1. Ridzwan Othman's ‘Nudity & Mortality Report: Mount Kinabalu’. 13 Nov 2021, DPAC—Stage reading ini berdurasi 3 jam, yang menurut saya patut ada internal reading dulu untuk edit dan buang apa yang patut sebelum ia dipersembahkan kepada umum. Durasi 3 jam tak menjadi hal kalau ia perlu tapi dalam kes ini ia terasa meleret dan melewah. Yang paling melemahkan play ini pada saya world building-nya di awal kisah. Ia sukar untuk saya percaya bahawa mitologi Sisyphus (secara literal) boleh diimport ke Gunung Kinabalu. Nada komedi yang nonsensical ini perlu di-establish terlebih dulu. Ia mesti ada unsur kelakar terlebih dulu (dalam kes play ini saya tahu ia ingin buat kelakar, tapi pelaksanaannya tak menjadi).
Seperkara yang turut mengganggu fikiran saya bila Sisyphus digunakan, ia sewajarnya perlu bereaksi dengan The Myth of Sisyphus oleh Albert Camus. Ia elok untuk libatkan pertanyaan tentang kegembiraan, meski dalam naskah ini Sisyphus tak sempat diimport kerana mati mengejut, cuma batunya saja yang diimport (yang bikin saya makin kurang faham dengan cara kerja dan alam import-export budaya dan mitos dalam play ini).
Bahagian kedua play ini melibatkan seorang ibu (yang saya rasa diaksikan dengan baik, cuma karakter ini di atas kertas tak cukup kompleks) yang mana anaknya menjadi mangsa kemalangan ditimpa bebola batu Sisyphus yang diimport tadi. Saya ingin bersimpati dengan watak ini tetapi gabungan komedi dan tragedi di dalam play reading ini rasa tak seimbang, dan watak ibu ini seingat saya ingin cari kebenaran tentang apa yang menyebabkan kematian anaknya, dan setelah ia diberitahu kisah sebenar, watak ibu ini saya tidak pasti apa perasaannya sebab cerita berpindah ke watak-watak lain sebelum ditamatkan. Saya rasa play ini mahu gabungkan nada komedi dengan tragedi yakni sesuatu yang bukan senang. Bahagian ibu yang tragik itu hampir ada feel, tetapi nada komedi dalam play ini bikin kecamuk dan perlu diperhalusi lagi.
2. Mortal Man: Two Monologues, playwright Leow Puay Tin, facilitated by Tung Jit Yang. 18 June 2022, Five Arts Centre, GMBB—Satu lagi stage reading work in progress, dengan sinografi dan penyampaian yang baik. Saya sentiasa rasa watak protagonis tulisan Puay Tin ditulis untuk dimainkan oleh Puay Tin sendiri dan dalam kes ini, watak Puay Tin dimainkan oleh Puay Tin sendiri yang membuatkan ia berkesan. Kisah play ini tentang monolog hubungan antara Puay Tin dan Krishen Jit. Kita akan dengar cerita yang sama dua kali, yang pertama diceritakan dari sudut pandang ketiga Puay Tin, dan di separuh masa kedua, kita akan dengar watak Krishen Jit pula menceritakan apa yang telah diberitahu Puay Tin tadi melalui sudut pandang pertama.
Teks bahagian kedua ini saya rasa tak cukup mendalam untuk hidupkan karakter Krishen Jit. Kata-kata yang keluar umpama petikan bahan kajian bagi sebuah penulisan tesis. Watak ini tak hidup pendek kata. Ia jadi repetitif kerana apa dicakap Puay Tin, diulang sekali lagi oleh watak Krishen Jit tanpa ada tambahan atau kedalaman. Sebagai contoh, watak Puay Tin ini ada beritahu bahawa dia tahu satu anekdot (atau rahsia) tentang isteri pertama Krishen Jit. Ia bikin intrig dan kita fikir sebab pembayang sudah diberi, ia akan didedahkan oleh watak Krishen Jit di bahagian kedua, tetapi ia tiada. Apa yang Krishen Jit cakap cuma apa yang dah dicakap Puay Tin sebagai storyteller di awal kisah. Watak Krishen Jit ini cuma baca petikan surat atau teks yang ditulis oleh arwah Krishen Jit sebenar.
