Sabtu, Disember 07, 2019

Lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019

Meneruskan amalan tahunan blog ini dengan senarai ‘Tiga performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2018’ dan ‘10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017’, berikut merupakan lapan performans yang saya tonton dan rasa terkesan untuk tahun 2019. Selain itu saya perlu pisahkan werk sendiri dengan orang lain, jadi di entri ini terkumpul kerja-kerja teater/play/performans saya: ‘Apa yang dibuat untuk tahun 2019’.

Terkesan di sini dalam erti kata saya dapat rasa sesuatu. Ada sesuatu yang bikin saya heightened, biar pun sekejap dan tidak menyeluruh, sebab perasaan ini amat langka lagi-lagi dalam seni persembahan (ia lebih mudah dialami via buku atau filem). Mungkin semuanya menjadi, atau mungkin ada bahagian-bahagian tertentu yang menjadi. Hati saya terbuka dan saya diserap/terserap masuk ke dalam dunia/karakter itu. Dan adakala pilihan ini secara tak langsung menjadi kuat apabila ada play/performans lain yang dibikin kemudian, dengan kepekaan atau isu yang sama, tetapi kurang kuat membuatkan kita teringatkan play/performans yang lebih kuat dan padu di awal tahun. Tanpa melengahkan masa, ini merupakan lapan pilihan performans/teater yang saya tonton dan alami di tahun 2019 yang mengesankan:


Orang Asing (2019) tulisan Hariry Jalil, arahan Afendy Shah (Asterik Anak Seni), Revolution Stage, Februari 2019
Apa yang saya gemar dari pementasan ini rekaan setnya dan nuansanya beri impresi ‘kemas’ hasil sentuhan Afendy Shah. Sebuah male melodrama, ia tulisan baru oleh Hariry Jalil. Ia play yang berkisar tentang situasi watak suami pertama yang dipenjara, seorang suami kedua serta hubungannya dengan seorang anak lelaki remaja yang bisu. Di tengah-tengahnya ada watak isteri dan anak perempuannya yang sedang sakit di dalam wad, tetapi fokusnya lebih kepada tiga lelaki tadi. Kita boleh kata bahawa ia sebuah cerita tentang kelelakian dan maskuliniti yang diuji takdir, dengan penuh ketegangan (ia turut menampilkan dua badut sans humor). Penulisannya berkisar kehidupan dewasa yang matang, dan ini buat ia menyerlah pada saya, kerana selalunya play baru yang ditulis atau di-devised lebih longgar bentuknya dan selalunya amat mudah dipengaruhi budaya popular dari segi garapan dan kata-kata menjadikannya keanak-anakan atau penuh sentimental, menjadikannya jengkel atau senang dijangka.

Meski play ini ada sikap drama tivi Melayu, tetapi keterbalikan watak (lelaki dimangsai dan berserah kepada takdir) tadi bikin ia unik, berbanding play (terutama dalam bahasa Melayu) lain yang ada waktu cenderung misoginistik dan disturbing (di mana watak perempuan dimangsai secara emosi dan fizikal dari mula sampai habis), atau masalah tipikal iaitu watak-wataknya cuma satu dimensi dan rata. Ada juga play-play yang lebih kontemporari dan rajin gerakan ensembelnya tetapi tidak cukup kuat dalam menyampaikan teks, lebih gaya dari makna/isi—kadang-kadang kita rasa ia macam koreografi Anugerah Juara Lagu. Orang Asing meski kelongsongnya realisme dan old skool, tetapi garapan dan sensibility-nya tak terjerat untuk embrace klise budaya popular yang tidak senonoh. Ini amat dihargai, kerana benda terakhir yang saya nak temui dalam teater ialah unsur bawaan tivi yang bukan-bukan (yang selalu saya temui!).


to which my brother laughed; (2019) arahan Tung Jit Yang, Pentas 2, KLPAC, Feb-Mac 2019
Dengan live performance dan score asal oleh kugiran Shh… Diam!, saya dapat rasakan tenderness dan dalam masa sama, suatu enclosure seperti bubble apabila ia tiba di penghujung. Ia rasa begitu middle-class, bandar, personal dan tulen, cuma oleh kerana ia kerap merujuk kembali kes sebatan yang berlaku di Terengganu, percanggahan kelas dan sensibility ini adakala buat ia rasa berjarak dengan kes sumbernya (bila saya bayangkan nuansa di Terengganu). Ia paling ketara apabila ensembel performer menjalankan kitaran fesyen show. Kontras antara kota yang ada KL Fashion Week dengan Dungun jauh, dan bagaimana ia boleh didekatkan?

