Lucu, antara respon spontan orang apabila saya cakap ‘saya buat teater’ ialah, mereka fikir saya pelakon. Ia stereotaip umum untuk nampak imej orang sedang berlakon di dalam teater, ia terlalu ketara. Tapi saya sedar, bukan sebab saya tak boleh hafal skrip atau paling kurang tak boleh berlakon pun, alasan terkuat kenapa saya tak nak berlakon adalah sebab di Malaysia kita sudah ada ramai pelakon (serta mereka yang ada daya dan keinginan berlakon), tidak kurang yang berbakat dan berpotensi. Saya fikir, dari saya develop diri saya jadi pelakon dan mengganggu periuk nasi orang yang lebih berbakat, lebih baik saya raikan pelakon-pelakon di sekitar saya. Ada kala jika seseorang itu tidak berbakat berlakon, dia sentiasa boleh perform. Menjadi performer tak semestinya kena ada kebolehan berlakon. Semua orang boleh perform ikut kemampuan masing-masing selagi mereka ada jati diri yang real. Ada kala, pelakon sendiri tiada kebolehan untuk perform di luar kerangka lakonan. Jadi dalam play-play saya sentiasa ada kombinasi para aktor/pelakon dan performer ini, dan mereka yang cair di antaranya. Saya akan sentiasa terjerumus ke dalam mereka yang boleh perform ini (hanya apabila terpaksa). Apabila saya handle muzik atau lampu ketika persembahan, itu juga boleh dianggap sebagai tindakan performatif (kerana ia terzahir pada play), lebih-lebih lagi dalam teater saya seorang kru teknikal boleh saja menjadi sebahagian daripada korus, atau beri sebarang efek langsung terhadap performans, atau memang masuk ke dalam play secara literal.
Berikut merupakan tindakan performatif yang telah saya aksikan dan saya akan kupas satu-satu peristiwa dan sebab musabab di sebaliknya jika ada. Setiap tindakan ini cuma specific terhadap play-play tertentu kerana ia nature saya untuk tidak ulang hal yang sama secara ketara. Malah setiap tindakan ini juga menurut gerak hati, improvisasi dan situasi semasa kerana untuk setiap play, sesungguhnya perasaannya dan audiensnya berbeza.
MENDIAMKAN DIRI SEWAKTU BUAL SANTAI (Stereo Genmai, Oktober 2018)
Foto menunjukkan penulis dan ensembel performer-nya sedang berbalas senyuman dengan audiens yang senyum. |
Selepas mengharungi Stereo Genmai yang tragik, saya fikir kita perlu rehat seketika, dan intervensi terbaik dan luar duga yang boleh kita lakukan (tindakan ini dibincangkan bersama para aktor) adalah untuk mendiamkan diri buat seketika. Ada hari kita tunggu hingga audiens yang mula bersuara, dan ada hari saya beralah dan menjelaskan konteks tindakan mendiamkan diri ini. Sudah tentu dalam keadaan diam ini, provokasi-provokasi halus berlaku, dari mata ke mata, senyuman ke senyuman, apa kejadah yang sedang berlaku? Dalam situasi ini audiens bukan lagi penonton/konsumer yang pasif tetapi sebuah komuniti ephemeral yang aktif. Jika ia mahu keluar, ia keluar, jika ia mahu duduk ia duduk, jika ia mahu cakap ia cakap, jika ia tak mahu cakap ia tak cakap. Seluruh persembahan Stereo Genmai ambil semangat teater yang melarutkan, teater seperti yang kita kenal, dan situasi diam bersama ensembel aktor dan penulis/pengarah pasca persembahan ini, apa yang sesimpel-simpel gesture apa itu ‘performance’ yang lebih semasa. Pada saya performance art di dalam galeri sesuatu yang mudah dijangka, dan kerana itu performance art hari ini akan merebak ke tempat lain, di luar, di jalanan atau sesuatu, yang pasti ia teraksi di luar kerangka galeri, cuma dalam kes ini saya letak dudukkan ia betul-betul selepas persembahan teater, agar dialog berlaku di antara teater dan seni performans ini. Saya masih memikirkan dialog ini hingga ke hari ini. Kerana itu play saya yang seterusnya akan sentiasa berlegar-legar di antara kedua disiplin seni ini.