Bahagian pertama naskah ini sudah elok, cuma sekarang bagaimana untuk beri kedalaman terhadap bahagian kedua. Watak Krishen Jit yang dihidupkan kembali ini perlu dihidupkan oleh imaginasi Puay Tin tanpa kompromi, dengan kata-kata dan cerita-cerita yang telus. Dalam seni kebenaran saintifik tak boleh lawan kebenaran emosi. Watak ini perlu keluar dari kerangka bukti-bukti kajian. Watak Krishen Jit ini perlu berubah daripada subjek menjadi manusia.
3. Ghaib karya Faisal Tehrani, arahan Fasyali Fadzly. 10 Sept 2022, Panggung Eksperimen, ASWARA—Sebelum kita ke
play ini, ingin saya sentuh baris-baris ulasan
play ini oleh orang lain yang bikin saya jadi tak senang duduk. “Mengkritik karya Faisal Tehrani ibarat meletakkan leher untuk dipancung.” – Roslan Madun via
Ghaib: Karya Faisal Tehrani perlu dilihat dengan mata hati. Ayat pembukaan ini pada saya bertentangan dengan apa yang
play ini nak sampaikan. Ia seolah menjadikan Faisal Tehrani persis Prof Saudade yang disanjung atas dasar ketokohannya—sebentuk fatwa pemujaan tokoh. “Mereka memanfaatkan seluruh ruang permainan dengan gerak (bloking) yang jujur.” Kenyataan ini juga bikin runsing, sebab ‘lakonan yang jujur’ kita boleh faham, tetapi gerak bloking yang jujur? Bagaimana bloking sesebuah teater itu menjadi jujur?
“Sure, this plot twist is an efficient and evergreen storytelling device.” – Rahmah Pauzi via
Ghaib: Can the Unheard Speak? Dalam ulasan dengan judul ala Gayatri Spivak ini, ia ingin menyatakan
plot twist yang berlaku di akhir kisah (yang akan kita sentuh kemudian), tapi dalam kes
play ini
plot twist-nya tak
efficient.
Twist di hujung kisah perlu di-
earned, dan bukan tiba-tiba terjadi. Untuk kata ia
evergreen juga tak pasti, sebab
story yang ada
plot twist secara semberono ini bukan sesuatu yang senonoh.
‘Plot twist’ ini jika kita boleh panggil ia, sewaktu selesai penontonan saya merasakan ia tindakan yang amat old school. Untuk watak tiba-tiba ada penyakit, bayangkan Qayyimah ini merahsiakan penyakit barah. Tetapi dalam kes ini, ia Alzheimer (yang sewaktu penontonan saya sangkakan ia masuk pusat sakit jiwa). Apa pun ia sejenis penyakit yang dirahsiakan, jika dulu watak dalam filem Jins Shamsuddin merahsiakan penyakit daripada anak-anak dan keluarga, dalam kes play ini, penyakit ini dirahsiakan daripada audiens. Dan oleh sebab penyakit yang dipilih Alzheimer, seluruh play yang kita tonton awalnya merupakan fikiran dalaman watak Mama atau Qayyimah ini yang sudah hilang ingatannya (anaknya datang melawat, tapi yang disebut nama Saudade).
Secara strukturnya, plot twist pertama terjadi apabila Qayyimah mendedahkan bahawa dialah penulis 30 lebih buku-buku Prof Saudade (Saudade cuma tulis satu). Dengan pendedahan kebenaran ini, ia bikin intrig sebab saya ingin tahu apa jenis gaslighting atau pukau jenis apa yang dibuat Prof Saudade sehingga Qayyimah boleh menulis 30+ buku-buku “critical analysis on postmodern feudalism, social justice, and political-religions dynamics in society.” Untuk paksa orang tulis satu buku bukan mudah, inikan pula 30 buah buku yang heavy-heavy belaka. Selain itu saya juga ingin tahu, apa reaksi anak-anak dan menantunya dengan kenyataan ini, adakah mereka percaya? Ini poin penting untuk setiap karakter berubah.