Dalam melawan violence yang berlaku di Terengganu, play ini meraikan cinta di dalam ruang selamat Pentas 2 di Kuala Lumpur, didukung oleh majoriti audiens yang sedia menyokong, lagi pula sebelum intermission, para audiens dipinta untuk bersolidariti dengan performer tanpa kata-kata selama 20 minit. Saya cukup faham apa yang sedang berlaku, mekanismenya (John Cage) dan apa yang diingini, tetapi ia buat saya fikir kembali kenapa saya berada di ruang teater: buat sementara adakah ia okay untuk saya memilih menjadi (minoriti) antagonis di dalam panggung itu?

Meski saya sedar kes sumber cuma dicubit, dan empati lebih berfokus kepada setiap ahli ensembel yang mendedahkan diri masing-masing, saya boleh tangkap urgency yang diperlukan dalam meluahkan rencam perasaan masing-masing. Ada momen yang intens dan menyentuh. Ia boleh jadi sedikit privilege (kerana kita tak boleh elak dari bandingkan situasi di Terengganu yang jadi rujukan), tapi entah kenapa saya boleh appreciate ia sebagai naratif Kuala Lumpur, dan kerana itu ia kontemporari? Sastera dan teater di Malaysia rata-rata punya semangat, sentimen dan nuansa kampung, dan jarang sekali ia all out bandar. Jika ia berlatar bandar, kampung biasanya menjadi jalan keluar untuk capai kebahagiaan. Play ini terbalik. Buat jarang-jarang kali, kebahagiaan ada di bandar.


Void in Void (2019) arahan Liew Chee Heai, dalam siri SeniTiga, KongsiKL, April 2019
Segmen pembukaan oleh Lee Ren Xin amat kuat dan cukup solid di mana kita di dalam gelap, melihat beberapa lampu bergantungan di lehernya yang sedang berusaha mencari jalan keluar dari timbunan perabot lama dan rak yang melekat di dinding. Ia amat simple dan di sini saya akui bahawa yang buat ia mengikat dan intens adalah energi gerakan tubuh, yang berlaku di dalam gelap—bikin misteri. Ia mengingatkan saya kepada Plato’s Cave atau sesuatu. Jika TubuhDang TubuhDut oleh Ayu Permata Sari menjadi pilihan saya tahun lepas dalam mendepani bahasa tubuh, tahun ini ia segmen Ren Xin yang satu ini.

Segmen kedua lebih scenic dan fotografik yang turut menampilkan Liew Chee Heai. Kita nampak imej-imej tubuh dan pohon dalam cahaya low-key. Ia kemudian akan menampilkan projeksi tangan gergasi pada dinding Kongsi, lalu bertindih dengan permainan bayang-bayang tangan Ren Xin. Perlu saya puji di sini, dalam persembahan ini rekaan bunyi live-nya amat mengisi ruang dan connect dengan apa yang berlaku. Jarang saya suka rekaan muzik dalam play/performans yang ditonton. Majoriti semua performans lain yang saya hadiri, rekaan bunyinya seakan ditampal atau tidak sebati dengan performans, tetapi yang ini tidak. Ia atmosferik sehingga tiba di penghujung, seluruh peformans ini akan mengepung kita secara tiga dimensi. Banyak performans kontemporari cuba tamatkan performans mereka dengan muzik berintensiti tinggi sebelum lalu ia tiba-tiba sunyi (Violent Event turut melakukan hal yang sama), tapi yang ini menjadi untuk saya, kerana perasaannya via muzik terbawa dari mula.

Performans ini meyakinkan saya bahawa sesuatu yang abstrak boleh menjadi, setelah rata-rata bertembung dengan sesuatu yang abstrak dan tidak menjadi. Bagi saya sesuatu yang abstrak pasti menjadi, apabila ia datang dari diri yang berisi. Jika diri kosong, abstraksi itu biasanya cuma jadi permukaan dan stail yang kosong dan tidak bermakna. Dalam kes ini Liew Chee Heai merupakan seorang fotografer dan peladang, dan bagaimana perasaan fotografi dan berladang terpancar sebagai live performance. Adakala kita terasa seperti di dalam galeri, adakala kita terasa seperti di dalam kamera.