LECTURE-PERFORMANCE LAUT API (Pesta Playlet, Mei 2019)
Foto menunjukkan penulis sedang menceritakan sesuatu ditemani Mucky yang akan bermain synth serta ketiga-tiga pembaca yang sedang bersedia di luar ruang performans. |
Jika tindakan performatif di atas amat halus melangkaui kepekaan kontemporari komuniti teater pada ketika itu (dan dalam konteks Malaysia mungkin sampai sekarang), lecture-performance ini pula lebih literal. Dalam lecture-performance biasanya lebih banyak syarahan, tapi dalam konteks ini saya lebihkan adegan performans. Saya sedang jungkir balik naratif Hang Tuah dengan mengupas hal paling trivial iaitu perkataan ‘laut api’ yang muncul sebanyak 5 kali dalam Hikayat Hang Tuah. Menariknya perkataan ini tersebar sama banyak dari awal, beberapa sekitar tengah, dan akhir teks, jadi kita dapat rasa secara fast forward snippet adegan yang akan dilakonkan. Oleh kerana Hikayat Hang Tuah teks yang begitu kelelakian, saya pilih tiga pembaca perempuan iaitu Nyna Roslan, Mia Sabrina Mahadir dan Nurul Aizam untuk baca dari fon (agar cahaya fon beri fill light pada wajah mereka, selain ia objek masa kini yang kontras dengan situasi yang sedang mereka aksikan). Rashid Akhmal dan Sadiq M. Jamil jadi hamba raja, dan di sini saya cuba bikin secara minimal bagaimana untuk elevate atau beri aspek kekaguman terhadap karakter raja yang akan dimainkan oleh Nyna, iaitu dengan memastikan tapak kaki raja tidak bersentuh dengan lantai—dengan memijak tubuh hambanya sebagai pedestal. Bersama Mucky, kita main synth untuk beri nuansa elektronik purba. Takkanlah tiap kali play bernuansa purba kena main gamelan dan instrumen tradisional, ye dok?
PASANG KERTAS PADA DINDING YANG BERKATA-KATA (Double Bill at GTF, Julai 2019)
Foto menunjukan penulis sedang menggunting kertas bagi membuka ruang pada wajah aktor sebelum bergerak ke dinding seterusnya. |
Sewaktu previu Retak Menanti Belah, kita letak projektor atas lantai dan ini buat pancaran projektor selari dengan sudut pandang audiens, membolehkan kita boleh nampak projection di atas permukaan tray telur yang berlekuk. Hal ini kami terlepas pandang, sebab sewaktu di George Town, projector digantung pada siling, menjadikan sudutnya tak sama dengan sudut pandang audiens yang pandang dari bawah ke atas. Ini bikin projection tadi tenggelam ke dalam lekuk-lekuk tray telur membuatkan ia tak kelihatan. Untuk selesaikan masalah ini, saya perlu masuk ke ruang pentas untuk pasang kertas tersebut. Dalam masa sama ia perlu terbenam ke dalam play, lalu kita telah bina mekanisma untuk kertas itu gugur di satu waktu kemudian. Kertas itu dipasang, kertas itu gugur. Cuma saya boleh masuk ke dalam play itu (saya boleh suruh kru tetapi ia tidak boleh), kerana play ini tentang dilema eksistensial sebuah dinding yang bakal retak menjadi dua, ia secara metafiksyen memikirkan dunia sebelum lakon dan hidup mereka sebagai dinding. Dinding ini akan seru nama saya yang cuma diingati sebagai R-N. Teks ini progresif dalam konteks Malaysia sebab biasanya hal pertama yang aktor/pelakon nak buat ialah bergerak, tetapi dalam naskhah play ini saya bikin kedua aktor perlu berdiri tegak, dan cuma berlakon dengan apa yang ada iaitu mimik muka mereka (ke atas junjungan Beckett!). Ia hanya kemudian ia menjadi surreal apabila kedua dinding ini melakukan apa yang mustahil terjadi, iaitu dinding-dinding yang terbelah ini menari sewaktu perpisahan berlaku. Perpisahan selalu disinonimkan dengan kesedihan, tapi dalam konteks dinding, ia sebentuk mitosis persis amoeba, di mana dinding yang satu, menjadi dua. Dalam kes ini, saya cuma masuk dan buat kerja buruh saya, memasang wallpaper ke dinding, agar projection menjadi jelas kemudian, sebentuk nesessity.
