh appreciate segmen-segmen kecil.

 Ridhwan Saidi