Selepas Qayyimah menyatakan kebenaran, bahawa dialah ghost writer buku-buku Prof Saudade, plot twist kedua berlaku on the spot dan potong segala perasaan dramatik dan ingin tahu tadi—Qayyimah ini rupanya pesakit Alzheimer yang tak bernama iaitu Mama. Tindakan ini pada saya aneh, ia seolah beri impresi bahawa selepas kita nyatakan kebenaran, kita jadi sakit dan hilang ingat. Yang merunsingkan, saya fikir ia masih okay kalau anak-anaknya yang jatuhkan hukum ke atas ibu mereka dengan tidak mempercayai ibu mereka, tetapi di sini yang menghukum watak Qayyimah/Mama ini dramatisnya. Sakit ini tak dibuat oleh masyarakat dan ahli keluarganya (Qayyimah berkonflik dengan mereka sepanjang play), tetapi akhirnya Qayyimah dihukum penulis/penciptanya. Meski play ini ingin menuju ke sesuatu yang pesimistik dan tiada harapan, ia tiba-tiba.
Saya fikir potret Prof Saudade yang tergantung itu perlu dibakar, disengetkan atau sesuatu. Sesuatu patut terjadi kepada ikon/berhala ini sebab ia apa yang ditentang dalam play ini, iaitu ketokohan yang berpijak atas usaha orang lain. Itu apa yang saya rasa play ini ingin sampaikan, tetapi dengan watak protagonis yang disakiti oleh semua watak lain, dan lalu diberi penyakit oleh dramatisnya pula, manakala potret antagonis pula tersergam di atas dari mula sampai akhir, dan malah kata-kata terakhir yang keluar dari mulut protagonis merupakan ‘Saudade’. Ia jadi double edged sword di sini, sebab di sisi literal ya kita tahu kita patut berpihak dengan Qayyimah yang tertindas (ini cerita orang tertindas), tetapi secara spiritualnya juga play ini dengan sinografi dan bahasa, meletakkan Prof Saudade di atas altar.
4. Kubah Panggung, idea-konsep Sarina Aziz, arahan Afiza Asram, skrip Azwan Azhari. 2 Okt 2022, MaTIC, KL—Play ini tentang sekumpulan penggiat teater yang mana tempat latihan mereka (iaitu JKKN, KL) mahu dirobohkan. Untuk menghalang tindakan ini, ia bermula dengan protes dan sepanduk, tapi kemudian mereka dapat idea untuk buat kertas kerja tentang sejarah bangunan yang penuh sejarah itu dalam menghalang ia dari dirobohkan (untuk apply sebagai bangunan warisan barangkali). Bermula dari sini, play ini mengaksikan semula memori-memori di bangunan ini.
Secara ideanya play ini menarik, tetapi apa yang kurang pada saya bagaimana ia disampaikan. Ia tidak jelas untuk sebuah play yang ingin sampaikan fakta sejarah. Ia mulanya terasa metafiksyen, kerana pada awalnya saya sangkakan mereka sedang bercakap tentang bangunan MaTIC (di mana persembahan ini berlangsung), tetapi rupanya ia merujuk kepada bangunan lain di KL (selepas setengah jalan ditonton). Rekaan pentasnya minimal dengan prop bongkah-bongkah putih dan kain putih sebagai latar. Tetapi minimalism ini jadi excessive, dalam erti kata ia jadi serabut bila digabungkan dengan pencahayaan dan pancaran projektor yang berwarna-warni.