Plunge, play reading (2019) tulisan Jean Tay, bikinan Irfanuddien Ghozali and team, IFI-LIP Yogyakarta Auditorium, Julai 2019
Reading ini berbekas buat saya kerana performans para aktor-nya. Ia rasa kemas dan berlagu. Ia ada rentak yang tepat, ada kala saya rasa kebanyakan pementasan penuh yang saya tonton, tidak temui rentak ini. Ini membuktikan bahawa meski ia cuma bermain dalam bentuk play reading, ia sudah cukup untuk memberikan kesan. Dari segi naskhah, apresiasi saya datang dalam cara berbeza dalam erti kata, oleh kerana reading ini salah satu dari program bacaan Asian Playwrights Meeting, saya lebih terdedah dalam menekuni semua play dari setiap negara, untuk tangkap cara bercerita dari setiap sampel yang ada. Sejauh mana naratif diteroka, dari negara ke negara. Untuk Plunge ini, ia menarik kerana skopnya merentas seluruh Asia Tenggara, berlatar krisis ekonomi yang melanda kita pada tahun 1997. Bagaimana sesuatu yang makro dari sudut pandang seorang ekonomis, menjadi mikro via cerita yang disampaikan oleh seorang pembaca berita.


Damage Joy (2019) oleh B-Floor Theatre, arahan Nana Dakin, Bangkok Art and Culture Centre, Oktober 2019 dan Violent Event (2019) konsep dan koreografi oleh Billinger & Shulz (Jerman), Host BKK, Oktober 2019
Foto: The Momentum
foto: Alex Brenner via Billinger & Schulz FB page
Damage Joy dan Violent Event dua pementasan berbeza yang saya tonton di BIPAM 2019. Meski setiap satunya menarik dengan cara tersendiri, tetapi dalam reviu ini saya gabungkan sebab entah kenapa perasaan saya menjadi penuh apabila kedua-dua play yang bermain dengan pain dan keganasan ini bertemu. Satu dari Thailand dan satu dari Jerman. Dua-dua bermain dengan unsur humor, atau dark humor tapi dengan sensibility yang berbeza. Satu amat Asia dan Timur, ini malah termasuk bentuk tubuh, manakala satu lagi lebih Eropah dan Barat. Kontras ini bikin dialog di dalam kepala saya, dalam menggarap violence ke dalam kerja teater. Humor sudah awal-awal di-establish dalam Damage Joy kerana keempat-empat watak-wataknya berupa badut, yang akan saling menyeksa antara satu sama lain demi nikmat (joy) audiens. Audiens secara konsensus boleh menghentikan penyeksaan ini, tetapi ia tak berlaku dalam sesi saya. Manakala humor dalam Violence Event menyelinap perlahan-lahan. Ia bermula serius persis kanak-kanak bermain, dengan satu tumbukan ke perut dan genggam wajah untuk dicampak ke lantai, sebelum kita sedar bahawa tindakan-tindakan ini makin lama makin mengarut (dalam erti kata violence dipaparkan, tapi dalam masa sama tindakan ini bukan untuk diraikan tetapi dikritik) sehingga ia menjadi koregrafi tarian dengan gesture-gesture yang barangkali amat subversif di hadapan penonton Barat.


In Ter’s View x New Cambodian Artists (2019) arahan Wichaya Artamat dengan kolaborasi New Cambodian Artists Dance Company, Saeng Arun Art and Culture Center, Oktober 2019
Format temubual dan diseling dengan performans serta dokumentasi video ruang latihan ketiga-tiga mereka di Siem Reap memberi lapisan makna terhadap gerakan-gerakan yang mereka lakukan—ada sentuhan autobiografi mereka secara kolektif, sebagai penari kontemporari. Ini penting sebab rata-rata performans yang menggunakan gerakan dan tarian yang saya saksikan setakat ini di Malaysia, membawa naratif yang simplistik. Misalnya penari ini kelihatan dibelenggu dan terikat, dan akhirnya ia berjaya bebaskan diri. Aksi gerakan yang gunakan naratif ‘ingin bebas’, terlalu mudah pada saya, ia tiada lapisan lebih mendalam. Selain itu, meski New Cambodian Artists ini di pihak yang ditanya, dan penggerak siri In Ter’s View dari Thailand (dan lelaki) yang akan sentiasa bertanya, ia tidak membuatkan mereka yang cuma di pihak yang menjawab ini dimangsai, sebaliknya mereka stabil dan kuat sebagai perempuan. Ini saya kagumi, kerana dalam konteks kebiasaan di Malaysia, jika orang yang ditanya itu tiada kesedaran bahawa mereka agency, soal jawab ini akan jadi satu hala. Cuma pihak bertanya yang berkuasa persis interogasi.