MEMBUKA RUANG/LALUAN PERFORMANS DI KAWASAN AUDIENS (Hamlet Fansuri, Ogos 2019)
Foto menunjukkan penulis sedang membuka ruang dan jalan bagi Claudius yang bakal menggunakan ruang yang sedang diduduki audiens. |
Terinspirasi dari seni persembahan tradisional Mendu yang saya dengar, bahawa pengarahnya boleh memberikan arahan secara live/langsung terhadap persembahan yang sedang berlaku, saya mulai berani untuk bertindak ketika play sedang berlangsung. Tetapi ia bukan semberono, sebab apa yang saya lakukan ini tak akan berkesan dalam ruang konvensional yang tak memerlukan audiens bergerak. Dalam kes ini, Hamlet Fansuri sendiri secara naratif memerlukan audiens bergerak dari satu ruang ke satu ruang, dan apabila ia tiba di bilik belakang yang luas, performans akan berlangsung di kawasan audiens. Pendek kata, ruang audiens dan performer dah bercampur ketika ini. Ini poin seluruh naratif Hamlet Fansuri ini, iaitu agar ia bermula dengan pemisahan jelas melalui kaca antara performer dan audiens, kemudian ia semakin akrab dengan proscenium lorong kontena, dan seterusnya ke bilik luas yang menempatkan Kicau Bilau di mana audiens dan performer sudah pun berkongsi ruang ketika ini, sebelum akhirnya ke luar di mana segala-galanya telah cair, dan audiens patut pandai-pandai sendiri untuk cari view persis seni persembahan tradisional dulu kala.
Lain hari lain posisi kedudukan audiens, dan saya selaku penjaga lampu dan dramaturgi persembahan sudah tahu aktor mahu ke mana, jadi tugas saya adalah untuk buka jalan dan ruang bagi adegan yang bakal berlaku bila-bila masa selepas itu. Ada kala saya perlu tinggalkan stesen suis lampu saya, menggunakan tubuh dan gerakan tangan untuk berkomunikasi (saya tak gunakan kata-kata kerana performans sedang berlangsung!), dan ada kala stesen lampu saya diambil oleh audiens yang bergerak dan saya perlu reclaim ia walau macam mana pun. Dalam kes ini saya perlu berhubung dengan audiens secara halus dan bahasa isyarat, dan perlu subtle sebab tak mahu ia jadi intervensi ketara. Ia memang campuran intervensi, necessity (kalau audiens tak sediakan ruang, aktor berpotensi rempuh dan langgar audiens), dan komunikasi bawah tanah. Perasaan saya seperti konduktor muzik yang sedang orkestrakan kedudukan dan gerakan audiens dalam menyumbang kembali terhadap kelancaran play dan dramaturgi.
SEBAGAI PENGARANG KEPADA PENGARANG, NOVELIS KEPADA NOVELIS (Stereo Genmai at Urbanscapes, November 2019)
Foto menunjukkan para aktor sedang baca soalan yang sedang ditaip, sementara aksi menulis secara langsung oleh penulis sedang berlangsung di tepian. |
Dalam Stereo Genmai at Urbanscapes, seperti yang sudah saya ceritakan sebelum ini, oleh kerana slotnya lebih pendek dari durasi sebenar Stereo Genmai, saya perlu ringkas dan abridged-kan teks dan dalam masa sama saya perlu gel dan gabungkan balik adegan-adegan yang mulai melompat-lompat ini. Oleh kerana kefahaman audiens penting dalam menyampaikan cerita yang sedia senggama minda ini, saya tak berniat untuk bikin audiens semakin keliru. Dengan itu, saya telah selitkan sesi soal jawab bersama saya (sekali lagi ia perlu saya dan tidak boleh orang lain) kerana sayalah ‘pengarang kepada pengarang, novelis kepada novelis’ yang disebut dalam play ini, dan intervensi ini secara tak langsung mengaburkan jurang antara adegan (biasanya teknik blackout digunakan di sini dalam teater konvensional). Ideanya adalah untuk susun rentak agar audiens dapat cam kitaran lakonan-soalan-lakonan ini sewaktu ia berlangsung. Bila menjawab soalan, sudah tentu aktor tak perlu berlakon dan perlu jadi diri sendiri. Kontras lakon dan tak lakon ini akan bikin dinamik, dan menyerlahkan kebolehan disiplin lakon. Ada 9 pusingan soalan dalam play ini, di mana 8 pusingan pertama saya yang akan tanya para aktor manakala di pusingan akhir, giliran setiap aktor pula untuk tanya saya (setiap soalan berbeza dan dirahsiakan, agar kita spontan waktu menjawab, ideanya adalah untuk tidak berfikir terlalu lama untuk jawab soalan). Dalam hubungan ini, saya cuma menjawab dengan menaip ia secara langsung guna Pages/Word (software yang sama saya taip novel) yang terpancar di dinding. Suara saya dibaca oleh aktor-performer dan audiens dalam bentuk tulisan (secara tak langsung ia menampakkan kesan dan kelajuan saya menaip di hadapan umum), sepertimana dunia proses ciptaan novel yang tertanam dalam naratif Stereo Genmai.
Ridhwan Saidi