Play ini merentas waktu (sepertimana play Opium selepas ini), dan secara kronologi. Tetapi ironinya, oleh kerana penyampaiannya tidak jelas dan tiada clarity, ia terasa kabur. Penyampaian di sini bukan oleh para aktor, kerana lakonan mereka jelas saja (malah ia meyakinkan untuk sebuah grup teater amatur yang mana cuma ketuanya saja yang paling into lakonan). Yang tak jelas adalah bagaimana bangunan JKKN, KL itu yang juga merupakan watak penting, tetapi tidak diberikan imej yang kuat. Saya ada rasa pancaran projektornya lumens rendah, membuatkan saya sebagai penonton tak rasa kewujudan bangunan itu. Fakta-fakta tentang bangunan juga tidak cukup kuat untuk kita membayangkan kewujudan bangunan itu (saya masih terpesong memikirkan ia tentang panggung MaTIC itu sendiri).
Ada satu momen yang mengesankan apabila ensembel pelakon memainkan semula watak tokoh-tokoh teater dari masa lalu yang bikin lucu dan nostalgik. Malah nama grup teater mereka juga sempena nama yang serupa dengan nama grup teater Mustafa Noor (yang saya sudah lupa). Dengan premis ini, saya fikir penting untuk grup ini dalam masa sama mencari identiti sendiri selari dengan usaha mengkaji sejarah bangunan JKKN, KL, tetapi ini tidak diteroka di dalam play ini. Saya malah lupa bagaimana play ini berakhir. Ia tiba-tiba menjadi gembira. Play ini terasa simplistik dan moralistik dengan idea bahawa jangan protes ikut emosi via demonstrasi jalanan, sebaliknya buat kertas kerja untuk establish bangunan (yang bakal dirobohkan) dengan sokongan sejarah, sebagai bangunan warisan.
5. Opium at Closing Time, written and directed by Tarrant Kwok. 26 Oct 2022, Black Box, DPAC—Satu lagi play tentang Alzheimer tetapi secara strukturnya ia lebih baik dan jelas jika dibandingkan dengan Ghaib. Play ini menampilkan memori-memori lama seorang ibu bernama Yen yang lahir dalam keluarga yang buka kedai runcit, melalui zaman perang, darurat, Hartal Pulau Pinang 1967 antaranya. Yen dijaga oleh anak lelakinya bernama Chai yang saya rasa watak ini boleh diperkukuhkan, kerana setakat ini watak ini monotonous dan tak ada arc, dan cuma dipaparkan perlu bersabar dan suruh ibunya Yen kembali duduk di kerusi, selepas Yen selesai menceritakan memorinya kepada audiens.
Ia tiba-tiba berubah apabila dua kali adegan Chai menjadi muzikal yang pada saya janggal sebab ia muzikal dari perspektif Chai: untuk beri idea bahawa meskipun Chai ini sewaktu jaga Yen tak berperasaan sangat, lebih kepada menahan sabar dan menahan marah bila ibunya cakap hal lepas (seperti ingin bersiap-siap untuk ke konsert Sudirman misalnya), tetapi sebenarnya dia sayangkan ibunya (ini dinyanyikan secara muzikal). Untuk shift perspektif ini daripada watak Yen kepada Chai mungkin berkesan andai ia sebuah komedi light-hearted, cuma dalam kes play ini ia turut melibatkan trauma-trauma negara di masa lalu yang berlaku di Penang.
Naskah play ini ada potensi (untuk alami peristiwa-peristiwa gelap negara yang banyak dan tak berfokus kepada satu ini menarik), tetapi pelaksanaannya boleh lebih diperhalusi. Sebagai contoh oleh kerana play ini berdepan dengan unsur sejarah yang dark dan ganas, adegan askar Komunis (atau Jepun?) ambil beras dan nyawa dari kedai runcit mereka ini boleh diberi sentuhan muzikal agar ia lebih intens dan harrowing. Maksudnya daripada gunakan muzik gembira untuk situasi gembira, ia akan lebih menakutkan jika muzik gembira digunakan di situasi yang tak sepatutnya. Jika Nudity & Mortality Report: Mount Kinabalu cuba menyeimbangkan antara komedi dan tragedi, dalam Opium at Clossing Time ia sedang menyeimbangkan sesuatu yang light-hearted dengan historical trauma, memang bukan mudah. Range antara ringan dan berat ini kalau tak jauh, membuatkan perasaannya tersekat di tengah dan ia bahaya kerana di tengah ini terletaknya mediocrity.