Maafkan saya sebab asyik membanding performans ini dengan situasi di Malaysia, tetapi satu lagi yang bikin saya terfikir ialah, betapa mereka ini kontemporari kerana dari kecil sudah dibentuk dengan seni tarian tradisional yang lebih rigid dan mencengkam. Ini naratif paling basic, untuk menjadi kontemporari, iaitu untuk membebaskan diri dari naungan disiplin tarian yang sudah ada acuan. Kita manusia diacu untuk masuk ke dalam acuan itu. Untuk menjadi kontemporari adalah untuk keluar dari acuan itu. Ia dikotomi tradisional-moden yang straightforward. Cuma di Malaysia saya dapati ada juga para penari lepasan universiti yang selalunya serba boleh. Mereka boleh gerakkan pelbagai teknik dan jenis (jika bukan semua!) tarian tradisional dan moden. Jadi ia bikin saya tertanya, jika mereka melakukan sesuatu yang kontemporari, ia terbit dari kegelisahan, belenggu atau masa silam yang bagaimana, atau ia sekadar saduran teknik?


The Optic Trilogy, play reading (2019) tulisan Alfian Sa’at, arahan Bhanbhassa Dhubtien, Alliance Française auditorium, Oktober 2019
Sewaktu di BIPAM telah saya tonton deretan performans tanpa/kurang kata-kata dan lebih berasaskan gerakan yang mempesonakan, dan ini telah menginspirasikan saya untuk tinggalkan kata-kata... sehinggalah saya tonton play reading The Optic Trilogy ini di hari terakhir. Ia mengembalikan keimanan dan kepercayaan saya terhadap kata-kata. Bahawa kata-kata merupakan teknologi tercanggih teater. Seluruh direction play reading ini menghampiri apa yang saya bikin dengan Teater Normcore. Gerakan minimal dan cuma lafazan kata-kata yang tepat. Meski pun ia cuma play reading, dengan dua aktor duduk di kerusi tinggi, dengan helaian kertas A4 (serta seorang lagi pembaca stage direction di kerusi rendah), ia sebati dengan naratif. Pembaca lelaki dari Thailand manakala pembaca perempuan dari Filipina, dan cara mereka sebut kata-kata dalam bahasa Inggeris agak kontras. Ia memberikan lapisan tentang cara mereka berdua berhubung—seorang sedikit pelat, manakala seorang lebih bulat sebutannya—siapa yang lebih memendam rahsia?

Play yang terbahagi kepada tiga bahagian ini mengenai rasa keterasingan, keseorangan dan kerinduan dan ia diakhiri dengan satu gesture sentuhan yang sewajarnya membuatkan kita rasa hangat, setelah luahan kata-kata dingin, kejam dan brutal dihamburkan. Dengan sihir dan magik kata-kata, perasaan saya benar-benar ditusuk dan terbuka, untuk masuk ke dalam dunia kedua karakter yang sedang di dalam kesakitan ini. Ada poin mengingatkan saya waktu baca skrip Harold Pinter atau tonton The Bitter Tears of Petra von Kant, Rainer Werner Fassbinder (ini rujukan peribadi, dua bacaan dan tontonan ini membekas dalam diri saya) yang mana perasaannya intens walaupun secara visual tiada apa-apa pergerakan berlaku. Ia sesuatu yang saya sendiri ingin capai dalam teater saya dan tak saya sangka dapat saya saksikan ia di depan mata saya melalui play ini. Di era di mana manusia mulai sinikal dan tidak lagi mempercayai kata-kata, ia memberi saya semangat untuk terus meyakini kata-kata, dan drama, dan gerakan, dan sastra, dan sentuhan, dan karakter, dan puisi.


Ridhwan Saidi

P/s: Ada dua play reading dalam senarai ini, dan saya mulai sedar bahawa saya kini cukup pasti bahawa meski pun play reading bukan produksi teater penuh, tapi jika fikiran dan perasaannya terisi, alangkah ia lebih bermakna daripada produksi teater penuh sans fikirasa.