Isnin, Disember 26, 2022

Apa yang dibuat untuk tahun 2022

Menyambung siri Apa yang dibuat untuk tahun 201910 aktiviti teater Ridhwan Saidi 2018 dan Apa buat 2017? yang menyenaraikan kegiatan saya di tahun-tahun tersebut, di sini disenaraikan apa yang saya buat di tahun 2022. Ia tahun panas badan di mana kita perlu membiasakan diri untuk kembali berteater dan membuat tayangan fizikal selepas tahun 2020-2021 (yang memerlukan kita lebih bergiat secara introspektif dan dalam talian). Secara uniknya karya-karya 2022 ini kebanyakannya melibatkan introspection yang terbentang di atas pentas/layar.

JATUH SAKIT, JATUH CINTA: TWO TYPES OF FALLING
7-9 Januari 2022 // Damansara Performing Arts Centre (DPAC)

foto: Moka Mocha Ink
Pertama kali berpeluang untuk buat teater dalam setting teater yang proper, dengan bingkai proscenium (sebelum ni semua site specific dan terlalu kecil untuk dapat feel procesnium hall sebenar). Meski cuma untuk 20 minit, bila dapat peluang kita buat betul-betul. Persembahan pertama pasca pandemik, selepas dekat 2 tahun tak berteater. Daripada 3 malam persembahan, dari mana saya duduk (iaitu konsol teknikal): malam kedua merupakan yang paling tight dan intens.

Saya suka panggung ini, ia rasa intim dan selesa. Semoga ada projek teater berkala penuh yang dapat kita pentaskan di sini pada suatu masa nanti.

Bacaan lanjut sila ke pautan ini.

Mereka yang terlibat: Roshafiq Roslee, Lim Paik Yin & Nurul Aizam.

BANGSAWAN GEMALA MALAM
2-4 Jun 2022 // Victoria Theatre, Singapore

foto: Teater Ekamatra
Saya puas hati menterjemah A Midsummer Night’s Dream ke dalam bahasa Melayu selama setahun sewaktu pandemik. Saya datang sebagai pelancong/audiens pada malam pembukaan dengan skrip yang dah dikosongkan dari kepala. Mengejutkan kerana meski setiap kata-kata diberi warna oleh para performers, tetapi internal rhythm yang tertanam dalam teks tumbuh keluar pada malam persembahan. Internal rhythm ini keluar sebab kata-kata yang dah tertulis tak diubah. Ia normal bagi produksi di Singapura dan sebahagian etika profesional yang dah terdidik dan jadi asam garam mereka, tapi berbeza halnya di Malaysia kerana kita terlalu loose jangankan naskah drama, dengan undang-undang dan waktu makan pun kita loose. Meski jadi loose ni ada situasi bagus dalam hidup, tapi dalam seni, perlu ada suatu disiplin, parameter atau framework terlebih dulu sebelum ia dilonggarkan. Tak dinafikan ini produksi teater dengan skala paling gah dan berwarna-warni yang pernah saya terlibat. Gema gembira dalam panggung tak akan dilupakan. Magik! Syukur!

Bacaan lanjut dan mereka yang terlibat (ramai!) sila ke pautan ini.

TAYANGAN FILEM TIADA CINTA SELAMA MUDA
27 Ogos 2022 // PaPan Haus, PJ

poster: Moka Mocha Ink

Sesi tayangan intim di sebuah lokasi rumah seni yang baru di Petaling Jaya. Saya sentiasa tertarik dengan ruang seni yang bersikap, dan ada falsafah perkongsian yang mencapah antara bidang. Buat yang tak tahu, PaPan Haus ini terjadi apabila ada 8 orang sekawan yang tiba-tiba buat keputusan untuk beli tanah rumah di PJ ini, kemudian sama-sama renovate, dan jadi retreat house mereka setiap hujung minggu. Di kala itu, mereka sentiasa terbuka untuk jadikan rumah ini hub kepada aktiviti-aktiviti kesenian dan perbincangan. Lokasinya yang terletak walking distance dari LRT juga memudahkan.


BENGKEL NORMCORE: KARAOKE MEDEA
23-24 September 2022 // KongsiKL

foto: Moka Mocha Ink
Dengan bengkel ini, ideanya simple iaitu untuk belajar teater, satu-satunya cara adalah untuk mengalaminya dengan membuat teater. Ia mustahil untuk replicate atau buat simulasi bagi seseorang untuk mengalami teater. Tak ada software untuk kita cuba rasa kita berada di bawah suluhan lampu sedang dipandang oleh orang-orang yang kita kenal dan tak kenal. Dan menariknya dengan teater, sewaktu proses kemenjadian dan rehearsal, kita dapat uji hal-hal yang menggagalkan. Maksudnya apa yang ingin dicuba sudah dicuba sewaktu proses penyiapan/preparation (bukan gagal di malam persembahan, kegagalan dah ditemui sebelum itu).

Sebagai pembikin yang biasa bergelumang dengan teater-teater site-specific, projek ini juga akan di-custom-made-kan ikut siapa yang join. Theatremaking melibatkan aksi di depan pentas dan aksi di belakang pentas. Dalam projek ini, hubungan di antara aksi-aksi ini diteroka dengan tubuh dan kata. Dua malam persembahan kedua-duanya menjadi. Di malam pertama performance individu lebih menyerlah, tetapi pada malam kedua seluruh performance sebati menjadi satu (termasuk ruang dan audiens).

Bacaan lanjut di pautan ini.