6. Two Lines in a Square devised by Ora, Seng Soo Meng and Li-Chuan Lin (Aki), 5 Nov 2022, Now Theatre—Emosi yang dibawa tidak jauh daripada play Opium sebelum ini tetapi dengan pelaksanaan yang berkesan. Ada satu kesedihan terpendam, dan ia turut berdepan dengan trauma masa lalu. Secara sinopsisnya ia berkisar sekitar tiga generasi di dalam satu keluarga: Watak Atuk lakonan Seng Soo Meng telah kehilangan anak lelakinya di dalam satu rusuhan (kaum), diikuti oleh watak cucunya lakonan Ora yang ingin mengkaji dan menyiasat tentang kehilangan bapanya. Watak ibu lakonan Li-Chuan Lin muncul sebagai hantu memori dan dokumentasi rakaman audio. Dari segi geografi, feel-nya terasa lebih memberat ke Taiwan (ada ikan paus disebut), dan kurang rasa hangat khatulistiwa.
Meski play ini dilaksanakan oleh tiga orang dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapore dan Taiwan, tetapi oleh kerana pementasan ini terjadi di Malaysia, saya rasa alangkah baik jika ia spiritually lebih grounded dengan atmosfera di Malaysia/Singapore. Barangkali perasaan membaca sari kata Inggeris ini yang buat saya terbayangkan ia memberat ke Taiwan. Boleh jadi buat mereka yang menonton dan memahami bahasa Mandarin, lenggok bahasanya buat ia rasa lebih setempat.
Saat yang paling menangkap untuk saya terjadi apabila watak Ora berbual dalam bahasa Inggeris dengan AI jam tangan pintarnya. Ia momen yang membolehkan saya terhubung dengan kata-kata yang diucap (ia difahami), tapi dalam waktu yang sama perasaan loneliness dan sedih pula yang menyusup tiba. Selain itu fizikaliti Soo Meng yang berlakon dengan prop bangkunya membolehkan kita membayangkan adanya basikal dan titi. Kedua-dua aktor yang berada secara langsung ini beraksi dengan baik, cuma yang kurang berkesan pada saya adalah keberadaan pancaran video Li-Chuan Lin yang dirakam dengan efek glitch/jump cut? Kesan ini entah kenapa bikin saya sedikit detached dengan persembahan, untuk memikirkan kenapa ia sebegitu rupa pada ketika itu. Saya rasa keberadaan watak Li-Chuan Lin ini tentu lebih baik jika ia dizahirkan secara lebih berhantu (projection life size?/tanpa jump cut?). Kerana ia bukan tubuh fizikal dan bukan juga memori dari komputer, ia memori yang datang secara ingatan manusia (selain itu ada memori berbentuk rakaman audio yang disimpan anaknya). Ini walau bagaimanapun cuma satu hal kecil, tetapi secara umumnya emosinya stabil dari awal hingga hujung dengan direction yang jelas. Satu daripada dua performans yang elok buatannya yang saya tonton untuk tahun 2021-2022.
7. 14 Februari, tulisan dan arahan Walid Ali, Black Box, DPAC—Jenaka offbeat Walid ini membuatkan saya terumbang-ambing antara perasaan mahu cringe, rasa hambar, dan lucu dalam waktu yang sama (perasaan ini tak tetap di satu pola sebaliknya ia sentiasa berubah-ubah arah sepanjang play). Jika saya boleh gambarkan bagaimana rupa jenaka ini, ia naif, shallow, ada waktu anti-jokes, ada waktu slapstick, dan ada waktu mendekati lawak-lawak meme di internet. Tapi, di bawah lapisan komedi ini sensibility-nya masih berlegar-legar di sekitar stereotaip yang membuatkan lawaknya rasa dari masa lampau (dari tahun hujung 90an dan awal 2000an, sekitar terbitnya filem Titanic barangkali). Ia ada potensi untuk jadi dark comedy dengan menyentuh hal-hal sensitif dan taboo, tapi oleh kerana cara ia di-handle ringan dan naif, sukar untuk kita fahami sifat karakter yang tiba-tiba mahu selfie dan buat IG story sebelum terjun KLCC misalnya, tanpa kita faham perangai dan situasinya terlebih dulu. Adegan yang paling berkesan untuk saya apabila Nadia meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap lelaki (dalam mencari pasangan), meski baris ayatnya biasa, tapi terasa benar (bila dikontras dengan hal-hal lain).
Di atas kertas, kedua karakter lelaki (Sadiq) dan perempuan (Nadia) ini terasa karikatur, dan sifat mereka juvenil dan kebudak-budakan dari sekolah (awal) hingga dewasa (akhir). Tiada proses pembelajaran dan kematangan berlaku setelah mereka menempuh penolakan dan perpisahan sebanyak 100 kali (atau adakah ia 1,000 kali?). Sebagai penonton yang memerhati, tak dinafikan watak lelaki lebih banyak ditolak, manakala watak perempuan pula lebih banyak menolak. Ia tentu lebih baik jika dinamik setiap perhubungan mereka ini jadi lebih luar duga, rencam dan mencabar.
8. khakkhakkhak performance by Liew Chee Heai (creative director), Loke Xiaoyun, Sandee Chew, Tung Jit Yang (26 Sept, part 1?), KongsiKL—Perfomans ini lebih berupa instalasi dengan manusia di dalamnya yang melakukan aksi yang berulang-ulang, sebentuk endurance art. Telah dijelaskan lebih awal bahawa ia berdurasi 4 jam (meski performance ini bertahan selama 3 jam setengah), jadi saya sebagai audiens sudah persiapkan diri untuk turut endure durasi ini. Cuma pengalaman saya bersama performans ini adalah seperti berikut:
Dalam sejam pertama saya duduk paling hadapan (tapi kerap berjalan ke belakang sebab repetition yang berlaku meresahkan), kemudian sejam kedua saya duduk paling belakang, agar bayang-bayang audiens beri satu layer foreground kepada performans tersebut (entah kenapa bayang dan gerakan tubuh audiens bikin saya jadi tenang), selain itu, saya turut keluar untuk berbual kerana saya seakan sudah tahu struktur performans ini iaitu ia perlu endure gerakan-gerakan tertentu dalam tempoh tertentu, sebelum ada reset point, untuk gerakan dan posisi performer berubah. Sejam ketiga saya makan dan minum di gerai mamak. Sekembalinya untuk saksikan sejam terakhir (yang akan berakhir dalam 30 minit), visualnya kembali memukau untuk beberapa ketika, dan pada ketika ini, para performers (termasuk improvisasi suara) sudah rabak dan sudah blend in dengan rekaan set tersebut yang membuatkan perasaannya lebih baik. Aksi yang dibuat juga lebih kuat, dengan Chee Heai terbalik dengan kaki seperti dahan pokok (sama dengan posisi pembukaan), Jit Yang dengan botol-botol plastik di dalam baju sebagai pelapik sebelum dia berlari melanggar dinding bangunan, manakala Sandee pula mandi dengan cawan kecil yang diceduk dari gayung yang berisi air (mungkin objek yang saya sebut silap, tapi performans ini memang perlukan audiens untuk lihat dari jarak jauh).
Ia ada imej yang menarik dengan sebuah pulau di tengah, ada pintu di kiri, dan tangga merah di kanan. Takungan air (rekaan set ini membanjirkan ruang penformans dengan air) membuatkan kilauan beralun pada dinding, selain ia beri sedikit pantulan apabila kita melihatnya. Ia kelihatan cantik visually di dalam foto dengan variasi permainan cahaya ini, tetapi aksi-aksi yang terisi... ada sesuatu yang buat saya susah untuk endure sekali.