Mereka yang terlibat: Archana Pillai, Daphne Lee, Sandee Chew, Rashid Akhmal, Mah Jun Yi, Nurul Aizam, Lim Paik Yin, Ani Aziz, Liew Chee Heai, Leong Yiew Weng & Mooza Mohd.

TAYANGAN FILEM ESEI TENTANG MEMORI
15 Oktober 2022 // Five Arts Centre, GMBB

poster: Moka Mocha Ink
Tayangan filem ini menemukan saya dengan individu-individu curiga. Ia malah bikin saya gusar sebab sesi bual santainya berlangsung dengan amat panjang (sejam lebih!), dan fokus audiens bertumpu hingga ke saat-saat akhir, mereka yang mendengar mula menyuarakan pendapat mereka. Rahsianya terletak dalam moderation, lagi banyak kita kongsi dan selesakan situasi, lagi selesa audiens kongsikan apa yang terbuku di hati (kebanyakan waktu bila moderator/panelis buka soalan dan situasi jadi senyap dan janggal, sebab moderator/panelis itu create situasi yang intimidating buat audiens). Ia situasi yang menyegarkan untuk bercakap dengan orang tak kenal di dalam ruang yang selamat dengan filem sebagai subjek berbual. Dua anak muda (di sesi berbeza—deja vu) tanya ke saya macam mana nak ikuti hal-hal seni ni lagi. Saya rasa senang hati kerana filem-filem yang ditayangkan mencambah minat orang terhadap seni.

Majalah Filem Melayu Lama telah ditayangkan terlebih dulu di SeaShorts tapi saya tak pergi sebab show Karaoke Medea sedang berlaku di waktu yang sama. Selain itu Revisiting Hankyu Jaya pada awalnya merupakan sebahagian Kaleidoscope Japan: Online Exhibition yang dipamerkan awal tahun.


BEYOND MOVING WITH ARTISANS, PERFORMANCE DESIGN EXCHANGE, ASWARA
4 Disember 2022 // Aswara
foto: Nurul Aizam
Ini projek pertama saya selaku dramaturg, di mana saya boleh pisahkan diri saya daripada kerja-kerja direction, dengan orang lain (Beh Chin) sebagai choreographer. Pertama kali diajak untuk showcase di PJPAC (yang itu cuma dua kali jumpa, tapi saya anggap ia sebagai contact pertama perkenalan). Untuk sesi kedua ini ia lebih bertumpu, dan lebih banyak pertemuan. Meski saya selaku dramaturg, saya cuba bentukkan bahagian pertama via live typing untuk beri konteks dan clarity kepada projek dengan latar yang amat kompleks ini (projek ini telah berjalan sejak 2020). Saya cuba cari bibit-bibit permulaan penting bagaimana projek ini terjadi sebelum ia beranjak ke tarian. Daripada kata-kata yang ditaip (tentang petition writer bernama Uncle Lingam) kepada gerakan tubuh dan koreografi. Persembahan sekali ini menjadi.

Mereka yang terlibat: Lau Beh Chin (creator/choreographer), Wong Chi Ying (dancer), Ridhwan Saidi (dramaturg), Bilqis Hijjas (panelis), Jo Kukathas (panelis), Dhinesha Karthigesu (panelis).


TEATER NORMCORE: TAHUN-TAHUN SEORANG NOVELIS
23 Disember 2022 // Black box, DPAC, Damansara
foto: Moka Mocha Ink
Selepas terlibat dengan empat performans untuk 2022 dengan direction/performance yang tight belaka (Jatuh Sakit, Jatuh Cinta, Bangsawan Gemala Malam, Karaoke Medea, Beyond Moving With Artisans at PDE), kini ia hujung tahun dan saya aspire untuk hasilkan sesuatu yang urgent dan dalam masa sama berkecenderungan untuk jadi disaster (kenyataan ini bukan sebab nak rendahkan diri, tapi lebih kepada bersikap realistik.)

Bila novel Cekik diharamkan tindakan paling literal untuk bertindakbalas adalah untuk tulis dan terbitkan satu novel baru. Cuma novel bukan sesuatu yang semberono untuk terbitkan. Novel bila dah terbit akan kekal, tapi dengan teater kalau ia teruk, ia boleh dilupakan. Dengan kesedaran ini, kita mula berlatih (dan memikirkan apa yang nak dibuat) dalam tempoh 5 minggu sebelum hari persembahan (biasanya paling minima 4 bulan sebelum saya gerakkan apa-apa projek teater).

Ia happening satu hari. Ia bukan tentang tightness direction atau performance (meski saya cuba juga tapi nampak gaya 5 minggu memang tak akan cukup; serik dah!), tapi tentang urgency untuk bertindak terhadap isu pengharaman itu. 5 minggu pun sebenarnya topik dah tak panas, tapi sekurang-kurangnya ia beri jarak untuk kita persembahkan sesuatu yang dah dilatih dan diperhalusi. Apa nak jadi, jadi, biarpun rabak, saya harap ia dapat diaksikan dengan telus. Jika Karaoke Medea berunsur tragik, dengan Tahun-Tahun Seorang Novelis perasaannya menjurus uplifting.

Mereka yang terlibat: Roshafiq Roslee, Sadiq M. Jamil, Meier Wee, Adena Sams, Archana Pillai, Nurul Aizam, Lee Qi, Rashid Akhmal, Sandee Chew, Lim Paik Yin, Daphne Lee, Tan Cher Kian & Ani Aziz.


Ridhwan Saidi
p/s: Menuju ke tahun 2023, akan saya dedikasikan diri kepada penghasilan feature film, kembali kepada kenapa blog ini dimulakan. Jom!