Secara umumnya saya merasakan satu jam setengah terakhir performans ini baik, tetapi dimulakan dengan dua jam awal yang longgar. Oleh kerana rekaan set tidak berubah di separuh masa pertama (di separuh masa kedua pokok akan diganti, dan botol-botol plastik muncul terapung) saya rasa ia boleh ambil lebih masa dalam mendedahkan karakter-karakter ini, satu persatu instead of ketiga-tiga mereka muncul serentak dan buat aksi berulang yang sama. Ia terlalu cepat. Dan saya selaku audiens juga amat cepat untuk tangkap loop yang dibuat. Sebagai contoh Sandee masuk dan pusing di pintu yang sama secara berulang kali. Sandee cuma pusing di sebelah bingkai pintu tersebut, membuatkan aksi pusing pintu ini ambil masa dalam 5 saat. Untuk Sandee buat kitaran ini tiga kali, ia cuma ambil 15 saat (sekadar anggaran). Dan bila perbuatan ini diulang tiga kali, secara automatik kita tahu ini repetition yang akan dibuat oleh Sandee, dan perulangan ini akan dibuat selama 40 minit (anggaran saya). Jit Yang pula meloncat-loncat dalam lopak air, sambil berkata sesuatu yang inaudible, selain mengetuk kepalanya untuk keluarkan air yang masuk telinga. Aksi ini juga diulang selama 40 minit tadi. Chee Heai paling tenang dengan menterbalikkan tubuhnya, kita cuma nampak kakinya ke atas, sedang mengimbangkan diri. Dan kaki ke atas ini seperti sebatang pokok yang ada di atas pulau kecil itu. Selepas 40 minit, cahaya menjadi terang dan semua performers berdiri di hadapan mengadap audiens, untuk beri idea bahawa ia reset point, sebelum ketiga-tiga performers berubah posisi (Chee Heai ke pintu pula, Sandee ke area tangga merah, manakala Jit Yang ke pulau di tengah). Apabila ini berlaku, secara cepat juga ia mendedahkan bahawa kitaran yang sama akan berulang kembali. Satu aksi baru di posisi baru yang berulang, sebelum ia di-reset kembali.
Apa yang ingin saya cakap kat sini adalah, bila struktur dan mekanisme performans ini terbongkar, ia tak lagi beri intrig, dan selain itu, oleh kerana rekaan pentas agak statik dan sudah didedahkan kesemuanya oleh lampu, maka tiada lagi misteri yang tinggal. Yang tinggal kini hanya rentak gerakan tubuh performers. Dan ia hanya boleh sustain minat audiens jika ia ada rentak yang tepat, atau gerakan itu amat bagus. Tetapi oleh kerana setiap gerakan ini berasaskan improvisasi dan repetitif, ia jadi longgar. Dan kerana itu, ia hanya selepas 2 jam, baru bibit-bibit kesatuan/chemistry muncul di kalangan performers tetapi ini sudah terlewat buat audiens yang secara perlahan-lahan meninggalkan lokasi.
Menyentuh tentang rentak: rekaan set ini beri hawa stillness (yang bergerak hanya air dan pantulan bayang-bayang dari air), dan kerana itu apabila Chee Heai mengimbangkan diri dan terbalikkan dirinya ia paling mendekati semangat set ini. Malah rekaan set yang surreal ini buat saya membayangkan bahawa ia dunia dalam kepala Chee Heai (yang juga merangkap pereka set). Sandee di kiri dan Jit Yang di kanan, membuat gerakan yang pada saya terlebih dari yang sewajarnya (excessive). Ia terlalu awal, dan saya fikir Sandee dan Jit Yang patut tumbuh, lahir dan muncul perlahan-lahan dari semangat ruang ini. Ia ingin tarik perhatian, tapi dalam masa sama sebab ia laju, abstrak, repetitif dan serentak, susah untuk kita kekalkan perhatian. Jika performans ini embrace stillness dan slowness di bahagian awal, ia tentu akan jadi lebih baik.
9. Schism oleh Arifwaran, black box Aswara—Performans ini seri dengan Two Lines in a Square di mana ia dua persembahan paling mengesankan yang saya tonton di tahun 2021-2022. Persembahan seni sentiasa tentang getaran dan perasaan yang disampaikan dengan direction yang jelas. Schism tentang aspek kekaguman/spectacle/tasmat dan ia dibuka dengan tarian berkostum suatu makhluk, disinari pancaran laser yang hi-tech (dalam konteks performans ini). Semakin performans ini berjalan, semakin ia menuju ke teknologi low-tech, efek praktikal lampu-lampu, dua projektor serta boneka gergasi dengan etos DIY. Ideanya adalah untuk teknologi low-tech ini lebih mengkagumkan daripada sinar laser yang canggih. Tak hanya kekaguman, semakin kita menuju ke penghujung, ada emosi yang ditanggung dan diheret membuatkan aksi di hujung kisah semakin memberat.
Selain secara visual, dari aspek rekaan bunyi beberapa babak awal menggunakan muzik yang rancak dan bingit (muzik kelab, rave atau sesuatu), kemudian di tengah kita ada puisi Sebatang Lisong oleh Rendra, audio pidato Sukarno?, audio temubual bersama Arifwaran sendiri, sebelum berakhir dengan lagu That Wonderful Sound nyanyian Shagul Hamid. Ia ada energy yang sangat raw, hingga satu takah ia membuatkan ruang black box Aswara itu terasa seperti KongsiKL, lalu sekilas ia buat saya merasakan kerja-kerja SeniTiga/etc. di KongsiKL secara umumnya (yang saya suka dan rasa paling kontemporari berbanding persembahan-persembahan lain di ibukota) kini terasa tak cukup sesuatu... tak cukup kedalaman, barangkali kerana ia terpisah dari derita lingkungan dan masalah kehidupan? Tak juga, sebab saya fikir semua orang akan pancarkan masalah dalaman diri mereka melalui karya sama ada dia sedar atau tak, cuma bagaimana ia disampaikan itu yang menjadi soal.
Jika ada sesuatu yang boleh diperhalusi, saya fikir cerita tentang lapar via rakaman audio itu boleh dianjak ke takah fiksyen—agar kelaparan yang digambarkan menjadi semakin tak masuk akal, tapi kita tahu perasaannya benar. Anjakan fiksyen ini saya fikir akan lebih membantu menghidupkan boneka gergasi itu kerana kedua-duanya memerlukan audiens untuk berimaginasi.
KESIMPULAN
Dalam kes dua performans yang mengesankan saya untuk 2021-2022 iaitu Two Lines in a Square dan Schism ini, apa yang tiada pada werk-werk teater dan performans lain ialah penguasaan cara menterjemahkan emosi yang terpendam. Teater, filem, seni performans atau malah apa-apa seni kontemporari hari ini sentiasa bersifat eclectic, jadi nak tak nak penguasaan tubuh, penguasaan bahasa, penguasaan visual, penguasaan bunyi, dan macam-macam penguasaan tambahan lain perlu ada di dada. Bagaimana sesuatu emosi itu di-articulate melalui gerakan tubuh, melalui pengucapan bahasa, melalui imej visual, melalui susunan peristiwa, melalui rekaan bunyi, dan semua ini perlu koheren dan serentak sebagai ensembel. Koreografi cahaya dan ruang sepenting koreografi kata-kata dan gerakan tubuh. Bila perlu tak bergerak? Bila perlu diam? Bila perlu gelap? Bila perlu senyap? Semua ini perlukan sensitivity dan penguasaan dalam menuju suatu direction yang jelas.
Ridhwan Saidi